Assalamualaikum. Terima kasih admin kerana approve cerita aku ni. Syukur ke hadrat Ilahi atas segala kurnianya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Saidina Muhammad SAW.
Harini dah nak masuk 6 tahun aku masuk degree di salah satu Uni di Malaysia. Ye betul, 6 tahun aku belajar degree engineering dan aku kini berada di semester terakhir aku sebelum bergelar graduan. Aku seorang pelajar lelaki yang boleh dikatakan cerdik di sekolah, berbekalkan 8A daripada 9 subjek.
Aku mulakan cita-cita hendak menjadi seorang Engineer. Aku ditawarkan biasiswa dan aku mula mengatur langkah mencipta masa depan aku dengan menerima tawaran asasi. Bahagianya saat itu melihat ukiran senyuman di wajah orang tuaku.
Namun langit tidak sentiasa cerah. Pada semester ke 3 ijazah, biasiswa aku telah di tarik atas kegagalan aku dalam beberapa matapelajaran. Hidup aku ketika itu penuh dengan noda dan dosa. Penarikan biasiswa itu seakan teguran daripada Rabb untuk aku mengerti bahawa aku sudah terlalu jauh dri agama.
Aku masih ingat betapa kecewanya orang tua aku ketika aku menyampaikan berita ini. Luluh hati aku melihat wajah mereka yang tercoret kalimat-kalimat kekecewaan terhadap anak mereka. Namun benar firman Rabb-ku, jangan sesekali kau mengatakan walaupun sekadar ‘Ah’ kepada orang tua mu kerana walaupun aku mengecewakan mereka.
Mereka mengatakan bahawa mereka akan menanggung yuran pengajian aku. Kata mereka, ilmu itu lebih penting dan mereka ingin aku berjaya. Kasih sayang yang diberikan oleh orang tua aku bukan caci makian yang aku terima. Begitu besar nikmat kau wahai Rabb ku yang telah kau kurniakan
Aku kembali berjalan di jalan yang lurus, menempuh lorong-lorong berduri demi mencari segulung ijazah. Tidak aku sangkakan, perjalanan penuh dugaan. Hampir setiap semester pasti aku gagal satu matapelajaran. Sungguh aku tidak mengerti mengapa aku ditakdirkan begini.
Aku melihat rakan sezaman kejahilan aku berjaya dengan cemerlang. Rakan aku lulus dengan cemerlang bahkan berjaya menghabiskn pengajian dalam tempoh yang ditetapkan. Walhal aku sudah kembali kepada fitrah dan rakan-rakan aku masih lagi dibelengu dengan noda dan dosa. Sungguh aku tidak mengerti percaturan Rabb-ku.
Setelah 2 tahun aku rakan-rakan aku bergelar graduan, aku masih lagi terpinga-pinga mencari hala tuju. Masih lagi dalam medan perjuangan untuk segulung ijazah yang pada waktu ini belum ada nilainya kerana lambakan graduan. Namun ada sesuatu yang aku tidak mengerti disebalik kisah ini. Mengapa aku yang begini?
Ternyata Rabb-ku sangat sayang kepada aku. Aku sering bertanya kenapa kau tak berikan kepada aku seperti apa yang kau berikan kepada orang lain.
Rabb-ku menjawap dengan hadirnya rakan-rakan aku menceritakan tekanan yang mereka hadapi di tempat kerja sehingga mereka mengalami masalah untuk tidur di malam hari memikirkan masalah kerja sedangkan aku mampu tidur setiap malam tanpa merisaukan hari esok.
Dalam tak sedar, kegagalan aku menjadi sinar yang menerangi hidup orang di sekeliling aku. Kerana aku gagal lah, aku memulakan perniagaan yang di mana hasilnya dijadikan sebagai dana bagi teman-teman perjuangan sehingga 3 teman aku yang mengalami masalah kewangan berjaya menamatkan ijazah.
Dengan hasil yang sama, aku membantu mengeluarkan mereka yang tersepit dek kerana desakan hutang yang menjerat hidup mereka.
Kerana kegagalan aku, subjek yang aku duduki semula menjadikan aku lebih mahir. Oleh kerana itu, aku menjadi harapan rakan-rakan baru untuk aku mengajar mereka, membantu mereka agar tidak menempuh jalan yang telah aku lalui.
Kerana kegagalan aku jugalah, aku banyak menghabiskan masa berkhidmat untuk orang tua aku yang sedang dimamah usia.
Ketika rakan aku yang lain disibukkan dengan urusan dunia. Aku menyibukkan diri aku untuk membahagiakan orang tua aku yang sering aku perlekehkan suatu ketika dahulu kerana aku sedar selepas dari saat ini, aku juga akan sibuk seperti rakan aku dan aku mungkin tidak diberi peluang untuk mengembirakan mereka.
Kini aku mula memahami apa yang ditakdirkan oleh Rabb-ku sentiasa yang terbaik. Pesan aku kepada mereka yang sedang gagal diluar sana. Jalannya susah, tetapi bagaimana kita melihat kesusahan itu yang akan menjadi noktah kepada kisah yang lebih indah atau kesengsaraan yang menyedihakan.
Sentiasa bersangka baik kepada Rabb sekalian Alam kerana jika Rabb yang memasukkan kamu dalam kesusahan, Rabb yang sama juga akan mengeluarkan kamu daripada kesusahan itu. Yakinlah percaturan lebih baik daripada segalanya.
Jangan kamu berputus asa, kerana Allah sentiasa bersama kamu selagi kamu bersama Allah.
“Katakanlah: Wahai hamba-hambaKU yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya . Sungguh, Dialah yang Maha Pengampun, Maha Penyayang” (Surah Az-Zumar: 53)
Maha Suci Allah, Rabb sekalian Alam.
– Si Musafir (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit