Aku anak angkat dalam keluarga. Mak dan arwah ayah aku menjaga aku sejak aku lahir lagi. Mereka menjaga aku dengan baik sekali. Kami bukanlah keluarga yang senang, tapi kami bahagia.
Aku boleh dikatakan pelajar yang pintar. Pointer setiap sem 3.6 ke atas. Alhamdulillah. Aku pon seorang yang peramah dan mudah mesra. Hal ini menjadikan aku dikelilingi ramai kawan. Mempunyai ramai kawan ketika belajar adalah salah satu nikmat yang sangat aku syukuri.
Tapi, apakan daya, kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Ayah aku meninggal dunia ketika aku di tahun 3 pengajian. Aku anak tunggal. Kini, hanya tinggal aku dan emakku. Bermula dari situ, hidup aku berubah. Boleh dikatakan 100%.
Aku mulai suka bersendiri dan menghabiskan masa di bilik. Pointer aku juga jatuh merudum (untuk dua semester) ke tahap yang aku tak pernah terfikir pon. Aku nampak emak struggle untuk menampung pengajianku.
Aku juga hampir putus asa namun aku tetap memujuk diriku untuk menghabiskan pengajian yang hanya tinggal dua semester. Aku mula buat part time sana sini untuk mengurangkan beban emak.
Ketika aku nak memasuki semester akhir pengajianku, emak mengatakan hasratnya untuk berkahwin lagi dengan seorang pakcik. Akulah insan paling bahagia pada ketika itu sebab aku tahu emakku kesunyian.
Namun, tidak kusangka. Diambil emak, dipulaunya anak (aku). Alasannya kerana aku anak angkat dan aku sudah dewasa (umurku dah lebih 21 tahun). Pakcik memintaku untuk mencari kehidupanku sendiri.
Emak tidak berkata apa apa. Dia senyap seolah olah bersetuju dengan pakcik. Tipulah kalau aku kata aku tidak makan hati. Hanya dia yang aku ada untuk menumpang kasih. Aku masih belajar, namun dah disuruh mencari kehidupan sendiri. Aku buntu namun tidak kuluahkan.
Semester terakhirku adalah semester yang sangat mencabar. Aku langsung tidak menerima sedikitpun duit belanja daripada emak dan pakcik. Hanya bergantung sepenuhnya dengan PTPTN. Aku masih bekerja sambilan. Namun, bukanlah duit punca utama aku kemurungan. Tetapi, aku merindui emak.
Aku rasa kesunyian. Aku menangis setiap kali aku solat kerana aku rasa aku tiada sesiapa. Aku kesorangan. Mak langsung tidak menelefonku. Jika aku yang telefon, dia sentiasa sibuk. Kami hanya bertanya khabar sahaja. Tiada lagi gurauan.
Aku dah rasa jauh dengan emak. Banyak aku nak cerita, namun aku ragu ragu dia sudi mendengar atau tidak. Setiap kali cuti, aku tidak balik. Sebab aku tak tahu nak balik ke mana. Emak sudah tinggal dengan pakcik. Dia pon tidak pernah mempelawa aku untuk mengikutinya ke sana.
Kalau aku pulang ke rumah arwah ayah pon, aku hanya berseorangan di sana. Rumah tu dah ditinggal kosong. Inilah sebab aku memilih untuk tinggal di mahallah sahaja.
Dari satu sudut, aku merasakan aku anak angkat yang teraniaya. Dari satu sudut yang lain, aku sedar keluarga bukanlah hak milik kekal kita. Lagi lagi keluarga angkat. Sedangkan ibu bapa kandung aku pon telah membuang aku dari hidup mereka, apatah lagi keluarga angkat.
Tapi, aku tak masih tidak berputus asa untuk terus berdoa semoga Allah memberikan aku sebuah keluarga semula. Aku hanya inginkan sebuah keluarga yang berkasih sayang.
– Lili (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit