Terima kasih admin siarkan. Aku jarang sangat baca confession2 ni tapi sejak dua menjak ni banyak yang naik dlm wallku. Dan ini pertama kali aku menulis. Aku mohon maaf terlebih dahulu andainya tulisanku tidak kemas dan agak panjang. Kisah bertahun-tahun dan aku bukan pencerita yang baik.
Aku Roopleen (haha.. bukan nama sebenar). Tergerak hati menulis confession ni sebab terbaca confessor menulis tentang perempuan malang (lupa tajuk) dan beberapa situasi masalah yang dihadapi seorang isteri seperti confession Nana. Aku kongsikan pula kisahku. Mungkin lebih berat atau sebaliknya. Aku tulis 2 siri untuk membezakan fasa malang dan pernah malang itu. Yang baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan.
Semasa belajar di peringkat sarjana muda, aku ada seorang kawan lelaki yang sama hobi. Dalam confenssion ni aku namakan dia L. Kami berkawan biasa sahaja dan hanya berjumpa di gelanggang volleyball setiap hari setiap petang selepas kuliah. Masa itu kami atlet universiti untuk masum. Rasa hebat dengan tanggungjawab membawa nama universiti bila bertanding.. waktu itu aku masih muda dan sentiasa bersemangat dalam apa sahaja aktiviti harian. Aku juga pelajar yang aktif dalam kepimpinan. Boleh kata aku tiada masa berseronok di luar seperti lepak mahu pun tengok wayang. 4 tahun belajar dimaksimumkan sepenuhnya dengan menimba pelbagai ilmu dan kemahiran. Bercinta? Haha… tiada siapa sudi bercinta denganku. Aku hitam, hanya pakai t-shirt, seluar jeans, tudung bawal dan sneakers setiap hari. Sedangkan kawan-kawan sekuliah yang lain mengikuti fesyen yang trending masa itu..
Ada apa dengan L? Dia seorang yang baik dan kami akrab. Kami bersukan bersama-sama sepanjang 4 tahun itu. Semasa di tahun akhir aku mula ada hati dengannya kerana sudah kenal hati budi masing-masing (bukan sebab dari mata jatuh ke hati). Sejak itu aku selalu berdoa agar dia juga merasakan perasaan yang sama denganku. Tapi hari-hari berlalu dengan pantas sehinggalah tiba minggu-minggu terakhir sebelum kami dihantar praktikal ke kampung halaman masing-masing. L tidak sedikit pun menunjukkan rasa sedih berpisah dan akan mengikuti haluan masing-masing.
Praktikalku pun bermula. Rasa seronok berada dekat dengan keluarga dan berkenalan dengan rakan-rakan baru di tempat kerja. Setiap ilmu yang dipelajari selama ini dimanfaatkan sepenuhnya. Di satu hari yang sibuk, aku menerima teks dari seseorang yang tidak dikenali. Katanya dia mahu berkawan denganku. Sungguh-sungguh. Aku yang “free” masa itu tiada halangan untuk menerimanya. Waktu itu aku berfikir mungkin sudah tiba masanya untuk aku membuka hati setelah percubaan pertama sebelum ini tidak berjaya. Perkenalan kami cukup mudah. Kami hanya bercakap melalui teks dan call selama 2 bulan sebelum merancang untuk bertemu. Dia memilih untuk bertemu time hari raya dan terus berkenalan dengan keluargaku. Aku sangat bersyukur ditemukan dengan seorang lelaki yang cukup “gentleman”. Aku namakan dia sebagai M.
Selepas pertemuan itu, M ingin menyuntingku sebagai suri hatinya. Aku setuju dan terpikat dengan caranya. Cukup tertib dan menghormati orang tua. Aku lihat ibu bapaku pun cukup senang dengannya dan gembira bakal bermenantukan dia. Maka bulan ketiga perkenalan kami dikukuhkan lagi dengan ikatan pertunangan…
Bulan November, hari konvokesyen yang dinantikan tiba. Aku tercari-cari kelibat L, kawan sepengajian untukku ceritakan berita gembira. Setelah L mendapat tahu aku akan bertunang, riak mukanya berubah dan matanya berkaca-kaca. “Kenapa terlalu awal?…” Ayat itu hingga hari ni aku tidak pernah lupa. Meski sudah 10 tahun berlalu. Rupa-rupanya selama belajar bersamanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Tapi kenapa L terlalu susah untuk berterus terang? Hingga saat ini aku pun tidak faham. Mungkin pembaca lelaki boleh berkongsi jawapan.
Aku dan L menerima hakikat bahawa kami ditakdirkan hanya sebagai kawan. Kami berjanji untuk mengejar impian hidup masing-masing. Aku bersyukur pernah mengenalinya. Tidak dinafikan masa itu aku masih menyayangi L tetapi aku tidak mahu melukakan M, menghampakan keluarga yang tidak sabar melihatku memiliki keluarga sendiri satu hari nanti, aku akur dan tetapkan hati bahawa M adalah masa depan dan L adalah kenangan.
Pertunangan kami tidak lama. 3 bulan sahaja. Secara matematiknya, aku sah bergelar isteri kepada M selepas 6 bulan dari saat mula kenal. Alhamdulillah… masa itu aku rasa cukup bahagia dan bertuah. Aku yang tidak pernah bercinta di zaman belajar tetapi cepat bertemu jodoh. Rezekiku pun Allah murahkan dan aku dapat kerja yang tetap dan gaji yang berpatutan.
Minggu pertama bergelar isteri semuanya berjalan lancar. 3 hari pertama kami di rumah orang tuaku dan 2 hari seterunya di rumah mertua. Mujurlah rumah orang tua kami tidak jauh. Hanya dipisahkan beberapa puluh kilometer sahaja. Cutiku tinggal berbaki sehari dan kami harus pulang ke negeri di mana aku bertugas. M belum ada pekerjaan tetap dan dia tiada halangan untuk mengikutiku. Aku pun sudah membuat pelbagai perancangan untuk membantunya mendapat pekerjaan yang baik sesuai dengan kelayakan yang dia miliki. Segalanya dirancang dengan teliti dan M seorang yang sangat terbuka dan suka bertukar-tukar pendapat.
Sebagai pasangan baru berkahwin, rumah sewa kami kosong dan cuma ada perkara-perkara yang asas. Aku tidak kisah sangat kerana itu lumrah. Aku mula membiasakan diri hidup berdua tinggal serumah dengan orang baharu. Memanglah agak kekok tapi mahu tidak mahu mesti membiasakan diri. Segala-galanya harus dikongsi. Dan yang paling aku tunggu-tunggu adalah M akan menjadi imam dalam setiap solat-solatku. Tidak dapat untuk 5 waktu pun tidak mengapa sebab kami bekerja sepanjang hari. Subuh, Maghrib dan Isyak seboleh-bolehnya tiada yang terlepas. Itulah yang bermain dalam fikiranku. Impian itu bukan saja-saja aku bina tetapi kerana dalam tempoh berkenal-kenalan dengan M, katanya dia rajin baca quran, ke masjid dan menghadiri kuliyah agama – antara cerita-cerita yang dikongsikan setiap kali bermesej mahu pun bertelefon. Dulu tiada aplikasi Whatsapps maka setiap mesej yang dikirim itu amat bernilai dan berharga.
Mendengar dia membaca Al-Fatihah, aku dapat mengesan terdapat kesilapan. Aku pun mula mencari ruang untuk bercakap tentang itu. Aku bukanlah alim sangat tapi benda yang kita tahu tidak betul sebaik-baiknya kita betulkan. Sama-sama perbaiki diri. Maka tibalah saat yang sesuai untuk aku menegur M. Aku berusaha sedaya upaya menyusun kata-kata dengan sebaiknya, semoga teguranku tidak melukakan hati suami tercinta. Seperti biasa dia memang seorang yang terbuka tetapi riak mukanya tampak tidak senang. Hatiku merasakan dia tidak selesa ditegur. Pun begitu perbicangan kami berjalan lancar dan berakhir dengan baik.
Sejak berkahwin aku tidak dibenarkan memandu kereta sendiri ke tempat kerja meskipun kereta itu adalah kereta yang kubeli sendiri. Katanya itu tanggunjawabnya dan dia rasa aku lebih selamat jika dia yang menghantar. Aku tidak pernah membantah. Dia juga menyuruh aku berhenti bersukan sama sekali, sedangkan dia tahu kemahiranku sangat diperlukan untuk melatih pasukan-pasukan volleyball di bawah seliaanku. Aku sebagai seorang isteri yang taat, aku turuti segala peraturannya. Aku menjadi individu yang baharu mengikut acuan suamiku, M. Perasaan sedih aku buang jauh-jauh. Bagiku dengan menuruti segala kehendaknya adalah satu pengorbanan yang menjanjikan kebahagiaan.
Dalam tempoh itu juga, pelbagai pekerjaan aku sarankan untuk M. Dia juga memiliki ijazah sarjana muda sepertiku tetapi sikapnya yang terlalu memilih membuatkan semua cadanganku tidak membawa apa-apa makna. Dia kelihatan sibuk di luar. Katanya dia mencari kerja, bertemu kawan dan ada 1001 temuduga perlu dihadiri. Aku percaya 100% akan kata-katanya. Malah kesetiaan dan kepercayaanku padanya hingga ke tahap aku izikan dia memegang semua kad bankku – atas permintaanya juga. Aku turut membuat loan di bank untuk menampung keperluan dan kehendaknya. Aku tidak pernah berkira malah rasa puas dapat berbakti padanya. Tanpa aku sedar aku telah menjerut diriku sendiri dan membiarkan M terus menguasai segala-galanya.
Hari berlalu pantas, kerjaku pun semakin mencabar. Seharian bekerja sememangnya meletihkan. Petang itu aku balik seperti biasa. Tapi entah bagaimana aku boleh tertidur di sofa. “Pang”.. Bunyi kuat beserta rasa sakit yang amat sangat dapat kurasa di seluruh muka. Rupa-rupanya M baharu sahaja menampar (melibas)ku dengan sejadah tepat ke mukaku. Dengan nada keras dia katakan bahawa sudah masuk waktu maghrib. Aku terpinga-pinga tidak mengerti mengapa M tergamak kejutkan aku dengan cara begitu. Besar sangatkah kesalahanku? Sejak saat itu bermulalah penderitaanku.
M menunjukkan belangnya yang sebenar. Dia tidak seperti yang aku kenal dulu. Benarlah kata orang, time bercinta segalanya indah. M melakukan penderaan mental dan fizikal ke atasku. Aku merasakan rumah tidak ubah seperti neraka. Solat berjemaah hanya bertahan bulan pertama perkahwinan. Selepas itu aku tidak pernah nampak dia solat. Aku pun perasan dia tidak pernah menyentuh Quran apatahkan lagi mengaji bersamaku. Pernah beberapa kali aku mengajaknya tapi alasan yang dia beri sama sahaja – nanti. Hari-hari yang berlalu bagai mimpi ngeri buatku. Aku tak tahu esok apa yang akan aku dapat – penampar, penumbuk, sepak terajang. Aku rasakan aku mula mengalami tekanan jiwa dan mental yang kuat. Aku hanya mampu diam membatu. Hatiku benar-benar hancur. Hanya kepada Allah sahaja tempat aku mengadu dan menceritakan hidupku. Aku sedar Allah sedang mengujiku.
M semakin dayus. Dia mengambil 90% gajiku. Dapur tak berasap. Duit bekal kubawa ke tempat kerja cuma seringgit dua. Aku selalunya berlapar. Mujur rakan-rakan seniorku selalu bawa “pot-luck” dan rajin berkongsi resepi masakan mereka. Masa itulah aku dapat menjamah makanan lebih dari biasa. Ya aku memiliki badan ramping dan langsing seperti yang diidamkan ramai wanita. Bukan kerana aku mengamalkan pemakanan yang sihat tetapi aku kurang makan. Adakalanya aku tertawa sendiri kerana ramai yang bertanya petua melangsingkan badan. Mereka lihat aku kuat makan. Aku jawab dengan berseloroh – aku bekas atlet.
Di tempat kerjalah aku merasa sedikit tenang meskipun aku tidak pernah kongsikan masalah yang sedang melanda hidupku. Aku cukup menjaga prestasi kerja dan penampilanku. Aku adalah antara staf ikon dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang setiap kali penilaian dibuat. Tapi tiada seorang pun tahu di sebalik senyuman yang kuukir setiap hari bila berdepan dengan rakan-rakan sekerja. Bukan itu sahaja, malah aku diangkat sebagai motivator dalam kalangan rakan-rakan yang rapat denganku. Demikian juga keluargaku di kampung, aku tidak pernah mengadu tentang masalahku. Aku cuma mengkhabarkan yang kami baik-baik sahaja. Mungkin masa itu aku boleh dikatakan bodoh dan ego. Cuba menafikan kenyataan. Menelan segala kepahitan seorang diri.
Namun sekuat mana pun aku cuba sembunyikan penderitaanku tapi kuat lagi gerak hati ibuku. Dia menelefonku dan memberitahu bahawa dia akan datang menjenguk kami. Meskipun belum dikurniakan cucu, tapi ibuku ingin meluangkan masa seminggu dua di rumah kami. Ibuku seorang pesara dan tidak boleh duduk diam. Aku memberitahu M. Dia sangat marah dan menuduh aku mengadu domba kepada keluargaku. Sekali lagi aku terima tumbukan dan sepakan. Kalau ikutkan hati aku memang ingin membalas setiap pukulannya. Aku tahu aku bukan seorang yang lemah tapi kerana masih menghormatinya aku redha dan terus bersabar dan berdoa agar satu hari nanti semua ini akan berakhir. Aku mahu menang di kemudian hari. Kerana itu aku harus bersabar dan bertenang. Mungkin ini adalah kesan latihan kekuatan fizikal dan mental yang pernah aku lalui sebelum ini.
Hari Selasa, ibuku dalam perjalanan menuju ke tempat aku mencari rezeki. Ibu dijangka sampai lewat petang. Aku pula di office berasa resah memikirkan apa yang bakal berlaku. Telefonku berdering, M menelefonku menyuruh aku keluar sekejap. Aku lihat jam di dinding menunjukkan baru pukul 10.28 pagi. Setelah aku duduk di sebelah M, dia memandu memecut laju jauh keluar dari bandar. Sepanjang perjalanan itu kami senyap. Aku pula bermonolog sendiri.
Lamunan kuterhenti serentak dengan M menekan brek memberhentikan kereta. Kami berada di sebuah taman di mana kami pernah duduk bersantai di awal-awal perkahwinan kami 3 tahun dulu. Lalu bermulalah kata-kata hina dilemparkan kepadaku. M menuduh aku bersosial di office kerana itu dia bertindak memukulku. Katanya aku tidak pernah senyum di rumah tetapi dia perhatikan aku bergelak ketawa dengan rakan-rakan sekerjaku. Dia sakit hati melihatku. Aku yang sememangnya sudah tawar hati hanya membisu. “Aku bebaskan kau”. Aku tersentak dan seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baharu sahaja aku dengar. M melafazkan kata-kata yang menyebabkan runtuhnya sebuah masjid. Dengan tidak semena-mena pipiku terasa hangat dan basah. Begitu mudah M mendapatkan aku dan begitu mudah juga dia melepaskan aku.
Kurasa masa seakan-akan terhenti seketika. Jantungku pun rasa tidak berdegup. Aku “blank” tapi bukan seperti seorang yang putus cinta. Otakku ligat berfikir, untuk apa aku harus hidup bersamanya selama beberapa tahun ini? Untuk mencari bahagia? Tapi apa yang kudapat hanyalah derita. Ya semangnya aku tidak pernah rasa diriku dan setiap pengorbananku dihargai. Aku ikhlas menerima M dalam hidupku. Kuterima dia dalam keadaan dia tiada pendapatan tetap. Aku tidak meletakkan apa-apa syarat malah hantaranku pun tidak sampai 6ribu. Kukorbankan semua impian dan cita-citaku demi dirinya. Tapi sayangnya M benar-benar mensia-siakan aku.
M meninggalkan aku di taman itu dan meminta aku memandu sendiri ke mana saja aku mahu. Rumah atau office. Katanya aku tidak akan melihat dia lagi buat selama-lamanya. Sebelum dia melangkah, entah bagaimana aku dapat satu kekuatan luar biasa. Aku ucapkan “terima kasih…” dengan air mata yang tidak mahu berhenti mengalir. Sebuah kereta Honda muncul menjemputnya setelah dia selesai membuat panggilan telefon. Aku hanya mampu memerhati sehingga kereta itu hilang dari pandanganku. Aku memilih untuk memandu terus ke rumah. Aku mahu sambut kehadiran ibuku dan aku mahu tunjukkan bahawa aku seorang yang kuat. Masa itu, aku berasa amat-amat bersyukur kerana akhirnya aku dapat melihat siapa yang benar-benar menyayangiku.
– Aku Roopleen…. bukan nama sebenar.
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit