Aku Penat

Nama aku Nia. Aku sekarang berumur 19 tahun. Aku masih lagi menunggu keputusan SPM yang akan diumumkan bulan tiga nanti.

Kalau korang tengok diri aku yang sebenar, aku hodoh. Teramatlah hodoh. Aku gemuk, kulit tidak rata, hidung pesek dan bertubuh pendek.

Aku cuba berpakaian cantik tapi entah kenapa aku rasa aku tak akan pernah nampak cantik. Pada pandangan aku, aku tak pernah nampak cantik dan bergaya macam perempuan lain.

Aku.. entah aku rasa.. aku ni cemburu dengan semua orang. Aku selalu ikut pertandingan. Sebab, aku tak ada kelebihan lain selain bertanding. Tapi, kenapa bila aku menang, semua orang tidak puas hati dengan aku? Mereka kata aku attention-seeker. Sakit.

Aku cuba bersaing dalam pelajaran. Keputusan aku boleh dikatakan hebat dan dapat menyaingi pelajar lain. Tapi, kenapa bila aku dapat nombor satu dan keputusan yang cemerlang, masih ada lagi yang tidak puas hati dengan aku?

Mereka kata aku attention-seeker. Mereka kata aku tamak sedangkan aku sudah berhenti masuk dalam mana-mana pertandingan.

Aku lemah sukan. Aku lemah matematik. Apa lagi yang aku perlu buat? Hidup aku tak kurang kacau-bilau nya.

Sewaktu aku darjah tiga, ibuku curang dengan lelaki lain. Aku menjadi mangsa dera. Malah, aku dituduh bersubahat dengan ibu sendiri. Tapi aku masih bertahan. Ketika darjah enam,ibu dan ayahku bercerai talak satu tetapi rujuk semula ketika aku berada di tingkatan 1.

Tapi semuanya tidak berubah langsung. Aku dipinggirkan. Kurang kasih sayang dari keluarga sendiri sehinggalah aku bertemu Hani. Dia dan ibu bapanya menganggap aku seperti ahli keluarga sendiri. Mereka yang ada di sisi aku sewaktu susah mahupun senang. Aku lebih banyak gembira dengan mereka.

Ketika aku tingkatan 2, ibu dan ayahku bercerai buat kali kedua dan rujuk semula pada akhir tahun. Aku rasa kosong. Aku macam dah taknak peduli semua tu. Aku fed up.

Sehinggalah aku masuk tingkatan 3, di mana ujian pt3 bakal aku hadapi. Aku cemburu. Sangat cemburu dengan mereka yang ada ibu bapa yang prihatin dengan masa depan anak-anak. Aku juga mahu rasakan perkara yang sama.

Keluargaku kucar-kacir walaupun aku bakal menghadapi peperiksaan besar lagi dua bulan. Kerana tidak mahu dihurungi aura negatif, aku lari dari rumah dan tinggal di rumah Hani selama sebulan.

2 minggu sebelum pt3, aku pulang ke rumah. Dan pada waktu itu, aku tidak faham kenapa Tuhan uji aku sebegini rupa.

Rupa-rupanya, ibu dan bapaku telah bercerai buat kali ketiga sebelum aku lari dari rumah lagi. Bukan itu sahaja, kakakku telah ditipu dan dirogol oleh rakan sekerjanya sendiri.

Aku tidak menangis terlalu teruk pada awalnya. Tetapi yang buat aku sakit dan kecewa sehingga ke hari ini adalah, ayahku membawa aku ke tempat ibuku dinikahkan dengan lelaki lain.

Dia membawaku ke majlis pernikahan ibuku pada hari aku mengambil ujian pt3. Bayangkan. Aku baru sahaja pulang dari sekolah dan terpaksa hadapi semua ini.

Tiap kali aku ingat akan hari itu, hati aku hancur. Sangat hancur. Apalagi mengetahui fakta yang kedua orang tuaku langsung tidak tahu yang aku mengambil ujian pt3. Apa sebenarnya aku? Apa fungsinya aku? Semuanya masih tidak berubah sehingga ke hari ini.

Di tingkatan 4, aku berjumpa dengan rakan-rakan sekelas yang toksik. Memfitnah aku. Mengumpat aku. Malah ada yang menikam belakangku walaupun kami sudah lama bersahabat.

Aku dapat segalanya dan aku hilang semuanya sekelip mata. Aku rasa aku penat dengan semua ini. Aku benci diriku yang sekarang. Entah.

Aku membuat pemeriksaan kesihatan mental dan ya, aku depresi. Tapi aku tidak rasa aku depresi kerana aku rasa aku ok. Aku rasa aku cuma stress. Aku masih boleh bergelak ketawa dan tersenyum. Aku tidak kemurungan, aku rasa.

Aku buntu. Memang aku ada insomnia. Memang aku selalu bersedih tanpa sebab. Memang aku selalu rasa bersalah dan pernah mencukur tangan dan bibir sendiri. Aku tidur pada waktu siang dan berjaga pada waktu malam. Pemakanan juga tidak teratur.

Tapi, kenapa aku rasa ini semua cuma stress. Katanya orang depresi akan kurus. Kenapa aku masih gemuk? Betulkah aku depresi? Tolong, beritahu aku. Aku penat.

– Nia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit