Aku Melangkah Ke Hadapan

Aku… anak sulung perempuan yang penuh tanggungjawab sedari kecil. Walau kedua ibubapaku mempunyai pembantu rumah, aku mesti tahu melakukan kerja rumah harian.

Aku.. sedari kecil sudah biasa memikul beban sebagai bukan sahaja anak perempuan, malah ibarat anak lelaki jua untuk kedua ibubapaku.

Aku… anak sulung perempuan dari kecil hingga dewasa. Aku… sudah terbiasa menerima tanggungjawab dipersalahkan, malah pernah dipukul hanya kerana kesalahan adik-adik.

Aku.. seawal 9 tahun sudah biasa memandikan adik-adik, menukar lampin, memasak dan menjaga adik-adik bila pembantu rumah pulang ke rumah.

Aku.. sedari awal sudah biasa menjadi harapan utama ibubapa termasuk sokongan dalam segala apa untuk keluargaku. Di mana jua, ibubapaku mengharapkan ku termasuk membantu adik-adikku di mana perlu.

Sehingga aku berkahwin dan punya anak-anak, aku tidak pernah walau sekali mengabaikan keluargaku.

Apa pun ibubapaku mohon pertolongan dalam menyokong adik-adikku, aku akur dan buat sedaya upaya yang terbaik. Aku gembira, aku yakin ini tanggungjawabku, bahagia. Aku bersyukur, meberkatan rezeki yang Allah berikan untuk dikongsi bersama.

Saban tahun, aku bisa harungi kepayahan hidupku serta membina kerjayaku jauh di kota yang jauh dari keluargaku dengan penuh yakin bahawa Tuhan itu tidak pernah meninggalkan ku. Aku … kini ibu tunggal.. bahagia.. aku tumpukan bahagia untuk hidup dan anak-anakku.

Bekas suamiku, walaupun telah berpisah, kami tetap menjadi ibubapa terbaik untuk anak-anak kami. Syukur. Aku bukan isteri yang sempurna, bekas suamiku pun tidak sempurna namun kami masih berusaha sempurnakan tugas sebagai ibubapa kerana anak-anak.

Alhamdulilah.

Aku… kini melangkah jauh dari kekalutan kehidupan keluargaku yang makin jauh menyimpang dari yang asal. Aku tidak mahu dipersalahkan atau dianiaya lagi untuk kesekian lagi…

Hanya kerana aku bisa menjadi kambing hitam atau dipertanggungjawabkan atas apa kekalutan. Aku redha atas ketentuan Ilahi… Aku.. kini ingin tumpukan bahagiaku pada kehidupanku dan anak-anakku.

Flashback 1… Aku… dibutuhkan membantu kedua ibubapaku se awal aku mengenal kerjaya dan menerima wang pertama gajiku, hanya untuk ibubapaku yang utama. Aku gembira, aku bahagia amat kerana aku tau jerih pedih ibubapaku membesarkan aku.

Dari awal rumah yang tidak sempurna terbengkalai kusiapkan penuh walaupun sederhana. Demikian jua apa pun perabut barangan rumah aku sempurnakan sedaya mampu hanya kerna aku mahu kedua ibubapaku selesa. Syukur, kerjayaku baik dan aku dikelilingi mereka yang positif dan baik belaka.

Aku.. anak sulung yang agak keras dengan adik-adik agar mereka berdisiplin dan berjaya. Aku bahagia , gembira dan aku yakin ini purpose aku dijadikan Allah di muka bumi ini untuk menjadi khalifah memberikan manfaat kepada manusia lain.

Flashback 2… Aku… tidak pernah memahami apa, kenapa, bagaimana dan di mana sampai begitu sekali ibuku pernah mengatakan dia amat bimbang jika rumah banglonya di atas tanah hampir 1 ekar itu diletakkan kesemua nama anak-anaknya (termasuk aku),

Dibimbangi aku tidak membenarkan adik-adikku pulang ke rumah itu jika ibubapaku sudah meninggal… katanya kerana aku lah yang paling banyak menyumbang untuk rumahnya itu.

Aku… amat terkejut dan amat sedih kenapa ibuku berkata begitu. Aku tidak pernah walau sekali pun menyebut tentang aku inginkan rumah itu kerna aku telah mempunyai rumahku sendiri yang dibeli dengan titik peluhku.

Selepas insiden itu, aku sudah memberi tahu kedua ibubapaku dan di depan adik-adikku yang aku tidak mahu satu apa pun harta mereka. Aku ikhlas, bukan berdrama.

Flashback 3… Ya, aku pernah meminta adik-adikku keluar dari rumahku sebelum ini. Semuanya kerana mereka tidak tau hormat rumah aku tinggal dengan suami dan anak-anakku.

Aku.. benarkan mereka tumpang sementara tapi bukan untuk buat seperti rumah sendiri tanpa rasa hormat kepda tuan rumah.

Aku… anak sulung yang tudak pernah berkira dengan keluarga, makan minum adik ditanggung bila di rumahku, bil elektrik dan air walau satu sen aku tidak pernah minta sehinggalah suamiku bersuara tidak berpuas hati.

Maunya suami ku ketika itu melikat bil elektrik melambung tinggi kerana penggunaan aircond bertambah, segalanya bertambah.

Jadi aku hanya minta mereka membayar RM50 sebulan, bukan sewa tetapi sumbangan kerana mereka tinggal sudah lebih dari 4 bulan tetapi mereka mencari gaduh dan entah apa yang diadukan kepada kedua ibubapaku,

Ibuku memarahiku mengatakan aku zalim terhadap adik-adik dan ibuku hanya tau saban tahun setiap kali ada apa musibah, nasihatnya aku harus memuhasabah diri. (Adik-adikku sebenarnya sudah lama tinggal di ibu kota, dari belajar dan bekerja.

Selepas mereka mempunyai masalah membayar kondo mereka, ibubapaku mohon agar ditumpangi mereka sementara mendapat tempat baharu.

Apa bisa kalian bertahan? Aku bernasib baik kerana suamiku hanya pulang ke rumah 2 minggu sekali sahaja kerana beliau bekerja di negeri lain,

Malah anakku korbankan biliknya dan ber kongsi dengan adiknya kerana hanya untuk ibu saudara dan suaminya tinggal manakala bilik tetamu untuk ibu saudaranya yang lain.).

Aku… sudah biasa menahan telinga dan perasaan, ibubapaku selalunya akan memarahi aku, menyebelahi adik-adikku, mereka yang diutamakan kerana apa? Kerana aku sulung aku harus mengalah?

Alasan yang digunakan biasa adalah adik-adik susah. Aku harus membantu. Berat hatiku, dan menyebabkan aku sentiasa berkecil hati dengan ibubapaku tapi aku telan… aku buang yang keruh dan ambil yang jernih.. apa kan daya.. kerana aku anak sulung.

Aku pernah bersuara aku berkecil hati ibu melakukan aku begitu kenapa. Aku… dikatakan anak derhaka malah salah seorang adikku menghentam aku, malah menyindirku di sosial medianya aku tiada hak untuk berkecil hati dengan orang tua.

Flashback 4… Aku.. tidak mengerti. Ibubapaku pula entah kapan bermulanya setelah ibuku bersara hidup mereka semakin payah. Bapaku entah apa yang disuruh inuku melabur atau membeli tanah berekar-ekar hingga kini tidak diusahakan.

Ibuku pula sentiasa keluar dari mulutnya ada anak ramai-ramai pun bukan boleh bantu memberinya wang bukan seperti anak-anak org lain yang berjaya.

Selalu komplen padaku ibu tak bisa memakai emas, dari mana semua itu datang atau lahir dari benaknya. Aku sediakan apa yang ibuku inginkan… emas? Wang bulanan? Semampu seadanya aku. Sederhana tetapi cukup.

Aku hanya mahu lihat ibuku bahagia. Bapaku tidak pernah walau sekali pun komplen tentang wang , anak bagi tak cukup atau meminta dariku, amat amat jarang sekali bapaku meninta tolong dariku.

Aku… abaikan saja… mungkin ibuku semakin tua banyak terpengaruh mendengar cerita kawan-kawannya yang bersara di mana anak-anak memberikan wang yang banyak tiap-tiap bulan. Aku.. syukur walau kepayahanku aku masih bisa membantu apa yang perlu.

Flashback 5: Aku, mulai perasan ibuku bila bersamaku akan mengadu atau komplen tentang hal adik-adikku apa yang tidak elok dimatanya.

Rupa-rupanya dengan adik-adikku pula akan mengadu apa yang tidak elok tentang aku atau anak-anaknya yang lain dimatanya. Ibarat dengan anak ini mengutuk anak sana, dengan anak sana mengutuk anak sini.

Aku anggapkan mungkin ibu sudah tua, tiada siapa ingin berbicara. Ibuku selalu jua mengatakan padaku tak semua yang aku lakukan atau perkatakan adik-adikku suka.

Aku.. tidak betah malah mempersoalkan ibuku mengapa bila anak-anak yang lain ibubapaku harus diamkan sahaja atau kurang menegur?

Jika aku si anak sulung segalanya harus bagus dalam segala hal, harus tahu membantu dab utamakan mereka. Aku… bisa keras sama adik-adikku, terutama apabila adik yang tau pinjam wang ibubapaku tetapi tidak bayar semula (ibuku selalu komplen padaku),

Meminjam duitku atau bekas suamiku pun tidak dibayar semula, sikap kurang ajar bercakap dengan org tua atau yang hanya tau menyalahkan keadaan atau orang lain apabila sesuatu berlaku kepada mereka?

Aku.. ohh hanya kerana anak sulung harus terbaik dalam segala hal dan mesti mengalah untuk adik-adik walaupun mereka terang-terang tidak betul. Aku… seperti kebiasaan menjadi kambing hitam untuk dipersalahkan atau dibabitkan dalam segala hal drama mereka.

Flashback 6 (Kemuncak)… Aku… bingung… ibuku beberapa kali mengulangi bahawa dia satu apa pun tidak meminta dariku, tapi aku yang mahu membantu.

Dan bingung….. Amat bingung dan amat sedih bila mana alu pulang ke kampung u tuk berhari raya, ibubapa dan adik-adikku melayan aku dan anak-anakku ibarat sampah.

Bingung dan tidak memahami apa yang berlaku, akhirnya pecah tembelang rupa-rupanya saudara serahim seibubapa aku menfitnah aku,

Mengatakan bahawa aku membantu ibubapaku menyiapkan rumah baharu mereka kerana aku inginkan rumah baharu tersebut (ini rumah yang lain dibina semula) , fitnah aku ingin membunuh bapa dan adikku,

Menfitnah aku sihir kedua ibubapaku supaya menjadi bodoh akan mengikut kesemua cakapku termasuk akan memberikan kesemua harta mereka kepadaku,

Menfitnah aku menyihir adik keduaku dan suaminya yang hampir bercerai Ya Allah dan yang paling dahsyat menfitnah aku dan anak-anak telah menukar agama sejak 7 tahun yang lalu.

Allahu, terasa gelap duniaku. Sebelum kejadian itu, ibubapaku percaya amat dengan mengatakan adikku ada keajaiban, anugerah Tuhan mampu melihat apa yang tidak dapat dilihat mata kasar.

Walaupun aku telah secara terangan tidak bersetuju dan memberitahu ibubapaku jangan percaya perkara tahyul dan karut begitu.

Tetapi selepas semuanya terbongkar, ibubapaku pula menyebelahi adikku jadi begitu kerana dirasuk syaitan dan tidak sedar apa yang telah dia lakukan dan aku harus memaafkan.

Ohhh.. lupa, dia adalah “adik” walau umur sudah dewasa akan mencecah 40-an masih kesilapan apa pun aku harus memaafkan dan meminta aku supaya berbaik seperti dahulu. Aku mau tanya kalian pembaca di sini…

Apa kamu bisa senang menerima ini semua dan diminta untuk lupakan dan memaafkan begitu sahaja?? Hanya kerana harta barangkali, sehingga adikku bisa menfitnahku dan anak-anakku sezalim itu.

Ibubapaku tidak melakukan apa pun terhadap adikku yang menfitnah itu sehingga kini, aku tidak pasti selama mana mereka harus biarkan.

Aku mengambil keputusan dan tindakanku sendiri dengan pihak berkuasa.

Flashback 7.. Aku mematri kata-kata dengan jelas kepada orangtuaku, bahawa aku tidak mahu apa pun walau sebiji zarah atau apa pun harta mereka.

Termasuk anak-anakku, jangan diberikan walau satu butir pasir kerana aku tidak mahu anak-anakku diapa-apakan oleh mereka yang dengki khianat dan hasad busuk hati.

Benarlah aku pernah dengar ada pepatah pernah berkata adik-beradik pun boleh putus saudara kerana harta. Aku benar mengerti kini, hanya kerana inginkan harta yang tidak seberapa itu, maka sanggup gadai maruah dan harmoni keluarga.

Aku… memaafkan tetapi tidak sekali-kali bisa melupakan. Aku… kini telah buang segala perasaan sedih ku. Aku.. kini mengorak langkah tidak mahu berpaling ke belakang lagi. Aku… akan teruskan hidupku tanpa aku rasa rindu sedikitpun kepada keluargaku seperti dulu.

Aku tidak melupakan ibubapaku. Masih menjalankan tanggungjawab yang hakiki sebagai anak, bukan lagi anak sulung mereka. Aku tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan adik-adikku yang mengkhianatiku. Kenapa Ya Allah? Aku saban malam bertanya kenapa Ya Allah?

Aku redha… aku yakin Allah hanya menduga hambanya semampunya dia. Aku mampu lalui semua ini. Ampunilah dosa kedua orang tuaku Ya Allah.

2023… Tahun Baru… Hidup Baru.. Semangat Baru. Aku.. teruskan hidup sebagai khalifah di muka bumi Tuhan, perempuan dan ibu kepada anak-anakku. Mencari bahagia dengan caraku sendiri kerana janji Allah itu pasti.

Aku doakan semoga aku dan anak-anakku temui bahagia dunia akhirat.

Terima kasih jika nukilan ini disiarkan, didoakan kalian semua berbahagia. Yang punyai anak-anak, semoga mereka tumbuh bahagia sihat ceria menjadi manusia berguna cemerlang dunia akhirat.

Siapa pun kamu, apa pun bangsa dan agamamu pembaca sekalian, sayangilah dan jagalah amanah Tuhan ini dengan adil dan saksama. Jangan sekali pernah mengkhianati anak-anakmu dan saudaramu. Aamiin..

– Aku (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *