Aku Tewas Dalam Diri Sendiri

Nama aku Bunga (bukan nama sebenar). Aku tak tahu nak mula dari mana, tapi aku harap siapa yang baca ni… jangan terus menghukum. Aku sendiri masih belajar menerima takdir yang aku sendiri tak pernah rancang.

Dua tahun lepas, aku baru lepas jalani pembedahan besar — buang rahim disebabkan masalah kesihatan yang serius. .(kanser Rahim stage 3).

Lepas beberapa bulan berehat, aku kembali bekerja. Company hantar aku outstation ke luar negara bersama dua lelaki: bos aku dan seorang colleague. Seorang lagi kawan perempuan aku terpaksa balik ke Malaysia sebab ibunya meninggal.

Hari pertama kat sana, aku mula rasa tak sihat. Aku demam dan terus balik ke hotel lepas meeting. Malam tu aku pengsan tiba-tiba… rupanya cyst aku pecah dan aku dibawa ke hospital. Bos aku yang uruskan semuanya. Waktu tu dia baru tahu yang aku sebenarnya pesakit kanser rahim..

Malam tu bos aku tunggu aku kat hospital, dan untuk kali pertama, kami berbual panjang — bukan lagi sekadar antara pekerja dan majikan.

Lepas discharge, kami masing-masing balik ke bilik hotel. Tapi malam tu aku pengsan lagi, dan tanpa aku sedar, bos aku buka pintu bilik (dengan bantuan reception), masuk dan jaga aku sebab aku betul-betul tak sedarkan diri.

Esoknya aku sedar dia tidur atas sofa dalam bilik aku, jauh dari katil aku. Dia cuma cakap, “Saya cuma nak pastikan awak selamat.” Dan dia minta supaya kami rahsiakan semua ini.

Sekali lagi kami ditakdirkan outstation bersama — kali ni ke Ipoh. Kali ni pula bos aku yang jatuh sakit, dan aku pula yang jaga dia. Semenjak itu, hubungan kami berubah. Kami mula rapat, banyak perkara yang kami lalui sama-sama. Tapi kami masih jaga batas.

Sampailah satu hari — masa aku warded lagi kerana kimoterapi— bos aku datang melawat, dan di situlah dia luahkan perasaannya.

Aku terdiam. Aku juga pernah ada rasa yang sama, tapi aku tahan sebab aku tahu… dia suami orang. Aku cuba lari dari dia selama 2 bulan, elak semua pertemuan, tapi dalam hati aku — aku gagal buang perasaan tu.

Aku pergi umrah dan minta petunjuk. Tapi pulang dari Tanah Suci, dia ajak aku nikah. Aku tak tahu kenapa aku terima. Aku pun tak tahu kenapa aku sanggup.

Mungkin sebab aku rasa… akhirnya, ada orang yang nampak aku bukan kerana fizikal, bukan kerana kemampuan mengandung, tapi sebab hati aku.

Kami bernikah di luar negara secara rahsia. Dan hari ini, hampir 10 bulan aku bergelar isteri kedua… tanpa sesiapa pun tahu. Keluarga aku tak tahu.

Isteri pertama dia, aku panggil dia ‘kakak’, juga tak tahu. Aku rasa berdosa sangat… setiap kali aku tengok mata suami aku balik rumah pertama dia, aku tahu aku punca beban dalam hati dia.

Aku bukan nak rampas. Aku cuma tewas dengan perasaan sendiri. Aku tak minta pun semua ini. Aku tak pernah angan nak jadi isteri orang.

Tapi bila dah berlaku, aku sendiri lemas dengan semua rahsia ni. Aku takut. Aku serba salah. Aku nak dia jujur tapi aku juga takut hancurkan hidup orang lain.

Sekarang aku dah berhenti kerja sebab kesihatan, aku buka busines kecil-kecilan. Tapi malam-malam aku tetap menangis. Aku nak jadi kuat. Tapi aku manusia… yang cuma nak disayangi.

Setiap hari aku bangun dengan rasa… mungkin ini hari terakhir aku. Tapi aku tak takut. Cuma aku nak pergi dalam tenang.

Maafkan aku.
Bunga Melati
——————-

Untuk Kakak,
Andai satu hari nanti kakak dengar tentang aku…

Aku tak tahu macam mana nak mulakan. Aku bukan wanita yang sempurna. Aku tak pernah berniat untuk menjadi pengganti, apatah lagi perampas dalam hidup kakak. Aku tahu tempat aku — dan aku tahu, aku hadir di saat yang paling tak sepatutnya.

Kakak,
Aku tak pernah rancang jatuh hati pada suami kakak. Aku sendiri lawan perasaan tu. Aku cuba lari, cuba jauhkan diri… tapi entah kenapa, takdir terlalu kuat tarik aku ke arah dia.

Saat aku paling rapuh — waktu aku hilang harapan, waktu aku hilang rahim, waktu aku fikir hidup aku tak ada harga lagi — dia hadir, dan buat aku rasa wujud aku masih bermakna.

Tapi aku tahu… semua ni bukan alasan. Dan aku tahu hati kakak pasti terluka. Maafkan aku, kakak… bukan aku tak sedar sakitnya dimadu. Aku juga seorang perempuan. Aku faham derita yang kakak mungkin rasa nanti.

Kakak,
Aku tak minta dimenangi. Aku cuma tumpang rasa disayangi. Bukan niat aku nak rampas kasih yang dah lama jadi milik kakak. Aku tak akan pernah mampu lawan tempat kakak di hati dia. Dan aku tak akan pernah minta dia tinggalkan sesiapa.

Cuma aku harap… kalau satu hari kakak tahu, kakak akan tahu juga yang aku bukan hadir untuk merosakkan. Aku cuma manusia biasa… yang kalah dengan takdir.

Doakan aku, kakak.
Dari jauh, aku doakan kakak juga bahagia — walau tanpa tahu aku siapa. Apa pun yang berlaku, bukan kakak yang salah. Bukan suami juga sepenuhnya.Tapi aku tahu… yang tak tolak, itu aku.

Dengan penuh rasa bersalah,
Bunga Melati..

—————

Untuk suamiku…

Terima kasih sebab masih ada di sisi aku, saat dunia rasa sunyi, saat hidup terasa hampir tak bererti.MTerima kasih kerana pernah memilih untuk hadir — walau jalan itu penuh salah, dan perit untuk ditelan.

Tapi sayang… Semakin hari, aku makin sesak. Makin takut. Bukan sebab aku tak bahagia… tapi sebab aku tahu, bahagia kita ini atas luka orang lain. Dan aku… aku bukan wanita yang kuat untuk terus berpura-pura tak rasa bersalah.

Aku tak pinta kau tinggalkan sesiapa. Aku tak mahu kau korbankan kebahagiaan orang lain demi aku.

Aku cuma mahu satu — kejujuran.

Bukan kerana aku mendesak. Tapi sebab aku penat bersembunyi dari dunia yang kononnya perlu kita lindungi.

Kalau satu hari nanti aku pergi sebelum segalanya terbongkar… aku redha.

Cukuplah aku bawa rahsia ini ke hujung nyawa aku.

Tapi kalau kau pilih untuk terus rahsiakan sampai bila-bila,

tolong jangan minta aku terus pura-pura kuat — sebab setiap malam aku menangis, sendiri.

Sayang,

Cinta ini bukan mahu jadi pemenang.

Aku hanya mahu dihargai tanpa perlu menyakiti.

Dan kalau bahagia itu perlu berdua — biarlah ianya juga berdua dalam kejujuran, bukan sembunyi.

Yang menumpang di hati dan hidupmu,

Isteri yang kau nikahi diam-diam.

– Bunga Melati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

2 Comments

  1. berdamai dgn takdir, jodoh kamu dah Allah tetapkan, hadapi dengan tabah, mohon pertolongan Allah.. jgn berputus asa dengan Rahmat Allah.

  2. Nak nikah nak kahwin ni bukan sekadar kita dan pasangan sahaja, berseronok suami isteri maka selesai, dan poligami pula jaga antara isteri-isteri dan suami sahaja sudah selesai. Kalaulah begitu, di mana hikmah besar perkahwinan yang menyatu padukan/mengukuhkan hubungan (kekeluargaan) sesama umat Islam yang terlibat…? Saya sungguh kecewa dengan perempuan yang mahu ‘terlibat’ tetapi tidak mengambil kira iman/taqwa perempuan yang sedia ada. Seolah-olah suami dan anda hanya menjaga kepentingan syurga masing-masing, suami dan anda tak kisahkan taqwa dan tahap iman isteri sedia ada dan anda nak syurga melalui suami maka membelakangkan/langkau jalan syurga sedia ada (mak ayah anda). Kusut.
    Anda suami isteri mulakan dengan mak ayah anda keluarga anda, dan mak ayah suami keluarga suami. Dan suami selesaikan dengan isteri pertama dan juga mak ayah isteri pertama keluarga isteri pertama. Jika anda sayangkan kakak (madu anda) kerana Allah, maka banyakkan berdoa agar imannya terpelihara dan jangan tinggalkan doa untuk kebaikan-kebaikan lain yang anda mahukan ke atasnya. Semoga kebaikan juga ke atas anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *