Assalamualaikum. Terima kasih sebab share cerita aku. Umur 30 an berkahwin hampir 8 tahun, tidak mempunyai zuriat.
Zuriat bukan alasan utama untuk aku tak rasa bahagia. Cukup wang, bahagia, makan, pakai, Alhamdulillah. Tapi panas yang orang sangka ke petang, adakala disusuli hujan di tengahari. Benar, aku diuji dengan ujian yang aku rasa tiada wanita yang ingin kannya.
Suami ku jobless. Tiada panggilan dari company membuatnya berada dalam fasa ‘depression’ atau murung. Kronik? Barangkali ya sebab melibatkan orang sekeliling. Aku sebagai isteri orang yang paling banyak terkena tempias. Berbekalkan semangat yang positif, apapun yang negatif dalam kepala aku cepat-cepat aku tukarkan pada positif.
Bulan berganti bulan. Segala kata semangat aku berikan pada suami. Tapi masih sama. Tidur, bangun, termenung. Dari manusia biasa bertukar jadi seorang yang panas baran. Allah, sakitnya untuk aku ingat satu persatu. Peritnya hidup dilalui aku.
Tumbuk? Sepak terajang? Maki hamun. Segala kata cacian makian adalah makanan aku hari-hari. Tubuh aku lebam, leher aku dicekik, aku ditampar bila tersilap kejut tidur, aku dibaling apa yang ada di depannya kerana lambat masak.
Tersilap cakap, wayar telefon di libas berkali-kali sehingga berbirat. Sumpah, waktu aku taip cerita ni ibarat aku dibawa kembali ke masa lalu aku. Setiap tarikh, masa, sentiasa terbayang dalam kepala. Setiap bulan 4-5kali aku lari tidur di hotel. Sebab aku tidak tahan dipukul.
Tragedi kemuncak bila dia kantoi ambil dadah. Ya Tuhan, ujian apakah ini. Dengan tiada anak,suami jobless, ambil dadah, untuk apa aku bertahan.Aku sehabis daya sembunyi perkara ini dari family. Tapi lambat laun, Allah tunjuk kebenaran. Satu persatu Allah tunjuk dan buka untuk aku.
Pernah aku drive ke pejabat agama dan meraung sekuatnya dalam kereta. Kenapa aku yang Allah pilih untuk uji begini? Kenapa aku takleh bahagia macam orang lain? Aku cek in hotel, solat dengan keadaan badan yang sakit dipukul, aku tahajud, aku solat hajat, aku nekad untuk memilih perceraian. Walaupon aku sayang pada rumahtangga serta suami, aku bertahan bertahun lamanya, aku banyak mengalah selama kami hidup, aku siang malam berusaha cari duit untuk tampung hutang dia, tanpa aku merungut.
Setiap kali birthday dan anniversary aku cuba gembirakan dia walau hati aku menangis. Aku rasa sakit, mental aku koyak, kalau diundur masa aku takkan pilih untuk jadi diri aku. aku rasa perjuangan aku bakal terhenti setelah aku berjuang pertahankan rumahtangga umpama neraka, aibnya aku tak pernah buka pada sesiapapon. Pada family aku,walau adik beradik sehabis daya untuk korek untuk aku buka cerita, tapi aku tetap cakap aku okey. Kawan baik aku dapat hidu sekalipon,aku pilih untuk berdiam diri. Di facebook, aku berlagak aku sentiasa gembira, aku sentiasa memotivasikan orang lain, hakikatnya aku derita.
Aku senyum, aku ketawa bila orang ketawa, aku makan tapi umpama pasir yang aku telan. Hampir dua tahun aku tidak tidur sekatil, aku tidur sorang terkontang kanting. Suami? Hidup dengan dunianya. Bila aku bangun, baru dia tidur. Bersama? Sebulan sekali pun belum tentu.
”…. dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah : 216)
“Demi menyelamatkanmu daripada orang yang salah, Allah mematahkan hatimu…”
Bila aku rujuk ayat ini, aku bermonolog. Mungkin ini jalan terbaik untuk aku. Aku nekad memilih perceraian. Mungkin ini yang terbaik untuk aku. Aku tahu sakit bagi aku untuk tempuhi, tapi aku redha jodohku bakal terhenti di sini. Aku penat, aku letih.
Aku packing semua baju aku dalam bag, dalam kotak. Semua dokumen sijil nikah,kad nikah dan dokumen penting aku bawa bersama. Aku cek tiket, cek hotel, untuk aku bawa diri selama seminggu sebelum aku teruskan prosedur perceraian.
Allah Maha Kuasa. Di saat aku menyerah kalah di penghujung, rupanya Dia punya rencana yang sangat indah. Di saat aku terduduk menyerah, Dia bangkitkan aku kembali. Allah takkan uji di luar kemampuan hambaNya.
Aku tak tahu di mana titik mulanya. Allah dengar dan makbul doa aku. Aku seperti dapat suami ku kembali. Suami aku berkali-kali mohon maaf. Mohon ampun setiap kali aku bangkit dari tidur. Setiap hari, waktu subuh dia dah ke surau. Tiap kali maghrib dan isyak mengikuti kuliah. Suami dengan sendiri berdaftar kelas agama.
Setiap kali aku badan lenguh, tanpa disuruh dia urut. Terluka tangan,dia sapukan ubat. Malam-malam dia pastikan masuk tidur bersama aku. Bila keluar bersama, masuk waktu solat, terus cari masjid berdekatan. Malam-malam jika tidak ke kuliah, dia berusaha menjadi imam untuk solat berjemaah. Walaupun surah dibaca ada salah,aku tetap puji dan tegur dengan cara halus.
Aku mengalami trauma pada bunyi yang kuat, bunyi hempasan, bunyi pukulan akibat dari keganasan rumah tangga kami. Sekarang suami sedaya upaya untuk buang trauma dengan bawa aku tempat tenang, selalu berzikir, bawak beriadah dan buat aku happy.
Kalau keluar tiap malam, dia cari gelandangan untuk beri duit atau makanan. Tiap kali makan di rumah atau kedai, dia tetap nak suapkan. Bukan aku nak cakap kami romantik, tapi aku rasa macam mimpi. Tiap kali aku bangun tidur, aku rasa macam betul ke hidup aku macam ni. Allah baik sangat. Sampai aku rasa hebatnya hadiah yang Allah ganti pada aku. Lebih hebat dari aku idamkan. Lebih baik dari apa aku impikan dari seorang suami.
Rupanya selangkah aku pilih untuk kalah, untuk tersungkur, rupanya ini takdir hidup aku. Untuk wanita di luar sana, hidup ini satu pilihan. Bahagia itu kita yang pilih. Dan derita itu jua kita yang pilih. Kita berhak memilih.
Mungkin ada sesetengah orang cakap aku bodoh, bertahan di waktu dipukul, disepak,diterajang,dihina,
Doakan rumahtangga kami semoga terus kekal bahagia dan diberi rezeki zuriat. Aku doakan wanita di luar sana terus bahagia, andai ada yang berduka, kecewa dan bersedih, semoga diberi ketabahan dan kesabaran serta diberi jalan untuk keluar dari masalah ini. Aamiin ya rabb.
– Wanita bersyukur dan bahagia
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit