Aku Rindu Ab4h

Hi, Assalamualaikum. Seperti tajuk yang tertulis, aku ingin menceritakan tentang hero dalam hidup aku iaitu ABAH. Aku perkenalkan diri aku sebagai Zaitun. Berusia pertengahan 20-an.

Abah merupakan anak sulung dari 6 orang adik-beradik. Tetapi seorang telah meninggal dunia semasa masih bayi lagi. Jadi tinggallah abah bersama 4 orang adik- beradik yang lain menjadikan jumlah keseluruhan 5 orang semua sekali.

Abah mempunyai seorang isteri dan 6 orang anak. 3 lelaki dan 3 perempuan, manakala aku merupakan anak yang kelima.

Kehidupan kami sekeluarga tidaklah senang dan tidaklah susah. Yang pasti setiap hari pasti ada sesuap nasi untuk dijamah. Abah bekerja seorang manakala ibu seorang suri rumah tangga.

Pekerjaan abah adalah sebagai kerani di sebuah syarikat swasta. Setiap hari abah membonceng motosikal ke tempat kerja. Masa aku kecil, kami tinggal berdekatan dengan tempat kerja abah, lebih kurang 20-30 minit perjalanan abah menaiki motosikal ke tempat kerja.

Setelah aku berumur lebih kurang 8 tahun. Kami sekeluarga berpindah ke rumah dan kawasan yang lebih selesa. Jika abah ke tempat kerja, ianya memakan masa kira-kira 1 jam untuk tiba. Jadi pagi-pagi lagi abah akan keluar bekerja dan akan pulang lebih kurang 7.30 malam.

Abah merupakan seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak mungkin disebabkan abah anak sulung jadi sifat itu sudah sebati dalam dirinya. Tetapi, dalam tegas abah ada lembutnya.

Setiap kali kami mendapat sesuatu pencapaian yang adakalanya tidaklah amat membanggakan seperti kalau sudah selalu anaknya gagal dalam subjek matematik dan tiba-tiba lulus.

Abah dan emak pasti akan menghadiahkan kami sesuatu. Walaupun nilainya tidaklah besar tapi cukup menggembirakan hati kami sebagai seorang anak.

Masa aku kecil, setiap kali abah pulang kerja pasti ada sesuatu yang abah belikan buat aku dan adik. Setiap kali itulah kami memang tertunggu-tunggu apalah yang abah akan belikan hari itu.

Aku dan adik pukul 6.30 petang saja memang kami sudah menunggu kepulangan abah di depan pintu. Dengar sahaja deruan bunyi motosikal abah, masing-masing sudah meluru keluar menyambut abah dan mengambil barangan yang di beli abah.

Ada masa abah belikan jajan. Ada masa juga abah belikan mainan. Tetapi, mainan yang selalu dibelikan seperti untuk budak lelaki walaupun anaknya perempuan hahaha.

Contohnya, kereta mainan, traktor mainan, lori, robot dan bermacam-macam lagilah sehinggakan kami mampu mengumpul koleksi daripada motosikal mainan sehinggalah jengkaut mainan.

Membesarkan 6 orang anak tidaklah mudah bagi ibu bapa lagi-lagi apabila umur mereka dekat-dekat. Abang- abang dan kakak masing-masing jarak umur antara 1-2 tahun sahaja manakala aku dan adik jarak 5 tahun.

Nak menyekolahkan anak-anak yang masuk ke sekolah serentak memang agak menekan dari segi kewangan. Mana pakaian sekolah yang hendak dibeli, buku teks, yuran dan keperluan-keperluan lain.

Tetapi, abah tidak pernah tunjuk resah dan gelisah mengenai perkara tersebut di depan anak-anak.

Semakin meningkat umur, aku sudah mula mengerti tentang erti kepayahan abah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak.

Sejak aku sekolah menengah, aku memang bertekad, aku tak nak menyusahkan emak dan abah untuk membeli sesuatu yang bukan keperluan.

Jika aku inginkan sesuatu, aku akan kumpul duit sendiri dengan belanja sekolah yang emak berikan. Tidaklah banyak, lebih kurang RM2-RM3 sehari.

Jadi, waktu rehat memang aku tak beli makanan sebab aku nak simpan duit. Dengan duit itu dapatlah aku beli buku latihan, alat tulis, kalkulator dan bermacam lagi.

Baru-baru ini aku melihat gelagat ibu ayah menghantar anak-anak untuk hari pertama persekolahan. Memang kebanyakannya ayah lagi risau berbanding ibu. Begitu juga abah, kalau mengenai anak-anak, dia yang lebih risau berbanding emak.

Contohnya, kalau anak-anak pulang lewat sedikit dari tempat kerja, dia memang akan tunggu di depan pintu rumah, sekejap duduk sekejap berdiri menunggu anaknya pulang, sehinggalah nampak sahaja kelibat anaknya, baru dia akan baring dan menonton tv.

Kakak aku bekerja di Kuala Lumpur dan menyewa di sana. Jadi setiap kali Jumaat malam kakak aku akan pulang ke rumah. Tetapi biasanya awal pagi baru tiba kerana kalau balik awal nanti dia penat menghadap kesesakan jalan raya.

Setiap kali itulah memang abah takkan tidur sebelum kakak pulang. Walaupun dia tahu anaknya pulang lewat tapi abah tetap menunggu sehinggalah kakak tiba.

Sewaktu aku belajar di universiti. Memang setiap kali ingin pulang ke rumah, abah sendiri yang akan datang ambil. Jarak antara rumah dan uni aku dulu tidaklah dekat. Kira-kira 2 jam setengah perjalanan.

Pada awalnya memang aku nak menaiki bas sahaja untuk pulang, tapi abah tidak benarkan sebab dia risau akan anaknya.

Ramai kawan-kawan aku akan cakap “untunglah kau tak perlu susah-susah nak beli tiket bas untuk balik rumah.” Itu semua rezeki, Allah kurniakan abah buat aku.

Aku mengambil lesen kereta agak awal juga iaitu di usia 18 tahun. Masa itu seronok betul dapat bawa kereta sendiri. Selalunya, aku jadi penumpang sahaja.

Tetapi suatu hari, aku kemalangan. Tidaklah teruk, berlaga sedikit dengan kereta orang. Sejak dari itu aku agak trauma nak memandu lagi.

Jadi abahlah yang akan jadi driver yang akan bawa aku ke mana-mana. Sehinggalah tahun kedua aku memasuki alam pekerjaan. Abah mendapatkan kereta buat aku, tetapi bulanan masih aku yang bayar hahaha.

Masa itu abah melepaskan aku memandu sendiri, itulah kali pertama aku memandu sejak kemalangan dulu, lebih kurang 4 tahun juga aku tidak memandu. Takut itu ada, tapi abah kata, abah yakin aku boleh memandu sendiri.

Lama-kelamaan aku semakin mahir dengan jalan raya sehinggalah sekarang.

Abah merupakan penghidap diabetes dari muda lagi. Tetapi tidaklah di tahap merisaukan. Masih di peringkat terkawal. Tetapi semakin meniti usia, penyakit diabetes abah semakin teruk.

Tahap kesihatan abah tidak menentu. Ada turun dan naiknya. Sehinggalah sampai ke peringkat abah perlu menyucuk insulin setiap hari dan memerlukan pemeriksaan berkala di klinik kesihatan.

Walaupun begitu. Semua itu abah buat sendiri. Dia memang takkan menyusahkan anak-anak mahupun isterinya.

Dari pengambilan ubat, cucuk insulin malah ke klinik juga sendiri. Aku ingat lagi semasa aku di sekolah menengah, di bahagian kaki abah perlu dikorek kerana ada tisu mati.

Jadi, doktor perlu buang untuk kesan yang lebih teruk. Dalam keadaan begitu juga abah masih memandu sendiri walaupun aku melihat abah dalam kesakitan. Kami sebagai anak, memang kami ada tawarkan untuk membantu, tapi abah tetap menolak walau apa cara sekalipun.

Sebelum ini, abah ada beberapa kali dimasukkan ke hospital disebabkan penyakit kencing manis. Sebab orang yang menghidap kencing manis ini memang tidak boleh terluka lagi-lagi bahagian kaki. Kerana mereka tak akan sedar akan luka tersebut sehingga terlihat darah yang mengalir.

Kami di rumah, kalau ada pinggan atau cawan yang pecah, kami pasti akan sapu sebersih-bersihnya kerana risau abah terpijak sebab dia takkan sedar.

Suatu hari kami tak perasan kaki abah terluka di sebabkan terkena ekzos motosikal. Sehingga emak perasan ada kesan darah pada kaki abah.

Pada awalnya emak membersihkan sendiri sebab sebelum ini juga memang emak yang akan buat dressing pada kaki abah kalau ada luka, doktor juga yang ajarkan.

Makin lama luka tersebut makin besar. Banyak kali kami pujuk abah untuk pergi ke klinik. Tetapi abah menolak sehinggalah satu tahap kami paksa juga abah untuk pergi klinik dan selepas itu perlu dirujuk ke hospital. Doktor membuat pembedahan dan buang tisu-tisu mati pada kaki abah.

Lebih kurang 10 hari juga abah di tahan di wad hospital. Selepas dari itu, setiap hari kami akan bawa abah ke klinik untuk mencuci luka dan membuat dressing yang baru.

Jadi, semasa hari bekerja aku dan adik yang akan bawa abah ke klinik, hari cuti pula, abang atau kakak yang akan bawa.

Aku sendiri juga belajar cara nak dressing kaki abah yang diajar oleh perawat tersebut. Sebab katanya dressing kaki ni perlu ditukar setiap 8 jam. Jadi, lebih kurang 2 kali sehari. Jadi kami perlu mencuci sendiri luka abah pada waktu malam.

Aku seorang yang ngeri dengan luka sebenarnya. Luka kecil pun aku takut, apatah lagi luka pembedahan kaki abah. Tapi, Allah Maha Berkuasa. Dia beri aku kekuatan waktu itu tanpa sedikit pun perasaan takut untuk cuci dan balut sendiri kaki abah.

Sehinggalah suatu hari abah nampak lemah. Dia baring sahaja, kami tanya abah, dia kata dia okay sahaja dan dia mengantuk.

Selepas itu, abah semakin lemah. Kami terpaksa menelefon ambulans sebab abah dah nampak lemah sangat. Mereka datang, mereka periksa tekanan oksigen abah. Jatuh ke bacaan 70. Mereka apa lagi, terus angkat abah ke atas katil sorong dan memasuki ambulans.

Dalam pada itu, abah sempat lagi bercakap, “spray abah bawa” dalam butir yang tak berapa jelas. Rupanya dia minta untuk membawa penyembur untuk dia berwuduk nanti. Abah memang sangat menjaga solatnya.

Abah ditemani abang di dalam ambulans. Sementara aku dan adik menaiki kereta ke hospital. Emak pula hanya menanti di rumah. Kerana emak ada sakit lutut agak sukar sedikit untuk berjalan.

Dalam tempoh itu aku dan adik setia menanti di luar wad kecemasan. Menunggu jika dipanggil, sehinggalah abang aku keluar dari wad, dia kata kami boleh tengok abah seorang demi seorang tapi tak boleh lama sebab itu wad kecemasan tambahan pula di musim covid.

Aku memasuki wad tersebut. Bunyinya bising disebabkan bunyi mesin oksigen dan pelbagai lagi mesin di dalam wad tersebut. Aku cari katil abah satu demi satu.

Akhirnya aku nampak abah. Abah terbaring sambil memakai alat pernafasan di mulut. Abah dah boleh bercakap dengan butiran yang sedikit jelas berbanding sebelumnya, bacaan oksigen abah mula naik 95.

Abah tanya “adik baru balik kerja ke?” Sedangkan sebelum itu dia memang tahu aku cuti.

Aku hanya boleh berkata “ya abah” mungkin disebabkan kurang oksigen ingatan abah ingat tak ingat.

Dia tanya “mak dengan siapa dekat rumah” aku kata “mak ada sorang abah” abah suruh aku balik teman mak. Dalam keadaan dirinya begitu, dia masih risaukan emak seorang di rumah.

Tapi mak aku kata tunggulah di hospital itu dulu. Doktor yang merawat abah berjumpa dengan aku dan menerangkan tindakan dan risiko untuk rawatan abah.

Doktor kata mungkin ada risiko untuk potong sebelah kaki abah iaitu di bahagian terkena jangkitan kuman. Doktor hanya menerangkan risiko yang mungkin terjadi.

Tetapi, aku waktu itu merasakan bahawa takkanlah kaki abah dipotong kerana kami sangat menjaga abah sejak abah ditahan wad sebelum ini.

Takdir Allah, esoknya, doktor menelefon kami meminta persetujuan untuk abah ditidurkan sebab bacaan oksigen abah rendah jadi mereka nak stabilkan semula tahap oksigen abah.

Jadi, abah perlu ditidurkan. Kami menangis mendengar. Sebab waktu itu, perkataan ‘ditidurkan’ itu sering kali terdengar dan ketakutan itu akhirnya kami rasainya sendiri.

Selepas sahaja abah ditidurkan, doktor menelefon kami semula meminta seorang waris datang ke hospital.

Jadi abang aku mewakili kami pergi ke hospital. Rupanya doktor beritahu bahawa kaki abah sebelah kanan perlu dipotong iaitu kaki yang dijangkiti kuman di mana tempat luka terjadi.

Abang aku yang ketiga ini badannya besar tapi hatinya lembut. Satu demi satu air mata terus menitis di pipi. Dia menelefon mak dan makcik-makcik aku untuk meminta pendapat.

Doktor kata, sebelum abah ditidurkan dia ada bertanya kepada abah, abah memang tak mahu kakinya dipotong. Tapi waktu itu, keputusan kami harus segera kerana nyawa abah dalam bahaya. Antara hilang nyawa dan hilang kaki.

Kami mengambil keputusan untuk menandatangani surat untuk kaki abah dipotong. Dan hari tersebut juga, adik abah iaitu pakcik aku meninggal dunia. Satu demi satu ujian yang Allah beri buat kami.

Sehari demi sehari kami menunggu andai ada berita baik yang menanti buat kami. Dan setiap hari juga doktor menelefon kami menerangkan keadaan semasa abah. Jujur aku katakan, doktor di hospital ini sangat efisien. Mereka melakukan tugas mereka dengan sebaiknya.

Sehinggalah pada hari ke-11 abah ditidurkan lebih kurang 3.30 petang aku mendapat panggilan video dari kakak kerana waktu itu aku sedang bekerja. Tangan aku terus menekan butang untuk menjawab telefon dan sedikit perasaan gementar pada waktu itu.

Buka sahaja panggilan, aku terlihat wajah abah di skrin telefon. Ada juga emak, kakak dan abang-abang aku di skrin yang sama. Abah dah sedar dari koma. Allahu Akbar. Allah Maha Besar, aku menangis waktu itu bersyukur Tuhan saja yang tahu.

Rupanya nurse yang membuat panggilan video waktu itu untuk kami bercakap dengan abah. Adalah dalam 1 jam kami berborak. Abah masih dengan alat pernafasannya. Suara abah kuat dan abah sempat bergurau senda.

Nampak abah segar sangat waktu itu. Petang itu juga mak aku terus ke hospital untuk menghantar telefon pada abah. Barang tersebut di beri kepada pengawal keselamatan dan mereka yang akan berikan kepada abah.

Jadi, mudah untuk kami telefon abah setiap hari. Malam itu, abah telefon kami. Kebetulan hari tersebut hari jadi adik aku. Memang kami kata, ini hadiah hari jadi terindah buat dia. Harapan yang timbul dari tiada harapan.

Abah cakap dengan kami satu-satu perkataan. Dia kata masa dia tengah spray anggota badan untuk mengambil wuduk. Sampai di bahagian kaki, dia cari kaki kanan dia tak ada. Dia baru tahu waktu itu kakinya dipotong.

Kami agak risau waktu itu, takut semangat abah jatuh. Tapi tidak sebaliknya, dia sendiri kata “takpelah nanti boleh pakai kaki palsu sambil ketawa, abah positif je, ini ujian Allah, Abah redha” Alhamdulillah abah terima sebaiknya. Kami semua seronok mendengar.

Dalam tempoh itu tahap kesihatan abah setiap hari semakin baik. Sehinggalah abah boleh berpindah ke wad biasa. Doktor beritahu nanti abah akan berpindah ke wad fisioterapi.

Di wad tersebut, seorang waris dibenarkan untuk menjaga dan membantu abah membuat fisio setiap hari kerana abah dah lama terbaring jadi mereka nak pulihkan semula otot-otot abah.

Emak dengan senang hati tawarkan diri untuk menjaga abah di hospital. Excited sungguh emak, awal-awal lagi dia dah kemas baju dan barang-barang yang perlu dibawa, tinggal doktor sahaja untuk menelefon memberitahu jika abah sudah boleh berpindah ke wad fisioterapi tersebut.

Bila abah dapat tahu mak nak jaga dia. Terus abah beritahu doktor bahawa minta ditukarkan dengan aku sebab emak sakit lutut, Abah takut mak penat atau menyusahkan emak untuk jaga dia.

Abah ni diam tak diam memang seorang yang sweet hehehe. Walau sakit macam mana, masih fikirkan isterinya di rumah.

Jadi doktor minta aku untuk datang menjaga abah nanti. Tetapi, peluang abah untuk ditukarkan wad tipis apabila doktor beritahu wad tersebut penuh, jadi abah kekal dengan wad yang sekarang.

Abah masih memakai alat pernafasan tetapi lebih ringan iaitu melalui hidung sebab oksigen abah masih belum pulih sepenuhnya.

Jadi doktor benarkan kami untuk datang bergilir-gilir setiap hari untuk membantu abah pulihkan semula kekuatan otot badan. Bermula dari abang sulung aku untuk datang pada 3 hari berturut-berturut.

Kemudian, abang ketiga dan angah abang kedua aku selepas itu. Dan tibalah giliran aku untuk menjaga abah, kerana selepas itu akan tiba giliran kakak dan adik pula.

Pada hari giliran aku. Pagi-pagi lagi aku dan emak sudah keluar membeli barang keperluan untuk memudahkan kami menjaga abah.

Aku beli, minyak angin, minyak rambut, body mist, tisu basah, tisu kering, ubat gigi dan segala barangan keperluan untuk abah. Satu bag besar dan 1 bag kecil juga barangan yang perlu aku bawa. Macam nak pindah rumah hahaha.

Selepas zohor aku tiba di hospital. Nak mencari parking macam biasa memang susah. Sudahnya aku perlu menapak jauh juga sebab tiada parking yang berdekatan. Selepas mendapat kebenaran memasuki wad, aku mencari katil abah. Di wad tersebut terdapat banyak bilik.

Ada bilik yang menempatkan 2 katil, 4 katil dan ada juga yang 8 katil. Untuk bilik abah, terdapat 8 katil, mencari jugalah sebab banyak juga bilik di situ.

Akhirnya, aku jumpa juga katil abah atas bantuan nurse di situ. Sebelum masuk, air mata aku tiba-tiba mengalir. Mungkin lama sangat tak jumpa abah. Aku rindu sangat abah.

Aku lap dulu air mata aku dan melangkah masuk. Aku kejut abah sebab waktu itu abah sedang tidur. Terkejut abah tengok aku datang. Aku bawa banyak makanan untuk abah. Nasi kandar, buah-buahan, minuman dan biskut.

Melihat keadaan abah waktu itu sedikit luluh hati aku sebab yang aku bayangkan abah dah mampu untuk duduk sendiri, mampu untuk makan sendiri, mampu untuk pusing kanan dan kiri sendiri. Rupanya tidak. Abah hanya terbaring lemah di atas katil.

Malah, makanan-makanan yang diberikan pihak hospital sebelum ini juga selalu dibantu oleh pesakit sebelah untuk abah makan. Aku suap buah ke dalam mulut abah sambil mata berkaca.

Aku tahan aku harus tunjuk kuat depan abah. Sambil itu abah sebut “kalau dapat buah ciku lagi sedapkan dik” sebelum itu memang dia ada beritahu nak makan buah ciku. Aku dah cuba cari pada pagi tersebut tapi tak jumpa dan waktu yang suntuk untuk ke hospital pula.

Aku minta maaf pada abah dan kata esok along datang bawa buah ciku untuk abah ya. Abah mengangguk lemah. Aku lap muka abah, lap badan abah, potong kuku kaki abah, buang kulit mati pada badan abah.

Akhirnya, abah nampak lebih bersih dan kemas dari sebelumnya. Jambang abah sebelum ini Angah dah tolong bersihkan. Jadi aku perlu menyambung yang lainnya.

Hari itu, abah banyak tidur, borak sekejap-sekejap kemudian dia tidur, setiap kali abah terjaga dia akan tanya dah masuk waktu ke? Setiap 10 minit sekali abah terjaga.

Dua waktu, asar dan maghrib aku membantu mengambil wuduk abah. Tepat jam 8 malam. Abah meminta aku untuk pulang sebab hari dah malam. Berat hati aku nak melangkah keluar, ambil masa juga untuk aku kuatkan hati untuk balik.

Selangkah aku melangkah aku menoleh, abah lambai kepada aku. Dan aku keluar dengan air mata bagai tanpa penghujung. Sedih sangat waktu itu, ikutkan hati ingin saja aku bawa abah pulang sekali.

Keesokan harinya. Along datang membawa buah ciku dan sedikit makanan untuk abah. Tetapi, pengawal keselamatan tidak benarkan. 1 jam kebih juga along menunggu untuk giliran guard seterusnya tapi hampa, masih lagi tidak dibenarkan.

Akhirnya along hanya meninggalkan makanan di tempat yang dikhaskan untuk dihantar kepada pesakit. Sedih hati aku sebab aku tahu susah untuk abah makan sendiri. Tak tahu sama ada abah dapat makan atau tidak.

Bersambung lagi keesokan hari yang sepatutnya giliran kakak untuk menjaga abah. Keputusannya masih sama sebab abah masih tidak dibenarkan menerima pelawat.

Kasihan kakak, dia menanti sangat untuk hari tersebut. Petang itu, abah telefon mak. Dia kata takpe, dia faham kenapa kami tak datang melawat. Dan abah tanya kalau tilam angin dia dah sampai.

Abah terbaring terlalu lama dan disebabkan itu abah ada bedsores. Jadi, dia perlukan tilam angin untuk kurangkan impak bedsores tersebut.

Lebih kurang 10-15minit mak berborak dengan abah sebelum menamatkan panggilan.

Di tempat kerja, masuk sahaja waktu maghrib aku ke surau. Aku bekerja di kedai di dalam mall. Jadi waktu solat memang perlu solat di surau.

Memang aku ada dengar bunyi notification dari telefonku. Tetapi, aku solat dahulu. Kemudian, aku ke tandas, waktu itu baru teringat akan bunyi notification tadi.

Rupanya mesej dari mak. Yang berbunyi “dik, abah tengah nazak, minta standby” luruh jantung aku dengan ayat yang pendek itu. Aku terus berlari menuruni tangga escalator satu demi satu sambil air mata sukar ditahan lagi.

Sampai sahaja di kedai tempat aku bekerja, aku memasuki kaunter cashier dan terus terduduk menangis semahu-mahunya. Ya Allah. Abahhhh… Rakan sekerjaku terus memelukku selepas mendapat tahu keadaan abah.

Aku pulang, ahli keluarga semua sedang berkumpul sementara abang ketiga aku di hospital. Dalam pada itu, aku masih mengharap sinar harapan buat abah. Lebih kurang 8.30 malam, telefon emak berbunyi dengan sebuah panggilan video.

“Mak, kita kena redha ya mak. Kita kena sabar ya mak. Abah dah takde mak” Allah. Allah. Allah. Kami menangis semahunya. Allah saja yang tahu perasaan kami waktu itu.

Abah dibawa ke rumah makcik aku iaitu adik abah. Ikutkan ada 2 pilihan sama ada meletakkan abah di bilik mayat atau dibawa pulang sementara dikebumikan pada esok hari. Tapi, abang aku teringat yang dia pernah berborak dengan abah semasa abah di wad sebelum ini.

Abah kata “wad ni sejuk, tapi kalau bilik mayat mesti lagi sejukkan” sebab abah memang tak tahan sejuk. Jadi bangcik(abang ketiga) ambil keputusan untuk bawa ke rumah mak cik aku kerana berdekatan dengan tanah perkuburan keluarga besar kami di situ.

Aku, emak, kakak dan adik terus ke rumah makcik. Tiba sahaja kami di situ, aku terpana sebentar dan berjalan perlahan mendekati abah.

Dua hari lepas aku lihat abah bernyawa, kali ini aku melihat abah kaku tidak memberi tindak balas. Aku peluk abah, aku cium abah. Dan itulah pertemuan pertama emak dan abah sejak abah dimasukkan ke hospital menaiki ambulans dulu.

Cinta hingga akhir hayat buat abah dan emak. Sepanjang malam, aku setia berada di sisi abah, dibaca yaasin berulang kali ada masa aku terlena sebentar di sisi abah, kemudian bangun kembali.

Emak wanita yang kuat dia menangis tapi sekejap sahaja, hanya menunjukkan kesedihan dengan mata yang merah menahan kesedihan.

“Emak redha. Abah pergilah dengan tenang. Tiada lagi kesakitan buat abah. Tiada lagi derita. Abah berehatlah di sana”

Aku Rindu Abah…

Nukilan oleh,

– Zaitun (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *