Aku, Pokok, dan Mokcik

Assalamualaikum semua. Nama ku Esoh ade ku Kesoh. Bertahun lamanya menumpang teduh di rumah yang dibina berjirankan si pohon getah.

Aku menulis untuk bertanyakan pendapat rakan-rakan media sosial apakah yang harus aku lakukan dengan pokok getah kesayangan jiranku yang aku namakan Si Mokcik.

Pohon getah yang begitu sayup mata memandang setinggi bangunan tiga tingkat ditanam begitu hampir dengan rumah aku. Dahannya yang condong memenuhi separuh kawasan rumah aku.

Tidak ditoreh, dibiarkan semak ibarat hutan simpan tanpa diselenggarakan oleh Si Mokcik.

Bagi yang tidak tahu, sifat semulajadi pokok getah akan menggugurkan semua daun yang ada sehingga yang kelihatan adalah dahan tanpa daun.

Kemana daun nya menghilang? Ye sahabatku, haruslah ditiup angin sepoi-sepoi bahasa memenuhi laman rumahku.

Tidak perlu aku menikmati musim luruh di luar negara sekadar berada di laman rumah sudah cukup persis adegan filem.

Dahan-dahan jatuh disulami bijinya bersilih ganti menghentam atap rumah usang aku. Bunyinya seperti mercun yang dilempar tepat ke arah rumahku.

Dengan si kecil yang mencuba untuk tidur tetapi lenanya diganggu bunyi sebegitu, masihlah aku bersabar dengan itu setiap tahun bersilih ganti.

Alhamdulillah, tahun ini dilimpahi rezeki untuk sedikit membuat penambahbaikan pada rumah yang sedia ada.

Sebelum memulakan proses menambah rumah baru, beberapa kali aku menyatakan hasrat aku yang mahu Si Mokcik menebang pokok getah nya.

Namun hasrat aku tidak dipersetujui dengan alasan si pohon getah itu akan ditebangnya sendiri.

Tidak sahabatku, drama sinetron bertahun lama nya ini bukan berhenti disini. Si Mokcik meminta bayaran seratus untuk sepohon pokoknya jika mahu ditebangku.

Usahkan mahu membayar upah menebang pokok itu, ditagih pula bayar untuk setiap pokok yang mahu ditebang dengan alasan rugi,

Sebab kalau ditoreh pasti banyak hasilnya kerana batangnya yang besar atau jika ditebang pihak risda lebih mahal bayaran yang diterima.

Ketahuilah tidaklah aku ingin memotong pokok nya untuk dijual dijadikan perabot sekadar hanya menjaga keselamatan aku dan hartaku dari dirosakkan dek kerana si pohon getah.

Pernah kami memotong pendek pokoknya demi keselamatan bumbung, kereta, rumah serta kami sekeluarga dan semua kos ditanggung kami dan Si Mokcik meminta bayaran atas setiap pokok yang dipendekkan pokoknya.

Ya, keseluruhan kos ribuan ringgit ditambah kerosakan pada pagar yang dihempap dahannya.

Empat bulan masa menunggu, dengan hilangnya pedoman setelah empat kali meminta untuk Si Mokcik menebang pokoknya, namun hanya tunggu. ‘Nanti tiadalah pokok’ itu sahaja jawapan yang diterima.

Kami memutuskan untuk menebangnya demi kesejahteraan rumah baru kami bina.

Ye, seperti biasa bayaran upah menebang ribuan ringgit ditanggung kami dan Si Mokcik pula meminta kami ribuan ringgit untuk membayar pokok yang kami tebang. Dah siap diskaun katanya.

Lalu kami juga meminta wang upah tebang, hanya sekadar kata kenapa awak tak tunggu saya tebang, sedangkan tempoh pokok itu sudah berdekad lamanya.

Ketahuilah wahai manusia yang berjiran, jika ada jiran disebelah, setiap helaian daun yang gugur memenuhi laman jiranmu, tanpa redha jiranmu maka berterusanlah kamu menanggung dosa.

Jika, memasuki kawasan jiranmu, maka wajib kamu tebang dan kos nya ditanggung kamu.

Janganlah menganiaya diri kamu sendiri dengan membuat dosa sepanjang hayat begitu dan menganiaya jiran kamu yang hanya mahu kamu berfikir sejenak apa rasanya berjiran dengan pohon-pohon mu ini.

Ia bukan kisah sehari dua tapi berdekad lamanya pengainayaan yang dibuat tanpa sedar atau buat-buat tak sedar kepada kami.

Bukan alasan tunggu yang seharusnya kami dengar jika Mokcik berfikiran waras.

Setelah dianiaya begini, jawapanku, ade ku kesoh seloroh kami sekeluarga kecil.

Jika rakan media sosial, apa anda lakukan?

– Esoh (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *