Aku Sudah Penat

Izinkan aku berkongsi rasa, meluahkan apa yang terpendam dalam diri supaya hilang sedikit rasa yang terbeban di dada ini.

Memandangkan aku sekarang sudah menghampiri tiga siri, banyak perkara yang buat aku rasa aku agak ketinggalan berbanding orang di sekelilingku.

Bahkan dalam kalangan adik-beradikku sendiri, perkembangan kerjayaku adalah yang paling lambat. Sepertinya terbantut pun ada.

Dan sekarang, aku masih menganggur. Bukan tidak berpelajaran, tetapi aku rasa ‘lost’.

Segala semangatku, minatku, bahkan keinginan untuk hidup pun aku tidak punya. Aku hanya ingin lenyap dari muka bumi. Kalau aku tiada pun, dunia tetap berputar, bukan?

Aku penat dengan hidup. Aku penat dibandingkan dengan adik-beradik sendiri, dengan anak kawan-kawan orang tuaku, dengan kawan-kawanku sendiri.

Aku penat pura-pura tiada perasaan bila diungkit itu ini oleh orang tuaku. Aku penat jadi aku. Aku penat.

Aku sedar, banyak lagi perkara yang aku patut enjoy dalam dunia ini daripada fikir yang bukan-bukan untuk mengakhiri hayat yang ada sedangkan amalan aku tidaklah banyak mana.

Tapi, hari demi hari yang aku lalui, aku rasa betapa tak gunanya hidup aku. Hidupnya aku hanya sekadar wujud.

Tambahan pula, keluarga aku bukannya jenis yang suka bertanya khabar atau mengambil berat. Dan aku sudah terbiasa untuk tidak berkongsi apa-apa dengan orang tuaku sejak dijerkah oleh mereka suatu ketika dahulu.

Aku pun rasa tiada perlunya aku memberitahu jika mereka tidak bertanya. Diam, itu lebih baik.

Bahkan cerita tentang kegagalanku dalam pelajaran, tentang betapa aku perlukan bantuan kewangan untuk membayar hutang pelajaran, tentang kisah cintaku, tentang suka duka hidupku, semua itu aku rahsiakan.

Hubungan aku dengan orang tuaku bagi aku hanya seperti penjaga. Bukan ibu tempat aku bermanja atau bapa tempat aku mengadu nasib.

Kata ibuku, mereka tidak pernah membezakan kami, tiada istilah anak kesayangan. Tetapi actions speak louder than words, ibu.

Apa yang terjadi pada diriku ini membuatkan aku takut untuk berkahwin dan punya anak sendiri. Takut kalau-kalau aku tidak mampu untuk memecahkan tradisi untuk tidak menjerkah atau menghukum anak melebihi apa yang sepatutnya.

Antara aku dan adik-beradikku, hubungan kami sudah tidak serapat dulu. Tambahan pula masing-masing sudah bekerja jauh-jauh dan yang berumah tangga pastilah tinggal bersama pasangan masing-masing.

Aku sering membayangkan apa yang akan terjadi kalau aku hilang, atau aku mati.

Adakah ahli keluargaku atau kawan-kawanku akan menangisi ketiadaanku?

Apakah mereka akan merindui diri ini?

Aku selalu katakan pada diri ini, ‘ada atau tidak engkau dalam hidup mereka, tiada bezanya’.

Macam sekarang, tiada siapa pun peduli. Konon dunia hujung jari, konon teknologi merentas sempadan. Huh, kalau bukan aku yang bertanya khabar, telefon itu hanya alat untuk aku menghiburkan diri sendiri.

Aku faham kalau semua orang sibuk dengan kehidupan masing-masing. Tetapi mustahil langsung tiada masa untuk bertanya khabar.

Kata orang, it’s all about priority. Mungkin aku patut berhenti berangan yang orang akan kisahkan aku kalau apa-apa terjadi. Kerana hakikatnya, at the end of the day, manusia hanya akan memikirkan tentang dirinya sendiri.

Aku ingin lari jauh tinggalkan semua ini. Aku ingin ke suatu tempat di mana tiada siapa yang kenal aku.

Aku ingin mulakan hidup sendiri dengan identiti baharu. Aku ingin diriku yang gembira, ceria, punya semangat untuk hidup dan sukakan cabaran kembali.

Aku penat hidup statik di sini. Gembira tidak, sedih pun tidak, rasa yang entah apa-apa ini sesungguhnya amat memenatkan otak. Penat sebab sel-sel otak seakan-akan tidak berhubung dan berkembang.

Terima kasih kerana sudi membaca dan marilah refleksi diri.

Sudahkah bertanya khabar dengan semua orang yang kita sayang? Sudahkah anda selaku ibu bapa bertanya aktiviti anak-anak pada hari ini, memeluk cium mereka dan menyatakan rasa sayang anda pada mereka?

Don’t wait until it’s too late. Don’t let what I feel now, felt by them.

– Iris (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. saya pernah lalui fasa perasaan macam awak ni , masa tu saya anggap ayah dan mak saya tak peduli kan saya . tak bertanya kabar saya , tak hiraukan saya , tak kisahkan saya perasaan saya ,
    sampai satu masa , saya tetap kena sedar bahawa saya ni hanya anak . anak tugasnya membahagiakan ibubapa nya . jadi , saya tolak semua perasaan saya tu . saya memilih untuk redha yang saya ni anak . alhamdulillah , sekarang saya happy tengok mak ayah saya happy .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *