Aku Tidak Kuat II

Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-tidak-kuat/).

Assalamualaikum.. Terima kasih kepada admin atas penyiaran confession aku sebelum ini.. Aku teliti satu persatu komen semua pembaca, terima kasih atas kata-kata semangat dan doa kalian semua..

Aku tergerak hati nak teruskan dengan confession kedua kerana ada beberapa perkara yang aku hendak perincikan untuk tatapan para pembaca.. Sekiranya confession kali ini tersiar, terima kasih sekali lagi aku ucapkan..

Buat pembaca semua, apabila pertama kali suami aku disarankan untuk menjalani dialisis disebabkan kegagalan buah pinggang untuk berfungsi secara normal, beliau menangis hiba..

Aku tahu dan sangat faham bukannya mudah beliau hendak menerima ujian tersebut, apatah lagi hendak menghadapinya.. Aku peluk suamiku serapat mungkin kerana aku percaya beliau sangat perlukan aku ketika itu..

Aku bisik kepadanya, Allah sedang menguji kita dan sebagai hambaNya, kita wajib menerima takdir yang telah ditetapkan.. Walaupun dalam hatiku, hanya Allah yang tahu betapa berkecamuknya perasaan aku..

Bermacam-macam benda berlegar dalam fikiranku apabila doktor memaklumkan suamiku perlu menjalani dialisis 3 kali seminggu dan mengesyorkan supaya sesi dialisis tersebut dijalankan di pusat dialisis swasta memandangkan tiada kekosongan di hospital..

Aku perlu merencana jadual masa dan hari dialisis suami dengan jadual waktu kerja aku supaya tidak bertindan..

Oh ya.. buat pengetahuan pembaca, suamiku juga kehilangan kedua-dua deria penglihatan disebabkan penyakit kencing manis sejak lebih kurang setahun lepas.. Oleh itu pergerakannya sangat terbatas dan memerlukan bantuan sepenuhnya dari aku..

Beliau juga tidak mampu lagi bekerja atas penyakit yang dihidapinya dan menerima pencen ilat dari Perkeso setiap bulan hasil caruman semasa beliau bekerja 12 tahun lepas..

Bayangkan sejak lahir sehingga umur suamiku mencecah 39 tahun, beliau dilahirkan normal cukup anggota badan.. Tetapi dengan tiba-tiba, deria penglihatannya mulai hilang..

Kulihat suamiku sangat sedih.. Tiada lagi keindahan alam yang dapat dilihat oleh suamiku sejak itu..

Paling meruntun hatiku, suamiku pernah berkata, abang tidak berpeluang lagi menatap wajah awak.. Allahuakbar, hampir menitis air mataku mendengar kata suamiku..

Aku terus memujuknya dan berkata, kita kena berusaha sehabis daya untuk merawat segala penyakit abang dan hadapi ujian ini bersama selagi jodoh kita masih bersama..

Suamiku akur dalam keadaan sangat lemah ketika itu.. Perlahan-lahan suamiku bina kekuatan dalaman dengan lebih mendekatkan diri kepada Tuhan Pencipta Alam..

Jika pembaca tertanya adakah kami berusaha untuk merawat penyakit suamiku, kami pernah pergi ke klinik pakar mata dalam negeri dan pusat pakar mata antar4b4ngsa di luar negeri..

Doktor mengesahkan mata suamiku sudah tidak boleh melihat disebabkan saraf mata yang rosak akibat penyakit kencing manis..

Bukan itu sahaja, rawatan alternatif juga telah diusahakan di beberapa tempat.. Sebut sahaja di mana walau di luar negeri, akan kuusahakan demi melihat suami kembali sihat seperti biasa..

Seperti confession aku sebelum ini, suamiku ada mempunyai penyakit hb selain penyakit lain yang pernah kusebutkan.. Dan beberapa kali pitam disebabkan penyakit tersebut..

Akan tetapi, aku bersyukur sangat sejak awal tahun ini, suamiku tidak lagi pitam.. Mungkin asbab suamiku ada mengambil ubat yang disarankan oleh doktor seperti vitamin b complex, asid folic dan iron tablet..

Untuk makluman para pembaca, aku merupakan penjawat awam dan masa bekerja aku bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang.. Sesi dialisis suamiku bermula jam 11 pagi sehingga 3 petang selama 4 jam untuk satu sesi..

Aku dan suami telah berbincang untuk menggunakan perkhidmatan grab untuk mengambil suami dari rumah ke pusat dialisis mengikut masa dan hari yang ditetapkan,

Memandangkan tiada kemudahan pengangkutan disediakan oleh pusat dialisis di tempat suamiku menerima rawatan..

Kami juga meminta bantuan pemandu grab untuk memimpin suami dari kereta sehingga ke pintu masuk pusat dialisis.. Seusai balik kerja, aku akan singgah di pusat dialisis untuk mengambil suamiku dan terus balik ke rumah..

Untuk hari yang suamiku tidak menjalani sesi dialisis, beliau akan pergi ke Persatuan Cacat Penglihatan dengan dijemput oleh van persatuan tersebut setelah suamiku mendaftar di situ..

Suamiku diajar tulisan braille di samping melakukan aktiviti keagamaan seperti belajar mengaji dan sebagainya..

Segalanya berjalan dengan lancar sehinggalah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa Mac 2020 akibat penularan virus covid-19.. Aku dan suami telah berbincang dan mengambil keputusan bersama..

Kami memutuskan, aku sendiri menghantar dan mengambil suami ke pusat dialisis demi keselamatan dan kesihatan suami. Ini kerana, suamiku adalah antara individu berisiko tinggi terdedah dengan virus tersebut..

Aku risau sekiranya menggunakan perkhidmatan grab, sudah tentu pemandu grab akan memimpin suamiku dari kereta sehingga masuk ke pusat dialisis dan berkemungkinan sentuhan tersebut akan merisikokan nyawa suamiku..

Aku dan suami mengambil langkah pencegahan supaya kami tidak menyesal di kemudian hari..

Bersyukur aku dikurniakan pegawai atasan yang sangat memahami keadaanku.. Beliau memberikan keizinan untuk aku menghantar suami ke pusat dialisis dan mengganti semula masa yang telah digunakan..

Aku tidak kuat sebenarnya… Ada ketika hati aku rapuh dengan pelbagai ujian hidup yang mendatang..

Ada ketika aku lelah dengan ujian hidup yang tidak berkesudahan.. Tetapi cepat-cepat aku istighfar dan percaya ada hikmah atas apa yang terjadi dan Allah tidak akan menguji hambaNya di luar kemampuan..

Aku dan suami juga percaya bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya kecuali m4ti dan tua..

Dalam setiap doaku, terselit harapan agar suamiku boleh melihat semula seperti biasa dan segala penyakit beliau dan juga diriku ditarik keluar dari badan dengan izinNya..

Aku juga doakan agar para pembaca yang telah/sedang diuji, bersabar lah dan tabah dalam menghadapinya.. In Shaa Allah, kita akan merasai kemanisan dalam setiap ujian yang dihadirkan..

– Aisyah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *