Hai korang! Aku Moana. Sempena tahun baru 2024 ni aku nak luahkan benda yang terbuku dalam fikiran aku. Aku anak sulung, dan aku sangat beruntung dibesarkan dalam keluarga yang bahagia dan agak senang.
Aku tergerak untuk coretkan luahan ini lepas aku menonton video pendek influencer di FB beberapa minggu lalu tentang pengalaman beliau dengan upline MLM.
Aku budak pandai. Asbab doa mak ayah aku, aku berjaya dalam pelajaran dan menjawat jawatan yang baik di tengah kota Kuala Lumpur dengan gaji yang agak lumayan berbanding rakan-rakan yang lain setelah aku selesai program ijazah aku.
Korang tahu kan, bila gaji besar tentulah stress kerja tu lebih besar berbanding orang lain. Sehingga suatu hari aku terbaca di FB posting rakan sekerja aku yang sedang bercuti ke luar negara. Aku namakan dia Melati.
Melati ni anak pegawai kerajaan, keluarga dia biasa-biasa dan gaji dia lebih kurang gaji aku je pada waktu itu. Benda best mestilah kita akan komen pada posting tersebut dan cuba korek itinerari dan budget Melati untuk ke negara tersebut.
Sape yang tak teringin untuk bercuti kat negara luar dengan duit gaji sendiri, setelah penat lelah berkerja. Alangkah terkejutnya aku bila Melati beritahu yang dia ke luar negara tanpa perlu bayar satu sen pun!
Aku punya instinct sangat kuat. Aku kuat curiga pada orang, jadi bila Melati beritahu yang dia percutian dia percuma, aku mati-mati tak percaya! Sampaikan aku ingat Melati ada sugardaddy yang sponsor percutian dia.
Melati berjanji nanti bila dia pulang dia akan jumpa aku untuk beri sedikit cenderahati dan nanti dia akan kongsikan cara untuk bercuti secara percuma.
Suatu petang yang hening, aku dapat panggilan telefon dari Melati. Dia ajak aku lepak kat cafetaria tempat kerja kami.
Masa aku menghampiri meja yang Melati duduk, mata aku tertaut pada beg tangan berjenama yang dia letak di atas meja cafetaria. Dalam hati aku pasti ada sedikit rasa cemburu dengan “pencapaian” yang Melati dapat.
Semasa aku menghirup kopi panas, Melati menghulurkan ole-ole dari tempat percutian dia sambil bercerita keseronakan berada di sana. Hujung-hujungnya, dia tanya aku, aku ada apa-apa plan tak pada malam hari pertemuan kami?
Disebabkan aku takde plan, dia ajak aku ke suatu tempat supaya dia boleh tunjukkan cara nak bercuti percuma.
Malam tu dia bawa aku kesuatu tempat yang agak menakutkan, sebab tempat tu gelap dan takde orang lalu lalang. “Sahlah Melati ni ada sugardaddy” getus hati aku.
Bila sampai dekat tempat parking, bersusun kereta-kereta mewah pelbagai warna dan jenama termasuklah kereta idaman aku, BMW.
Korang jangan tanya kenapa aku suka BMW, aku suka sebab aku suka. Lagipun masa sangkut dalam jem ketempat kerja, memang BMW antara kereta yang banyak aku tengok kat sekeliling,
Sehingga aku selalu tertanya-tanya apa yang pemilik dia buat sehingga mereka mampu memiliki BMW. Sebab aku juga mahu memiliki sebuah kereta mewah sendiri suatu hari nanti.
Rupa-rupanya, Melati dah join MLM dan telah berada di ranking yang agak top. Jadi sebagai reward, syarikat MLM dia telah menghadiahkan Melati percutian dia baru-baru ni.
Waktu aku dekat tempat tu, aku meronta nak balik sebenarnya tapi Melati bijak bawa aku jumpa dengan upline dia. Aku namakan Upline ni Janggut.
Bermulalah episode “sharing” business opportunity dari A-Z oleh upline Melati. Bila selesai, mereka minta IC dan wang pendaftaran ahli RM50. Aku beritahu aku takde cash dan IC aku tertinggal kat rumah.
Aku ingat aku dah terlepas tapi rupanya ada lagi sesi “follow up” sampaikan Janggut mula datang ke tempat kerja aku.
Aku tak berapa ingat macam mana aku akhirnya goyah dan setuju untuk buat pinjaman peribadi dengan jumlah yang agak besar. Mungkin sebab nafsu aku terhadap bonus pertama yang nilainya melebihi gaji bulanan aku.
Aku memang sejak azali suka duit banyak. Sebab tu dari aku kecik-kecik aku suka menyimpan sebab aku suka tengok nilai besar di atas buku akaun aku.
Setelah selesai urusan pinjaman dan pendaftaran di syarikat MLM tersebut, aku mula mencongak-congak jumlah wang yang bakal aku terima setiap bulan. Tambah pula tak lama selepas aku mendaftar, wang “bonus” mula masuk di akaun.
Janggut menghantui aku setiap hari atas alasan aku mesti buat ‘bisnes’. Sudahlah aku serabut dengan pekerjaan di tempat kerja, tambah pula lagi satu beban dari Janggut yang tak henti-henti call dan message di telefon.
Tapi aku excited menunggu hari “Bonus” syarikat MLM yang baru aku sertai. Malangnya pada hari bonus bulan berikutnya aku tak terima apa-apa bonus pun.
Aku marah sebab aku rasa tertipu kerana aku tak dapat bonus yang dijanjikan. Jadi aku call Janggut untuk bertanyakan bonus bulan kedua aku. “Dah kau tak share bisnes kita kat orang, macam mana kau nak dapat bonus” jawab Janggut.
Masa tu baru aku tersedar aku dah “terperangkap”. Aku terus teringat pada jumlah pinjaman yang aku buat untuk join MLM ni.
Aku mula berkira-kira berapa banyak jumlah dari gaji aku terpaksa aku keluarkan jika aku terus tak berbuat apa-apa. Akhirnya aku mengalah pada Janggut dan mula minta dia beri tunjuk ajar cara “sharing” bisnes MLM kami.
Aku mula dengan senarai nama orang terdekat aku. Modus operandinya memang korang semua boleh agak dan tahu pun. Mula bertanya khabar dan care terhadap “target prospect”
Aku mula berjaya untuk merekrut downline satu demi satu sehingga aku juga mula menerima bonus besar. Aku juga merasa bercuti di beberapa negara luar bersama syarikat MLM tersebut.
Aku jadi seronok dan kemuncak keseronokan itu makin menebal bila Janggut beritahu aku layak untuk beli kereta mewah idaman aku.
Aku bayar DP besar menggunakan simpanan aku untuk kereta baru supaya bayaran bulanan tak beban sangat.
Bila aku dapat kereta, aku makin riak sebab banyak orang di tempat kerja aku mula memandang sebab mereka tahu aku buat MLM dan aku berjaya pakai kereta mewah dalam masa yang singkat. Dalam hati kadang-kadang aku padankan diorg sebab tak mau join aku buat bisnes.
Rezeki aku baik, aku dinaikkan pangkat dan telah dipindahkan ke branch lain di negeri sebelah.
Janggut dah mula susah nak berjumpa dengan aku untuk coaching sebab dia “terpaksa” jaga downline aku di KL. Tapi aku biarkan je sebab aku tahu dia tak boleh hilang downline aku sebab itu juga “sumber” pendapatan Janggut.
Bila aku “tinggal” bisnes aku, aku rasa “sempit” sebab aku dah tak dapat bonus. Tambah terbeban dengan kereta idaman yang aku pakai.
Walaupun aku terasa sempit, jujur aku sayang sangat kereta aku sebab dia kereta best dan sangat selesa. Cuma Maintainance dia yang tinggi. Cukai jalan, servis rutin, tayar dia (sebab guna RFT). Lama aku simpan kereta tu sebab aku nak feed ego aku.
Bila aku dah stabil sikit, aku cuba ‘share’ balik bisnes aku kat orang baru tapi masa tu kat medsos ramai orang mula bongkar tentang syarikat MLM aku jadi aku terpaksa laylow sebab dekat branch baru orang tak tahu aku buat bisnes MLM.
Ramai orang ingat aku anak datuk sebab aku pakai kereta mewah. Aku biarkan je sebab banyak makcik bawang termasuklah boss kat branch baru tak berani kerek kat aku disebabkan andaian yang mereka buat.
Korang jangan risau, aku memang jenis berdedikasi terhadap pekerjaan aku sebab aku suka gila pekerjaan aku. Kalau korang tahu aku kerja apa, mesti korang kagum dengan aku. hehehe
Sekarang ni aku dah stop 100% bisnes MLM aku. Aku berjaya bayar full pinjaman peribadi aku dengan duit bisnes MLM aku.
Kereta yang aku sayang tu pun aku dah jual lepas aku lenjan kaw-kaw. Memang susut nilai habis! Beli beratus ribu jual tinggal berapa ribu je. Sedih! Jujur inilah kebocoran duit paling besar aku buat. Sekarang ni aku selesa pakai kereta jenama tempatan. King memang terbaik!
Aku juga dapat pengalaman travel free dengan syarikat MLM aku ke 4-5 negara. Ada juga hadiah berharga kecik-kecik yang aku dapat sepanjang aku buat bisnes.
Duit simpanan tak banyak pun, tah mana tah duit aku pergi mungkin sebab nak maintain lifestyle masa buat bisnes MLM kot.
Satu benda yang aku terkilan hingga hari ni, aku ajak orang lain “buat bisnes” tapi mereka tak dapat balik pulangan tu.
Ada downline aku yang join, tapi barang dia berlonggok kat satu bilik dekat rumah aku atas alasan nak “sorokkan” dari pengetahuan orang terdekat mereka. Nanti bila dah “berjaya” baru mereka ambil barang mereka dari aku.
Cerita ni dah berbelas tahun lalu, jadi barang tu ada yang dah expired. Aku nak lupuskan tapi aku serba salah sebab barang tu bukan duit aku.
Aku nak minta pendapat korang berkenaan barang ni sebab 2024 aku nak clearkan bilik ni sebab aku serabut tengok barang-barang orang ni memerangkap habuk. Aku nak hantar kat diorang pun ada downline yang aku tak kenal pun orangnya. Hummm..
– Moana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Bangganya bercerita kisah menipu orang. Tak de nampak kekesalan pun, malah bangga mendabik dada sebab dah pernah bercuti free, pernah pakai kereta idaman sebab join MLM tu. Sekadar tanya pembaca cara nak lupuskan brg MLM yg dah expired tu. Manusia jenis apa kau ni?????