Assalamualaikum admin IIUM Confessions dan rakyat jelata sekalian.
Nama aku Amer (bukan nama sebenar), berusia 35 tahun dan telah berkahwin selama 8 tahun. Hasil daripada perkahwinan, kami dikurniakan dua anak lelaki di mana masing-masing berusia 7 dan 3 tahun.
Tajuk cerita aku adalah “Aku Suami Contoh.”
Memang agak perasan dan masuk bakul tajuk ini tetapi aku sekadar mahu kongsikan bagaimana aku hidup sebagai seorang suami dan juga ayah kepada anak-anak aku.
Adakah aku contoh yang baik? Korang tentukanlah sendiri.
Aku berasal dari utara Semenanjung Malaysia, manakala isteri aku pula berasal dari jiran negeri aku. Kira kami kalau balik kampung memang sehala, dan akan singgah rumah mak ayah isteri aku dulu.
Kami menetap di Lembah Klang dan isteri aku merupakan guru di sekolah swasta manakala aku bekerja sebagai jurujual cabuk di sebuah syarikat kejuruteraan.
Aku suka main bola dan hampir setiap minggu aku akan ke sana sini bermain bola atas ajakan kawan-kawan. Kawan-kawan aku berasa kagum dan hairan bagaimana aku boleh mendapat lesen daripada isteri aku untuk ke padang setiap kali diajak.
Bagi mereka, aku adalah king dan tidak takut bini.
Sebenarnya itu yang mereka nampak. Tetapi mereka tak nampak apa yang berlaku di belakang tabir. Aku tidak takut bini walaupun lengan dia hampir dua kali ganda lebih besar daripada lengan aku. Cuma aku rasa aku pandai ambil hati isteri aku.
…
Untuk menguruskan perjalanan hidup dalam rumah kami, kami seakan sudah membahagi tugas masing-masing.
1. Urusan pagi anak-anak.
Biasanya aku akan bangun pukul 5.30- 6 pagi dan menyediakan bekal anak sulung untuk dibawa ke sekolah pagi, selain memastikan dia tidak ditinggalkan van sekolah.
Anak sulung aku ni dia ada perangai aku – suka bermalasan bila bangun tidur. Jadi nak suruh dia mandi pagi tu kadang-kadang berperang, ada kalanya pula penuh drama.
Isteri aku? Dia perlu keluar rumah pukul 6.45, jadi dia memang tidak akan sempat untuk uruskan anak pagi-pagi.
Selepas anak sulung naik van sekolah, aku akan hantar anak kedua ke taska dan terus ke tempat kerja aku yang jaraknya lebih kurang 25km dari rumah.
Selesai urusan pagi.
2. Urusan anak sebelah malam.
Memandangkan isteri aku habis kerja awal jadi tidak dapat tidakdia akan sampai di rumah dahulu. Oleh itu, dia akan ambil anak aku di taska dan tunggu anak sulung pulang dari sekolah petang di rumah.
Aku akan tiba di rumah sekitar jam 7-8 malam, bergantung epada janjitemu dan urusan kerja aku dengan client atau boss.
Bila aku sampai di rumah selalunya anak-anak aku dah siap mandi, dan aku hanya perlu untuk menyediakan makan malam – sama ada aku beli atau masak. Aku tak pandai masak dan setiap kali aku masak aku akan google, walaupun resipi yang sudah berulang kali aku buat.
Selesai makan malam, aku akan bantu anak sulung aku buat kerja sekolah sambil bermain dengan anak nombor dua. Isteriku pula sibuk menyediakan pakaian dan keperluan anak untuk esok hari.
Selepas selesai menggosok baju anak dan semua kerja, selalunya isteri aku akan terus masuk tidur kalau tak tengok tv. Tugas menidurkan anak sudah menjadi tugas aku.
Bab tidur pun satu hal. Anak sulung aku ni manja sebab jarak dia dengan adik dia jauh. Jadi, aku selalu kena bercerita sebelum dia tidur, sambil menepuk punggung dia.
Si adik pula bila aku bercerita, dia akan tumpang dengar. Selalunya cerita belum habis dia dah tidur dulu. Cerita apa? Cerita rekaan berkenaan apa yang anak aku buat, cuma tukar nama watak.
Begitulah urusan hidup kami pada hari kerja dan persekolahan.
3. Aktiviti sosial.
Kami suami isteri ada circle kami sendiri. Isteri aku selalu join aktiviti anjuran staff sekolah dia – lawatan, evening tea, sambutan perayaan dan banyak lagi. Selain itu dia ada juga sesi melepak dengan kawan-kawan pada hari minggu.
Selaku suami, aku benarkan dia pergi ke semua aktiviti yang dia nak dengan syarat kena notis 3 hari awal, sebab aku pun ada plan aku sendiri.
Aku pula selalu mengopi dengan kawan-kawan, dan selalunya mengopi pada hujung minggu. Aku cuba elak ajakan kawan pada pertengahan minggu kecuali kalau perkara yang urgent.
Karaoke? Selalu juga aku karaoke dengan kawan-kawan seuniversiti. Selalunya kalau karaoke aku akan hantar gambar kepada isteri aku, supaya dia tak syak yang bukan-bukan.
Orang perempuan ni dia suka fikir dalam sangat.
4. Kain baju.
Seakan persetujuan bersama, aku akan mengambil tugas membasuh dan menyidai baju, manakala isteri aku ambil bahagian lipat kain. Ini dilakukan sekitar 3-4 kali seminggu.
5. Kemas rumah.
Selalunya aku yang buat, sebab aku akan involve anak aku sekali. Sambil mengemas, sambil bermain. Sambil mengemop lantai, kami meluncur macam main salji. Ini dilakukan seminggu sekali, pada hujung minggu sahaja.
Isteri aku lebih kepada kemas bahagian dapur.
6. Hujung minggu.
Kalau tiada aktiviti bersama kawan masing-masing, kami selalunya akan berada di rumah sepanjang hari Sabtu, manakala hari Ahad kami ambil kesempatan untuk bawa nak jalan-jalan.
…
Nampak macam aman damai kan rumah tangga kami? Sebenarnya tak juga sebab kami pun selalu bergaduh. Setiap kali bergaduh aku hanya akan diam, tapi memandangkan isteri aku ni perempuan sejati, maka dia akan bebel sampai dia rasa dia puas.
Kalau aku tak tahan dia punya bebel, aku akan keluar rumah dan lepak di kedai kopi sorang-sorang. Selepas sejam lebih, aku balik la. Tujuan aku adalah untuk mengelakkan anak-anak nampak kami tengah bergaduh.
Aku datang daripada keluarga yang pecah. Ibu ayah aku bercerai ketika zaman aku sekolah menengah dan aku membesar dengan pertengkaran mereka. Jadi aku cuba elakkan anak aku daripada menghadap benda yang sama.
Masalah duit? Ada. Kami bukan anak perdana menteri, maka duit kami ada kalanya boleh simpan, ada kalanya kami sesak.
Cuma aku boleh puji isteri aku bab duit sebab dia pandai mengatur duit keluar masuk. Setiap bulan selepas dapat gaji, 3/4 daripada gaji aku, aku bagi kepada isteri untuk dia uruskan. Aku hanya pegang untuk kegunaan aku sahaja.
Jadi setiap kali kami membeli barang dapur, atau makan di luar, isteri akulah yang akan bayar di cashier. Lantaklah orang nak kata aku tumpang bini ke.
Orang ketiga? Ada juga godaan-godaan dalam rumah tangga kami, terutamanya ketika usia perkahwinan kami belum masuk tahun kelima.
Jujur aku mengaku, aku hampir tewas dengan bekas rakan sekerja aku. Tapi alhamdulillah Tuhan bagi kesedaran awal, aku berhenti kerja dari syarikat tersebut dengan notis seminggu, tanpa beritahu isteri aku.
…
Tujuan aku bercerita ini bukanlah untuk riak atau rasa megah dengan apa yang aku ada. Aku hanya mahu kaum lelaki seperti aku supaya tidak ego dalam membantu isteri menguruskan rumah tangga.
Bila isteri puas, maka uruskan kita sebagai lelaki pun akan jadi mudah. Kita boleh lepak bila kawan ajak, kita boleh ke sana sini bila kita nak, kita boleh susun jadual balik kampung dengan senang.
Kepada sesiapa yang baca ni, aku doakan kehidupan korang dipermudahkan-Nya, dan korang doa la aku dan keluarga aku kekal bahagia sampai ke syurga sekali.
– Amer (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit