Aku Masih Sayang, Tapi Luka Aku Tak Nampak Di Mata Dia

Aku seorang isteri. Seorang ibu. Dan seorang wanita yang tak pernah berhenti berharap.

Aku sudah berkahwin selama hampir 7 tahun. Kami kenal sejak tahun 2007. Masa aku baru di tingkatan 1. Tapi kami tidak bercinta semasa aku bersekolah.

Segalanya bermula sejak aku memasuki usia 21 tahun. Dia lelaki pertama yang buat aku betul-betul jatuh cinta. Dan aku kahwin dengan dia dengan harapan hidup kami akan sentiasa dalam lindungan Tuhan.

Awal perkahwinan semuanya indah. Tapi selepas anak pertama lahir, hidup kami mula berubah. Aku penat. Jaga anak sendiri, urus rumah tangga, dan dalam masa sama masih bekerja. Burnout, tapi terus bertahan.

Lama-lama hubungan jadi hambar. Aku jadi marah, jadi penat, dan tak seceria dulu. Tapi aku masih bertahan, sebab aku fikir ini semua fasa.

Sampailah satu hari, aku terbaca mesej suami dengan perempuan lain. Bukan mesej mereka bercinta, tapi mesej yang cukup buat aku rasa tak penting. Mesej bersayang-sayang dan ada unsur lucah.

Walaupun mungkin sekadar gurauan, aku rasa tu cukup untuk aku rasa tak dihormati. Tak dianggap. Mereka bekerja dalam lingkungan yang sama.

Suami aku seorang anggota beruniform, dan perempuan itu kakitangan awam yang biasa berurusan dengan unit suami.

Aku tegur, aku menangis, aku luahkan. Tapi respon dia? Tenang, seperti tak rasa bersalah. Seolah-olah aku ni terlalu ‘emosi’.

Dalam perbualan tu aku nampak yang suami dah mula nak berjinak nak buat bisnes yang sama dengan perempuan tu sebab dia nampak hasil duit tu macam mana.

Perlahan-lahan aku nampak suami aku yang mementingkan “berkah” dulu perlahan hilang. Dia dah menjadi gelap mata kerana wang.

Aku terlalu risau dia hanyut sebab bisnes tersebut boleh merisikokan kerjaya dia juga (yang tahu, tahu la kan bisnes apa. Aku tak nak terlampau terbuka)

Bagi pendapat aku, sejauh mana pun kau berselindung satu hari pasti terkantoi juga ibarat sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.

Aku terlalu risau, aku minta dia fikirkan semula keputusan dia. Terlibat dalam bisnes sebegitu terlalu besar risikonya pada kerjayanya dan pada keluarga.

Aku berjanji lepas dia tamat perkhidmatan, aku offer untuk buka & run bisnes sama-sama. Tapi mungkin aku bukan orang yang sesuai meyakinkan dia.

Aku tak sekaya perempuan yang dia berurusan di tempat kerja tu. Itu lebih menyakinkan bagi dia. Pendapat isteri yang selama ini bersusah senang hanya ibarat angin lalu saja

Ouh ya. Sejak kejadian kantoi mesej tu, dia tak da sembunyikan telefon. Semuanya macam biasa. Setiap kali waktu kerja, aku gelisah. Tak keruan fikir mereka berjumpa, duduk makan semeja, berbalas mesej. Mental aku terganggu. Tapi aku diam. Aku tahan. Aku pilih untuk teruskan.

Aku pernah minta cerai. Tapi aku fikir panjang sebab masih ada anak kecil. Aku ada simpanan untuk bawa diri sebab aku bekerja. Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak kecil aku.

Sejak itu aku perbaiki mana yang kurang. Aku ajak dia solat jemaah semula. Aku mula dengan rendah hati. Aku tahu, kalau aku tunggu dia mulakan, mungkin takkan jadi. Aku kena mulakan dulu. Biar Allah yang bantu selebihnya.

Aku tak nak bazir tenaga fahamkan orang yang tak nak faham. Aku cuma nak jadi tenang. Fokus pada diri. Fokus pada anak-anak. Biar Allah yang tunjukkan kebenaran.

Hari ini aku bangkit sebab anak-anak. Aku lembutkan diri. Aku senyum walau pedih. Aku pujuk hati aku sendiri setiap malam.

Aku tak tahu sama ada dia masih sayang aku atau tidak. Tapi aku tahu, aku masih sayang dia.

Suatu hari, bila anak-anak dah mula faham, aku nak anak-anak nampak aku sebagai seorang ibu yang tidak putus asa, dan kuat berjuang.

Mereka perlu tahu, ibu mereka sudah bermati-matian perjuangkan apa yang sepatutnya menjadi hak mereka.

Tapi suatu hari, jika si dia memilih yang lain dan berlalu pergi sekurangnya aku tahu, aku dh buat yang terbaik sebagai isteri dan ibu.

Aku tak cari simpati. Aku cuma nak orang tahu, kadang-kadang isteri yang paling diam tu, dia sebenarnya yang paling kuat.

Doakan aku terus kuat..

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *