Assalammualaikum dan tajuk penuh artikel ni adalah Aku dan Mild Depression Disorder, Anxiety dan Obsessive Compulsion Disorder ku. Aku ingin berkongsi cerita yang jarang untuk aku kongsi dengan ramai orang. Aku namakan diri aku disini sebagai MAO. Aku didiagnosis dengan MDD, Anxiety dan OCD dan sedang mendapatkan rawatan profesional,kaunseling dan mengambil anti-depressant.
Untuk makluman, aku adalah seorang anak, seorang kakak sulung kepada 5 adik, seorang isteri, seorang ibu dan seorang jurutera. Mereka yang mengetahui kondisi aku sekarang adalah, salah seorang adik aku, suami dan rakan sekerja yang rapat. Hanya mereka ini. Seandainya mereka ini ada terbaca artikel ini, Maaf. Inilah cerita yang telah lama aku pendam.
Aku dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Ibubapa aku keduanya adalah pendidik. Sebagai anak sulung, aku kira normal lah untuk ibubapa mahukan yang terbaik untuk anak nya. Tetapi, untuk sentiasa menjadi yang terbaik adalah sukar. Aku masa sekolah rendah mugkin dikenali sebagai budak perempuan pelik yang malas. Aku suka buat hal sendiri.
Tak ada ramai kawan perempuan, lebih gemar berkawan dengan kawan lelaki, sukar tumpu perhatian dalam kelas dan sukar fokus untuk siapkan satu2 kerja rumah. Selalunya kerja rumah yang betul2 siap adalah matapelajaran sains. Itu pun sebab aku minat. tapi aku agak aktif masuk pertandingan bercerita dan suka menulis dan membaca puisi sejak dari sekolah rendah lagi. Aku mempunyai msalah untuk fokus. Biasanya untuk duduk diam bagi satu2 masa pelajaran tu memang sukar. Sekejap-sekejap bagun, sekejap ke tandas. Aku rimas. Aku sentiasa rasa yang aku perlu bergerak.
Ini membuatkan aku agak lemah dalam matapelajaran. Keadaan ini melarat sehingga aku ke sekolah menengah. Ditakdirkan tuhan kurniakan adik-adik yang bijak pandai. top scorer and straight A’s Student. Ibubapa mula membandingkan aku. Dibangdingkan dengan adik-adik dan dibandingkan dengan anak-anak rakan dan jiran sering membuatkan aku tertekan.
Aku rasa aku tidak cukup bagus untuk ibubapa aku. Bukan sahaja dari segi matapelajaran malah dari segi buat kerja rumah (house chores) dan tingkah laku aku sering dikritik. Aku rasa aku menyusahkan ibubapa aku. Dan bermula dari situlah, aku selalu mempunyai perasaan untuk bunuh diri. Suicidal thoughts. Aku sentiasa rasa yang aku lebih baik mati dari menyusahkan semua orang.
Dari sekolah membawa ke diploma. dari diploma bawa ke degree. Aku selalu rasa yang aku sentiasa menyusahkan semua orang sekeliling aku. Waktu ini aku sudah ada teman lelaki yang sekarang sudah menjadi suami aku. Tidak pernah sekali sepanjang masa itu, aku ceritakan pada siapa-siapa. Sebab aku tak mahu dilabel gila dan aku tak nak kawan-kawan dan teman lelaki jauh pada aku.
Sesungguhnya aku perlukan orang-orang disekeliling dan cukup takut untuk ditinggalkan. Separation anxiety. Dari sini aku dah mula develop anxiety. Aku benci dapat mesej dari nombor tak dikenali. Aku benci dapat friend request entah dari siapa-siapa. Aku rasa tak mampu bernafas bila aku tercakap sesuatu yang buat orang terasa.
Masalah fokus aku masih berlarutan. Aku sedikit terkebelakang dari segi akademik sewaktu di universiti. Sering mengulang subjek setiap sem. Aku menangis setiap malam sebab aku tak faham dan tak mampu nak faham apa yang belajar. Aku cemburu dengan rakan – rakan yang seklai proses dan mampu faham. Aku rasa macam orang bodoh. A failure. Setiap hari aku duduk tepi tingkap dari tingkat 6 bilik aku sambil fikir, ” Kalau aku terjun dari tingkap ni, aku mati terus ke atau tak mati? Aku perlu terjun dari tempat lebih tinggi ke?”. Aku stress.
Aku lebih gemar tidur. Aku akhirnya sangkut setahun sem. Dari 4 tahun menjadi 5 tahun. Tetapi Alhamdulillah, aku kahwin dan berjaya menghabiskan degree. Dengan sokongan keluarga dan suami. Walaupun sehingga ke saat itu, tiada siapa yang mengetahui suicidal thoughts yang sering aku alami.
Aku kini bekerja. Sudah lebih 2 tahun. Baru-baru ini dengan tekanan yang maha dasyat di tempat kerja, Aku sering terjaga waktu malam dan asyik terfikir bagaimana untuk gantung diri dan terus mati. Atau mana tempat yang sesuai untuk aku tidur dialam kereta dan tidak perlu bangun lagi buat selama-lamanya. Aku sedar, aku perlukan bantuan. Aku punya anak kecil dan aku tak mahu dia membesar dengan ibu yang sakit. Bertitik-tolak dari sinilah aku mula mendapatkawan rawatan doktor.
Itu kisah MDD dan anxiety. OCD yang aku alami tak seserius yang sesetengah alami. OCD aku lebih kepada checking ritual. Tutup kunci, buka, tutup balik, kunci dan tutup balik. berulang-kali. Berulang-kali sehingga penat. Kadang-kadang aku dah separuh jalan ke tempat kerja aku patah balik sebab aku rasa macam lupa tutup suis. Aku takut kalau aku lupa tutup suis nanti rumah terbakar, rumah jiran terbakar, ada orang mati sebab aku. Letih kan? Bila otak ni terlalu berfikir kau jadi letih. Badan jadi letih.
Kalau yang mengenali aku mungkin tidak percaya aku sebegini. Sebab hakikatnya aku suka melawak, aku suka berjenaka dan aku seronok bersembang tanpa henti. Aku terkenal sebagai pemimpin, sebagai seorang yang lantang dan seorang yang banyak cakap.
Untuk pembaca diluar sana, ketahuilah kami yang depresi ini bukan gila. Kami seperti kalian disana bezanya kami perlukan bantuan dan rawatan. Tolong jangan pulaukan kami yang mempunyai sakit mental, sebab kami tidak minta sebegini. Usahlah serkap jarang kami tidak cukup beribadat, sesugguhnya kami lebih mahu lebih-lebih lagi mahu dekat dengan tuhan. Sebab yang memahami hanya Dia.
Untuk kalian yang merasa kalian juga perlukan bantuan, segeralah ke klinik/hospital berdekatan. InsyaaAllah, dengan bantuan rawatan dan ubatan kalian boleh jalani hidup lebih tenang, seperti aku sekarang. Sekian. Terima kasih kerana sudi membaca. Assalamualaikum.
– MAO
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit