Aku seorang ibu kepada 3 cahaya mata yang kesemuanya masih berumur 6 tahun ke bawah. Suri kepada seorang suami yang sangat baik.
Beliau juga seorang anak lelaki yang baik dan disenangi ramai orang. Jawatannya dalam institusi agama menyebabkan beliau perlu berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat, lelaki dan wanita.
Karakternya yang ramah dan mesra dengan semua orang menyebabkan ada mata yang suka melihatnya, ada hati yang menyukainya.
Mata dan hati itu milik seorang wanita yang usianya 10 tahun lebih tua dari kami, yang aku panggil cikgu. Wajah comel, menarik dan hebat. Mengajar subjek agama.
Awalnya hanya berurusan sebagai rakan kerjasama dalam program-program tertentu. Cikgu itu merupakan seorang pendidik berjaya. Jarak tempat kerja suami dan cikgu tersebut hanya 1km jauhnya.
Cikgu itu meluahkan rasa suka dan sayang pada suamiku. Suami bertanya status wanita tersebut, belum atau sudah bersuami?
Tapi tiada jawapan atau penafian apa-apa dari cikgu itu. Hanya suka dan sayang, malah sedar diri ‘hubungan’ dia dan suami takkan jauh ke mana menyedari suamiku yang berstatus suami orang.
Menyedari jika hubungan itu menjadi pun hanya akan menyebabkan buah mulut yang busuk. Pelbagai pemberian dihadiahkan kepada suamiku tanda kasih dan perhatiannya. Silap suamiku, telah memberi ruang untuk perasaan itu bercambah.
Tapi alhamdulillah, dengan izin Allah, selepas 2 bulan, ‘hubungan tiada halatuju’ tersebut kantoi. Aku sendiri yang confront suamiku selepas beliau solat, “Tak rasa bersalah ke, Abang?”
Di hujung mata, aku nampak betapa terkejutnya beliau dan penyesalan yang tak terhingga. Aku terus mesej cikgu tu, menasihatinya dengan baik. Cikgu tu minta maaf dan janji takkan ulang.
Beberapa hari selepas itu, aku dapat info, cikgu tu ada suami dan anak. Perkara itu aku tanya pada suami. Suami terkejut dan langsung tak tahu. Kalau tahu isteri orang, suamiku takkan buka ruang itu. Suamiku sangat kesal dengan cikgu.
Suami cikgu tu pula bukan calang-calang orang. Tak pasti masih berstatus suami isteri atau tidak, tetapi ia tetap sesuatu yang mencemarkan.
Bila diminta kesahihan daripada cikgu tu, aku pula yang dimaki. Malah menuduh aku menghina dia dan keluarga. Bila masa aku menghina? Suami tahu betapa ikhlas dan tulus aku memaafkan dan mendoakan kebaikan untuk dia. Cikgu pandai play victim.
Aku ikhlas maafkan suami yang telah bertaubat menyesali kesilapannya. Silapnya tidak menjaga pandangan dengan baik, lantas merobek perasaanku sebagai isteri. Hati aku memang sakit, kepercayaan yang telah dikhianati.
Hikmahnya, suamiku lebih menghargai satu-satunya isteri. Jauh lebih baik dari sebelumnya. Aku ikhlas maafkannya, hanya berdoa supaya Allah pulihkan kesakitan hati ini.
Buat cikgu tersebut, selamat hari guru. Walau mustahil akan ku serahkan anak-anakku untuk dididik insan sepertimu.
Kami doakan cikgu tenang melupakan suamiku. Janganlah jadikan ketidakbahagiaan rumahtangga cikgu alasan untuk meretakkan rumahtangga orang lain.
Jika kita bahagia, doakan orang lain bahagia, jauh lebih bahagia daripada kita. Jika kita belum bahagia, doakan orang lain bahagia, tanpa perlu merasai ujian seperti kita.
Bertaubatlah cikgu.
Untuk lelaki, jagalah pandangan.
Jika telah beristeri, tak cukup hanya sekadar tidak memburukkan isteri.
Muliakanlah isterimu di hadapan orang lain. Muliakanlah isterimu walau tanpa pengetahuan isterimu.
Untuk wanita, jagalah maruah.
Jika telah bersuami, kamu adalah hak suami, cerminan suami. Jika cermin tidak memantulkan objek yang betul, mana satu yang perlu dibaiki? Cermin atau objek?
Moga Allah beri hidayah dan taufiq untuk kita semua. Bila jadi orang agama, inilah ujian kita.
– Munawwarah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit