Aku Tahu Aku Tak Patut Benci Ayah Aku

Assalamualaikum. Tujuan aku menulis ni adalah untuk meluahkan perasaan dan sekaligus muhasabah diri.

Kalau pengakuan ni terpilih untuk diterbitkan dan disiarkan, aku berharap sangat-sangat mereka yang membaca akan sudi memberi nasihat kepada aku.

Sejak aku sekolah menengah dulu, ayah aku dah terlantar sakit dan tak mampu bekerja. Masa tu, ayah aku memang tak boleh bergerak langsung. Jadi, kami sekeluarga yang menguruskan keperluan harian ayah, makan, mandi, dll.

Setahun lepas tu, alhamdulillah ayah dah boleh berjalan tapi ayah aku dah tak boleh bekerja berat. Atas persetujuan bersama, mak aku sudi tanggung keluarga sementelah ayah aku fokus pada menambah baik kesihatan dia.

Hampir tiga tahun lamanya ayah aku tak bekerja dan fokus pada kesihatan dia, dan dia hanya duduk di rumah menghadap telefon bimbit.

Tak lama lepas tu, ayah aku mula alpa dan dia jatuh sakit semula dan masuk hospital buat kali kedua.

Dalam tempoh beberapa bulan selepas tu, ayah aku sihat semula tapi masih tak cukup kuat untuk bekerja. Jadi, sama macam sebelum ni, ayah aku hanya terperuk dekat rumah dan bermain telefon bimbit.

Atas alasan sakit, ayah aku tak bergaul dengan jiran-jiran, selalu merungut dan marah-marah kalau aku atau mak ajak keluar beli barang atau berjalan-jalan,

Dan sangat berat nak menghulur duit simpanan pada kami kalau ada keperluan untuk dipenuhi macam beli baju, bahan-bahan belajar, dll.

Masa ni aku dah masuk alam pengajian tinggi, dan mak aku dah mula berasa tertekan yang amat sampaikan kami adik-beradik menjadi tempat mak aku meluahkan perasaan.

Mak aku pernah hadap situasi macam ni dulu, jadi setiap kali dia habis meluahkan dia akan ingatkan balik kami supaya jangan simpan perasaan marah dan benci kepada ayah.

Aku pasti mak aku akan setuju.

Cakap memang senang

Dengan usia yang makin bertambah, aku semakin tajam dan celik memerhati kelakuan ayah aku. Betapa marah dan bencinya aku rasakan pada ayah bila aku nampak semua yang mak aku luahkan tentang ayah aku betul rupanya.

Sejak aku nampak sendiri kebenaran luahan mak aku, aku mula benci dan berat hati nak menurut perintah ayah aku, walaupun dia minta tolong dengan baik-baik. Aku benci sikap pemalas ayah aku.

Aku benci dia langsung tak ada usaha untuk menjana pendapatan walhal dia ketua keluarga.
Zaman ni, duduk dekat rumah pun kalau celik akal, boleh je jana duit tanpa kena kerja fizikal teruk-teruk!

Nak dekat dua tahun lamanya aku fokus naikkan keimanan dan kesabaran aku sebab aku tak nak hidup dalam hati membenci ayah sendiri.

Aku nak kami sekeluarga dihimpunkan di Jannah Firdaus.

Tapi, setiap kali aku cuba bersabar, setiap kali tulah aku nampak kelemahan dan kekurangan ayah aku. Syaitan pun makin galak menghasut.

Ada ahli keluarga aku yang suaminya macam ni, Cuma lagi menyakitkan hati, suami ahli keluarga aku tu sihat afiat je, tapi culas sungguh dan leas tangan aje dalam pemberian nafkah. Aku nampak saudara aku tu mula benci suami sendiri.

Aku tak nak hidup macam saudara aku tu bila aku ada rezeki untuk berkahwin nanti.

Hatta daripada mulut mak aku sendiri ada dia kongsi yang kalau aku menaruh perasaan benci pada ayah sendiri, kemungkinan besar aku akan menaruh rasa yang sama pada suami aku nanti.

Aku harap sesiapa yang membaca pengakuan ni boleh berkongsi kata-kata nasihat kepada aku. Aku benar-benar memerlukanya.

– Seorang Anak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *