Assalamualaikum semua warga IIUM Confession. Pertama sekali, terima kasih aku ucapkan pada admin kiranya sudi publish confession aku ni. Tujuan aku tulis adalah untuk meluahkan kepenatan yang aku sendiri tak tahu nak luah macamana.
Perkenalkan, aku Mia. Umur awal 30-an. Mempunyai 3 orang anak dan sekarang sedang hamil anak ke-4.
Sejak covid menyerang dunia, hidup aku seakan tak menentu. Aku mula bekerja dari rumah sambil menjaga anak-anakku.
Taska anakku terpaksa ditutup operasi sepenuhnya kerana tidak mampu nenambung bayaran setelah ramai ibu bapa berhenti menghantar anak mereka ke taska.
Covid juga menyebabkan gajiku dipotong dan aku tidak mampu mencari taska baru buat masa ini. Suamiku pula bekerja di sektor yang memerlukan dia pergi ke tempat kerja setiap hari.
Awal pkp, aku masih okay. Siang aku layan dan jaga anak-anakku sebaiknya. Malam saat anak-anakku tidur aku bersengkang mata menyiapkan kerja yang tertunda. Prestasiku masih baik ketika 2 bulan pertama.
Tetapi selepas itu, aku mula mengalami kecelaruan emosi yang aku sendiri tidak mengerti. Aku mengalami penat yang melampau, aku mudah marah pada anak-anak.
Aku juga mula mengalami simptom depresi dan anxiety. Aku cuba lawan tetapi semua seakan semakin teruk.
Aku mudah trigger dengan menda-menda remeh. Aku tahu suamiku juga stress dengan perubahanku. Aku kerap menangis sendiri.
Pernah aku mendapat tahu suamiku masih merokok (aku ingat dia dah berhenti setelah dilarang bertahun-tahun), rupanya masih merokok dibelakangku.
Aku naik angin dan mencapai pisau didapur hampir menikam diri sendiri. Aku tahu ia bukanlah perkara yang serius, dan aku sendiri tidak faham dengan diri aku yang kadang-kadang bertindak diluar kawalan.
Masa berlalu, aku cuba untuk dapatkan rawatan tetapi masih belum rezekiku. Aku terfikir mana nak tinggalkan anak untuk berjumpa doktor. Suamiku juga tidak menyokong aku untuk berjumpa doktor kerana katanya aku tidak gila. Mungkin sekadar mengada-ngada.
Aku masih meneruskan sisa hidup dengan hidup yang aku sendiri tak faham. Kadang kala, okay. Kadang kala tidak.
Aku kerap menangis sendiri. Mengharap dipujuk jauh sekali. Semakin di luah semakin rasa tidak berguna. Ye lah, aku lah manusia yang terpaling banyak masalah dimata orang lain.
Akibatnya, aku mula berhenti meluah. Aku menangis ketika aku ingin menangis. Tak terkira dan aku tahu, menangis la air mata darah sekalipun, semuanya tetap begini.
Sejak oktober tahun lepas, manager aku yang aku kira banyak memudahkan kerjaku telah berhenti. Aku rasa kehilangan dan segala kerjanya banyak berpindah kepadaku. Aku semakin tertekan. Tetapi aku teruskan.
Hujung tahun December 2020, aku cuba memohon cuti untuk berehat selama 2 minggu. Malangnya di tolak mentah-mentah kerana pihak atasan katakan terlalu banyak kerja yang perlu aku siapkan.
Memikirkan takut dibuang kerja, aku cancel cutiku dan meneruskan kerja dalam keadaan cukup terkilan.
Bermula dari situ, aku mula mencari kerja baru. Aku masih perlu bekerja kerana kami belum mampu untuk mengharapkan tanggungan dari suamiku sepenuhnya.
Alhamdulillah beberapa minggu lepas aku berjaya mendapat pekerjaan disebuah syarikat yang agak stabil. Aku akan mulakan kerja disana setelah tamat tempoh 3 bulan notis dari hari surat berhenti dihantar.
Malangnya, setelah company ku menerima surat berhenti, kerjaku menjadi bertambah dua kali ganda. Alasannya untuk pastikan aku siapkan semuanya sebelum aku berhenti.
To be honest, sampai ke tahap ini, aku terlalu penat. Aku perlukan waktu untuk berehat, melepaskan semuanya dan mencari semangat baru. Tetapi aku langsung tidak diberi peluang.
Aku sampai tahap terfikir untuk memohon personal loan untuk bayar notis yang berbaki 2 bulan lebih ini, agar aku dapat berhenti 24 jam dan menikmati hidup dengan aman.
Tapi tindakan ambil personal loan mungkin menyelesaikan masalah untuk jangka masa sekejap sahaja. Aku cuba memohon kepada company sekarang untuk dilepaskan awal, dalam satu bulan notis sahaja. Tetapi malang, sekali lagi ditolak mentah-mentah.
Aku penat, terlalu penat. Aku masuk company secara baik, aku berharap agar aku dapat keluar secara baik.
Sekarang aku buntu. Yang ada dalam fikiran aku, untuk ambil personal loan dan bayar company sekarang supaya aku dapat berhenti 24 jam, merehatkan minda, lepaskan diri dari keserabutan ni. Mahalnya harga sebuah ketenangan, nak dapat pun susah.
Kadang aku sampai terfikir, adakah aku tak layak untuk tenang dan happy macam dulu? Kalau mati, agaknya masih ada peluang ke aku capai hidup tenang?
Serius aku penat. Penat kerja, penat tak cukup tidur, penat handle semua menda. Dalam fikiran aku, aku cuma nak lari jauh dari semua orang. Nak menyendiri. Tetapi hingga ke tahap ini, aku belum mampu.
Maafkan aku andai coretan ini terlalu panjang, aku harap adalah yang sudi berikan cadangan terbaik untuk aku cari semula semangat dan diri yang baru sebelum aku mula bekerja disyarikat baru. Aku penat dan aku cuma nak berehat.
Terima kasih semua.
– Mia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit