Assalamualaikum dan salam sejahtera, hai semua pembaca.
Untuk permulaan, saya adalah lelaki berumur 26 tahun. Boleh panggil saya Abdullah (hamba Allah).
Di akhir sesi luahan ni, saya akan tinggalkan satu soalan yang saya harap, pembaca semua dapat tolong untuk jawabkan.
Saya sedang melanjutkan pelajaran di universiti, sudah kehilangan mak ayah masa sekolah menengah.
Saya tinggal dengan abang dan ahli keluarga. Saya juga menghidap Generalized Anxiety Disorder (telah disahkan).
Pernah mengikuti sesi kaunseling dan hidup dengan ubat anti-depressants (sudah berhenti).
Saya seorang overthinker, saya selalu fikir benda yang belum berlaku. Saya selalu fikir masalah. Itu sedikit sebanyak tentang saya.
Jujurnya, saya dibesarkan dalam keluarga yang tidak menitikberatkan solat. Ibadah lain masih buat, puasa ya, sedekah ya. Sehingga saya membesar tanpa solat, kerana saya tak pandai bacaannya.
Kalau solat pun (berjemaah), hanya gerakan saja yang sama. Bertahun lamanya, saya rasa kosong, serba salah. Saya tahu perbuatan itu salah, haram.
Saya sukakan ilmu. Saya suka dengar ceramah agama, dalam radio, youtube, tv. Saya tahu kesannya, tapi masih buat kesalahan yang sama.
Sudah beberapa kali saya memang nak sangat² berubah, belajar solat. Tetapi akhirnya tak kemana.
Saya rasa diri kotor dan hina sangat dengan dosa yang sangat banyak. Saya takut dengan balasan-Nya.
Antara penghalang utamanya adalah saya takut untuk solat. Selama ini saya adalah orang yang tak solat.
Saya takut, apabila saya mula solat, orang terdekat akan kata saya buang tebiat. Asbab kepada itu, ianya akan menjadi tanda² kematian.
Selalu kita baca dalam akhbar, tengok berita, akan diceritakan orang yang meninggal akan melakulan tabiat diluar kebiasaannya.
Saya takut disebabkan ini, ditambah dengan anxietynya lagi. Sudah bertahun saya hidup dengan perasaan ini.
Dengar ceramah dalam youtube/FB pun secara senyap², saya taknak ahli keluarga tahu perkara ini. Beli buku belajar solat pun secara sembunyi.
Saya sedar, alasan ini bunyinya macam tak masuk akal dan luar kebiasaan. Tetapi ianya berlaku pada diri saya sendiri.
Kadang² saya akan berdoa supaya Allah ampunkan dosa² saya, supaya Dia tak abaikan saya, supaya Dia selamatkan saya.
Tetapi saya masih belum punya kekuatan untuk solat. Saya penakut dengan dunia. Penakut dengan mati.
Saya sudah beli buku² yang mengajarkan solat, sudah ada sejadah sendiri. Sudah mula menitikberatkan kebersihan. Tetapi masih lagi tidak solat.
Saya sedar, semua yang ditinggalkan tu kena Qadha. Setiap hari, makin bertambah tetapi masih lagi tetap degil.
Tanpa memanjangkan lagi luahan ini, saya harap pembaca dapat faham apa yang saya cuba sampaikan. Saya selalu sedih, merasa kosong.
Saya yakin Allah sedang membalas dosa saya dengan selalu menghadirkan kesedihan, keresahan dalam hati. Saya hanya mahukan redha-Nya.
Soalan ringkas saya, apa yang saya perlu buat?
Saya sedang cari ikhtiar untuk solat. Mohon bantuan semua dalam perjuangan saya, semoga mengalir pahala pembaca² semua.
– Abdullah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit