Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-perampas-suami-orang/).
Assalammualaikum kepada semua pembaca IIUM CONFESSIONS.
Kepada admin aku berharap confessions aku yang kedua kali dan terakhir ini diterima untuk dikongsi kepada para pembaca yang mengecam hebat tentang kisah yang aku kongsikan sebelum ini. Aku berharap sangat confession ini akan disiarkan. Terima kasih admin.
Hamburan yang aku selayaknya terima di atas komen komen yang dilemparkan, aku maafkan. Walaupun jauh di sudut hati aku terkilan, sedih yang teramat, dengan kata cacian yang dilemparkan kepada aku.
Aku gunakan medium ini hanya untuk meluah segala yang terbuku dan minta kata kata semangat untuk aku bangkit dari gelumang dosa besar ini. Bukanlah aku mahu bangga dengan gelaran PERAMPAS dan bukan kerana aku mahu berubah hanya kerana aku suka dan merampas suami orang.
Itu hanya tajuk semata mata dan aku lebih terarah untuk berubah kerana dosa dosa zina yang telah aku lakukan sejak aku berusia 21 tahun. Itu yang menakutkan diri aku dari banyak hal yang lain.
Ingin aku jelaskan di sini bahawa berbelas lelaki yang pernah aku kenal dan tidur bersama bukanlah suami orang.
Bukankah kalian juga yang berpesan jangan membuka aib sendiri?
Oleh sebab itu aku gunakan pendekatan ini untuk luahkan segalanya dari aku membuka pekong sendiri dan menceritakan segalanya kepada rakan baik atau sesiapa sahaja yang aku kenal dan inginkan. Bukankah itu lagi bahaya?
Aku tidak punya sesiapa untuk bercerita tentang hal ini dan kalau ada pun tidak sesekali akan aku ceritakan padanya.
Hanyalah di sini aku berani meluahkan segalanya untuk mendapat nasihat dan pandangan dari kakak kakak, ibu ibu, dan abang abang yang faham akan situasi hidup yang aku lalui ini.
Benar sama sekali yang kalian tidak berada di tempat ku dan aku tidak menyalahkan punca pergolakan rumah tangga kedua ibu bapa ku sebelum ini punca aku jadi liar dan mengejar kesedapan sementara di dunia yang kian tenat ini.
Aku salahkan situasi yang berlaku sedari aku di dalam alam persekolahan yang buat aku jadi begini.
Aku tidak dibimbing dengan agama yang sebaik baiknya oleh kedua orang tua ku dan oleh sebab itu aku jauh tersasar.
Sekali lagi aku tekankan di sini bukan aku mahu menyalahkan kedua ibu bapa aku akan hal ini. Ini situasi yang berlaku dalam pada masa yang sama.
Tidaklah aku punya kawan ramai dan rapat seperti orang lain. Boleh dibilang dengan jari peratus yang aku boleh percaya.
Hingga tiba suatu saat ini terdetik di hati aku untuk membvnvh diri. Atas alasan aku tidak berguna kepada orang tuaku dan dengan pencapaian hidup aku yang teruk ini. Aku telah memalukan diri mereka dalam diam dan aku berasa hina akan perkara itu.
Aku tidak pandai dan ingin sekali aku berjaya dan membuat akan kedua orang tuaku bangga akan diri aku. Tetapi aku tidak mampu dan sebagai anak perempuan sulung itu membuatkan keyakinan aku merudum dengan teruk.
Aku punya suatu cita cita untuk buat kedua orang tuaku senang dan tidak perlu bekerja demi menyara tiga adik ku yang masih bersekolah.
Kerja dengan gaji 1+++ tidak cukup untuk aku bahagiakan mereka. Sehingga sekarang kami tidak punya rumah sendiri dan hanya menyewa rumah biasa. Aku tahu aku lambat dan gagal untuk ke arah itu. Tidak mengapalah aku hadiahkan mereka penghijrahan ini untuk mereka.
Ingin aku jelaskan di sini suami orang yang aku pernah terlanjur bersama adalah nama nama yang aku petik di dalam confessions yang lepas. Berbelas lelaki yang aku katakan tersebut kesemuanya adalah lelaki bujang.
Sekarang aku tidak keluar bersama lagi dengan Adi atau Faizal (bukan nama sebenar) cuma contact atas urusan kerja dan aku tidak berniat untuk ke arah itu sama sekali.
Dan sekarang pun yang aku masih contact ialah suami orang yang aku katakan tidak lagi tinggal sebumbung dengan isterinya. Ya aku tahu ada yang mengatakan mereka tidak tinggal sebumbung atas alasan mereka dalam hubungan PJJ.
Tetapi bukan sebab itu semata mata, mereka memang dalam hubungan permasalahan yang menunggu masa untuk berpisah. Bukan kerana aku hadir dan merosakkan hubungan mereka. Tetapi kelakar dan sangat tidak boleh diterima lah jika aku gunakan ini untuk memberi alasan….
“Oh tidak mengapalah Mawar dengan suami orang tu, dia dengan isteri dia memang tengah tunggu masa je tu.”
Tidak sama sekali. Aku hadir bukan kerana merampas kebahagiaan isterinya. Tetapi cukuplah aku katakan di sini kerana ianya cukup sukar untuk aku jelaskan.
Bukanlah dengan berkahwin dan mencari suami orang adalah salah satu tujuan dan cara untuk aku berubah menjadi lebih baik. Tidak sesekali.
Aku tidak menggunakan hal itu untuk tujuan tersebut. Janganlah kalian fikir aku mahu berubah tetapi dengan cara berkahwin dan berkahwin pula dengan suami orang. Ini adalah salah satu situasi yang sedang berlaku dalam hidup aku.
Ada yang bertanya aku masih dengan perangai yang begini lagi?
Alhamdullilah aku tidak lagi berpaling dan membuat perkara terkutuk itu lagi. Sudah lama aku tinggalkan dan aku kini dalam fasa untuk mendekatkan diri dan mencari diri aku. Aku sudah menyesal semahunya.
Aku sangat menyesal kerana aku merasakan sudah terlambat di usia aku yang agak lewat ini. Telah lama aku tinggalkan dosa terkutuk ini dan ketahuilah yang aku tersangat malu denganNya.
Dosa yang aku pikul ini tidak tertanggung rasanya ditambah dengan aku yang tidak pernah bersolat dan mengaji langsung. Aku malu denganNya.
Terasa bangga akan diri aku bila aku berjaya menolak pelawaan lelaki untuk keluar bersama dengan aku dan dalam pada masa yang sama aku sekat nombor nombor buaya dan lelaki yang pernah terlanjur bersama aku.
Terasa tenang aku seketika bila mengambil keputusan untuk tinggalkan terus dan kembali mengenali diriNya.
Adakah aku tidak layak untuk bergelar wanita solehah? Allahu.
Aku sangat sedih dan terkesan akan suatu komen yang mengatakan aku tidak layak dipanggil wanita solehah andai benar aku telah pun bertaubat dan tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Sedangkan aku ingin sekali memegang gelaran itu. Tidak mengapalah aku terima semua itu.
Terpaling aku sedih bila ada yang mendoakan aku supaya aku terkena penyakit kelamin dan jugak yang lebih teruk mendoakan aku mendapat HIV/AIDS.
Berjurai laju air mata aku mengalir saat aku membaca kecaman yang dilemparkan untuk aku. Tidak kurang juga ada yang menggalakkan aku untuk membvnvh diri jika aku punya niat itu.
Ya aku memang punya niat itu ketika aku membaca komen kalian. Tetapi Allah sayang aku. Entah kenapa aku tidak terdetik langsung untuk ke arah itu walhal itulah perkara yang selalu berlegar legar di fikiranku.
Aku mental dan aku sakit jiwa dan banyak lagi kata cacian untuk perempuan kotor dan tidak berguna untuk aku. Aku terima.
Aku lebih teruk dari pelacur kerana aku merelakan sahaja dan tidak pernah mengenakan bayaran untuk lelaki yang meratah tubuhku. Aku terima.
Aku layak dilaknat dunia akhirat akan dosa zina dan tidak bersolat langsung. Aku terima.
Aku betina sundal yang layak didoakan untuk dapat HIV/AIDS. Aku terima.
Aku tidak layak dapat suami yang baik kerana aku perempuan kotor yang hina. Aku terima.
Dan aku tidak layak berada dalam doa kalian untuk permudahkan urusan aku. Aku terima.
Itu perkara yang lepas dan aku mahu berhijrah ke jalan Allah.
Kepada kalian yang mendoakan dan menasihatkan diri ini ketahuilah kalian aku sangat sangat terharu dan berterima kasih atas nasihat dan doa tersebut.
Sekali lagi aku menangis terharu kerana masih ada lagi insan yang cuba memahami dan memberi nasihat yang sangat aku perlu dan nantikan.
Sungguh aku perlukannya di saat hati aku sedang berkecamuk ketika ini. Aku fikir aku tidak layak untuk mendapat doa dan nasihat untuk diri yang telah jauh menyimpang ini.
Aku betul betul sekali memaksudkannya yang aku berterima kasih sekali dengan kalian. Nasihat kalian aku screenshot dan jadikan pendorong dan pembakar semangat untuk aku perlahan lahan berubah untuk mengenali diriNya.
Sesungguhnya hati ini telah dijentik keinsafan darinya. Sayang juga Allah dekat aku kan. Doakan aku sempat bertaubat ya semua. Itu sahaja yang aku pohon dari kalian.
Moga aku dan kalian tidak terleka akan tipu daya syaitan di dunia sementara yang kian tenat ini. Sama sama kita muhasabah diri. Sekali lagi buat kalian yang mencerca dan memaki aku, aku maafkan dan aku tidak berdendam.
Salam sayang dari Mawar.
– Mawar (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit