Aku Mak Singa

Assalamualaikum, aku Mak Singa, bukan nama sebenar.

Minta maaf jika confession aku ni agak meleret dan tidak teratur. Aku terpaksa juga meluah dengan harapan ada yang boleh bantu untuk betulkan aku jika ada benda yang aku salah tapi mungkin aku yang tak nampak.

Aku tak tahu nak luah pada siapa. Aku dah pernah luah pada suami. Tapi sekejap je dia berubah.. kemudian dia letak balik salah tu pada aku.. aku sedih..

Jadi aku pilih platform ini untuk luah isi hati aku sebab disini tiada siapa yang mengenali aku.. dan aku percaya ramai wanita seusia dengan aku yang mengalami masalah seperti ini.

Aku nak luah keluh kesah dalam hati aku untuk para suami yang inginkan isteri selembut perempuan melayu terakhir pada waktu pagi termasuk suami aku. Suami aku sekarang kerap perli aku “ibu singa”. Katanya aku pagi-pagi dah jerkah anak.. Jerkah dia..

Suami aku impikan isteri yang bercakap dengan anak dengan lembut-lembut sepanjang hari, terutama waktu pagi. Pagi kan malaikat nak masuk bagi rezki, tak elok aku bising-bising. Selalu dia ceramah aku, katanya.

“Anak kita ni anak yang dengar cakap. Tak perlu la nak marah-marah dia setiap pagi. Cakap saja dengan dia baik-baik. Kalau dia mandi lama. Tegur dia elok-elok. Kalau dia salah baca, tegur la baik-baik”

Buat pengetahuan semua, anak pertama aku ni bakal hafizah di sekolahnya. Jadi setiap pagi, aku mesti bantu dia mengulang bacaan hafazan dia.

Okay sebelum aku teruskan kenapa aku jadi singa pagi-pagi… let me tell you about my self..

Aku ibu anak 2, seorang 6 tahun dan seorang lagi 3 tahun. Sudah berkahwin dengan suami sekarang hampir 10 tahun. Dulu aku bekerja tapi bila ada 2 orang anak aku berhenti dan aku mula buka bisnes aku yang sekarang. Kiranya, aku bekerja sepenuh masa dari rumah.

Aku suri rumah, ada bisnes sendiri yang dah grow. So maksudnya aku memang perlu komitmen masa untuk uruskan bisnes dari pagi sehingga petang.

Disebabkan bisnes aku makin slow atas semakin kurang permintaan sejak akhir-akhir ini. Aku tambah satu lagi bisnes di sebelah petang. Keluar meniaga kecil-kecilan didepan taman perumahan daripada lepas solat asar sehingga jam 7 petang.

Jadi dipendekkan, kerja aku selepas bangun pagi ialah urus anak ke sekolah, kemas rumah, masak untuk keluarga, urus bisnes hakiki sambil menjaga anak kecil aku , ambil anak sulung dari sekolah, urus kerja sekolah anak dan tambah pula mini bisnes depan rumah.

Malam pula, aku akan urus makan untuk keluarga. Sambung uruskan bisnes hakiki aku dan paling awal aku tidur jam 12 malam, kadang 1 ke 2 pagi baru aku masuk tidur. Dan aku akan bangun jam 5.30 pagi.

Aku dah cuba nak bangun lagi awal tapi tak boleh. Mase tu saja badan aku boleh rehat setelah seharian berpulas buat bermacam-macam kerja.

Suami aku membantu je sebenarnya. Basuh baju, sidai baju, basuh pinggan semua tu biasa dia bantu aku jika dia lapang dan jika aku suruh.

Kalau aku tak sempat lipat baju dia akan buatkan. Sebab dia faham dan nampak dengan biji mata dia sendiri bertapa exshauted nya aku dalam membantu dia menaikkan ekonomi keluarga.

Sudah rezki aku dapat suami bergaji rendah. Jadi aku kena bantu semaksimal mungkin untuk pastikan makanan dirumah sentiasa ada dan komitmen yang aku ada boleh dibayar dengan lancar.

Semua barang make up, baju, skincare kalau aku nak, aku akan beli sendiri. Sebab aku tahu gaji dia cukup-cukup sahaja untuk komitmen keluarga kami dan untuk dia bantu keluarga dia.

Untuk barang peribadi aku, jika dia ada bonus, dia akan belikan. Tiap bulan, memang tak ada la duit bulanan untuk aku seperti yang isteri lain dapat..

Aku redha je, alhamdulillah dia dapat selesaikan bayaran rumah sewa, rumah kami yang sedang dibina, bil-bil dirumah, bayaran kereta dan motor. Semua tu dia akan selesaikan sendiri. Aku akan bantu untuk belanja makanan harian, duit minyak kenderaan bila dia dah tiada duit lagi.

Aku sendiri ade komitment yang perlu diselesaikan seperti pinjaman perniagaan, pinjaman ptptn dan macam-macam lagi yang perlu aku tanggung bagi diri sendiri. Aku sangat suka dia berbuat baik kepada ibubapa dia. Aku tak pernah halang dia bagi duit bulanan kepada ibuibapa dia.

Bagi aku, ibubapa dia macam ibubapa aku sendiri. Siapa lagi nak membahagiakan keluarga kalau bukan kami. Biarlah kami terpaksa bekerja keras demi keluarga besar kami.

Apa yang jadi masalah sekarang ialah suami mula complaint tentang sikap aku yang tak seperti awal-awal kahwin. Aku yang dulu, susah nak tinggi suara, susah marah. Tone suara aku sentiasa rendah. Sejaka nak sulung aku dah bersekolah, aku berubah 360°.

Aku cepat marah. Kalau suami tegur aku, aku akan cepat melenting, mengamuk. Kemudian bila dah reda. Aku akan minta maaflah balik pada suami… Lama aku munasabah diri, aku mencari sebab kenapa aku jadi macamni. dan aku dah jumpa..

Anak aku baik-baik semuanya, suka membantu aku. Anak aku yang sulung ini sekolah tadika swasta yang fokus dia menghafal al-quran. Alhamdulillah setakat ini dia dah berjaya hafal semua juzuk amma dan surah al-mulk. Dan semua ini perlu kerjasama yang padu dari ibubapa, sebab timeframe dia disekolah hanya separuh hari.

Jadi bila balik, ibubapalah yang perlu sambung untuk murajaah, tasmik anak di rumah. Akan ada surah-surah baru yang ibubapa perlu ajar anak dirumah agar mudah anak untuk menghafal di sekolah. Dan semua tu aku ambil tanggungjawab sepenuhnya.

Balik sekolah, aku yang akan ulangkaji hafazan dia. Aku yang akan semak kerja sekolah anak. Aku yang akan ajar anak solat dan betulkan bacaan solat. Pokok kata, hal pembelajaran anak hampir 100% pada aku.

Aku tak kisah urus semua tu sendiri sebab memang target aku nak anak aku menjadi seorang hafizah dalam masa sama ibadah dan akademik dia terjaga juga.

Suami akan bantu anak siapkan kerja sekolah jika aku dah start naik suara pada anak. Dan kalau aku suruh dia ajar anak, sebab aku nak buat kerja lain, baru suami akan buat.

Setakat ini, akan nampak aku lah yang bermasalah dalam mengurus emosi. Betul tak?

Sebenarnya tak juga. Suami membantu tapi tak sangat membantu..

Kenapa pagi-pagi aku boleh jadi singa?

Setiap pagi, aku orang yang bangun paling awal. Pukul 530pagi aku bangun untuk berikan masa aku dengan tuhan. Solat tahajud dan baca quran sampai subuh. Aku perlu buat semua tu untuk recharge balik energy aku. Hanya dengan mendekatkan diri kepada Allah, hati kita akan tenang. Selepas azan, aku akan kejut suami.

Suami pula jenis liat sangat bangun. Kejut sekali tak jalan. Kena kejut dua tiga kali. Selagi tak pukul 6 dia akan tidur balik. Kalau aku dah mula bising. Baru dia akan bangun, cuci muka ambil wuduk. Kami akan solat berjemaah kalau dia siap ambil wuduk cepat. Suami aku ini, jenis suka termenung dalam tandas.

Kadang-kadang ambil wuduk saja dekat 20 min. Bila aku ketuk pintu tandas, aku tanya buat apa? Dia kata die sedang tunggu kencing keluar. Aku dah start bising. Kalau rasa tak nak kencing, tak payah paksa untuk kencing. Lepas solat kan boleh kencing.

Kadang, aku ni tunggu kat tikar sejadah 10 ke 20 min hanya untuk solat berjemaah. Sebab tu kalau aku tak sanggup tunggu. Aku akan solat sendiri saja.

Lepas solat, aku akan kejut anak sulung untuk mandi. Suami aku buat apa lepas solat? Haa…Aku suruh dia mandi, dia cakap nak tidur dulu 10 minit. Aku bagilah chance.

Sebenarnya dah banyak kali dah aku cakap dengan dia. Mandi la terus lepas solat. Bantu aku urus anak. Tapi sehari dua jela dia berubah. Selang beberapa hari dia buat balik perangai tidur lepas subuh dia tu. Kalau betul tidur 10minit macam dia minta aku tak kesah. Ini tak, selagi aku tak kejut dengan nada suara yang tinggi dia tak kan bangun.

Anak sulung aku pun dah macam ayah dia. Suka termenung dalam jamban. Sementara tunggu anak sulung aku mandi, aku akan gosok baju dia dan baju kerja suami.

Bila dah habis gosok baju, aku tengok anak sulung aku masih lagi mandi. Sama je setiap hari, air dia buka. Badan tak basah pun. Jadi aku la yang duk bising kat dia suruh mandi, sabun badan, gosok gigi. Tak suruh sabun, tak sabun la dia. Tak disuruh gosok gigi. Tak gosok la dia.

Dah siap anak aku, aku pass la baju, suruh dia pakai. Aku ke dapur untuk keluarkan baju yang dah basuh malam tadi untuk disidai. Aku panaskan air dan panaskan lauk. Rumah aku tiada penapis air sebab nak kurangkan komitmen kami.

Bila aku ke bilik anak semula, dia masih diposisi yang sama. Belum pakai baju lagi. Aku akan start berletir suruh pakai baju. Bukan aku tak boleh pakaikan tapi sampai bila aku nak pakaikan.. tahun depan dia dah nak 7 tahun. Takkan aku tak boleh ajar dia untuk berdikari dari sekarang betul tak.

Bila anak dah siap, aku akan tunggu dia solat subuh pula. Budak kalau solat subuh lama la sikit sebab dia dalam fasa belajar, aku perlu dengar dia baca setiap rukun untuk betulkan bacaan solat dia.

Kemudian aku akan tasmik 10 surah terkini dia dan surah penutup, surah al-mulk. Kiranya aku akan ambil masa sekurang-kurangnya 20 min untuk tunggu anak aku solat dan murajaah di waktu pagi.

Paling lewat jam 7pagi baru selesai semua tu. Aku ke bilik suami, dia masih tidur lagi. Padahal sambil-sambil aku tengok bacaan anak, aku dah suruh dia bangun.

Jawapan dia? 5 min lagi dia bangun. Tapi tak bangun-bangun, nak kena tunggu aku sebut dah pukul 7. Baru dia akan terkejar-kejar bangun. Sempat pula dia pesan suruh siapkan sarapan untuk anak.

Jadi sementara tunggu si ayahnya siap. Aku pun ke dapur balik buatkan air susu untuk anak dan sarapan dia.

Dalam pukul 7.20 pagi suami siap dan terus gerak hantar anak. Dia sempat perli aku mak singa pagi-pagi dah bising kat anak. Mula-mula aku gelak je la dia cakap camtu. Tapi bila dah hari-hari dia cakap camtu. Isteri mana tak meletup?

Katanya orang dulu-dulu, anak ramai pun tak de kelam kabut macam aku. Nak aku jadi macam maknya masa muda dulu. Tapi kenapa suami tak boleh jadi macam ayah dia. Pukul 5 pagi dah bangun, mandi, suruh anak-anak mandi. Jika semua tu suami aku boleh buat.

Aku boleh je pagi-pagi fokus siapkan sarapan tanpa ada sedikit suara pun. Tapi sekarang aku seperti jaga 3 orang budak. 2 orang anak aku dan seorang suami yang perangai macam anak kecil. Semua benda kena tunggu aku arah.

Jadi mendapatlah kau seorang isteri macam warden. Mana ada warden kejut orang lembut-lembut kan. Kira untunglah ku tak simbah air kat muka dia pagi-pagi.

Tu belum cerita setiap sabtu ahad dia akan tidur sampai pukul 11 pagi.

Pesan kat aku, dia nak sarapan pagi setiap hari cuti sebab hari biasa dia tak sempat sarapan sebelum pergi kerja. Salah siapa dia tak sempat sarapan pagi? Aku ke yang suruh dia tidur lepas subuh sampai pukul 7 baru nak bangun.

Tapi bila hari cuti, dia tak bangun awal juga, pukul 11pagi kalau tak dibising, membuta la dia. Nak sarapan apa? Sarapan dah jadi makan tengahari dah.

Penat tau jadi isteri, kalau semua benda aku nak arah. Sampah kalau aku tak suruh buang. Sampai berulat la kat dapur tu. Bila aku buang, dia bising cakap aku cuba buat kerja lelaki. Serba salah aku jadinya. Sebenarnya aku kena buat apa? Ada sesiapa tak yang boleh bagi aku nasihat.

Aku selalu juga dengar pesanan dari seorang motivator tiktok. Kalau kau nak lelaki berubah, kau lah kene bagitahu dia. Aku dah bagitahu. Aku dah deep talk, luahkan apa yang aku rasa. Sehari dua je la dia berubah. Masuk hari ketiga, buat balik perangai sama.

Lagi satu dia suka main game sampai lewat malam. Makan game. Nak tidur pun game. Kadang nak berak pun main game. Aku tak kesah dia nak main game. Tapi kalau game buat dia jadi lambat solat, lambat bangun, lambat keluar tandas. Siapa je tak marah. Benda paling aku nak dia ubah ialah “masa” dia dalam tandas.

Dia ni kalau mandi tak kurang setengah jam. Kalau dia berak sekali mandi dekat sejam baru dia keluar. Aku ade tegur juga, tak kejung ke jari-jari tu duduk lama-lama dalam bilik air. Dia kata dia bukan berendam pun.. dia main game sambil tunggu taik keluar.

Ya Allah …. Aku kat ruang tamu duk jaga anak. Anak bergaduh aku kena selesaikan, anak nak makan aku kne suapkan. Dia pula boleh habiskan masa dia dalam tandas dekat sejam tunggu taik keluar. Aku dah kata, kalau rasa taik tu tak nak keluar, tak payah la tunggu. Dia tak tahu ke sejam tu, macam-macam bende boleh buat.

Aku yakin dia bukan mesej perempuan lain dalam tandas sebab aku dengar je bunyi dia main game dari luar tandas. Dan handphone die pun tak pernah dia buat privacy dari aku. Aku boleh je pakai phone dia bila-bila aku nak. Aku pon tak pernah jumpa conversation pelik-pelik dalam phone dia.

Aku bukan tak bersyukur dengan suami aku yang sekarang. Jujur aku katakan. Dia suami yang baik, penyanyang. Kalau dia ada duit lebih dia akan belanja anak bini. Tak suka melepak. Kalau aku suruh bantu aku buat kerja rumah, dia akan buat tanpa alasan.

Tapi aku letih bila semua benda nak kena tunggu arahan dari aku. Dan bila dah mula complaint aku ni suka bebel, macam singa lagilah aku penat. Dia asik pesan pada aku suruh berubah, jangan marah- marah anak.

Bagaimana aku nak berubah jadi lemah lembut. Kalau aku yang kena jadi warden kat rumah sendiri. Nak kena jaga anak, jaga dia lagi.. Korang faham tak perasaan aku.

Ke sebenarnya aku yang kurang bersyukur. Tapi jujur aku kata aku penat.. aku menaip ni pun dalam masa sama aku terkejar-kejar nak siapkan order orang, nak siapkan anak aku yang bongsu tu. Kejap lagi nak masak. Nak ambil anak sekolah lagi. Petang nak meniaga lagi.

Tu belum lagi aku selalu dipersalahkan keluarga mertua bila suami terpaksa potong duit bulanan mereka bila dia tak cukup duit. Padahal semua barang-barang yang aku beli, aku guna duit hasil dari bisnes kecil aku. Aku tak minta langsung duit suami.

Duit aku belanja ibubapa aku makan, bawa family aku bercuti semua hasil pendapatan aku sendiri. Aku suri rumah yang tak ambil duit suami. tapi orang tak nampak. Yang orang fikir suri rumah ni, duduk kat rumah habiskan duit suami.

Kadang bila suami ada program keluarga, akulah yang akan sponsor duit minyak kereta, duit makan kat sana.. Aku redha je, sebab tu salah satu tujuan aku buat pelbagai bisnes ni, supaya bila nak jalan-jalan dan bila ada program keluarga kami ade duit untuk join sekali.

Semua tu aku tak pernah mengeluh. Apa yang aku harap ialah suami aku boleh korbankan masa tidur, masa dia dengan game, masa tunggu taik dan kencing dia keluar tu untuk bantu aku urus keluarga supaya aku dapat kembalikan diri aku yang lemah lembut dulu. Tapi bagaimana nak bagi suami aku faham?

Aku sangatlah hargai kalau korang boleh beri kata-kata positif dan nasihat yang baik untuk aku. Harap korang janganlah kecam aku, sebab aku jenis tak kuat untuk dikecam. Hidup aku sendiri tak terurus, bagaimana aku nak urus emosi aku.

Sekian dari,

– Mak Singa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *