Aku, Sarah dan Ayah

Assalamualaikum. Nama aku Anis Qaisara, (bukan nama sebenar). Pelajar di salah sebuah IPTA. Berusia 23 tahun. Tujuan aku menulis untuk mencoretkan sebuah coretan mengenai aku, Sarah dan keluarga aku. Coretan ini panjang dan semoga ia memberi pengajaran kepada semua. Jalan cerita aku ubah sikit agar tiada siapa yang hidu kisah ini. This is based on true story.

Aku mempunyai saudara perempuan atau lebih tepat sepupu perempuan iaitu Sarah Aisyah, (bukan nama sebenar), Ayah Sarah adalah Abang Papa aku. Aku sangat bahagia hidup dalam keluarga ini. Dilimpahi dengan kasih sayang, perhatian dan semua keperluan dan kehendak dipenuhi. Aku dan Sarah dibesarkan dengan penuh adab sopan santun. Mama mengajar kami nilai2 murni yang baik. Papa pula banyak membentuk sahsiah dan akhlak kami. Tetapi malangnya, Sarah lebih bersifat memberontak dan seringkali bersikap biadab. Sarah adalah anak kepada abang Papa yang kami panggil Ayah. Ibu kepada Sarah telah meninggal dunia ketika melahirkan Sarah. Akibat komplikasi tersebut, Ibu Sarah tidak dapat diselamatkan. Oleh itu, Sarah dijaga oleh Mama, Papa dan juga Nenek.

Apabila meningkat dewasa, Sarah semakin menjauhkan dirinya dari Ayah. Dia tidak mahu rapat malah dia juga tidak mahu mencuba untuk rapat. Hal ini kerana keadaan kesihatan Ayah yang seringkali jatuh sakit dan terbatas pergerakannya. Ketika aku dan Sarah berusia 3 tahun, Ayah disahkan lumpuh separuh badan. Ayah pada mulanya hanyalah menghidapi strok tetapi berlarutan menyebabkan gangguan saraf sehinggakan dia tidak berupaya untuk menguruskan diri sendiri. Atas sebab ini Sarah seringkali menjauhkan diri dari Ayah. Sarah lebih rapat dengan Papa kerana baginya Papa adalah ayah kandungnya. Pada mulanya Sarah tidak tahu, Ayah adalah bapa kandungnya tetapi selepas menginjak dewasa, Papa dan Mama memberitahu Sarah bahawa dia adalah anak kandung Ayah. Sarah tahu dan dia juga sangat faham tetapi sehingga hari ini, saat aku menulis ini, Sarah masih lagi dengan egonya yang tidak mahu mengambil berat akan keadaan Ayah dan tetap menganggap Ayah bukan bapa kandungnya. Mungkin baginya Ayah menyusahkan :(

Setiap bulan Ayah akan menjalani rawatan susulan di hospital. Setiap kali itulah Sarah tidak mahu menemani malah Sarah seringkali bertengkar dan bertikam lidah dengan Papa dan Mama yang dia tidak mahu pergi menemankan Ayah. Pernah suatu hari Sarah ditampar muka oleh Papa kerana bersikap biadab dengan Ayah. Aku cuba untuk tenangkan Sarah tetapi lain pula kejadiannya. Aku pula disumpahnya. Katanya kenapa bukan aku yang menjadi anak kandung Ayah? Dia malu dengan rakan-rakan sekolah dan kolej jika ada yang tahu Ayahnya tidak sempurna seperti bapa orang lain. Sewaktu aku dan Sarah di Tingkatan 5, buku rekod pencapaian pelajar dia sanggup meniru tandatangan Ayah kerana dia tidak mahu Ayah yang menandanya. Aku ada memberitahu Mama akan hal ini. Seperti biasa Mama akan membebel dan memarahi Sarah. Nasihat Mama, jika seorang ayah tidak berperangai baik atau jahat sekalipun, sebagai anak, kita wajib menyantuninya. Mama seorang ibu yang penyayang dan sangat ‘daring’. Mama menyayangi aku dan Sarah tanpa batasan. Sungguhpun Sarah anak saudaranya tetapi dia sayangkan Sarah bagaikan anak sendiri. Kadang-kadang aku juga cemburu tapi aku tidak kisah! Kerana aku sangat sayangkan Sarah. Dia sudah ku anggap seperti kakak.

Aku suka berbual-bual dan bermanja dengan Ayah. Walaupun keadaan fizikalnya yang terbatas, tetapi aku dapat rasa kasih sayangnya itu. Setiap malam aku pasti menemani Ayah dibiliknya sambil dia mengambil ubat-ubatnya. Ayah seorang yang tinggi semangatnya. Dia berusaha untuk sembuh, namun kata doktor harapan Ayah untuk pulih sangat tipis. Aku cuba berlagak kuat dihadapannya. Aku cuma mahukan dia sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti insan lain. Setiap kali aku menyebut mengenai Sarah, pasti ada awan mendung di tubir mata Ayah. Dia rindu anaknya! Ayah seringkali berkata padaku,” Anis, tak payahlah teman Ayah. Anis pergilah buat assignment. Ayah tak apa-apa. Ayah tak nak susahkan Anis”. Setiap kali ayat ini keluar, aku berkata pada Ayah “Anis tak pernah rasa Ayah menyusahkan sebab Anis sayang Ayah. Bukan senang Anis ada 2 orang Ayah yang selalu ambil berat tentang Anis”. Dan Ayah tersenyum ceria. Sumpah! Aku hanya mahu melihat senyuman Ayah bukan kesedihannya.

Ketika kami pulang dari sekolah, Ayah pasti akan menunggu kami. Dalam masa yang sama aku tahu Ayah bukan saja menunggu kepulangan aku tetapi Sarah. Ayah mana yang tidak rindukan anaknya? Setiap kali waktu makan, Sarah tidak makan bersama kami kerana dia tidak mahu makan bersama Ayah. Sarah lebih habiskan masa dengan rakan-rakannya diluar. Jika ada kelapangan, aku pasti akan menemani Ayah. Berbual, bercerita dan mendengar segala luahan hatinya. Orang sakit ni kita perlu beri perhatian lebih jika tidak emosinya terganggu dan jiwanya semakin tertekan. Dengan aku, Ayah sering mengatakan bahawa kehadiran dia dirumah ini menyusahkan semua orang. Sebab itulah Sarah juga sering menjauh diri. Tersentuh hati ini. Aku diam dan hanya mampu senyum. Oleh itu aku cuba pastikan setiap petang aku akan menemani Ayah minum petang di halaman. Mama dan Papa pesan pada aku, sayanglah Ayah sepertimana aku sayang Mama dan Papa. Sarah selalu berkata padaku yang aku cuba untuk merampas kasih sayang dari semua. Jujurnya, tidak pernah terlintas aku mahu merebut kasih sayang dan juga perhatian sesiapa. Aku cuma menemani Ayah yang keseorangan itu.

Aku cuba untuk berlapang dada menerima semua ini dan mengganggap apa yang terjadi dalam keluargaku adalah sebuah hikmahNYA yang kita tak tahu. Aku cuma berharap yang Sarah akan berubah dan boleh menerima Ayah sebagai bapa kandungnya.

Kepada Sarah, tidak lama lagi kita bakal bergraduasi. Dan kau bakal mendirikan rumahtangga. Kau harus sedar bahawa Ayahlah yang akan menjadi Wali kau nanti bukan Papa. Ayah adalah ayah kandung kau. Terimalah dia sebagai Ayah yang layak disayangi oleh seorang anak.

– Anis Qaisara

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *