Hai admin, harap nama sebenar saya tidak disiarkan. Terima kasih sebab wujudkan IIUM Confession ini. Semoga sentiasa kekal sebagai wadah untuk berkongsi kisah hidup ini.
Hai semua. Saya bukan pelajar IIUM tapi IIUM Confession sangat menarik minat saya dan dari pengalaman dan kisah mereka, saya belajar. Saya perempuan, sudah bekerja dan berumur 31 tahun. Masih belum berkahwin. Mungkin kisah saya ini ada persamaan dengan kalangan pembaca jadi saya amat berharap akan nasihat dan pandangan anda.
Saya ni jenis yang sentiasa akan tolong kawan jika dalam kesusahan. Lebih2 lagi bila mereka ni jauh dari keluarga seperti saya. Saya pergi kerja dengan menaiki kereta yang saya beli sendiri. Jadi, kereta ini ibarat harta yang sangat bernilai sebab kalau rosak, memang saya akan buntu. Saya bekerja sangat jauh dari keluarga, jadi saya terpaksa berdikari dan kena jaga diri sendiri. Kalau kereta rosak, siapa nak tolong? Kalau diri sakit, siapa nak jaga kan? Jadi saya sangat menghargai kawan2 yang saya ada.
Tapi dikalangan kawan2 saya, ada yang suka menumpang kereta saya. Menumpang pergi ke tempat kerja,menumpang pergi beli barang dapur, mesti dengan saya. Sebab rumah sewa kami berdekatan antara satu sama lain. Mula2 saya memang tidak kisah pasal semua ni, tapi kadangkala hati kecil saya bertanya, tak mahukah mereka beli kereta sendiri atau motor sendiri? Mereka lebih dari mampu untuk membeli. Saya ada juga bertanya kepada mereka, tak mahu ke beli kereta atau motor?
Mereka jawab yang semua tu tak perlu lagi. Kalau beli pun, nak letak di kampung mereka untuk ibu bapa guna. Saya diamkan sahaja. Sebab tak tahu nak cakap apa.
Hati ini terdetik, adakah sebab saya mereka tak mahu beli kereta? Saya cuba tak hiraukan kata hati ni. Sebab bagi saya, ibarat mengungkit pula. Lama kelamaan, mereka mula melampau. Mula2 saya tak sedar tapi rakan sekerja yang baik dengan saya perasan pasal semua yang berlaku dan menegur saya. Kawan2 yang menumpang dengan saya sudah pandai beri arahan nak pergi kedai sini, nak pergi kedai sana. Nak beli itu, nak beli ini. Tapi, tak pernah nak bertanya pun samada saya ni sibuk atau tidak. Sanggup atau tidak. Bagi mereka, saya tersedia 24 jam sehari untuk jadi pemandu mereka. Belum lagi kira bab duit minyak. Selagi saya tak pergi ke stesen minyak, selagi tu tiada duit diberikan. Kalau seminggu ulang-alik ke tempat kerja, kalau tak isi minyak, mereka buat tak tahu.
Kalau saya isipun, kalau mereka tak tahu, sampai sebulan ulang-alik pun duit tak dihulurnya. Nak tak nak, saya ambil pendekatan,bawa mereka bersama untuk isi minyak. Paling banyak saya dapat, RM 20 untuk sebulan. Geli hati kan? Pernah kereta saya rosak, tak ada hantu pun yang tolong. Saya sangat risau, terpaksa saya mengorek duit untuk bayar pada bengkel. Bila dah elok, pandai pula mereka muncul.
Nak cakap saya kaya, saya selalu ikat perut sebab menanggung adik2 yang masih belajar. Jadi, bila terpaksa menanggung orang yang tak ambil tahu nilai minyak kereta, nilai kepenatan membawa orang ke hulu ke hilir, saya makin lama makin rasa terseksa. Bagi perempuan2 atau lelaki yang sanggup bawa keluarga mereka ‘long distance’, saya sangat hormati anda. Kalau saya ada suami, sanggup saya bergilir dengan dia untuk bawa kereta. Sebab saya tahu, memandu juga penat.
Jadi,bila sampai satu tahap, mereka ‘arah’ saya untuk bawa mereka keluar untuk kepentingan mereka,saya tolak. Tolak pun bersebab. Sebab kerja. Tapi mereka menarik muka masam dan mula sebar fitnah pasal saya di tempat kerja. Dikatanya saya kedekut.
Dikatanya saya ini jenis yang tak nak tolong orang. Habis saya disindir oleh rakan sekerja yang hanya ambil tahu cerita sebelah pihak. Saya bukan jenis orang yang suka bercerita pada orang lain tak tentu pasal, tapi bila disindir begini, saya rasa ibarat saya pemangsa dan mereka mangsa.
Apa yang saya boleh buat, saya ambil pendekatan tidak peduli dan pekakkan telinga sahaja tapi kadangkala saya rasa serba salah sebab tak pedulikan mereka. Adakah pendekatan saya betul?
Minta maaf kalau post saya ini panjang. Sharing is caring. Terima kasih bagi yang membaca dan memberi komen.
– Ouvert
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit