Aku Sedar Dia Bukan Untuk Dimiliki

Assalamualaikum… Hai, aku Nia. Aku berusia 35 tahun, mempunyai 2 orang anak.

Kisah aku…

Pada tahun 2012 aku pernah jatuh cinta dengan seorang lelaki yang tak sepatutnya aku miliki. Dia suami orang, dia mengaku dia suami orang. Aku ketika itu sayangkan dia tapi aku tak sanggup lukakan hati perempuan lain demi sayang aku.

Sepanjang perkenalan, kami hanya pernah berjumpa sekali, tapi perjumpaan tu betul-betul buat aku rasa kagum dengan dia. Banyak sifat dia yang aku jadikan contoh dan aku masih ikut cara dia sampai sekarang.

Dia tidak seperti lelaki lain yang mengambil kesempatan kepada perempuan atas dasar sayang. Disebabkan itu, aku menarik diri dalam hubungan tu, aku hormat isterinya dan aku tak nak anak-anaknya terluka.

Pada tahun 2015, aku telah berkahwin dengan seorang lelaki yang aku sayang dan kami bercinta selama hampir 3 tahun.

Tetapi jodoh kami tak panjang, dia tinggalkan aku demi seorang perempuan yang rupa-rupanya dia dah bersama lebih lama daripada aku. Aku diduakan dalam diam daripada mula bercinta, bertunang dan berkahwin.

Dia kahwin dengan aku kerana keluarga dia tak sukakan perempuan tu. Kami berkahwin dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Aku berusaha selamatkan rumah tangga aku, macam-macam cara aku buat demi anak aku. Aku tak nak dia dibesarkan tanpa seorang ayah, tapi aku silap. Si ayah memberitahu kekasih dia yang anak itu anak luar nikah, anak lelaki lain. Demi menjaga hati perempuan itu.

Aku tekad minta fasakh kerana dia tak nak lepaskan aku. Akhirnya 2019 aku dilepaskan dan aku hanya menuntut diceraikan dan hak jagaan anak milik aku. Aku tak sanggup orang menghina anak aku sedangkan fizikal anak itu sebiji menyerupai ayahnya.

2020, aku tak sangka Allah masih menulis jodoh buat aku. Pada asalnya dia hanyalah seorang cinta monyet aku ketika sekolah.

Dia lelaki pertama yang boleh dekati anak perempuan aku setelah dia trauma dengan ayahnya dulu. Perkataan pertama dia sebut setelah berusia 2 tahun, “abah”. Disebabkan itu, aku menerima lelaki ini sebagai suami.

Dia seorang yang bertanggungjawab, dia buat aku rasa selamat, dia sentiasa ada dengan kami. Susah, senang, suka dan duka.

Dengan dia aku dikurniakan seorang anak perempuan. Dia tak pernah pilih kasih, bahkan dia terlalu sayangkan si kakak.

Hidup kami bahagia, dia mengisi kotak-kotak duka aku. Dia menutup rasa sakit aku yang dulu. Hidup kami sempurna selama 3 tahun, tapi sekali lagi aku diduga.

Allahuakbar… Suami aku didiagnosis sakit dan sakitnya tiada rawatan. Cuma hanya boleh lambatkan proses sahaja. Peritnya aku ketika itu, Allah sahaja yang tahu.

Tapi aku tetap kuatkan semangat, tabahkan hati, sentiasa berbaik sangka dengan jalan yang Allah kirimkan. Aku tahu DIA sayangkan aku. DIA ambil orang yang kami sayang kerana DIA lebih sayangkan suami aku.

Aku terus bertahan demi anak-anak. Aku terus berjalan langkah demi langkah untuk anak-anak.

Setiap hari aku berdoa agar Allah tidak membuka hati aku untuk sesiapa, minta agar jangan membolak-balikkan hati aku. Aku hanya mahu mengejar cinta Allah. Aku dekatkan diri dengan DIA, masa aku hanya untuk DIA, anak-anak dan keluarga.

Aku mohon agar hati aku tidak mudah terusik dengan kata-kata lelaki. Aku tidak pernah rasa sunyi. Hidup aku penuh dengan aktiviti.

Tapi 1 hari seseorang menegur aku, bertanya khabar tentang aku. Ketika itu, aku tiada apa-apa perasaan. Dia selalu memberi nasihat, semangat dan cara dia menegur aku buat aku rasa tenang.

Sikap dia buat aku jadikan dia contoh terbaik untuk aku berubah ke arah kebaikan. Banyak aku pelajari, banyak aku berubah. Perubahan itu lebih ke arah positif.

Dia adalah ‘abang’ yang pernah aku lepaskan 1 ketika dulu kerana dia adalah suami orang, dan dia masih suami orang ketika ini. Mungkin orang akan kata, dia sengaja tunjuk baik dengan aku sebab saja nak test market. Tapi sesungguhnya dia bukan begitu.

Dia yang selalu ingatkan batas kami, dan aku sentiasa ingat dalam diri aku bahawa aku takkan menganggap dia lebih daripada sepatutnya. Dia selalu sedarkan aku dan aku selalu sedarkan diri aku bahawa tak akan ada ‘kita’ dalam hubungan ini.

Aku sedar dan sangat faham perasaan ini salah, sebab aku tahu apa rasanya jika isterinya tahu tentang aku.

Aku selalu bermonolog dengan Allah, kenapa DIA hadirkan rasa ini lagi kepada orang yang salah. Terlalu salah.

Dengan abang, aku rasa dibimbing, aku rasa tenang. Sehingga aku rasa Allah hadirkan abang untuk sedarkan aku, bimbing aku ke jalan yang sepatutnya.

Tapi abang tak sepatutnya ada dalam cerita itu lagi. Hati dan fikiran aku tak seiring sehingga aku tak mampu untuk buat keputusan. Sakitnya rasa ini.

Aku cuba melepaskan untuk sekali lagi. Tapi aku tak rasa aku mampu kerana dalam hidup aku, watak abang terlalu istimewa. Dia dekatkan aku dengan agama aku. Aku tak tahu, aku buntu. Aku tak mahu lepaskan tapi aku kena lepaskan. Tapi perlu ke aku lepaskan?

Janji aku, aku takkan paksa dia kahwin dengan aku sebab aku nak hidup yang bebas tanpa komitmen. Aku takkan mengganggu dia bila dia bersama dengan keluarga dia.

Aku tak minta dia membalas perasaan aku. Aku hanya minta dia bimbing aku, tegur aku, teman aku agar aku tak bukakan hati kepada orang lain. Sebab aku tahu dengan abang adalah impossible. Dan aku tak nak ada relationship yang memerlukan komitmen sehingga perlu berkahwin.

– Niaa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *