Aku Rindu Ayah

Assalamualaikum semua. Aku nak ucapkan terima kasih sekiranya diberi kesempatan untuk cerita aku dikongsi. Aku tidak reti untuk bercerita tapi aku hanya ingin meluahkan perasaan yang selama ini aku pendam selama 10 tahun dan ingin meminta pendapat dan nasihat pembaca yang mungkin mengalami nasib yang sama macam aku.

Kebahagiaan aku bersama ibu ngan ayah hanya bertahan selama 11 tahun. Sewaktu aku berumur 11, keluarga aku mempunyai masalah kewangan. Aku masa tu tak berapa faham sangat situasi yang keluarga aku alami. Maklumlah, masih budak2. Yang aku tahu, masa tu, ayah sampai pinjam along sampai enam orang along. Jumlah hutang yang terpaksa bayar sehingga mencecah puluhan ribu. Disebabkan tak mampu nak bayar hutang2 tu, ayah bawa kami sekeluarga balik kampung ibu. Aku dapat tau segala yang berlaku apabila aku terdengar perbualan ibu ngan ayah.

Masa tu, hanya Allah je yang tau perasaan kami terutama ibu yang tengah berpantang, baru lepas melahirkan adik aku yang ketujuh. Aku tak tau kenapa ayah sampai buat macam tu. Dan yang paling pelik, aku tak tau apa yang dia buat dengan duit sebanyak itu kerana pekerjaan ayah masa tu hanyalah sebagai peniaga kedai runcit. Di situlah aku belajar tentang pahitnya sebuah kehidupan, Untuk lebih terang, kami memang berasal dari keluarga yang sederhana, tak lebih tak kurang tapi segalanya cukup dan membahagiakan.

Disebabkan tak mampu berbuat apa-apa dan ibu minta ayah untuk tidak melarikan diri lagi, ayah bawa kami sekeluarga pergi jumpa maklong (kakak kepada ayah). Adik-beradik ayah boleh dikatakan keluarga yang kaya-kaya kebanyakannya. Sepupu-sepupu aku belah ayah semua dah besar-besar. Itu yang menyebabkan aku pun tak rapat dengan sepupu-sepupu aku belah ayah. Akhirnya, Adik-beradik ayah aku sepakat untuk pinjamkan duit mereka untuk tolong ayah dan bina kehidupan baru semula.

Kehidupan kami kembali stabil, dan tiada lagi yang mengejar keluarga kami. Ayah kembali bekerja macam biasa. Selepas peristiwa itu, ayah bekerja sebagai kontraktor. Aku cuba untuk kembali bersangka baik dengan ayah. Aku memang rapat dengan ayah sejak kecil kerana boleh dikatakan ayah la pelindung kami bila kena marah dengan mama. Namun, peristiwa itu membuatkan hubungan aku dengan ayah semakin renggang. Kepercayaan aku dengan ayah semakin kurang. Lebih2 lagi, bila aku masuk asrama, ayah la insan yang paling jarang aku jumpa. Mungkin sebab sibuk bekerja. Sejak peristiwa itu, aq lebih rapat dengan mama.

Namun, aku sentiasa cuba untuk berbaik semula dengan ayah. Aku ingat aku boleh. Tapi aku silap. Peristiwa yang sama berulang kembali setelah 3 tahun berlalu. Kali ni, ibu masih berpantang setelah melahirkan adik aku yang terakhir (yang kelapan). Ibu dan ayah bergaduh disebabkan ayah yang kembali tidak bekerja dan asyik tidur tidak mencari kerja. Ibu juga bengang apabila sudah masuk hari ketujuh kelahiran adik, ayah masih tidak mendaftarkan kelahiran adik. Perkara itu la punca pergaduhan besar antara mereka. Semenjak itu, ayah keluar rumah dan tidak kembali sehingga sekarang.

Ayah keluar rumah sehelai sepinggang dengan menaiki motor buruk peninggalan arwah atuk. Puas ibu mencari ayah di tempat yang selalu dia lepak, bertanyakan kawan2 ayah tentang ayah, dan akhirnya Ibu menemui jalan buntu. Jujur aku memang sedih tengok keadaan ibu yang masih dalam keadaan berpantang, terpaksa menguruskan lima orang anakanya yang masih bersekolah (3 asrama) dan dua orang anak kecil tanpa sebarang sumber kewangan bersendirian. Ibu seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Jadi, dia hanya mengharapkan sumber kewangan ayah. Kebetulan, masa tu bulan disember, banyak keperluan sekolah yang perlu diuruskan. Tanpa ayah, ibu terpaksa melakukannya sendirian.

Keadaan menjadi lebih keruh apabila ayah meninggalkan kami dengan bebanan hutang yang sangat banyak. Kami terpaksa meninggalkan rumah yang didiami dan penuh kenangan suka duka bersama kerana dilelong bank. Kereta yang pernah dihadiahkan ayah untuk ibu, terpaksa ibu jual dan menggantikan kereta yang lebih murah demi menyara kehidupan kami sekeluarga. Ada beberapa orang along dan kawan-kawan ayah yang datang menuntut hutang ayah. Bahkan, kami pernah diberi surat ugutan dan rumah sewa disimbah cat merah sekiranya tidak beritahu keberadaan ayah. Walhal, kami sendiri tidak tahu di mana ayah berada.

Sebagai perlindungan, ibu buat laporan polis tentang kejadian yang berlaku. Seperkara lagi yang lebih membuatkan hati ibu terluka, apabila ada perempuan yang tidak dikenali datang ke rumah, membuat fitnah tentang ibu, dan menceritakan perkara yang buruk yang pernah terjadi antara ayah dengan perempuan tersebut. Mendengarkan perkara itu, hati mama betul-betul terguris. Sebagai seorang perempuan, aku turut terasa apa yang dirasakan ibu. Ibu benar-benar bencikan ayah selepas semua itu terjadi. Bahkan, ibu sampai mengugut kami bahawa dia tidak akan mengaku kami anak jika kami cuba menghubungi ayah. Sebagai seorang anak, aku terguris dengan kata-kata ibu sebab aku tak nak jadi anak derhaka. Seburuk-buruk ayah, dia tetap ayah aku.

Selepas setahun ayah keluar rumah dan tidak kembali, ibu mengambil keputusan untuk menuntut fasakh sebab ibu sudah tidak tahan hidup ibarat bergantung tanpa bertali. Kami 8 beradik redha dengan keputusan ibu kerana kami faham penderitaan mama. Kini, sudah 7 tahun ayah pergi meninggalkan kami. Adik bongsu aku kini sudah berusia 8 tahun, dan sejak bayi, dia tidak pernah merasakan kasih sayang seorang ayah. Bahkan, dia tidak mengenal ayahnya sendiri.

Ayah masih hidup lagi waktu tu. Yang paling kerap menghubungi ayah ialah adik aku yang pertama dan ke2. Sewaktu kecil, mereka tidak memahami segala yang berlaku. Sekiranya mereka dimarahi ibu, ayah la tempat mereka mengadu. Bahkan, ayah lebih kerap melawat adik ke2 aq di sekolah berasrama berbanding yang lain. Aku dengan kakak jauh sekali untuk menghubungi ayah kerana kami masih tidak boleh terima perbuatan ayah.

Tapi, itu bukan bermakna kami benci, cuma kami kecewa dengan perbuatannya. Aq yakin masa akan memulihkan keadaan dan menyembuhkan hati kami. Sebagai anak sulung, kakak memilih untuk menamatkan pelajarannya sehingga peringkat spm dan berkerja demi membantu ibu menyara kehidupan kami sekeluarga. Dan aku ingin terus belajar kerana pesan ibu, biarlah aku belajar sehingga ke peringkat tertinggi dan jadi inspirasi untuk adik-adik yang lain. Biar kita miskin harta, asalkan kita kaya ilmu sebagai bekalan hidup di dunia dan akhirat. Pemergian ayah membuatkan kami menjadi insan yang lebih berdikari bahkan lebih baik. Aku yakin inilah hikmah atas segala yang berlaku.

Aku juga yakin suatu hari nanti, aku akan bertemu dengan ayah dalam keadaan aku betul-betul sudah bersedia, aku ingin meluahkan segala perasaan yang aku pendam selama ni, aku ingin cium dan peluknya, aku ingin cakap yang aku sayang dia walau seburuk mana pun perbuatannya, dan aq ingin dengarkan penjelasan atas segala yang berlaku.

Walaubagaimanapun, Allah Maha Mengetahui kan.. Segala impian aku hanya sekadar impian. Suatu hari, sewaktu aku berada di asrama di sebuah IPTA, aku mendapat panggilan telefon dari adik aku yang berada di rumah bahawa ayah aku sudah meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan. Saat itu, aku tidak tahu macam mana nak ungkapkan perasaan aku. Bayangkan perasaan seorang anak yang sudah tujuh tahun tidak berjumpa ayahnya dan mendapat panggilan bahawa ayahnya sudah meninggalkannya buat selama-lamanya. Ayah pergi dengan segala jawapan yang paling aku nantikan. Tidak sempat untuk aku meminta maaf atas sikap aku selama ini.

Aku betul-betul menyesal atas perkara yang terjadi. Walau seburuk mana kesilapan ayah, ayah tidak pernah berbuat jahat kepada kami 8 beradik. Masalah yang berlaku hanya antara dia dengan ibu. Tetapi, keegoan aku yang tebal telah membazirkan masa yang ada. Aku tidak ada kenangan saat-saat akhir bersama ayah langsung. Lebih memilukan aku, apabila mendapat tau ayah aku hanya seorang gelandangan semenjak keluar rumah 7 tahun lalu. Sampai sekarang, aku tidak mengerti kenapa ayah lebih memilih jalan itu, walhal dia masih boleh kembali kepada kami dan menjalankan kehidupan seperti biasa macam keluarga yang lain. Dan mengapa adik beradik ayah tidak membantu ayah disaat itu???

Walhal, mereka lebih dari mampu.. Aku paling cukup kecewa dengan adik beradik ayah. Pada aku, mereka hanya penting diri sendiri. Sewaktu kami susah, mereka tidak pernah ambil tau pasal kami (anak-anak ayah). Sehinggalah setelah ayah meninggal dunia, mereka masih menyusahkan kami. Mereka lupa tentang hak-hak kami sebagai waris ayah. Walaupun ayah sudah tiada, banyak lagi persoalan yang bermain di fikiran aku tentang ayah.. Walaupun aku yakin aku tetap tidak akan menemui jawapan persoalan itu, tapi aku akan terus menunggu.

Aku tetap akan sayang ayah sampai bila-bila walau apa pun yang terjadi. Aku masih tidak boleh lupakan senda gurau ayah dengan aku sewaktu aku kecil. Ayah yang lebih banyak mengajar aku tentang ilmu agama berbanding ibu. Aku yakin, dia hanya tersilap langkah. Tapi, apakan daya, masa tidak boleh diundur… Dan hati yang terluka bukan senang untuk diubati.. Terlalu banyak kenangan manis aku dengan ayah… Ayah, Iman sayang ayah. Iman rindu ayah. Iman harap kita boleh berjumpa di syurga.

“HARGAILAH IBU BAPA ANDA SELAGI MEREKA ADA.. JANGANLAH BIARKAN KESILAPAN YANG DILAKUKAN ITU DAPAT MENUTUP SEGALA KEBAIKAN DALAM DIRINYA…”

– IMAN

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *