“Aku buta, ya… tapi bukan bermakna aku tiada arah.”
Bisik hatiku perlahan, malam itu… waktu aku duduk sendirian di birai katil, bertemankan suara mesin pembaca skrin yang tidak pernah jemu menemani.
Aku genggam telefon di tangan.
Aku baca perlahan-lahan iklan pekerjaan yang dikirim seorang sahabat.
*”Jawatan kosong: Pegawai khidmat pelanggan. Kerja dari rumah. Teknologi asas diperlukan.”
Aku senyum.
Kerja dari rumah.
Aku tahu, mungkin inilah peluangku.
Aku masih ingat, suara emak dulu waktu mula-mula aku hilang penglihatan.
Getar suaranya masih menusuk jauh ke dalam hati.
“Nak… hidup orang macam kita ni… bukan mudah. Tapi jangan kalah sebelum melangkah. Tuhan itu adil, Dia tutup satu jalan, Dia buka seribu jalan lain…”
Sejak itu aku belajar menggenggam kata-kata emak erat-erat.
Aku belajar membaca dunia dengan telinga dan sentuhan.
Aku belajar berjalan dengan tongkat putih, menapak dalam sunyi tapi tidak pernah sendiri.
Hari pertama aku jejak kaki ke pejabat baru, suara ejekan mula menerjah telinga.
“Weh, buta pun nak kerja ofis? Buat lawak apa bos ambil dia ni?”
“Harap-harap esok tak jatuh tangga lah dia ni… susah pula nak tolong angkat bawa ke hospital.”
“Kalau dia buat silap nanti, tak payah nak marah. Orang buta macam ni mesti selamat selalunya.”
Hati aku bagai disiat dihiris belati tak bermata.
Langkah aku perlahan.
Tapi aku teruskan juga… demi maruah diri.
Aku duduk di kerusi yang disediakan. Tanganku meraba permukaan meja.
Aku dengar mereka ketawa di belakang.
“Kalau blackout nanti, senang lah dia… dah biasa gelap kan?”
Mereka ketawa. Aku telan pahit.
Minggu demi minggu aku bertahan.
Aku siapkan tugasan dengan sepenuh jiwa.
Aku kerja lebih masa — bukan kerana terpaksa, tapi kerana aku mahu buktikan sesuatu.
Tapi ada juga suara bos yang mencucuk hati.
“Kerja dia okay lah… tapi biasalah, tahap orang buta. Kita tak boleh expect lebih.”
Kalaulah hati ini boleh dilihat… pasti penuh goresan luka-luka yang aku tampal dengan air mata darah sendiri.
Ada kalanya aku menangis seorang diri.
Di sejadah usang, aku mengadu perlahan…
“Ya Allah… kuatkan aku.
Jika mereka membenci kerana aku buta, aku mohon Kau pandang aku dengan cinta-Mu.”
Dan aku terus melangkah.
Aku kukuhkan kemahiran aksesibiliti teknologi — pembaca skrin, paparan Braille, penanda sentuhan — semuanya jadi mataku di tempat kerja.
Aku belajar berani bersuara — menyatakan keperluanku tanpa jemu.
“Saya bukan minta keistimewaan, saya cuma mahu peluang. Saya boleh bekerja… beri saya ruang untuk buktikan.”
Masa berlalu. Tahun berganti tahun. Staf bertukar keluar masuk silih berganti. Muka baru muka lama bercampur lagi. Karenah dan ragam menjadi sebati dalam putaran Waktu saban hari.
Aku tidak lagi dipandang sebagai beban.
Aku mulai dihormati kerana kemahiran.
Aku menjadi inspirasi senyap di tempat kerja — bukan kerana aku mahu dipuja — tapi kerana aku mahu dihargai seperti insan biasa.
Namun langit tidak selalu cerah.
Mendung itu akhirnya tumpah juga di atas kepala seorang aku.
Hari itu aku dipanggil masuk ke bilik pengurus.
Nada suaranya sudah cukup membuatkan hatiku rebah sebelum kaki melangkah.
“Maafkan kami… syarikat terpaksa buat penyusunan semula. Keadaan ekonomi tak stabil.
Dan… terus-terang, kerja awak ni perlukan pemantauan lebih dari staf lain.”
Ayat itu menyesakkan dada dan fikiran.
Aku diam.
Lalu dia menambah lagi, seperti menambah garam pada luka yang belum kering.
“Awak faham kan…
Orang lain boleh kerja berdikari.
Awak pula perlukan banyak bantuan.
Ini bukan soal diskriminasi… Syarikat terpaksa memberhentikan beberapa staf akibat realiti yang ak dijangka ini.”
Ah… realiti katanya.
Realiti bagi mereka mungkin satu beban…
Tapi realiti bagi aku adalah kekuatan yang aku bina dari serpihan luka.
Hari itu aku melangkah keluar dari pejabat — bukan lagi sebagai pekerja… tetapi sebagai manusia yang sedang mengutip sisa-sisa harga diri.
Di birai katil malam itu… aku duduk dalam gelap yang paling sunyi.
Aku genggam tongkat putihku erat-erat.
“Ya Allah… ke mana lagi arah hidup ini harus aku tuju?”
Lalu aku teringat satu kata-kata emak dulu…
“Kalau hilang satu jalan, carilah jalan yang lain.
Jangan biarkan hidup mati hanya kerana manusia menutup satu pintu daripada seribu pintu yang lain.”
Akhirnya… aku belajar semula dari bawah.
Aku ikut kursus asas terapi urut orang buta.
Aku belajar membaca tubuh manusia dengan sentuhan — lebih jujur dari mata, lebih dalam dari pandangan.
Aku jadi kuli di kedai urut kecil di hujung lorong kota.
Ada pelanggan yang mencebik.
“Eh, buta pun boleh urut ke?
Nanti salah urat pula kang… susah.”
Ada yang ketawa kecil.
“Tak nampak pun nak urut orang? Macam lawak pula.”
Aku telan semua itu dengan sabar.
Aku genggam doa emak dalam dada.
Aku percaya — masa akan mengajar mereka siapa aku.
Bertahun aku menimba pengalaman.
Aku kumpul duit sedikit demi sedikit menjadi satu modal yang dapat dilaburkan.
Peluh menjadi saksi, air mata menjadi baja kekuatan.
Dan akhirnya…
dengan izin Tuhan…
Aku buka kedai urut kecil milik aku sendiri.
Di pintu kedai itu, aku lekatkan satu papan tanda.
“Dunia Terapi Urut Si Buta”
Kini…
Merekalah yang mencari aku.
Mereka datang bukan lagi dengan pandangan hina…
Tapi dengan rasa percaya.
Dengan penuh hormat.
Ada yang berkata selepas selesai sesi urut…
“Urutan awak betul-betul tepat untuk pulihkan point yang sakit.”
Aku senyum.
Dalam hati aku bisik perlahan…
“Aku buta, ya…
Tapi aku tak pernah buta untuk faham derita manusia.”
Kini… bila ada insan senasib datang padaku…
Aku genggam tangan mereka erat-erat — seperti dulu emak genggam tanganku waktu aku rebah hilang penglihatan.
“Kita tak perlu mata untuk berjaya.
Kita hanya perlu hati yang yakin… tangan yang jujur… dan jiwa yang tidak pernah putus asa.”
Kerana aku belajar satu perkara dalam perjalanan ini —
Gelap itu bukan neraka…
Pasti ada kunci membuka cahaya jiwa.
Dan belajarlah ikhlas diserta yakin. Selamanya belajar… selamanya berjalan… walau dalam gelap yang paling dalam.
Aku mungkin buta di mata dunia.
Tapi aku tidak buta untuk terus tunduk pada belenggu stigma.
– Bunga raya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Saya doakan kebaikan yang melimpah ruah dalam hidup awak di dunia dan di akhirat. Terima kasih atas perkongsian kisah awak. Menangis saya baca. Salah satu nikmat Allah yang besar pada awak ialah punya ibu yang betul-betul hebat yang mampu jadi sumber inspirasi dan kekuatan.