Aku Tak Gila

Aku Idora. Seorang wanita berkerjaya biasa. Ibu tunggal anak dua. Aku tidak tahu dari mana hendak mula. Apa yang aku rasa saat ini. Apa yang aku pendam selama ini. Dalam diam hati aku kerap menangis.

Saat ini, pandangan aku lepaskan ke tasik mawaria. Rasa kosong. Sejak beberapa hari aku rasa macam letih. Letih fikirkan diri aku yang selalu di hina. Ya, aku sakit. Bermula dari tahun 2011. Aku di diagnos ada major depression. Perasaan murung selalu datang tiba-tiba dan aku mudah nangis bila kenangan pahit menerpa minda.

Bermula dari kehilangan bayi kembar kerana keguguran, aku juga ada masalah rumahtangga. Semua aku sudah merasa. Di pukul dan di hina. Kalau orang tanya kenapa aku tidak berpisah sejak dulu? Aku naif. Aku mudah beri peluang lebih-lebih lagi insan bernama suami. Sejak aku di tinggal masa mengandung anak ke dua baru aku failkan perceraian.

Hanya kerana dia ada wanita lain. Maka, dengan mudahnya dia lepaskan aku. Lepas lahir anak kedua, baru aku diceraikan secara baik di mahkamah. Dari dulu nafkah selalu tiada. Sampai bercerai, nafkah sangkut-sangkut. Aku banyak bersabar. Cuma sampai bila? Aku berkerjaya sederhana. Duit bayar kereta lebih separuh dari gaji. Tidak lama lagi habis bayar duit kereta.

Duit selebihnya cukup-cukup untuk tampung kehidupan aku dan beri emak aku sedikit. Bila aku ada masalah kewangan begini, aku akan cepat panik. Aku akan menangis. Nanti mula aku teringat masa aku berkahwin dulu. Tidak tahu mana silapnya, aku di perlakukan bagai hamba, selalu di hina. Mental aku koyak. Hati aku hancur.

Sebulan lalu aku kenal seorang lelaki. Lelaki alim kononnya. Terkenal dalam facebook ramai followers. Dia beri sinar harapan buat aku. Dia beri kata-kata manis. Sekali lagi aku terperdaya. Dia cuba ambil kesempatan atas aku dan akhirnya aku di tinggalkan tanpa khabar berita. Lelaki memang tetap lelaki. Kalau aku biarkan habis hancur hidup aku sepenuhnya dan aku boleh mati.

Bila aku cerita kisah aku sampai aku sakit kemurungan, orang kata aku ‘gila’, ‘sakit mental’ dan ‘sakit jiwa’. Serius aku tidak mengganggu orang. Aku hanya inginkan pendengar setia yang boleh dengar masalah aku. Itu sahaja sudah cukup. Hentikan stigma negatif terhadap aku. Aku bukan gila. Aku tidak pernah terfikir hendak bunuh orang atau bunuh diri. Jiwa aku masih ada iman.

Sekarang, aku jalani hidup macam biasa. Aku masih muda. Masih punya kekuatan untuk asuh anak-anak aku. Bila aku sedih, aku banyak membaca kisah-kisah mereka yang senasib dengan aku. Aku tidak ramai kawan. Mana orang nak berkawan dengan orang macam aku. Cerita benda sedih aku sudah nangis macam apa. Aku sensitif. Aku juga tidak suka kejahatan kepada orang lain. Itu kejam dan zalim.

Sekarang aku trauma dengan insan bernama lelaki. Bagi aku cinta sejati itu tidak wujud. Lihat orang berpasangan, jiwa aku kosong. Aku tidak tahu sampai bila perasaan ini akan ada dalam hati. Aku harap aku tidak berdendam. Kepada yang pernah hadir dan pergi aku hendak ucap terima kasih sebab pernah beri aku sokongan dan buat aku tersenyum walau hanya sementara. Aku hargainya.

Aku cuma ingin berpesan kepada orang di luar sana, aku ada anxiety namun aku bukan gila……

– Idora

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit