Aku sambung lagi. Terima kasih admin.. Setibanya ibuku di rumah, dia terus membuka bekalan bahan mentah yang dibawa dari kampung. Ibuku menyediakan makan malam dan banyak bercerita tentang kenakalan anak-anak buahku yang baru berusia 5 dan 7 tahun. Ibuku sedikit pun tidak bertanya khabarku dan tidak bertanya mana M. Mungkin juga jam baru menunjukkan jam 6 petang.
Malam itu, kami berdua makan bersama. Menikmati masakan ibu membuatkan aku tidak dapat menahan kesedihan. Aku menangis di meja makan. Ibu memarahiku. Meminta aku habiskan makan malam terlebih dahulu dan cerita masalahku kemudian.
Keputusan sudah dibuat berdasarkan beberapa siri perbincangan bersama keluarga. Aku tekad untuk memohon pindah ke kampung halaman. Aku mahu tinggal bersama keluargaku. Dalam konsep peperangan, bila kita lemah kita kena berundur. Bukan untuk mengalah tetapi untuk membina semula kekuatan diri, mempersiapkan diri untuk cabaran yang lebih besar. Begitulah yang aku fikirkan. Aku sudah bersedia untuk kembali ke kampung halaman, sedia berdepan dengan fitnah dan tomahan. Sungguh kesian perempuan sepertiku. Terpaksa memikul bebanan tuduhan dan menerima persepsi orang-orang sekeliling. Bila berlaku penceraian, janda lah yang terlihat hina.
Setelah beberapa kali percubaan memohon pindah akhirnya aku berjaya apabila aku lampirkan laporan polis dan hospital. Masa itu juga aku baru tersedar betapa teruknya kehidupan yang aku lalui sebelum ini. Apabila berurusan di mahkamah, aku baru mendapat tahu bahawa aku telah menempuhi keganasan rumahtangga. Timbul keinsafan, berapa ramai lagi yang sepertiku. Yang masih melaluinya dan berapa ramai yang sudah melepasinya.
Minggu pertama di kampung, aku diberi cuti seminggu. Untuk mengurus perpindahan dan tempoh bertenang. Dalam minggu yang sama, tiba-tiba kelibat M muncul di depan pintu rumah orang tuaku. Orang tuaku melayannya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Orang tuaku cukup tenang dan professional. Aku pula tidak melibatkan diri dalam pertemuan itu. Rasanya empat hari berturut-turut M datang ke rumah. Dia mahu rujuk dan menyesali perbuatannya. Dia berjanji akan berubah menjadi lebih baik. Katanya dia tiada niat melafazkan cerai di luar mahkamah. Bermacam-macam janji ditabur dan berbaldi-baldi air matanya tumpah di hadapan ku dan orang tuaku.
Aku memberitahunya, aku tidak akan kembali kepadanya. Sebabnya aku sudah puas dan rasa cukup masa bersamanya. Aku memaafkannya dan minta dia jangan memaksa aku untuk menerimanya semula. Jika benar-benar ikhlas ingin melihat aku bahagia, M harus menjauhi aku. Alhamdulillah.. dia tidak pernah lagi muncul malah hebatnya dia sehinggakan nafkah dalam tempoh eddah dan tuntutan penceraian pun dia tidak beri hingga hari ini. Aku biarkan sahaja.
Untuk melupakan sejarah pahitku, aku memutuskan untuk fokus dengan kerjayaku sepenuhnya. Kerja lebih masa sudah menjadi rutinku. Aku menjadi perhatian majikanku dan seringkali diberi tanggungjawab untuk mengurus projek-projek besar. Hal ini menimbulkan ketidaksenangan beberapa orang di office baruku. Lucu tapi itulah yang berlaku.
Tidak sedar sudah enam tahun berlalu. Sudah banyak peningkatan aku capai. Aku bukan lagi staf biasa. Aku sudah dinaikkan pangkat dan ekonomiku semakin kukuh. Dalam kesibukan enam tahun itu, aku tidak pernah terfikir untuk mengenali mana-mana lelaki. Aku juga mendaftar menjadi pelajar sarjana dengan mode penyelidikan separuh masa. Bekerja sambil belajar. Aku diberi tempoh tiga tahun menyiapkan sarjanaku. Alhamdulillah berkat ketekunanku aku berjaya siapkan dalam tempoh dua tahun sahaja. Sama seperti pelajar sepenuh masa.
Sepanjang belajar, aku juga menjadi orang kepercayaan penyeliaku. Dalam ramai-ramai pelajar yang dia ada, aku jugalah yang dia pilih menjadi pembantu penyelidik (RA). Aku student part time dan bekerja. Sepatutnya tidak boleh menjadi RA. Tapi atas sebab-sebab tertentu syarat itu dilonggarkan. Siapa sangka, aku dibayar gaji beribu untuk melengkapkan penyelidikan dan pengajianku. Rezeki Allah amat luas. Pada mulanya aku berfikir kewanganku akan terjejas kerana harus membayar yuran pengajian dan menampung kos perjalanan serta penyelidikan. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mungkin itu adalah antara hikmah kerana aku pernah berkorban wang ringgit untuk M.
Aku tidak membuang masa, setelah disahkan lulus viva voce oleh senat, aku meneruskan pengajianku di peringkat PhD. Memiliki PhD adalah cita-citaku sejak di bangku sekolah menengah lagi. Pernah terkubur seketika dek kerana M tidak mengizinkan aku melanjutkan pengajian. Waktu itu aku akur dan menganggap cita-cita hanyalah angan-angan di zaman kanak-kanak mahu pun remaja. Seperti kebanyakan orang, cita-cita bukan sesuatu untuk dikejar dan dicapai. Sekadar disebut berulang-ulang. Kini aku sedang berehat selepas melalui proses “data collection” yang memeritkan. Aku berehat seketika untuk sebulan dua. Itulah sebabnya aku ada masa membaca confession orang lain dan menulis confession diri sendiri. Biasanya aku akan “hilang” dan hidup dalam dunia sendiri.
Sudah 10 tahun perpisahanku dengan M berlalu. Perpisahan itu meskipun perit tetapi banyak yang aku pelajari. Ada rakan yang bertanya, tidak mahukah aku cari pengganti. Dengan pantas aku katakan – tidak. Namun setiap kali soalan itu diutarakan, setiap kali itulah terlintas difikiranku susuk tubuh seorang lelaki yang aku kenali semasa aku membentangkan kertas penyelidikan sarjanaku di Amsterdam dalam satu konferens antarabangsa beberapa tahun yang lalu. Hanya aku dan dia (N) mewakili Malaysia waktu itu. Kami tidak banyak bercakap sepanjang konferens berlangsung. N hadir dalam sesi pembentanganku dan juga sebaliknya. Kami bertukar nombor telefon. Tidak banyak yang kami boleh bualkan kerana kami belajar di universiti berbeza. Bidang kami berbeza. Metodologi kajian berbeza. Falsafah pun berbeza.
Pada mulanya aku menyangka perkenalan kami cuma bertahan sebulan dua. Tidak sangka pula tahun ini sudah masuk tahun ketiga kami berwhatsapps. Kami bercakap hanya untuk bertanyakan progress pengajian masing-masing. Secara purata sebulan sekali dan dia yang akan memulakan text. Dia juga melanjutkan pengajian ke peringkat PhD setahun lewat dariku. Aku tidak merasakan apa-apa yang istimewa dalam tempoh dua tahun yang pertama. Tetapi sejak tahun lalu, sejak pertemuan kedua kami di dalam konferens dalam negara yang sengaja kami rancang hadiri bersama aku mula syok sendiri. Kenapa? Sebab katanya dia masih single. Dia memang benar-benar single. Bukan suami orang yang berpura-pura single.
Sekian lamanya aku tidak memandang lelaki akhirnya hatiku terbuka untuk mahu mencuba. Tapi N tidak pernah bercakap soal peribadi. Dia seorang yang sangat serius dalam setiap perbincangan kami sehingga adakalanya kami berdebat tentang ilmu falsafah yang sememangnya sukar difahami oleh kebanyakan pelajar PhD. Dia juga tidak pernah bertanya sama ada aku single atau isteri orang. Mungkin itu tidak penting untuk dia tahu. Dalam masa yang sama aku rasa semakin ingin mengenalinya, ingin rapat dengannya dan jika diizinkan tuhan, aku mahu dialah yang menjadi teman hidupku. Aku tidak mahu mengenali sesiapa lagi selepasnya.
Cuma ada beberapa persoalan aku tidak mampu jawab. N tua beberapa tahun dariku. Kenapa dia tidak berkahwin? Dia memiliki kerjaya dan pendidikan yang bagus. Rupa paras yang menarik, tinggi, tidak gemuk, tidak kurus, tidak jahil, dan tidak merokok. Huh! Full package! Biasanya lelaki sepertinya sudah lama jadi suami orang. Tapi kenapa dia tidak? Lelaki tidak sama dengan perempuan. Secara literalnya, semakin tinggi dan hebat kerjaya dan pendidikan seorang lelaki semakin senanglah dia cari perempuan untuk dijadikan isteri. Tapi perempuan? Semakin sukar dan lelaki tak kan pandang. Agaknya takut dengan nilai hantaran dan mungkin takut kalau isteri terlebih pandai. Ini antara risiko yang aku akan hadapi.
Lalu timbul pula persoalan, adakah dia songsang? Terbaca confession seseorang tentang bagaimana dia baru menyedari bahawa suaminya songsang. Maknanya lelaki songsang ini sukar dikenalpasti sehinggalah kita tinggal sebumbung dengannya. Atau adakah cara mengenalpasti lebih awal? Andainya N songsang aku akan terus berkawan dengannya. Sekadar kawan biasa dan professional. Tetapi bagaimana pula kalau dia tulin? Adakah N sama seperti L? Diam seribu bahasa. Menunggu ada insan lain mendahului baru mahu berterus terang? Atau adakah aku memang bertepuk sebelah tangan? Tapi aku tidak lagi hitam seperti dulu. Dan aku masih slim dan langsing seperti selalu.
Dalam diam aku selalu berdoa untuknya. Kejayaan, kesihatan dan kebahagiannya. Aku tidak tahu apa yang ada di dalam hatinya. Allah lah yang membolak-balikkan hati manusia. Aku seorang calon doktor falsafah, sudah mampu membahas serba sedikit teori-teori sedia ada tapi soal hati dan perasaan aku tidak ubah seperti seorang bayi yang baru belajar merangkak. Aku tidak mampu membicarakannya. Pun begitu aku mula rasa bahagia. Betapa luasnya ilmuMU ya Allah…
– Aku Roopleen…. bukan nama sebenar.
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit