Aku Terima Segalanya

Assalamualaikum pembaca IIUM Confession sekalian. Hari ini aku ingin menceritakan putus tunang yang telah aku alami. Kisah antara aku dan “H” yang membuatkan aku belajar banyak perkara.

Niat aku ingin menceritakan adalah untuk memberitahu bahawa masih ada perempuan yang boleh menerima lelaki yang tidak punya apa-apa, selagi dia masih setia dalam perhubungan.

Namaku Hana, berusia di awal 30’an, bekas tunangku cukup ku katakan namanya “H”.

H merupakan seorang lelaki yang bekerja di kedai makan di raub pahang dengan gaji bulanan dalam 1400 setelah tolak kwsp.

Namun ianya tidak menjadi kudis buatku, kerana aku percaya rezeki Allah itu luas, dia juga mempunyai kisah silam dimana dia pernah ditangkap khalwat dengan ex nya.

Namun aku sebagai tunang di ketika itu, menerima dirinya seadanya kerana aku percaya bahawa tiada seorang pun manusia yang sempurna.

Bukan itu sahaja, malah “H” juga tidak mempunyai SPM, dia seorang remaja lelaki yang liar (berlumba haram) dan juga mempunyai rekod polis yang tidak memungkinkan dirinya untuk mengambil lesen,

Dia sendiri mengaku dan bertanya padaku sama ada aku sanggup atau tidak, dan jawabku sanggup kerana, aku ingin susah senang bersamanya.

Setiap hari aku akan memberi kata kata semangat, aku memintanya agar berdoa di mudahkan urusan sehinggalah kami bertunang.

Aku pinta dirinya untuk sentiasa berdamai dengan takdir Allah dan cuba untuk menjelaskan rekod rekod hitam supaya dia dapat mengambil lesen motor dan kereta, dan keluar dari belenggu masalah yang dia hadapi.

Aku sangat mempercayai nya sehingga, setiap kali keluar, aku akan membawa dirinya ditapak kosong, dan meminta dia untuk mencuba membawa keretaku, dari dua kaki dia memandu sehingga pandai untuk menggunakan satu kaki.

Tetapi langit tidak selalunya cerah, aku mula merasakan dia menyembunyikan sesuatu diketika mana aku membicarakan tentang kawan perempuannya yang bernama Jamilah (bukan nama sebenar), dia seorang janda muda yang sebaya dengan ex tunangku.

Setiap kali aku menasihatinya, supaya jarakkan diri agar tidak mengundang fitnah, dia akan memaki hamun diriku dengan kata kata celaan.

Bukan itu sahaja, tak lama selepas persengketaan itu, dia bergaduh pula dengan bos tempat dia bekerja, dengan mencabar bosnya supaya memberhentikan dia bekerja.

Aku sangat terkejut, dengan apa yang berlaku kerana mesej yang ditunjukkan cumalah kata kata tegas seorang bos untuk mendidik, tidak ada kata-kata hinaan seperti yang dia sebutkan.

Aku menasihatinya agar bersabar, kerana kami masing-masing dalam proses mengumpul duit hantaran perkahwinan kelak.

Aku terpaksa pujuk dirinya agar bersabar dan ingat bahawa tak lama lagi kita akan berkahwin, dan dugaan ini terlalu remeh jika dibandingkan bila mana kita tak ada duit sesen untuk makan, apa yang harus kita lakukan, tak kan kita nak berhenti kerja, tegasku.

Aku sehinggakan terpaksa membawa kereta dari Kuala Lumpur ke Raub, pahang semata-mata untuk memujuknya jangan berhenti kerja.

Setelah beberapa lama episod yang berlaku, aku sendiri telah memilih untuk berhenti, dari meneruskan pertunangan ini.

Aku minta putus, kerana bagiku, dia seperti tidak menghargai langsung perjuanganku untuk membentuk dirinya, seringkali minta putus untuk perkara yang remeh (tak boleh bertanya perkara perkara yang membuatkan jadi gaduh) dan akhir sekali biarlah aku yang memutuskan.

Dahulu, aku adalah perempuan yang merayu-rayu agar tidak ditinggalkan, namun sekarang tidak lagi. Aku terlalu baik sehingga ex tunangku mengambil kesempatan untuk mensia-siakan diriku.

Kenangan terindah adalah pada setiap hari isnin malam, ex tunangku offday, aku akan dengan sabar mengajarnya untuk membaca iqrak’, sebab aku ingin melihat dia mengaji al-quran. Tetapi apakan daya, jodoh kita sampai disini sahaja.

Namun aku merasakan sangat bahagia apabila aku ketahui, aku tidak tinggalkan dia dengan memori duka, tetapi hanya memori yang terindah dan dengan niat untuk melihat ex tunangku berjaya dunia akhirat.

Jika “H” membaca confession ini dan jika ianya diluluskan, saya doakan awak berjaya, walaupun masa waktu awak berjaya kelak, saya dah tak ada lagi dekat sisi awak, tetapi ianya tetap menjadi kenangan yang akan sentiasa saya selitkan dalam memori saya.

– Hana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *