Aku Seorang Planter

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih admin sebab siarkan “confession” aku ni. Sebelum aku teruskan cerita aku, aku mohon untuk menggunakan beberapa perkataan Inggeris sebab agak janggal term Melayu dalam bidang yang aku nak cerita ni. Harap aku tak kena kecam sebab isu ni. Enjoy! Oh… BTW, cerita ni panjang. Bear with me guys~

Aku J. Umur dalam awal 30-an. Bekerja sebagai Senior Assistant Manager di sebuah syarikat yang 100% mendapatkan keuntungannya melalui industri sawit. Aku ditempatkan di sebuah ladang yang berkeluasan hampir 4000 hektar. Setakat itu intro tentang diri aku.

Tujuan aku menulis ini adalah untuk menceritakan tentang profession yang telah aku pilih. “Jack of all trades, master of none”. Itulah kesimpulan yang boleh dibuat tentang profession aku sebagai Planter.

Sebagai planter, aku di tempatkan di ladang tempat aku berkhidmat. Diberikan sebuah banglo, pembantu rumah dan seorang nightwatchman/jaga setiap malam. Tugas aku senang. Pastikan buah sawit segar dihantar ke kilang setiap hari dalam kos yang telah ditetapkan. Aku akan huraikan “kesenangan “ tu satu demi satu.

Rutin harian aku sebagai peladang bermula seawal 6.30 pagi. Satu sesi “muster/roll call/polling” akan diadakan untuk mengambil kehadiran pekerja dan mengatur pergerakan pekerja ke kawasan yang telah ditetapkan.

Sekiranya di Sabah atau Sarawak, “muster” akan bermula seawal jam 5.30 pagi. Ye lah, sana kan siang awal. Masa “muster” ni juga pihak pengurusan ladang akan menegur sebarang kesilapan pekerja yang telah pekerja lakukan pada hari sebelumnya.

Selepas muster, aku akan mula melawat ladang. Setiap inci ladang akan dijejak terutamanya kawasan dimana pekerja telah ditugaskan melakukan kerja mereka. Program membaja merupakan sesuatu yang kritikal untuk sesebuah ladang. Ini kerana hampir 60% kos ladang digunakan untuk membaja.

Sebarang kesilapan melibatkan baja merupakan “critical offence” di mata audit. Memang point naik pangkat untuk geng audit ni kalau jumpa masalah melibatkan baja ladang.

Sebelah petang pula aku akan ke pejabat ladang untuk menyiapkan kertas kerja harian. Costing, documentation, filing, dan macam-macam lagi. Dokumentasi ladang merupakan salah satu “critical point” di dalam bidang perladangan.

Dari sudut “traceability” sumber buah sawit sampailah ke impak kepada masyarakat sekeliling ladang. Ini semua merupakan point dalam kriteria dalam prinsipal MSPO. Bayangkan jumlah penghasilan carbon dan Green House Gas juga perlu dikira.

Ok. Masuk balik topik utama. “Jack of all trade, master of none”. Bagi aku, banyak perkara yang perlu aku tahu. Dari bidang engineering, pengurusan sumber manusia, applied science, kesihatan, sehinggalah bidang undang-undang.

Sejak dari zaman kolonial British lagi, kebanyakkan ladang membina rumah mereka sendiri, dari design sehinggalah penentuan bahan yang digunakan. Segala ciri keselamatan diambil kira. Kedudukan banglo pengurus, kediaman staff dan pekerja dan segala safety measure sekiranya berlaku kecemasan atau ancaman.

Korang boleh tengok sendiri di setiap pintu masuk ladang Sime Darby pastinya mempunyai kubu yang dibuat dari susunan guni tanah. Pihak ladang juga boleh memohon lesen senjata api bagi menjaga harta benda ladang. Semua ini bukan dibuat sambil lewa atau suka-suka. Setiap aspek diambil kira.

Kebanyakkan personel yang menguruskan ladang mempunyai sijil “First Aider”. Sekiranya berlaku kecemasan, personel ini akan memberi bantuan awal sebelum bantuan dari pihak hospital sampai. Setiap kejadian kemalangan serius perlukan perhatian segera.

Sekiranya pekerja datang ketuk pintu rumah jam 2 pagi sekalipun, aku tetap perlu bangun dan memberi respon awal. Kebanyakkan ladang-ladang lama mempunyai “Health Assistance” sendiri. Ada juga ladang besar yang mempunyai Group Hospital tersendiri. Siap mesin X-ray. Untunglah dorang. Haha.

Setiap ladang mempunyai jentera atau machineries sendiri, dari traktor, generator sehinggalah heavy machineries seperti backhoe, shovel, atau excavator. Bergantung kepada keperluan ladang. Ada ladang yang pernah aku lawat mempunyai mesin “crusher run” sendiri untuk memecah batu bagi membuat jalan.

Setiap jentera ini memerlukan penjagaan khusus. Sekiranya berlaku kerosakan, pihak ladang akan membaiki sendiri jentera tersebut. Jarang sekali jentera ini dihantar ke luar untuk dibaiki oleh pihak ketiga. Kecuali bagi kes khas seperti kerosakan fuel pump atau turbo yang memerlukan special tools.

Setiap kali penyelenggaraan jentera, semua sisa-sisa yang terhasil akan dikumpul dan disimpan di stor khas. Setiap titik minyak enjin yang telah digunakan perlu disimpan dan dihantar ke pusat kitar semula termasuk segala mak nenek filter yang telah digunakan. Hatta bateri yang telah rosak dan tayar yang sudah botak perlu dikitar semula. Semua perkara ini perlu direkodkan dan disimpan.

Sebagai memenuhi hak asasi manusia, pihak ladang perlu menyediakan perumahan pekerja yang lengkap dengan kemudahan air dan elektrik. Rumah yang disediakan perlu memenuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990. Macam aku cakap tadi, segala akta dan undang-undang perlu diketahui oleh pengurusan ladang. Rumah yang disediakan mempunyai kriteria lengkap.

Ada pihak ladang yang memberikan secara percuma air dan elektrik kepada pekerja. Ya. Percuma. 365 hari setahun, 24 jam sehari. Kerajaan hari ni pun tak mampu buat. Haha. Menarik? Ada yang lebih menarik. Pihak ladang juga menyediakan “Day Care” kepada pekerja ladang yang mempunyai anak kecil. Segala tanggungan di Day Care ditanggung oleh pihak ladang.

Ladang besar seperti United Plantation menyediakan rumah orang-orang tua untuk bekas pekerja UP. Ada juga ladang yang menyediakan sekolah didalam ladang mereka. Sekiranya tidak mempunya sekolah, pihak ladang menyediakan kenderaan untuk menghantar anak-anak pekerja ke sekolah yang berdekatan.

Segala faktor diambil kira dalam menjalankan sesebuah operasi perladangan. Untuk ladang yang baru dibuka, “Social Impact Assesment” dan “Environmental Impact Assesment” perlu dilakukan. Sangat susah untuk membuka ladang sekiranya gagal salah satu Assesment ini. Dokumen ini perlu di public kan untuk orang awam.

Kita sering mendengar momokan dari Barat mengenai keburukan industri sawit. Antara contoh yang famous adalah mengenai kematian orangutan. Mereka menunjukkan data kematian orangutan akibat perladangan sawit. Mereka hanya mempunyai data tentang kematian orangutan, tapi data kelahiran orangutan tidak dilampirkan. Adil? Tahukah anda kebanyakkan estet mempunyai “Wildlife Area Reserve”? Tak percaya? Anda boleh ke Pulau Carey dan lihat sendiri.

Untuk pengetahuan semua, setiap ladang yang mempunyai sungai didalamnya perlu mempunya Riparian atau Buffer Zone di sepanjang tebing sungai itu. Setiap bulan, 3 sampel air perlu diambil di hilir, tengah dan hulu sungai bagi memastikan tiada bahan tercemar disalirkan didalam sungai itu. Ya, aku akui ada antara ladang sawit yang melakukan pembakaran terbuka tetapi itu di luar dari Malaysia dimana diluar autoriti aku.

Sumber tenaga kerja ladang banyak menggunakan warganegara luar. Ini kerana rakyat Malaysia amat kurang berminat bekerja di ladang. Ada diantara kawan aku juga turut menjadi mangsa sikap prejudis ini. Gara-gara seluar kotor bertanah, tidak dilayan di pusat jualan kereta dan bank.

Mungkin dorang tidak tahu dalam sebulan mamat tu secure gaji RM 4k hingga 5k sebulan. Yelah, nak belanja untuk apa lagi. Rumah free, air free, elektrik pun free. Tinggal hantar duit balik ke kampung dan belanja keluarga.

Banyak lagi yang aku belum cerita tentang kerja ladang ini. Kalau banyak komen positif, aku sambung cerita aku. Kalau ada apa-apa nak tanya, tanya saja dibahagian komen. Aku yakin rakan-rakan Planters aku ada yang menjawab nanti. Terima kasih. Out.

– John Johny Johnathan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. tuan boleh saya tahu tuan sekarang bekerja di ladang mana? ada kekosongan jawatan penyelia ladang tak buat masa ni.. untuk pengetahuan tuan saya mempunyai pengalaman sebagai penyelia ladang selama 13 tahun.. march 2022 saya berhenti untuk cuba berniaga tapi malangnya sy gagal dalam bidang tu.. sejak tu saya cuba mencari kerja semula sebagai penyelia ladang tapi sampai sekarang masih belum ada rezeki.. dulu² orang kata kalau pengalaman banyak senang nak cari kerja tapi sebenarnya tak.. susah betul.. harap tuan sudi balas ya terima kasih..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *