Assalamualaikum semua, hanya ini tempat yang aku mampu luahkan. Jadikan pengajaran atas kisah kebodohan aku ini.
Seperti tajuk diatas, coretan ini hanya untuk meluahkan isi hati sebenar aku kerana aku tahu tiada siapa mampu aku luahkan hal ini.
2016 aku berkenalan dengan A kemudian kononnya aku percaya Allah telah hadirkan the one untuk aku bergantung harap dan kasih.
Ye aku dari broken family, punca aku lapar kasih sayang. Perhatian dan kasih sayang yang aku terima dari A buat aku bagai hilang akal.
Akhirnya, 2017 kami buat keputusan untuk berkahwin di seberang setelah berfikir panjang tentang keluarga masing masing yang pasti menghalang kerana aku masih lagi belajar ketika itu. A pula baru sahaja bekerja setelah tamat belajar.
Aku sanggup hadap segalanya kerana terlalu sayangkan A dan ketika ini A juga begitu sayangkan aku mungkin.. Aku takut kehilangan A… A ibarat segalanya untuk aku ketika itu.
Kemudian, makin lama hubungan kami makin nampak ke arah yang tidak baik. Lebih banyak bergaduh. Hal yang remeh, mungkin bagi aku atau mungkin bagi dia. Tiada kesefahaman.
Aku kongsikan ini berdasarkan apa yang aku fikir dan rasa.. punca pergolakan hubungan kami adalah aku jadi cepat marah.. dan aku gemuk.
Ye aku dipinta kurus oleh A sebelum berkahwin sekali lagi / kahwin dengan pengetahuan dan izin dua keluarga.
Aku sering diugut untuk kurus dahulu baru aku dibawa jumpa keluarga. Usaha aku untuk kurus sentiasa diperlekehkan sedangkan sudah ramai yang menegur aku sudah kurus namun tidak dimata A.
Hal ini yang menyebabkan aku berubah jadi pemarah. Aku memendam rasa sudah lama dengan sikapnya yang terlalu obses untuk aku kurus. Sedangkan dulu dia mula menyayangi aku saat aku sudah buruk asalnya.
Selama aku usaha kurus, aku juga sabar menunggu dia stabil kewangan. Aku memahami kerana dia juga bukan orang senang.
Setiap kali date hanya menggunakan motor. A katakan akan beli kereta bila dah nak kahwin nanti. Aku sokong kerana aku cuba memahami.
Aku bersama A dari dia kerja biasa hingga kerja yang lebih elok. Sedikitpun aku tak merungut. Aku guna konsep susah senang sama2.
Nafkah bulan2 aku halalkan tidak dihulur kerana aku fikir A perlu simpan duit untuk majlis kami nanti.
Sudah lama aku sedar A berubah hati tapi aku terlalu sayang. Terlalu takut kehilangan maka aku layankan sikap acuh tak acuhnya.
Tapi aku juga manusia.. mungkin punca itu dari aku.. (sampai hari ini aku tak tahu kenapa kau begitu kejam dengan aku. Puas aku tanya tapi tiada jawapan kau berikan..)
Wahai pembaca semua, jujur aku katakan. Aku tak pernah hidup tenang sepanjang aku berkahwin diam diam tanpa pengetahuan keluarga.
Aku rasa bersalah dan berdosa dengan ibu bapa kami. Aku ingin cepat cepat akhiri penipuan ini tapi A makin tahun makin stres bila aku ajukan hal nikah kali kedua ini. Meminta aku bersabar dan mohon aku tidak mendesaknya.
2020, lain yang aku atur lain yang Allah susun. Kerana pergaduhan dan aku yang bodoh mencabarnya.. maka terlepas talak dari mulut A.
Takut.. itu perasaan yang aku rasakan bila tersedar dengan apa yang jadi… tapi A seolah olah tidak terkesan dengan apa yang jadi. Seolah dia sudah lama bersedia untuk berpisah dengan aku.
Pujuk dan rayu puas aku lontarkan untuk kembalikan hubungan kami namun dia tetap berkeras meminta aku berhenti dan mencari orang lain kerana hubungan kami sudah tidak boleh diselamatkan..
Namun aku tetap tidak mengalah, masih memujuk kerana terlalu sayangkan A hingga A kata aku tidak boleh hidup tanpa dia.
Aku masih memujuk rayu untuk teruskan perkahwinan ini kerana aku rasa tak mungkin mampu mencintai orang lain sehingga satu masa.. dia katakan sesuatu yang buat aku tersedar dari kebodohan sendiri..
– Nzahra (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit