Assalamualaikum semua. Aku nak ucap terima kasih banyak-banyak pada admin jika sudi siarkan luahan isi hati aku. Aku dah tak ada tempat lain lagi untuk aku luahkan perasaan ni. Aku tiada tempat mengadu, aku tiada kawan. Dengan keluarga, aku banyak pendam.
Aku teringin sangat nak tulis dekat FB personal aku tentang apa yang aku rasa, tapi aku tahu tindakan tu langsung takkan membantu aku. Aku cuba juga untuk menulis di acc social media lain, yang mana di situ hanya ada aku seorang diri. Tapi tetap tak berhasil sebab aku yakin tiada siapa yang baca. Sedangkan aku nak sangat dunia faham isi hati aku.
Aku orang bisnes, sudah berkahwin dan ada anak seorang. Rata-rata orang yang kenal aku akan puji aku seorang insan yang kuat walaupun aku bertubuh kecil. Itu apa yang mereka nampak. Tapi apa yang mereka tak nampak, aku sebenarnya sakit. Emosi dan mental aku sangat-sangat tenat sehingga aku rasa mati adalah jalan yang terbaik.
Apa yang aku perasan, makin hari aku makin sakit. Aku mula menyisihkan diri dari manusia dan dunia. Kadang-kadang aku benci dengan manusia walaupun aku sendiri juga manusia. Dan aku juga benci dengan diri aku sendiri. Sebolehnya aku tak mahu berjumpa dengan sesiapa. Namun sebagai orang bisnes, aku perlu berjumpa dengan ramai orang setiap hari. Dan bila aku balik ke rumah, aku akan menangis macam orang tak betul sebab aku terlalu penat berjumpa dengan manusia.
Bukan aku tak suka manusia, aku suka. I don’t hate people. But I just feel better when they aren’t around. People exhaust me.
Aku juga ada satu kelemahan terbesar, bila aku sakit hati, aku diam. Bila aku marah, aku pendam. Bila aku kecewa, aku tak meluahkan. Bila aku letih, aku tak minta pertolongan orang. End up, apa yang aku diam dan pendam itu merosakkan emosi dan mental aku.
Setiap hari aku akan menangis. Aku akan biarkan airmata ini mengalir, aku sedang mencari kekuatan. Kerana bagi aku, airmata itu sumber kekuatan bagi seorang wanita.
Seriap hari juga aku akan menyalahkan diri sendiri. Aku tak tahu apa lagi yang kurangnya dalam hidup aku padahal apa yang aku usahakan, aku dah achieve banyak perkara yang indah-indah. Dari kami laki bini hidup susah, famili aku sendiri pun orang susah, sekarang kami dah berjaya ubah nasib hidup kami hanya dengan bisnes. Dari buat bisnes online dari rumah, sekarang dah ada butik dan office yang sangat cantik.
Dalam bisnes, aku tak pernah menjadikan pesaing sebagai pesaing. Aku tak pernah ambil tahu apa aktiviti dan achievement mereka. Aku berlari dalam track aku sendiri. Aku cuma bersaing dengan diri aku sendiri. Aku bersaing dengan emosi dan mental aku sendiri. Namun bersaing dengan diri sendiri pun dah cukup menyakitkan.
Aku tahu yang suami aku juga perasan dengan perubahan yang berlaku dalam hidup aku. Aku tahu dia sedih dengan apa yang jadi pada diri aku sekarang, aku nampak. Sebab dia pernah cakap, yang dia rindukan aku yang dulu.
Kenapa aku jadi macam ni? Aku trauma. Aku trauma dari kecil lagi. Aku anak sulung, mak ayah selalu bertengkar pasal kewangan di hadapan kami adik beradik. Ayah aku juga bermasalah. Hanya mak yang tanggung makan minum dan duit persekolahan kami adik beradik.
Suatu hari aku berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti tertua di Malaysia, sepanjang pengajian aku di sana, susah payah yang aku tanggung aku tak pernah cerita pada mak sebab aku tak mahu mak di kampung risau dengan keadaan aku. Aku buat kerja part time ketika masih belajar dan pada ketika itulah aku mula mengenali dunia bisnes online untuk buat side income.
Aku nekad, aku nak ubah nasib hidup kami sekeluarga. Aku tak mahu lagi tengok mak dan ayah bertengkar pasal duit yang tak pernah cukup. Jadi aku struggle kerja siang malam untuk bahagiakan mereka. Tapi lama-kelamaan aku perasan yang emosi dan mental aku makin tenat.
8 tahun aku kerja keras untuk aku ubah nasib hidup kami sekeluarga, dari aku usia 20 tahun hingga sekarang aku dah berusia 28 tahun. Hasil dari kerja keras, aku dapat apa yang aku ada sekarang. Cuma AKU TAK BAHAGIA.
Aku terlalu kuat bekerja sehingga aku tiada masa untuk diri sendiri. Aku tak pernah ada moment-moment yang indah sepanjang bergelar gadis remaja. Aku banyak habiskan masa aku dengan kerja, kerja dan kerja hanya semata-mata tak mahu menyusahkan mak ayah dan nak ubah nasib hidup kami sekeluarga.
Orang sekeliling selalu fikir bila aku achieve sesuatu kejayaan, aku akan bahagia. Actually tak. Aku cuma bahagia untuk side famili aku sahaja. Tapi untuk diri sendiri, aku tak pernah bahagia. Aku dah buat macam-macam untuk bahagiakan diri aku, tapi aku tak temui lagi kebahagiaan yang aku cari. Sehingga aku merasakan mendiamkan diri adalah kebahagiaan yang indah.
Ada satu quote yang aku baca,
“Loneliness is dangerous. It’s addicting. Once you see how peaceful it is, you don’t want to deal it people” dan inilah aku yang sekarang.
Kalau dulu tanggungjawab aku cuma untuk habiskan study dan berjasa pada mak ayah, now tanggungjawab aku makin besar. Akulah isteri, akulah mak, akulah leader, akulah bos dan akulah owner business. Semuanya terletak pada aku. Bukan aku tidak bersyukur, aku bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang. Tapi aku hilang apa yang aku cari
Sekarang aku sedang cuba mencari kebahagiaan diri sendiri selain aku mengadu, berdoa pada Allah dan mendiamkan diri. Now, apa yang aku nampak anak adalah kebahagiaan utama aku. Bila aku penat, aku akan peluk dia kuat-kuat untuk aku hilangkan rasa sakit yang aku tanggung dulu-dulu.
Ramai juga yang tanya apa rahsia kejayaan aku, bukan aku tak mahu cerita, tapi aku tak yakin samada mereka mampu tanggung apa yang aku rasa sekarang atau tak. Kejayaan memang nampak manis, tapi percayalah cakap aku, untuk raih kejayaan tu kita takkan pernah tahu apa liku-liku dan duri yang mereka lalui.
Namun aku yakin, ujian yang datang kepada aku adalah untuk aku. Tuhan tahu aku ini memang layak diuji begini. Sebab itu beratnya untuk aku, bukan untuk orang lain.
Aku masih lagi cuba bertahan. Aku masih lagi bertahan sebab aku pernah melalui yang lebih teruk dari hari ini. Dan semuanya sementara. Dugaan juga begitu. Doakan aku kuat.
– Aku
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit