Aku Masih Waras

Aku seorang perempuan berumur pertengahan 40, anak kedua daripada 4 adik beradik seayah. Adik beradik ku, seorang kakak, selepas aku adik lelaki dan bongsu seayah, adik perempuan.

Aku ada adik tiri selepas mak kahwin lepas 2 tahun bercerai. Aku telah berkahwin dan punya 3 anak perempuan.

Apa yang akan ku sampaikan, pelbagai peristiwa dalam hidup di mana aku cuba kekal waras. Semoga ada yang terinspirasi. Kerana, ada golongan adik-adik yang pada zaman ini mudah cepat mengalah.

Percayalah, setiap ujian ada manisnya dan Allah tidak akan menguji hambaNya jika Dia fikir kita tak mampu untuk hadapi.

Aku ingin nukilkan, betapa aku harus kekal waras dalam setiap episod demi episod yang turut mendewasakan aku.

Kami asal daripada keluarga yang agak susah namun cukup la makan pakai. Ayah seorang penjawat awam beruniform dan ibu seorang peniaga nasi lemak tepi jalan. Aku membantu ibu meniaga sendiri ketika umur 12 tahun.

Segala ejekan kepada seorang gadis sunti yang meniaga di tepi jalan ku sahut dengan kasar. Ya, aku garang.

Pernah aku sekolahkan sekumpulan budak lelaki lantaran panggilan ‘nasi lemak’ di jerit masa aku balik dari sekolah. Aku sanggup. Demi sesuap rezeki yang halal usahasama ibu.

Tidak ku ingat, sejak bila aku mula melihat ayah memukul ibu. Dari menggunakan tangan, kaki, tali pinggang dan kemuncaknya menghentak kepala ibu dengan topi keledar sampai pecah darah dalam mata.

Aku pernah menjerit marahkan ayah. Ayah terkejut dengan suara aku. Dia berhenti membelasah ibu yang longlai. Terus dia keluar. Walau ibu sering menjadi mangsa, anak-anak tidak pernah dijentik sekalipun.

Namun ibu terus kekal sayang. Terus kekal dalam perkahwinan itu. Ibu cakap, ayah kena ilmu guna-guna dari seberang lantaran ayah bekerja badan beruniform. Aku enggan terima alasan ibu.

Ada ketika, sedang ibu mengongoi kesakitan, aku sudah berdiri di depan almari yang ku tahu ada parang di sebalik pintu almari itu. Aku bayangkan, jika aku lelaki, telah habis ayah ku belasah juga. Jika kudrat ku kuat, mahu ku rodok perut ayah dengan parang.

Apa kan daya, aku Cuma kanak-kanak berumur 10 tahun. Perempuan pula. Aku belajar jadi waras seawal umur ini.

Pada umur 16 tahun, peristiwa hitam. Ayah ceraikan ibu dengan talak tiga. Lafaz jelas dan terang di depan aku dan kakak. Di sebut pula nama kami sebagai saksi ayah.

Selepas lafaz, aku terkesima dan terus menerus memasak juadah jualan. Otak masih memproses apa yang aku dengar. Ibu hanya diam. Perlahan, dia naik tangga, memeruk diri dalam bilik. Menjeruk rasa. Api dapur ku padam. Adik yang berumur 9 tahun ku renung.

Dia rapat dengan ayah. Terus aku terfikir apa nasib dia. Aku dan kakak masih berdiam. Berhari ibu memeruk diri dalam bilik. Kami tak berani menegur. Rumah jadi sunyi. Seperti kubur layaknya suasana.

Aku cadangkan kepada kakak, untuk kami membeli bunga lantaran ibu sangat gemar bunga. Kami balik dengan sebekas pasu penuh bunga. Aku panggil ibu. Ibu terima dengan senyuman dalam tangisan. Aku yang waras bila semua di buai perasaan.

Selepas ibu bergelar ibu tunggal, meniaga pula. Banyak pakcik gatal menyinggah bertanyakan ibu. Para isteri pula, cemburu kalau suami masing-masing singgah membeli. Sedangkan semua pun pelanggan tetap kami sebelum ni.

Mana yang gatal, aku terus sekolahkan. Kataku – Jangan mimpi nak dekat ibu selagi aku ada berdiri. Untuk para isteri yang cemburu ku kata – Jaga suami masing-masing yang gatal, kalau dating lagi ke kedai ibu, aku kejar kan dengan pisau sambil ku angkat pisau potong sayur.

Kan sudah ku kata, aku garang. Ibu menangis tengok perlakuan aku. Tika itu aku cakap, kan bagus kalau aku lelaki, akan ku lindungi ibu. Ya, aku masih waras dalam dugaan ini.

Ditakdirkan aku dapat melanjutkan pelajaran di IPTA. Satu hari ibu telefon untuk pulang segera. Aku naik bas dan ibu jemput di stesen bas. Dalam kereta ibu menangis-nangis. Aku diam sebab aku sejenis tidak tahu mempamer perasaan.

Ibu khabarkan kakak ku mengandung anak luar nikah. Aku diam. Cuba memproses maklumat sama seperti selepas kejadian lafaz cerai ayah dulu. Aku yang kekal waras. Aku dan ibu berbincang langkah seterusnya.

Pada umur 18 tahun, aku rangka langkah kami. Rumah kami jual, kakak ibu masukkan dalam pusat perlindungan berbayar. Kami membawa diri jauh dari tempat lahir aku. Jauh aku tinggalkan kenangan. Namun, aku masih waras. Selamatkan apa yang ada.

Lebih kurang 2 tahun ibu bercerai, satu hari ibu datang ke tempat kerja aku. Ketika itu, aku kerja part-time semasa cuti sem. Ibu khabarkan ibu ingin berkahwin lagi agar seluruh keluarga ada pelindung.

Aku benci mendengar walaupun ku akui ibu, adik-adik dan kakak bersama bayi yang bakal lahir perlu seorang yang kuat untuk menjaga mereka. Aku tau aku cukup kuat. Aku tak perlu sesiapa menjaga aku, ku fikir.

Perlahan, selepas ibu sampaikan berita ini, aku terus masuk ke kedai tempat aku bekerja tanpa hiraukan ibu. Aku duduk diam. Aku cuba kekal waras. Aku masih waras.

Namun, ketika ibu bernikah, aku di kolej dan cuba meneruskan kewarasan aku dengan berjoging entah berapa kilometre. Sampai semput kawan aku yang terus sama.

Aku seorang pelajar yang agak baik semasa di IPTA, setiap semester memang pointer aku akan lebih dari 3.3.

Dari seorang anak peniaga nasi lemak dan tiada pun adik beradik yang masuk ke university, pencapaian aku agak baik jika di bandingkan dengan course aku yang punya 20-22 jam kredit hampir setiap semester.

Namun, perkhabaran sedih aku terima. Semasa aku graduasi daripada diploma, tiada siapa mampu hadir. Khabar ini aku sampaikan kepada kawan-kawan terdekat. Mereka janji untuk jadi acting parents nanti.

Kami gelak. Walau dalam hati aku ada sedikit pedih yang tak tergambar. Sesi graduasi aku sesi petang, aku mengenakan baju terbaik aku pada hari tu. Berkasut tumit hitam. Berpanas naik bas dengan jubbah di tangan.

Aku masuk dewan dan menerima skrol diploma aku dengan senyum. Keluar dari dewan konvo, aku mencari ‘acting parents’ aku. Ya, mereka datang. Mereka meraikan aku.

Dua jambak bunga dari mereka. Aku jadikan props bergambar. Semua gambar aku tersenyum riang. Akan ku simpan kenangan aku bergraduasi seorang untuk ku sampaikan kepada anak cucuku.

Azam aku haritu – jangan setitik air mata tumpah, sebab moment itu adalah sekali seumur hidup. Aku berjaya kekal waras. Dalam gambar juga, aku kelihatan gembira. Tahukah kau, sehabis baik aku cuba kekal waras.

Aku rasa, setakat ini sahaja aku boleh berkongsi kerana bila tergamit memori, hati ku masih pedih walau aku cuba kekal waras. Walau aku berdiri seorang. Walau aku cuba menjadi kuat, sesungguhnya apa yang ku rasa amat berat.

Jika ada kesempatan, akan datang akan ku kongsi lagi peristiwa yang menguji ‘kewarasan’ aku. Kerana, aku anak terbuang.

Namun, apa kini banyak manis yang Allah kurniakan dalam hidup aku. Alhamdulillah. Kekal sabar ya kawan-kawan, adik-adik dan kakak-kakak bila kita di uji.

Firman Allah didalam Surah Al-Baqarah ayat 155: “Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Anak yang terbuang,

– Indah Cempaka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *