Aku Seorang Anak Angkat

Terima kasih sekiranya coretan saya ini akan disiarkan pada akan datang. Saya ingin menjawab pada salah satu confession sebelum ini mengatakan dirinya anak luar nikah.

Mungkin diri saya belum berkahwin tetapi pernah terfikir untuk berkahwin kerana dilema yang melanda diri.

Saya mengetahui status saya sudah lama sebab memang saya pernah tengok sendiri sijil kelahiran asal walaupun tak pernah terfikir untuk menanyakan soalan ini pada mak atau ayah.

Bagi saya cukup besar pengorbanan mereka membesar, mendidik, memberikan kasih sayang dan sudi menjadikan saya sebahagian daripada hidup mereka.

Kali pertama saya buat mak saya menangis pada umur saya 18 tahun semasa saya ada masalah kesukaran mengisi borang ptptn pada masa itu.

Saya secara spontan menanyakan nama ibu dan bapa kandung tanpa berlapis sehingga mak saya keluarkan ayat ‘kau pergi cari ibu kau’. Mak menangis di kampung dan saya menangis di pusat pengajian hampir 3 jam.

Kehidupan saya tak seindah mimpi yang hanya indah sewaktu tidur. Kabanyakan ahli keluarga sebelah mak tak pernah sukakan saya dan sentiasa mencari kesalahan saya daripada kecil sehingga besar.

Kini sudah menjejak ke umur 27 tahun tapi masih sama. Setiap kali saya nak berkawan serius dengan lelaki pasti saya akan menangis dan meminta lelaki tersebut beritahu hal sebenar mengenai saya kepada ahli keluarganya.

Saya diberikan 2 situasi dimana pada perkenalan sewaktu 2015 keluarga belah lelaki tidak mahukan saya kerana tidak tahu asal usul. Sedih itu memang sedih tapi saya meletakkan semua itu pada tiada jodoh.

Sewaktu perkenalan dengan seorang lelaki waktu 2017 saya sendiri dengan berani menceritakan kepada keluarga lelaki itu tentang keadaan sebenar saya.

Bukan mudah untuk mengatakan anak angkat diluar nikah. Berat dalam hati dan berat juga bila ingin dibicarakan.

Pada perkenalan yang terakhir pada 2017 ahli keluarganya sangat menerima saya dan anggap saya sebagai anak tapi jodoh saya dengan lelaki tersebut tidak berpanjangan.

Kini dia sudah berbahagia dengan perkahwinan yang baru dibinanya. Saya dan keluarganya masih lagi baik seperti dahulu.

Pada saya, saya lebih memilih berterus terang sebab tidak mahu sekiranya perkara ini dibangkit2kan lagi. Tetapi ada perlunya kita diamkan sekiranya itu mendatangkan kebaikan akan datang.

Sekiranya itu yang ditakdirkan oleh Allah untuk kamu maka walau macam mana hakikat sekali pun pasti akan disatukan jua. Salah satu sebab kenapa saya beritahu, saya tak nak suatu masa saya dituduh menipu tentang hal sebenar.

Bagi saya sekiranya dia masih memilih saya pada kehidupan seseorang itu, maka dialah yang ditakdirkan oleh Allah untuk saya. Saya tak nak sakit hati dengan kenyataan pada masa akan datang jadinya saya memilih untuk berterus terang.

Saya trauma untuk berkawan dengan seseorang tetapi saya sentiasa percaya pada takdir Allah. Teruskan kuat pada sis tersebut. Allah berikan ujian kerana kita mampu. Jangan sesekali merasakan sesuatu ujian itu sesuatu kemusnahan dalam kehidupan.

Silap keluarga saya sama macam keluarga sis kerana tidak memberitahu hal sebenar kepada saya lebih awal. Saya faham kerumitan masalah yang sis tanggung, dilema untuk memulakan kehidupan baharu dengan lelaki kita idamkan.

Lebih baik dihina sebelum menjadi ahli keluarga daripada di caci dan dihina atas sesuatu yang bukan kita minta kemudian hari.

Kita bukan diminta lahir ke dunia dengan cara begitu. Jagalah aib selagi mampu terutama dalam keluarga. Saya doakan segala urusan awak dipermudahkan.

Maaf sekiranya ayat dan perkataan saya menguris hati sesiapa. Inilah hakikat yang akan ku tanggung sehingga hujung nyawaku.

Tidak akan pernah aku salahkan dosa masa lalu mereka. Bukan hak aku untuk menghukum, malah aku terlebih dahulu memaafkan kesalahan mereka.

Ibu dan ayah, sesungguhnya rinduku menggunung untuk melihatmu dan mengucapkan terima kasih tapi Allah tahu yang mana terbaik untuk kita. Walaupun tidak pernah ku jumpa. Kasih anak mu ini akan sentiasa untuk ibu dan ayah.

Terima kasih mak dan arwah ayah yang menjaga ku daripada kecil. Jasa yang tidak mampu untuk ku balas sehingga ke penghujung nafas ku.

– Miss Pocoyo (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *