Aku Nak Kahwin

Salam admin dan readers. Mohon admin approve confession ni sebab aku perlukan suntikan doa dan semangat dari saudara seagama.

Doa aku sorang belum cukup kuat, terhalang oleh dosa yang menggunung. Tapi aku yakin dalam kalangan pembaca ni, ada doanya yang makbul. Tambah-tambah lagi doa dari para ibu. Aku dah takde mak, takde ayah untuk doakan aku. Harap doa dari kalian dapat menutup lompong-lompong doa aku.

Maaf jika ganti nama diri ‘aku’ ni nampak kasar. Aku umur 26. Satu umur yang bagi aku sudah cukup tua untuk teruskan hidup sebagai orang bujang.

Aku tahu ada dalam kalangan pembaca yang usia dah 30an pun belum kahwin lagi. Tapi jangan bandingkan kehidupan kita. Keinginan kita tak semuanya sama. Lagi satu, aku sedar bahawa Allah dah aturkan jodoh untuk kita. Tapi aturan tu tidak akan berlaku kalau kita tak berusaha.

Aku nak kahwin. Bukan sebab nafsu syahwat. Tapi sebab rasa sunyi hidup bujang. Kebanyakkan kawan dah kahwin, ada anak. Terbayang betapa seronoknya ada keluarga sendiri. Tambahan pula, aku perlukan komitmen untuk jadi orang yang lebih baik.

Macam aku tulis awal-awal tadi, mak ayah aku dah takde. Komitmen untuk berbakti kepada orang tua secara lahiriah tu dah takde. Cuma doa dan sedekah je yang mampu aku buat untuk mereka. Aku rasa aku perlu jadi ‘seseorang’ dan dapatkan komitmen dalam hidup. Aku nak didik diri aku untuk jadi lebih baik. Yang aku nampak, caranya adalah kahwin.

Tapi aku ada dua masalah. Di sinilah tempatnya di mana aku sangat, sangat memerlukan doa dari kalian.

Masalah pertama, aku belum ada kerja tetap. Bila takde kerja tetap, maknanya kewangan lemah, simpanan pun takde. Aku bukan memilih kerja. Semua kerja yang aku rasa mampu buat, aku akan buat. Aku ikut orang jadi kelindan lori, kerja shif selama 12 jam, buat kabinet dapur, cuci longkang najis pun aku pernah buat.

Dari lepas SPM lagi, memang aku dah ajar diri aku untuk tak memilih kerja. Selagi halal, aku buat. Bila orang tanya aku sekarang aku kerja apa, aku akan jawab semua aku buat, asalkan bukan mencuri. Mereka gelak sebab fikir aku bergurau. Ya, memang aku bergurau tapi gurauan yang serius.

Beberapa minggu lepas, rezeki aku dapat panggilan temuduga dari spa. Walaupun belum tentu dapat kerja tu, tapi aku syukur sangat-sangat. Tiap-tiap hari, berkali-kali aku check email dari spa. Tapi walau terdesak macam mana pun, aku nekad tak nak pakai kabel kalau ada yang nak tolong sekalipun.

Bukan berniat nak tolak rezeki, cuma aku tak nak cantas rezeki orang lain. Bagi aku, kabel aku sendiri yang paling hebat. Allah. Di situ kebergantungan aku. Yakin dan tawakkal, ditambah pulak dengan doa-doa dari pembaca (in sha Allah).

Masalah yang kedua, aku belum ada awek. Macam mana nak kahwin kalau takde awek kan? Yang ada cuma crush yang aku kenal dah 7 tahun. Sebenarnya bukan crush tapi ex aku. Bercinta 5 tahun kemudian dia minta putus.

Mungkin sebab dia tak nampak usaha aku untuk menghalalkan dia, mungkin dia tengok aku ni sebagai lelaki yang takde masa depan atau mungkin dia dah bosan dengan aku. Aku cuma mampu mengagak sebab bila aku tanya alasan dia, dia tak pernah jawab. Yang aku pasti, dia tak tinggalkan aku sebab lelaki lain. Aku kenal dia.

Setelah lama tak berhubung, dia ada cari aku balik atas dasar kawan. Aku ada bagitahu dekat dia, tunggu aku masuk meminang. Dia kata yang dia tak kisah. Siapa pun yang datang meminang, dia akan terima kalau mak ayah dia setuju walaupun yang datang meminang tu suami orang ataupun orang tua.

Dia takde facebook tapi ada instagram. Aku pulak ada facebook tapi takde instagram. Jadi aku buat satu fake account untuk stalk dia. Aku tengok insta story dia tanpa gagal.

Aku tengok dia makan tempat mewah, keluar bercampur lelaki dengan perempuan, video call dengan kawan-kawan lelaki dia, bergurau lebih-lebih dengan kawan lelaki dia sampaikan sambil video call dengan aku pun dia boleh main pintal-pintal rambut kawan lelaki dia.

Aku terfikir, ni ke perempuan yang aku kenal dulu? Kalau dia jadi bini aku, boleh ke dia tinggalkan segala benda yang sepatutnya tak dilakukan oleh seorang perempuan yang tahu batas dan agama?

Aku dengan dia cukup berbeza. Sejak aku kenal dia, aku buang perempuan lain. Berkawan pun tidak. Kawan-kawan ramai yang jumpa jodoh masa belajar. Sedangkan aku, kawan perempuan pun takde. Niat aku nak jaga iktilat dan bersyukur dengan apa yang ada, tapi tidak bagi dia.

Sekarang aku menjauhkan diri dari dia. Dia tak contact aku, aku pun tak contact dia. Aku dah mula tawar hati. Mungkin benda ni berlaku sebab Allah nak bagi petunjuk yang dia bukan jodoh aku.

Aku pernah beritahu dia masa aku cuba get back dengan dia. Hargailah aku bila aku masih ada hati kat dia sebab hati ni milik Allah. Bila-bila masa saja hati kita boleh berubah. Mungkin satu hari nanti bila dia rasa menyesal atas perangai dia, masa tu aku pula yang rasa menyampah dengan dia. Dan aku yakin benda tu tak mustahil.

Aku nak kahwin. Doakan aku ya. Doakan aku dapat kerja yang lebih terjamin lagi halal. Doakan aku dapat jumpa perempuan solehah yang boleh membantu aku dan bakal zuriat aku ke syurga. Terima kasih.

– Sang Teruna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *