Aku Tidak Mahu Tahu

Assalamualaikum WBT. Aku terdetik untuk menulis selepas terbaca tentang kisah tajamnya lidah seorang ibu, (https://iiumc.com/kerana-tajamnya-lidah-seorang-ibu/)

Cukup juga kenali aku sebagai Sarah. Seorang ibu kepada 4 orang anak. Mempunyai suami yang sangat baik hati dan penyayang serta aku bekerja dalam bidang profesional. Aku juga dihujung-hujung 30-an.

Alhamdulillah atas nikmat yang Allah berikan. Aku bahagia dengan kehidupan yang aku ada sekarang.

Aku anak bongsu dalam 3 adik beradik. Aku ada seorang kak sulung, kemudian seorang abang dan aku. Kakak dan abang semestinya juga telah berkahwin. Ibu aku seorang ibu tunggal.

Kami membesar di sebuah negeri S dan di daerah metrapolitan. Tetapi kini ibu telah berpindah dan menetap ke kampung halaman ibu. Ibu sudah berusia 60-an. Alhamdulillah masih sihat.

Kehidupan sewaktu kami kecil agak mencabar. Ayah aku sewaktu itu seorang penjawat awam tetapi dalam erti kata lain tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga sepenuhnya.

Ayah minat berniaga, tetapi dek kerana pengurusan yang tidak betul seringkali apa yang dibuat tidak berjaya dan menyebabkan hutang keliling pinggang.

Ibu aku terpaksa melakukan kerja sambilan lain untuk menampung keperluan kami pada waktu itu. Ayah juga memiliki isteri lain dan mempunyai 2 orang anak. 10 tahun lepas ibu telah berpisah dengan ayah.

Disebabkan sikap ayah, ibu meletakkan harapan kepada abang. Dari kecil abang adalah anak harapan ibu. Abanglah itu dan abanglah ini.

Masa kecil setiap waktu solat abang akan ke surau. Abang juga berkemahiran membetulkan pelbagai jenis barangan elektrik. Ibu sangat menyayangi abang.

Tetapi, layanan abang kepada ibu tidak seperti layanan abang kepada aku. Aku sering dibuli dan diejek oleh abang. Abang sering menyepak dan memukul aku atas alasan abang mahu mencuba teknik silat yang abang belajar hujung minggu disekolah.

Abang sering menukar siaran televisyen yang sedang aku tonton. Abang pernah mengetuk kepala aku dengan remote apabila aku cuba menukar siaran aku semula secara manual. Abang juga sering meninggalkan aku seorang diri selepas balik mengaji Al-Quran pada waktu malam.

Abang sentiasa tidak puas hati dan sering mentertawakan aku walaupun aku melalukan kesalahan kecil. Aku sering mengadu pada ibu tetapi ibu sering memberikan aku alasan aku suka mengadu dan menangis. Aku tidak faham cara taksiran ibu.

Semasa sekolah, desakan hidup menyebabkan ibu tidak mampu untuk menghatar kami tuisyen. Tetapi berkat doa ibu, kami bertiga dapat melanjutkan pelajaran di menara gading. Abang dapat ke universiti di selatan tanah air. Semester 1 abang cemerlang. Semester 2 juga begitu.

Ibu semakin meletakkan harapan hidupnya pada abang. Semasa di semester 3, abang mendesak ibu membelikan dia motosikal. Ibu berkata ibu tidak mampu dan menyebabkan abang menggunakan wang pinjaman belajar untuk membeli motosikal.

Wang pinjaman belajar habis dan abang tidak mampu untuk membeli buku yang wajib digunakan dalam peperiksaan “open book test” di U abang. Abang menggunakan buku fotostate sahaja dan akibatnya abang diminta mengulang kertas tersebut.

Disebabkan itu, abang rasa tercabar dan abang tidak hadir langsung pada kesemua kelas selepas semester itu dan menyebabkan dia dibuang U. Hancur luluh hati ibu.

Namun ibu tetap melayan abang seperti biasa. Aku tidak pernah lihat ibu memarahi abang secara extreme. Sekali lagi aku tidak faham.

Kemudian, abang mula bercinta dan kehulu dan kehilir bersama kekasih yang dicinta. Abang mula mencari kerja dan sering membawa kekasih abang kerumah. Perasaan aku biasa-biasa sahaja cuma aku rasa abang aku sedikit berlebih- lebih. Ibu ikutkan abang sahaja disebabkan ibu sayangkan abang.

Abang berhenti belajar pun ibu nampak kecewa sekejap sahaja. Aku pula yang rasa kecewa sebab aku yang menemani ibu dirumah dan melihat perit jerih ibu mencari rezeki.

Abang kemudian menyambung pelajaran di peringkat sijil. Berbekalkan sijil itu abang mendapat pekerjaan yg lebih baik. Abang membeli kereta kancil. Sempat dipakai setahun lebih sebelum kancil itu ditarik kerana tidak mampu bayar.

Aku seringkali terjumpa bil menginap di hotel di dalam kereta abang. Bila aku bercakap pada ibu, ibu hanya senyap dan tidak memberikan apa-apa respon. Aku sekali lagi tidak memahami ibu.

Kemudian ayah membelikan abang sebuah proton wira dan ayah membayarkan setiap bulan. Ketika ini abang sudah mempunyai kekasih lain iaitu janda beranak dua. Seringkali aku jumpa pampers, botol susu dan kasut perempuan di dalam kereta.

Kali ini aku tidak bercakap pada ibu tetapi aku biarkan ibu nampak sendiri. Dan seperti yang dijangkakan tindakbalas ibu biasa sahaja.

2 bulan duit bayaran proton wira yang ayah berikan kepada abang, abang buat membeli cincin untuk si janda niatnya untuk melamar dan akhirnya kereta proton wira ditarik.

Kereta wira itu dilelong oleh bank dan bakinya ibu terpaksa bayar kerana kereta itu dibeli atas nama ibu. Ibu tidak mampu bayar dan menyebabkan sampai surat mahkamah. Kes ini berlarutan bertahun-tahun sehingga aku sudah bekerja.

Aku kesiankan ibu yang pening kepala menjawab panggilan dari bank dan aku uruskan dengan pihak bank untuk membuat bayaran secara ansuran. Tiada lagi bank menelegon ibu. Abang? tiada bunyi. Abang salahkan ayah sebab tidak membuat bayaran.

Bila tanya ibu, ibu juga turut menyalahkan ayah sebab membeli kereta menggunakan nama ibu. Ada abang mengucapkan terima kasih pada aku? TIADA. Aku rasa tidak dihargai.

Abang berkahwin. Aku tidak tahu bagaimana di mengenali kakak B dan dimana. Kakak B tidak banyak cakap. Pemdiam orang nya. Kurang mesra. Tapi baik dan menghormati orang. Tidak berpelajaran tinggi dan biasa-biasa sahaja.

Ibu menyediakan barang hantaran. Ayah membayar semua duit katering di dewan. Dalam erti kata lain kawin free. Duit hantaran sahaja abang sediakan.

Kakak aku ada sedikit terasa kerana sewaktu dia berkahwin dulu dia tidak menyusahkan ayah dan ibu. Tetapi kakak pendam sahaja kerana kalau cakap pun abang tetap yang terbaik di mata ibu.

Setelah abang berkahwin. Ayah dah pencen. Waktu itu perniagaan ayah agak baik dan ayah menyuarakan pendapat untuk membeli rumah yang lebih selesa. Ayah ingin menggunakan nama aku dan ibu meminta meletakkan nama abang sekali. Kakak terasa hati sekali lagi.

Malangnya apabila membuat permohonan bank, nama abang tidak lulus kerana dia ada hutang tertunggak atas nama abang sendiri. Pihak bank memaklumkan nama aku sudah cukup kerana gaji aku sudah lebih dari cukup untuk meluluskan pinjman.

Ibu tidak puas hati menyebabkan ayah menyelesaikan hutang abang yang tertunggak. Bukan sikit. Belasan ribu juga jumlahnya. Jadi berjayalah rumah itu dibeli dan ibu dan ayah berpindah. Sekali lagi aku tidak memahami niat ibu. Apa beza aku, kakak dan abang dimata ibu?

Rumah itu ada 4 bilik dan abang meminta ibu memberikan bilik kedua kepadanya. Aku kata kepada ibu, kenapa beri bilik besar kepada abang sedangkan abang bukan tinggal bersama ibu. Ibu kata, “sudah… sudah..”

Aku membelikan semua lampu kipas dan abang yang pasang. Ayah membeli aircond pada setiap bilik dan membeli beberapa perabot. Aku membelikan ibu meja makan baru. Aku juga membelikan ibu beberapa peralatan elektrik.

Abang aku berjanji untuk membayar separuh duit pembelian barangan elektrik tapi janji hanya tinggal janji.

Tidak lama selepas itu ibu aku menelefon aku dan memberitahu abang aku meminta aku duit untuk membuat grill dirumah ibu dan ayah dimana abang akan usahakan untuk buat grill itu sendiri di bengkel kawannya.

Namun grill entah kemana dan duit pun lesap. Akhirnya ayah yang menyelesaikan urusan pemasangan grill. Bila aku tanya ibu, ibu cuma nampak marah didepan aku sahaja tetapi tidak didepan abang. Ibu? kenapa ibu begini? Aku tidak faham ibu atau ibu tidak faham aku?

Tahun pertama bayaran bulanan rumah berjalan lancar. Namun masuk tahun kedua ayah mengalami masalah dan tidak mampu membayar sepenuhnya duit rumah. Ayah minta kami 3 adik beradik berkongsi membuat bayaran dan masalah pun selesai.

Keadaan ini hanya bertahan selama beberapa bulan dan menyebabkan akhirnya aku seorang sahaja yang membuat bayaran dengan bertambahkan duit bayaran rumah sewa orang yang menyewa rumah ayah dulu.

Aku agak tersepit dan tertekan kerana aku juga sudah berkahwin dan mempunyai anak. Namun suami aku sering minta aku bersabar. Alhamdulillah aku tidak pernah putus rezeki dari Allah SWT.

Ibu menguruskan duit rumah sewa ayah dan aku hanya mampu bank in duit bayaran rumah serta duit perbelanjaan ibu setiap bulan kerana aku bekerja di salah sebuah negeri di kepulauan borneo ketika itu.

Aku mempercayai ibu untuk membuat bayaran rumah namun ibu memberikan kepercayaan itu kepada abang.

Ibu memberikan kad bank kepada abang untuk membuat bayaran rumah. 3-4 bulan masih berjalan lancar.

Namun selepas itu abang mengambil duit sewaan dan duit yang aku berikan kepada ibu. Aku terima panggilan telefon dari pihak bank yang menyatakan rumah ibu dan ayah telah 3 bulan tiada bayaran.

Aku rasa marah. Aku Stress. Aku maklumkan pada ibu dan waktu itu ayah menyelesaikan bayaran tertunggak itu. Sekali lagi aku tidak boleh menerima apa yang berlaku. Ya, aku tidak faham. Untuk pengetahuan pembaca, abang minat sukan bermotor besar.

Bemula pada hari tersebut, aku sukar mempercayai apa sahaja yang berkaitan dengan abang. Abang membuat hutang peribadi lagi dan abang ipar aku menjadi penjamin. Namun hutang itu tertunggak dan memberikan kesukaran kakak dan abang ipar aku untuk membeli rumah.

Kakak bantu untuk selesaikan abang namun abang tidak bayar hutang kakak semula. Bila nama abang sudah clear di bank abang beli motorsikal berkuasa tinggi dan membeli sebuah MPV. Kakak bersuara namun Ibu masih menyebelahi abang.

Abang bermulut manis dan pandai berkata-kata dan abang juga pandai menyalahkan orang lain dan menjadikan diri sebagai mangsa kepada semua masalah yang abang buat. Itu juga kelebihan yang abang ada sejak kecil lagi. Kakak pula sedikit demi sedikit menjauh hati.

Aku menasihati ibu supaya tidak lagi mempercayai abang. Selepas beberapa tahun berlalu abang menyuarakan untuk berpindah ke rumah ibu. Aku dan kakak tidak setuju kerana sikap abang selama ini.

Namun ibu mengharapkan abang berpindah bersama ibu dan merasakan abang boleh menjaga dan menyediakan semua keperluan ibu sedangkan setiap bulan pun abang tidak beri duit perbelanjaan untuk ibu.

Abang berkeras untuk berpindah dan menyebabkan timbul konflik antara aku dan ibu. Sungguh aku tidak faham ibu.

Nak dijadikan cerita, sekali lagi abang mengambil duit bayaran bulanan rumah. Dan sekali lagi aku mendapat panggilan daripada bank yang memaklumkan sudah masuk 4 bulan bayaran rumah tidak dibuat.

Aku marah dengan ibu. Aku kecewa dengan ibu. Aku tidak sangka ibu masih memberikan kepercayaan abang untuk membuat bayaran rumah.

Aku sedih. Sekali lagi aku betul-betul marah dengan ibu. Waktu ini ayah sudah berpisah dengan ibu. Ayah tidak dapat membantu. Abang terjerat nak masih lagi tidak mahu menyalahkan diri sendiri dengan apa yg berlaku.

Pada waktu ini aku buntu. Aku minta doa dengan Allah SWT supaya beri petunjuk dan jalan kepada aku. Allah beri pertunjuk supaya aku jual rumah itu. Aku menyuarakan pada ibu dan kakak. Abang menurut sahaja menandatangani urusan jual beli (sebab ada nama abang juga).

Pakcik aku bersedia membeli rumah tersebut dengan harga dan duit untung jualan rumah sebanyak lebih 200k aku gunakan untuk buat rumah ibu di tanah pusaka ibu di kampung ibu.

Semasa dalam proses jual beli pakcik aku dahulukan duit untuk memulakan projek rumah ibu dikampung.

Jadi maksudnya selesai urusan jual beli, ibu aku juga dapat pindah dan duduk rumah dikampung. Sangat selesa. Masih ada duit lebihan dan aku minta ibu simpan buat simpanan dan masukkan dalam tabung haji.

Aku rasa lega tidak lagi terbeban hutang rumah. Aku dapat beri ibu lebih lagi duit untuk perbelanjaan ibu setiap bulan.

Kisah tidak habis disini. Bila ibu ada duit. Ibu bayarkan pinjaman pelajaran abang yang tak habis belajar dahulu. Abang tidak bayar bayaran bulanan yang sepatutnya abang bayar.

Alasan ibu, ibu tidak mahu bergaduh dengan makcik yang merupakan penjamin pinjaman abang. Aku sekali lagi sakit hati.

Aku juga belajar di menara gading mendapat pinjaman. Tapi aku tidak pernah menyusahkan ibu. Apa lagi meminta ibu yang membayarkan.

Kakak juga begitu. Kami sedih. Tapi kerana ibu, kami tak mampu untuk bersuara. Sungguh aku tidak faham ibu.

Beberapa tahun selepas itu abang balik ke kampung membawa sebuah kereta lama. Ibu tanya mana MPV abang dan abang memaklumkan yang dia dia telah menjual MPV nya dan membeli kereta lama itu secara tunai.

Bila ditanya mengapa, dia memaklumkan dia mahu membeli rumah dan tidak mahu berhutang.

Setelah beberapa lama, aku dapat tahu rupanya kereta MVP abang bukan dijual, tapi ditarik ditengah jalan ketika dipandu oleh isteri abang kakak B bersama anak-anak disebabkan abang sudah lama tidak membuat bayaran bulanan.

Aku dan kakak memberitahu ibu namun ibu tiada reaksi langsung. Aku tidak faham.

Rentetan dari itu, banyak berlaku masalah dalam rumah tangga abang sehingga abang menyuarakan hasrat dengan ibu untuk bercerai.

Abang memberikan alasan kakak B tidak taat kepadanya dan kakak B bukan ibu yang baik kepada anak-anaknya. Abang juga telah menyewa di rumah lain dan tidak tinggal sebumbung lagi dengan kakak B. Ibu cuba mendamaikan tapi kakak B juga mahu berpisah dengan abang.

Rupa-rupanya abang ada perempuan lain yang berusia 20-an. Aku namakan sebagai Si P. P jurutera dia sebuah syarikat cari gali minyak terkemuka. Kakak B sudah berjumpa dengan Si P, tetapi Si P tetap mahu bersama dengan abang.

Dan daripada kisah ini juga kakak B beritahu bahawa si P bukan perempuan pertama. Ada perempuan lain sebelum ini. Namun perempuan lain berdiam diri apabila tahu abang sudah berkahwin. Lain pula dengan Si P. Dia tetap mahu meneruskan hubungan.

Kakak B tidak sanggup lagi dan meneruskan penceraian dengan abang. selepas 4 bulan abang bercerai, abang menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan Si P, namun ibu melarang. Ibu sedih. Kecewa. Tapi abang terus memaksa ibu.

Akhirnya abang berkahwin juga tanpa ada seorang pun ahli keluarga bersama-sama abang. Kebetulan waktu itu aku bercuti, ibu meminta aku membawanyaj ke rumah kakak. Ibu nangis semahu-mahunya. Ibu tersangat kecewa dan sedih memikirkan nasib anak-anak abang.

Selepas berkahwin, abang masih rasa dia sentiasa betul. Abang menyalahkan aku membawa lari ibu kerumah kakak semasa hari pernikahan abang, sedangkan ibu yang minta dibawa kesana. Aku minta ibu jelaskan tapi ibu senyap sahaja.

Abang menjual cerita ibu mengalami masalah mental kepada keluarga mertua abang dan tidak dapat datang ke majlis. Bermacam-macam cerita dijual dan sudah semestinya aku dan kakak lah yang paling busuk dan buruk.

Hari-hari abang menelefon ibu meminta menerima isteri barunya. Abang akan memarahi ibu setiap kali ibu menolak untuk menerima. Tapi lama kelamaan ibu terima juga. Akan membawa Si P ke banyak majlis keluarga.

Abang juga bawa Si P ke rumah saudara mara. Abang mempamerkan Si P di mana-mana seolah-olah Si P lah bahagia untuknya. Abang memakai kereta mewah Si P berjalan kemana-mana.

Yelah, abang aku tu takde kereta pun. Hutang banyak. Nama pun tak lepas nak beli. Rumah pun tiada. Hanya menyewa. Kesian Si P. Ntah apa cerita yang abang jual.

Namun panas tak sampai ke petang. Si P berhenti kerja kerana dikeji rakan sekerja akibat daripada merampas suami orang. Abang kemalangan dengan motosikal berkuasa tingginya dan boleh dikatakan nyawa-nyawa ikan.

Motosikal tidak boleh dibaiki dan kebetulan abang tidak memperbaiki cukai jalan motosikal tersebut. Abang tidak boleh mebeli rumah disebabkan hutang yang banyak dan Si P pulak tidak bekerja dan menjadi suri rumah.

Ibu sudah nampak sangat lembut hati dengan abang dan Si P walaupun abang mengelak untuk berjumpa denganku. Aku dan kakak sering memberi tahu ibu supaya menasihati abang untuk berdamai dan meminta maaf dengan semua orang.

Tapi ibu memberi alasan abang tidak mungkin akan setuju dan ibu meneruskan perselisihan faham kami dengan abang sehingga kini. Ibu akan memberitahu abang bila aku dan kakak tidak pulang ke kampung dan menerima kepulangan abang sekeluarga.

Untuk makuman pembaca, aku dapat pindah berkhidmat di kampung halaman ibu dan akula yang membayar segala macam bil dirumah ibu dan memberikan ibu duit belanja. Aku juga membelikan ibu barang dapur.

Aku tidak tinggal bersama ibu kerana abang pernah membahasakan diri aku sebagai menumpang dan menyusahkan ibu.

Ya memang aku minta tinggal di rumah ibu sementara waktu selepas berpindah kerana sewaktu itu aku dalam urusan membeli rumah. Aku minta ibu jelaskan kepada abang tapi ibu hanya berdiam.

Jadi sekarang aku penat untuk memahami ibu dan aku mengambil keputusan untuk tidak mahu faham. Aku tidak mahu Allah beri aku ujian yang sama pada aku untuk aku faham situasi dan hati ibu aku. Aku jadikan pemgajaran dan aku tidak mahu anak-anak aku rasa perkara yang sama.

Aku didik mereka sebaiknya dan menghargai keluarga bahagia yang aku ada. Aku terus berkhidmat untuk ibu kerana aku masih percaya ibu aku sentiasa mendoakan aku dek kerana kebahagiaan yang aku ada sekarang.

Aku tidak hebat tapi doa ibuku yang hebat untukku. Semoga aku sentisa ikhlas untuk ibu sehingga akhir hayat ibu. Dan keputusan aku mati disini. AKU TIDAK MAHU TAHU. Sekian.

– Sarah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *