Assalamualaikum wbt. Namaku Jep, berasal dari negeri Selangor Darul Ehsan dan sekarang mengajar di sebuah negeri di luar Selangor.
Aku ingin berkongsi kisah 26 tahun yang lalu tentang Aku dan Dia. Sekadar ingin berkongsi rasa yang pernah singgah & masih wujud hingga hari ini.
Kisah ini bermula pada tahun 1998, ketika Aku menuntut di sebuah IPTA di Perak. Kami adalah dalam kuliah yang sama.
Aku kenalkan namanya sebagai Juen, seorang gadis yang bagi Aku sangat cantik, berperwatakan lembut dan muslimah, sering mengenakan jubah dan bertudung labuh sepanjang masa.
Aku seorang yang amat pemalu dengan perempuan, mungkin juga takut. Lantaran kerana sikap itu, Aku tidak betah untuk bercakap atau bertegur sapa dengan mana-mana pelajar perempuan tanpa sebab yang munasabah.
Kerana sikap itu juga, setiap hari Aku hanya mampu mencuri pandang kelibat dan wajah Juen, hanya itulah yang mampu dan berani Aku lakukan. Rasa cinta & sayang, Aku pendam diam-diam.
Mungkin ada yang bertanya, bagaimana Aku boleh tahu namanya jika tidak pernah bertegur sapa? Iye, namanya Aku tau hanya melalui perbualan dia bersama rakan-rakan.
Bohonglah kalau Aku katakan yang Aku tidak punya perasaan untuk berbual berdua dengannya tapi rasa itu hanya kekal sebagai rasa kerana Aku tidak berani untuk menoktahkannya.
Oh! ya, maaf Aku terlupa untuk bercerita, Aku mixed, Abahku berbangsa Cina dan Ibuku Melayu.
Dalam bilik kuliah, Aku adalah pelajar yang biasa-biasa saja, tidaklah terlalu menonjol jika dibandingkan dengan rakan-rakanku yang lain. Aku hanya aktif dalam bola sepak, plus Aku wakil Universiti dalam bola sepak.
Aku sering menerima nota & surat cinta dari ramai pelajar tapi semua itu Aku abaikan, tidak pernah sekalipun Aku balas nota-nota & surat cinta itu. Bagiku, ruang di hati ini hanya untuk Juen seorang.
Bodohkan Aku, berbalas senyuman pun tidak pernah, apa lagi bertegur sapa, tiba-tiba ingin untukkan hati untuknya. Setiap hari tidak pernah sekalipun, Aku lupakan titipkan nama Juen dalam doaku selepas solat, doaku pada Illahi, pencipta alam maya ini,
“Ya Allah, jika dia untukku maka dekatkanlah dia padaku tapi jika sudah tertulis sejak di Lauh Mahfudz lagi yang dia bukan untukku, maka jauhkanlah dia, sejauh-jauhnya dariku”.
Hari-hariku di Universiti berjalan seperti biasa, Aku masih sama, hanya berani curi-curi pandang pada juen untuk melepaskan rasa cinta dan rindu.
Sehinggalah, kekuatan itu hadir pada tahun 2000. Aku masih ingat saatnya, hari dan ketikanya. Iye, moment itu sentiasa disiarkan dilayar memoriku hingga saat ini.
Petang itu, usai latihan bola sepak di padang Universiti, jam hampir pukul 6.50 petang, Aku berjalan sambil memegang boot menuju parkir motosikal di depan kod tenis bersebelahan padang.
Ketika itu, tiba-tiba jantungku berdetak tak keruan, mataku terpana pada susuk tubuh seseorang, dia sedang duduk mengadap kod bola jaring memerhatikan rakan-rakannya, membelakangiku. Aku pasti dan yakin itu adalah susuk tubuh seorang Juen.
Aku letakkan boot di bakul motosikal, hidupkan enjin & berlalu pergi tapi entah kenapa, baru beberapa meter Aku berlalu pergi, Aku berpatah balik, parkir semula motosikalku ditempat tadi dan mematikan enjin. Aku sempat berdoa dalam hati, “Ya Allah, kurniakanlah Aku kekuatan”.
Aku berjalan menuju susuk tubuh itu, melewatinya & duduk bersebelahan dengannya(jarak Ikhtilat antara kami hampir 10 kaki). Kalaulah ia masih boleh ditakrifkan sebagai duduk bersebelahan. Aku memberikan salam & dia menjawab serius tanpa senyuman. Aku perkenalkan diri.
“Saya Jep, awak Zurina, kan?”
Dia menjawab, “Iye, Saya Zurina”.
Aku bertanya lagi, “Nak panggil Zurina aje ke?”
Dia menjawab, “Panggil Juen aje”.
Aku bertanya lagi, “Asal dari mana ye?”
Dia menjawab. “Asal sini jugak, Perak”.
Perbualan hanya berhenti setakat itu. Iye, memang tiada apa-apa pun kata-kata yang istimewa dalam perbualan kurang 10 minit itu.
Tapi bagi Aku ia amat istimewa kerana itulah kali pertama dalam hidupku, Allah kurniakan kekuatan kepadaku untuk menyapanya. Sebelum berlalu pergi, Aku katakan padanya.
“InsyaAllah, jika ada rezeki, kita bersembang lagi” dan dia hanya menganggukkan kepala.
Selepas peristiwa itu, rutinku kembali seperti biasa, masih mencuri pandang tp kali ini Aku dapat rasakan kelainan. Tiap kali Aku mencuri pandang, pandangan kami sering bertemu dan setiap kali ia berlaku, kami akan sama-sama tersenyum malu.
Alhamdulilllah, tahun 2001, kami sama-sama bejaya menamatkan pengajian. Aku gembira dan sedih, gembira kerana berjaya menamatkan pengajian & menggenggam segulung ijazah, sedih kerana Aku tak dapat lagi mencuri pandang pada Juen.
Kami pun pulang ke kampung masing-masing. Lama Aku bertarung dengan perasaan sendiri, menahan rasa rindu, ku luahkan rasa ini hanya pada Allah, kerana hanya dia saja yang tahu isi hati Aku.
Ogos 2002, hari konvokesyen tiba. Hari yang amat Aku nanti-nantikan, bukan saja untuk naik ke pentas menerima scroll Ijazah tapi yang lebih Aku tunggu ialah bertemu dengan Juen.
Dari kejauhan, Aku nampak Juen bersama sepasang lelaki & perempuan seusia Mak & Abahku. Iye, mungkin itu Abah & Ibu Juen. Aku nekad, selepas selesai istiadat konvokesyen, Aku akan luahkan semuanya pada Juen.
Kita merancang, Allah juga merancang tapi perancangan terbaik adalah milik Allah, rabbul jalil. Selepas keluar dari Dewan Besar, Dewan Tunku Canselor, Aku tercari-cari Juen, Aku ingin kenalkan Juen pada Abah dan Ibu.
Lama Aku mencari, hampir semua tempat Aku pergi, cafe, masjid hatta luar tandas sekalipun Aku menanti tapi bayang Juen tidak Aku temui.
Aku kembali ke kereta untuk bertemu dengan Mak & Abah semula, tiba-tiba seorang rakanku, Asri berikan 1 nota kecil, bercatat no tel dan alamat rumah seseorang. Aku bertanya pada Asri, “Siapa?”, dia menjawab “Juen”.
ALLAH, hanya ucapan itulah yang keluar dari muluntuku dan Aku melutut, iye, Aku melutut didepan Asri. Dia kebingungan dan memegang bahuku supaya bangun.
Aku bangun dan Asri menepuk-nepuk belakang bahu sebelah kiriku sambil menggelengkan kepala. Aku masih ingat moment itu. Gila, kan?
Lama Aku simpan nota kecil yang tercatat no tel dan alamat rumah Juen, Aku tak punya kekuatan untuk menghubunginya.
Hampir 8 bulan kemudian, tepatnya hari Sabtu 5 April 2003, barulah kekuatan itu hadir. Pukul 9 pagi, Aku dail no tel yang tercatat pada nota itu, suara seorang perempuan terdengar dari corong tel.
“Hello, Assalamualaikum, boleh Saya bercakap dengan Juen?”
“Wa’alaykum salam, sapa ni?”
“Kawan Juen”
“Sekejap ye”
Aku terdengar dia memanggil seseorang dengan panggilan Kak Teh. Aku dapat rasakan gagang tel bertukar tangan.
“Hello”
“Assalamualaikum, Juen ke?”
‘Wa’alaykum salam, iye Juen”
“Juen sihat?”
“Alhamdulillah, sihat”
“Tau ke sapa tel ni?”
“Tau sangat”
“Macam mana boleh tau, ni first time Saya call tau”
“No tel ni, Juen pernah bagi kat sorang lelaki je”
Allahu Rabb, hanya dia yang tau perasaanku saat itu. Ketika tu, Aku dapat mendengar suara riuh rendah keadaan di rumah Juen melalui tel. Aku bertanya.
“Kenapa macam ramai aje yang ada kat umah Juen ni, ada kenduri ke”?
“Ha, aaa, ada majlis tunang?”
“Oooo, Kakak Juen nak tunang ke?”
“Bukan Kakak, Juen yang nak bertunang”
Lama Aku terdiam. Ya Allah, ujian apa yang sedang kau berikan pada hambamu ini.
“Juen janganlah main-main, cakap la betul-betul”
“Betul la, tak kan Juen nak main-main pasal ni”
“Kenapa Juen tak pernah bagitau Saya yang Juen nak bertunang?”
“Macam mana Juen nak bagitau, Jep tak call pun Juen, lama Juen tunggu Jep call”
Baru Aku sedar, betapa bodohnya soalan Aku pada Juen tu. Aku terdiam lagi.
“Juen pun tak kenal siapa orang tu, semuanya Abah yang aturkan, anak kawan Abah”
“Allah. Bodohnya Saya Juen, kenapa Saya tak call Juen dari hari tu? Kenapa Juen tak tunggu Saya?”
“Abah pernah tanya, Juen ada sapa2 ke?, Juen nak cakap ada tapi Juen tak pasti. Juen dah buat istikaharah minta petunjuk, Juen tunggu Jep tapi Jep tak muncul-muncul pun, akhirnya bulan lepas abah tanya lagi. Masa tu Juen pasrah”
Aku menangis bagai anak kecil. Iye, Aku menangis di tel ketika itu & Aku juga dengar Juen menangis.
Kemudian Aku dengar suara perempuan yang mengangkat tel tadi bercakap dengan Juen, “Dah, jangan nangis, nanti orang nampak, tak elok, Juen sabar byk-byk”. Juen jawab, “baik Kak Lang”.
Kemudian Aku terdengar seorang Lelaki memanggil Juen dengan suara yang agak kuat & kemudian Juen mohon untuk menamatkan panggilan, sebelum Juen menamatkan panggilan, Aku titipkan no tel ku kepada Juen, Aku katakan pada Juen, klu perlu apa-apa bantuan, tel saje Aku.
3 Nov 2003, 9 Ramadhan 1424h, Aku titip kad ucapan hari raya untuk Juen, tanda ingatan seorang kawan untuknya. Iye, Aku berbohong, Aku masih tak mampu untuk anggap Juen hanya sebagai seorang kawan. Aku tak mampu.
20 Nov 2003, hujung Ramadhan. Aku dapat panggilan tel dari Asri, bertanya khabar sebab lama tak berjumpa, Oh! ye, maaf terlupa, Asri ni orang Kedah.
Dulu di Universiti, kami panggil Asri ni Ustaz sebab antara kami dia ni yang paling alim dan warak. Dari Asri juga, Aku diberitahu yang Juen kurang sihat. Asri dapat tahu melalui Atiqah yang juga kawan rapat Juen ketika kuliah dulu. Aku bertanya pada Asri, “Juen sakit apa?”
Asri minta Aku hubungi Juen untuk kepastian. Aku berfikir, wajarkah untuk Aku hubungi Juen, dia kan dah jadi tunangan orang. Untuk apa Aku hubungi dia lagi, Aku bukan sesiapa padanya, untuk apa menambah lagi luka dan kecewa.
22 Nov 2003, beberapa hari sebelum Syawal tiba, kerana masih peduli dan sayang, Aku dail no tel Juen dan Alhamdulillah, Juen yang angkat gagang tel tu.
“Hello, Assalamualaikum, boleh Saya berckp dengan Juen?”
“‘Wa’alaykum salam, iye Juen ni”
“Kenal ke?”
“Kenal”
“Asri ada call Saya, dia ckp Juen tak sht, Juen sakit apa, knp Juen tak call Saya bagitau?”
“Juen malu nak call Jep. Juen sakit-sakit badan, muntah-muntah, pagi hospital tapi Dr kata tak de apa-apa. “
“Takkan tak de apa? Mesti ada sebab”
“Leps tu Abah bawak pegi jumpa Ustaz”
“Jumpa Ustaz?”
“Iye, Ustaz tu cakap Juen kena buatan orang”
“Haaaa!, buatan orang, macam mana… (Juen potong kata-kata Aku).
“Ustaz tu kata mungkin ada yang dengki dengan Juen atau family Juen tapi Juen tau bukan Jep yang buat, Jep bukan jenis orang yang macam tu”
“Sekarang Juen mcm mana? , masih sakit lagi ke?”
“Alhamdulillah, dah makin ok”
“Alhamdulillah, lega Saya”
“Kad raya yang orang tu hantar dah sampai”
“Iye?, Alhamdulillah”
“Takde hantar kad kat mana-mana gadis ke?”
Aku terdiam, soalan apa yang cuba Juen tanya ni, dia sengaja nak menduga hati Aku ke? Aku mengelak untuk menjawab.
“Tunang Juen apa khabar?”
“Entah, sihat kot”
“Kenapa kot?”
“Juen sakit ni, tak call tanya khabar pun, kad raya pun dia tak hantar”
“Dia dah hantar kot, belum sampai lagi agaknya”
“Call pun tak”
“Dia sibuk agaknya”
“Juen sakit ni, dia tak balik pun tengok Juen”
“Dia tak tau Juen sakit agaknya, dia kerja kan”
“Kenapa awak nak side dia ye?”
“Saya tak side dia Juen, dia pilihan Abah Juen, kan? Pasti pilihan seorang Ayah adalah yang terbaik untuk anaknya”
“Juen nak tanya ni, tolong jawab. KALAU Jep kat tempat dia, Jep datang tak tengok Juen?”
Allahu rabbi. Kenapa soalan ini yang kau tanya Juen. Tidak tahukah dia, betapa kejam soalan itu pada Aku.
“Jawablah, kenapa diam?”
“Nama pun KALAU, Juen, maaf Saya takde jawapan untuk soalan tu”
“Ala… , Juen tau, KALAU Jep, mesti Jep akan datang tengok Juen”
“Mana Juen tau?”
“Juen tau, Jep mesti akan datang sebab Jep orangnya penyayang”
Aku terdiam lagi, tak pasti kenapa Juen sanggup menduga Aku dengan kata-kata seperti itu.
“Dah ada seseorang ke?”
Aku hilang kesabaran yang Aku tahan sejak dari tadi.
“Sedang mencari. Juen doakanlah, mana tau mungkin doa gadis sebaik Juen akan Allah angkat”
“Ooooo, mesti gadis tu cantik, kan, padan dengan Jep”
“InsyaAllah, Juen doakan ye”
Entah kenapa, air mataku terlalu murah untuk Juen. Bimbang airmata yang Aku empang ini pecah, Aku mohon untuk tamatkan panggilan. Sebelum tamatkan panggilan, Aku sempat berpesan pada Juen.
“Juen jaga diri baik-baik, ye. InsyaAllah, doa Saya sentiasa ada untuk Juen. Semoga Juen jadi anak yang solehah, sihat, bahagia didunia dan akhirat. “
“Aamiin, Juen pun doakan yang sama untuk Jep. “
“Assalamualaikum”
“Wa’alaykum salam”
Itulah kali terakhir Aku mendengar suara halus Juen. Aku tak betah lagi untuk menahan emosi bercakap dengannya.
14 Dec 2003, Aku menerima 1 panggilan tel.
“Assalamualaikum”
“Wa’alaykum salam”
“Jep ada?”
“Saya bercakap”
“Saya Azlan, tunang Juen”
Berdebar jantung Aku ketika itu. Hati kecilku berkata, kenapa dengan Juen, apa yang berlaku pada Juen?
“Aaaaa, Juen sihat ke?”
“Awak tak perlu tanya khabar dia pun”
“Eh! Saya kawan dia. Saya kenal dia jauh lebih lama dari awak”
Aku hilang sabar. Wallahi, tak pernah terniat walau sekecil zarah pun untuk Aku rampas Juen dari dia.
“Betul, awak kenal dia lebih dulu dari Saya tapi Saya yang jadi pilihan Abah dia”
Aku hilang kata-kata. Iye, Aku tewas, Aku bkn pilihan Abah Juen.
“Saya nak ingatkan awak, jangan hubungi Juen lagi, dia dah jadi tunang Saya. Awak tak malu ke tel tunang orang?”
Panggilan ditamatkan tiba-tiba…
Aku termenung, bermuhasabah, benar…. Aku tak wajar tel Juen tempoh hari, walau apapun alasannya, tindakan Aku itu salah. Maafkan Aku, Ya Allah…
Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Tanpa Aku sedar, sudah 26 tahun kisah ini berlalu. Kembali ke realiti sebenar, sekarang 2024.
Aku masih seperti dulu, terus mengingatinya, teguh memegang janji untuk menitipkan doa buatnya dan keluarganya dan aku tahu, dia kini gembira dan bahagia bersama suami dan anak-anak tercinta.
Aku, di usia 46 tahun, masih gagal mencari gadis sepertinya, tiada peneman untuk diajak berbicara….
– Jep (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
sayang dan cinta tak semestinya memiliki. melihat orang yang kita sayang tu bahagia adalah tahap tertinggi dalam sesebuah perhubungan. terus kuat encik jep.
awat amek masa yg lama 8 bulan kemudian baru contact dia eh? eksited da terlebih eksited da dpt no tel sume tu.. action lambat la bang.. ends mmg xde jodoh