Aku Tak Gila

Bercerita mengenai aku, seorang wanita yang berkahwin seawal umur 22 tahun sehingga perkahwinan menjangkau umur 11 tahun dan masih belum dikurniakan cahaya mata. Puas berubat di merata tempat secara tradisional dan moden namun masih hampa.

Aku juga merupakan pesakit endometriosis, slip disc, solitary rectal ulcer syndrome, OCD, stress dan depresi. Pada awal rawatan aku dan suami hanya bertumpu kepada kaedah tradisonal dan moden sebelum mengambil keputusan merujuk kepada pakar

​Seperti kebiasaan, apabila kau mempunyai masalah tidak ada zuriat setelah lama berkahwin maka, masyarakat sekeliling mula melemparkan kata-kata nista seperti mandul, tak power, asyik main dengan anak orang je, bila nak ada anak sendiri? dan pelbagai lagi tohmahan dan kejian yang dilemparkan seakan tidak ada anak ini merupakan dosa paling kejam melebihi dosa merogol, merompak, mengumpat dan membunuh.

Tekanan yang datang dari masalah sekeliling dan penyakit yang berterusan tidak putus-putus mengakibatkan aku berdepan dengan masalah depresi yang kronik aku kira.

Tetapi seperti kebiasaan pemikiran masyarakat yang tipikal maka aku terusan bergelumang dengan depresi tanpa berjumpa psikatri melainkan berjumpa dengan segala pakar rawatan tradisional setelah aku mulai meracau, hilang dari rumah dan kemuncaknya mencederakan diri sendiri a.k.a bunuh diri.

Sebenarnya aku sendiri tidak tahu bahawa aku ini menghadapi masalah depresi dan memerlukan bantuan. Aku terusan mengambil alternatif berubat secara tradisional dan aahaa bahagian paling syok untuk kita dengar adalah aku mempunyai saka, gangguan hantu, jin dan syaitan. Hantu dan jin juga yang dapat kredit dan nama sedangkan diri sendiri berdepan dengan masalah depresi.

​Setelah melalui 11 kali pembedahan dan procedur, aku akhirnya memutuskan pada tahun 2018 untuk berjumpa psikatri. Aku dah penat sangat dengan momokan hantu, jin, syaitan, saka dan segala mak nenek perkara-perkara yang tak boleh dicerna oleh akal aku yang dah semakin tipis warasnya ini. Aku dirujuk oleh seorang doktor pakar wanita kepada seorang pakar psikatri bernama Dr.Faiz Tahir dari IIUM Specialist Centre.

Melalui beliau aku akhirnya sedar bahawa aku menderita penyakit depresi. Dr. Faiz banyak mengisi jiwa aku mengenai takdir Allah swt yang sememangnya telah aku ketahui sejak dari azali.

​Tidak terus memasukkan aku ke Tanjung Rambutan yang tak ada sebiji rambutan pun di situ, beliau mulai merawat aku hanya dengan kaedah sesi luahan perasaan. Lega setelah dapat meluahkan segala beban dan perasaan di lubuk paling dalam yang hitam.

Lihat, berjumpa psikatri bukan bererti harus ke wad gila. Mereka yang bernama doktor psikatri mendengar luahan dan mngkaji masalah kita agar bertemu dengan jalan penyelesaian. Sebagai mansusia kita terkadang hanya memerlukan tempat untuk mengadu nasib selain dari pasangan agar dapat diberi nasihat yang dah kita tahu pun berkenaan keyakinan kepada Allah dan sebagainya.

​Setelah beberapa sesi rawatan, aku masih menunjukkan masalah kecelaruan, depresi dan tidak boleh tidur malam dengan dihantui mimpi-mimpi ngeri kata-kata orang sekeliling yang melabel aku sebagai mandul. Kedengaran macam lemah gila perempuan seperti aku ini dan tidak mempunyai keyakinan pada Allah swt bukan?

Namun hakikatnya, jika tidak berpaut utuh pada tali tawakkal serta sokongan suami dan keluarga dah lama aku terjun bangunan KLCC. Kata-kata mungkin hanya kata-kata pada sesetengah orang namun ianya boleh menjadi pil pembunuh pada jiwa-jiwa yang rapuh dengan masalah dan penyakit pelbagai.

​Akhirnya Dr.Faiz memberikan aku ubat Clonazepam, Lexapro dan Arip MT yang aku makan sekali sehari kecuali Clonzepam yang aku ambil 2 kali sehari. Setelah pengambilan ubat-ubatan ini, aku akhirnaya denga izin Allah swt dapat melihat dunia dari satu dimensi yang berbeza dan penuh harapan. Tiada lagi suara-suara yang menyuruh aku membunuh diri, tiada lagi sahabat khayalan, tiadal lagi halusinasi dan delusi.

Segalanya pergi mengucapkan selamat tinggal dengan pengambilan ubat yang konsisten bersama terapi dari Dr. Faiz sebagai psikatri dan suami sebagai penyokong dan semestinya pergantungan pada Allah yang paling utama. Dunia terasa seperti berputar dengan keadaan yang indah walaupun dengan kata-kata nista masyarakat. Aku jadi lebih positif, kuat dan tabah.

​Aku tidak lagi peduli apabila jiran di empat taman aku melabel aku gila setelah aku menggemparkan taman pada malam nuzul quran kerana mengikut quran besar dari langit berjalan seorang diri tanpa tudung dan selipar yang akhirnya pengsan di tengah jalan tetapi tidak dikenali sesiapa memandangkan aku seorang niqabis.

Sejak itu selalu ada orang lalu-lalang dan menjenguk ke dalam rumah aku hanya untuk menujukkan mimik-mimik muka mengejek dan menjengkelkan pada aku. Tapi anehnya aku tidak lagi peduli dan hanya mampu ketawa yang membuatkan mereka lari ketakutan seperti terpandang Pontianak harun sundal malam cuma bezanya aku tidak cantik seperti Maya Karin.

Maka, setelah 2 tahun di bawah pemantauan pakar psikatri aku akhirnya bebas daripada masalah depresi yang selama ini aku kira tersampuk jin, syaitan dan iblis. Ah, begitu mudah terpedaya dengan kepercayaan kuno zaman berzaman. Pakar psikatri bukanlah perawat orang gila. Bukannya mereka nak sumbat anda di dalam wad gila, neraka atau paksa anda cerita semua cerita anda.

Anda tetap mempunyai lingkup peribadi untuk memilih sama ada untuk bercerita atau tidak. Mereka doktor psikatri hanyalah tangan Allah yang diutuskan untuk membantu insan-insan pilihan yang diberi ujian tekanan seperti aku dan memerlukan tempat bantuan untuk berkongsi masalah dan mendapatkan rawatan.

Apabila anda demam, tak mungkin anda nak pergi jumpa pakar bedah pula bukan. Begitu juga dengan psikatri, jika anda tertekan takkan anda nak jumpa doktor ortopedik pula. Mana ada kaitannya di situ.

​Sudah tiba masanya kita hentikan stigma bahawa berjumpa pakar psikatri adalah berjumpa dengan doktor gila. Ucapkan selamat tinggal kepada melabel pesakit yang berjumpa psikatri sebagai orang gila. Segalanya boleh berubah. Banyak jiwa dan nyawa yang boleh kita selamatkan bila mana stigma bijak ini kita buang.

Mari sama-sama membantu kami yang berdepan dengan masalah psikatri ini bukannya menghukum bunuh dan menghantar kami kepada alam berzakh berjumpa Allah swt dalam kedaaan yang tidak sepatutnya, Kesembuhan adalah hanya di tangan Allah swt seperti kata Dr. Faiz tapi jika tidak beurusaha, kesembuhan tidak datang bergolek.

​Setiap penyakit mempunyai penawar kecuali mati. Allah swt mahu kita berusaha sebelum tawakkal dan yang paling utama bukan melabel dan menjatuh hukum kepada pesakit depresi yang berjumpa dengan pakar psikatri.

Selamat jalan kekasihku depresi. Aku tidak ingin bertemu denganmu lagi walau dalam mimpi. Selamat datang kecintaan damai dan postif. Mari kita sama-sama bermadu kasih mengorak langkah kearah masa hadapan yang lebih gemilang dan bermanfaat sebelum memulang nyawa pada Izrail berjumpa Rabbul Izzati.

​Sekian, cerita aku seorang pesakit depresi yang masih meneruskan rawatan tetapi telah mulai hidup dengan tahap kenormalan orang normal. Terima kasih Allah kerana menghantarkan kesembuhan lewat doktor psikatriku dan sokongan suamiku.

Ingat kita mampu merubah dunia menjadi gembira hanya dengan merubah stigma kita berfikir. Fikirlah secara positif tidak secara negatif dan menjatuh hukum membabi buta. Ok, babi pula dapat nama.

Yang Kuat,
Pejuang Penyakit Depresi.

– Khawla Azwa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *