Aku Tak Percaya Ada Orang Boleh Lapar Di Malaysia

Ada sesuatu yang berlaku hari ini yang membuatkan perasaan aku bercampur campur. Kalau aku pos kat FB aku, orang taulah siapa watak-watak dalam cerita aku ini. Jadi aku rasa lebih baik aku kongsikan di sini untuk pengajaran kita bersama.

Apa yang ingin aku ceritakan bukanlah tentang aku. Ia tentang kawan aku namanya Em (bukan nama sebenar).

Em, kawan yang aku kenal biasa-biasa saja kerana aku sering beli makanan di tempat di bekerja. Dia ni pembantu kedai makan di situ. Dia orang Indonesia. Dia datang Malaysia dengan suaminya dan bekerja di tempat yang sama.

Em ni orangnya selalu merendah diri. Dia kata banyak benda dia tak pandai. Masa aku minta nombor telefon dia, dia bagi aku telefon bimbit dia. Telefon dia jenis lama. Zaman Nokia 3310 punya.

Aku nak guna pun ambil masa. Tak biasa. Kami bercakap pun perkara yang perlu sahaja. Jaranglah dia nak bercerita panjang-panjang. Lagipun perbezaan bahasa menyebabkan kami tidak berapa memahami antara satu sama lain.

Hari ini aku tiba-tiba teringatkan Em. Aku pun telefon dia. Lepas bertanya khabar, dia terus cakap kat aku dia terguna duit aku.

Sebelum PKP, aku ada kirim dia barang, dia tak sempat belikan. Aku cakaplah, takpe, dia mesti ada urusan penting nak guna duit. Pasal duit tu tak perlu risau. Bukan besar sangat pun jumlahnya.

Kemudian aku tukar topik cepat-cepat pasal kerja dia. Bulan puasa ni tentu rutin dia lain dari biasa. Aku pun nak tahu juga camana cara kedai makan beroperasi. Pertanyaan inilah yang menyebabkan dia tiba-tiba bertukar nada.

Rupanya dia sudah hampir sebulan tidak bekerja. Bukan sahaja tidak bekerja, gaji pun tidak dibayar. Minta majikan, sampai diri malu sendiri nak minta lagi. Malah majikan pun tak pernah tanya khabar pekerja.

Pekerja yang lain masing-masing juga bergelut dengan masalah yang sama – duit. Majikan tidak endah.

Jadi selama ini EM makan apa?

Ada seorang jiran yang baik hati bantu. Sangat baik kata EM hingga dia rasa nak berhutang dengan jiran tu untuk pinjam duit. Cuma nak bercakap itu tidak terluah. Em kata dia di sini tak punya kawan. Yang dia tahu pergi kerja balik kerja. Kerja sampai lewat malam. Cuti bulanan pun sebulan sekali.

Tersentuh hati aku dengar pasal Em. Dia tak minta apa-apa dari aku. Dia cuma bagitahu sebab aku bertanya. Dia berharap keadaan akan pulih seperti biasa. Dia nak kerja.

Lepas je aku telefon dia, aku terus la tanya 2-3 orang yang aku kenal dan cerita tentang Em. Antara orang yang aku telefon ialah Farah (bukan nama sebenar).

Farah kata dia tengah tadarus. Aku cakap, takpelah nanti lepas tadarus aku telefon balik. Dia kata, dia nak tahu jugak aku nak cakap apa. Jadi aku ringkaskan la cerita. Lagipun Farah kenal Em. Lagi mudah la aku nak bagi faham.

Sempena bulan yang mulia ini tentu mereka hendak membuat kebaikan. Lagipun yang aku perlukan bukannya banyak.

Em takde kereta, kedai runcit dalam beberapa ratus meter je dari rumah. Sekarang ini dia hanya perlu duit untuk makan sahaja. Kalau sorang bagi sikit pun dah cukup. Aku nak bagi peluang orang lain buat kebaikan juga.

Tak lama lepas tu, aku sendiri memandu keluar rumah dengan tunai yang ada di tangan. Aku terus ke rumah Em. Rumah kami berlainan taman.

Aku harap sumbangan aku ni dapatlah dia membeli makanan dan beli keperluan peribadi dia. Harap-harap cukuplah melepaskan kesusahan dia. Rasa berdosa aku rasa kerana tak ambil peduli hal orang lain. Sampai ada kawan aku yang tak makan pun aku tak tahu.

Masa aku sampai rumah dia, dia pun tak jangka aku nak datang. Dia turun dengan air mata bergenang. Aku hulurkan beg kertas yang ada beberapa keperluan seperti mask. Aku taknak dia keluar rumah tak pakai mask. Manalah tahu kan?

Kalau ikutkan memang aku nak peluk Em, minta maaf sebab aku tak tanya khabar dia. Aku makan sedap-sedap kat rumah dia boleh makan maggi je. Silap-silap maggi tu di kongsi dengan suaminya. Aku hulurkan barang. Aku tak salam pun. Rasa janggal. Selesai urusan aku terus balik.

Masa aku balik suami Farah telefon. Dia tanya kenapa aku telefon Farah. Aku kan dah bagitahu Farah tadi? Dia nak tahu juga. Farah bagitahu suami dia aku nak minta tolong.

Aku pun ceritalah kat dia. Aku dengan suami Farah memang kawan berborak sebab aku kenal Farah suami isteri ini memang bab duit memang tak berkira. Selalu bagi derma pada individu dan selalu bagi derma dekat pertubuhan.

Kadang aku kata, ni scam la. Dia tak percaya. Dia nak bagi juga. Aku pernah nampak jumlahnya bukan sikit.

Jadi untuk masalah Em ni aku beriala cerita kat suami dia. Dia dengar. Sesekali dia bertanya. Bila aku habis cakap, aku dengar pula dia nak cakap apa. Apa yang dia cakap tu buat aku terduduk tak percaya.

Menurut dia, tak ada orang pun yang akan tercicir dari bantuan kerajaan. Semua akan dapat. Bab bantuan takde isu. Berulang kali dia tekankan perkataan ini. Kalau dia bukan orang Malaysia, majikan dia pasti dapat bantuan.

Sekarang ini salah majikan la kenapa majikan tak bertanggungjawab. Kenapa majikan tak bayar gaji, tak datang ziarah, tak ambil tahu.

Aku dalam percaya tak percaya, aku katalah, itu aku tak tahu. Aku cuma nak bantu Em. Tentang majikan dia biarlah dia uruskan. Kalau nak tunggu majikan semua, bila nak selesai masalah. Masalah dia ialah, perlu duit untuk makan.

Boleh pula suami Farah kata, kalau setakat nak makan, ada banyak makanan. Ini Malaysia. Mustahil orang takde makanan. Kecuali tak berusaha. Boleh je, keluar rumah minta orang makan. Orang mesti bagi makanan punya.

Hati aku terus luka bila dengar dia cakap macam tu. Macam takde rasa belas langsung. Macam tak percaya yang orang boleh susah dengan sebab takde makanan.

Aku cakap, takpelah itu je yang aku nak cakap kat Farah. Dia kata nanti dia bagitahu kat Farah. Terpulang la pada Farah kalau Farah nak bagi, bagilah.

Aku tak sangka sungguh aku tak sangka orang yang aku sendiri tengok buat amal jariah banyak berhari-hari boleh kata macam tu.

Boleh bersoal jawab dengan aku untuk tahu sahih cerita dan akhirnya mencemuh dengan kata-kata mustahil hidup di Malaysia ada orang kelaparan. Aku tak boleh terima dia cakap macam tu.

Dalam pada aku melayan sedih, Farah telefon. Aku jawab dengan sisa semangat yang ada. Farah tanya semula cerita tadi. Aku pun cerita dengan Farah yang aku tahu dia pun punya sikap dermawan yang tinggi.

Farah ni rela tak masak sebab nak sokong usahawan ebazar. Asal ada orang jual, dialah yang membeli. Nak bagi bisnes kat orang lain.

Farah selalu buat aku nak memberi sebab aku sangat terinpirasi. Aku tahu Farah kerja biasa je. Tapi Farah kalau beri derma orang tak sangka itu jumlahnya.

Aku pun cakap kat Farah aku dah bagi kat Em tadi. Dia tanya berapa. Aku cakaplah. Farah kata, cukuplah tu rasanya. Setakat untuk makan, cukuplah duit tu. Kemudian dia kata, aku pun ingat nak bagi jumlah tu tapi ko dah bagi oklah. Dah selesai la.

Kali ini aku terpaku. Cara dia bercakap tu macam dah takde masalah kan? Dah selesai, kan?

Aku tak sangka betul orang yang bagi beratus pada pertubuhan yang entah ia ke tak, akan cakap macam tu pada aku. Aku tak sangka yang aku akan di tanya-tanya kemudian akan hampa begitu sahaja.

Betullah orang kata, PKP ini akan melihatkan sifat manusia. Kau mungkin mudah membantu orang lain, tapi kau lupa ada orang yang kau kenal diam menahan derita. Bukan semua orang mudah untuk meminta.

Semoga anda mendapat iktibar dari cerita ini.

– Kawan Em (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *