Aku Wanita Biasa

Aku berkahwin terlalu muda. Usia 18 tahun, ramai kawan sebaya masih belajar, tetapi aku sudah bergelar seorang isteri dan ibu.

Selepas SPM, permohonan aku ke politeknik diterima, tapi suami ketika itu tidak mengizinkan. Aku sedih, sebab impian aku terhenti di situ. Namun kerana sayang, aku terus bertahan.

Suamiku tidak mempunyai pekerjaan tetap. Aku cuba jadi isteri yang baik, berharap satu hari dia berubah. Tapi tahun demi tahun, keadaan tetap sama. Bila anak sulung mencecah usia 12 tahun, aku membuat keputusan paling berat — berpisah.

Selepas setahun berpisah, aku cuba bina bahagia baru. Aku berkahwin lagi, tetapi takdir Allah, perkahwinan itu hanya bertahan setahun. Kali ini kerana sihir pemisah. Luka itu dalam, tapi aku pasrah.

Beberapa tahun kemudian, aku kembali kepada suami pertama. Aku fikir mungkin peluang kedua boleh memperbaiki keadaan. Tapi selepas dia terlibat dalam kemalangan, aku tanggung segalanya seorang diri.

Aku bekerja siang malam tanpa rehat. Akhirnya, aku terlalu penat. Dengan berat hati aku melepaskan lagi, kali kedua dengan orang yang sama.

Tahun 2019, Allah aturkan sesuatu yang aku tidak jangka. Aku bertemu seorang lelaki berbeza. Garang, tegas, tapi hatinya ikhlas.

Pada tahun 2021 aku sah bergelar isterinya. Dialah suami terbaik yang Allah hadiahkan untukku. Dengan dia, aku rasa benar-benar disayangi, dilindungi, dan dihargai.

Alhamdulillah, di usia menjangkau 50 tahun dan anak semua dah besar aku hanya duduk di rumah seperti yang suami mahukan.

Setahun lepas kau berhenti kerja dan mengikut suami berhijrah ke luar negara. Dia mahu aku berehat selepas bertahun-tahun memikul semuanya sendiri. Membawa aku jauh dari kehidupan lama ku.

Bila aku pandang ke belakang, semua luka dan tangisan yang aku alami rupa-rupanya hanyalah jalan Allah untuk membawa aku kepada bahagia hari ini.

Allah memang atur jalan penuh liku ni untuk bawa aku sampai ke titik sekarang — supaya aku tahu beza “lelaki yang perlu dibantu” dengan “lelaki yang benar-benar jadi pelindung.”


Pesan untuk wanita di luar sana:

Jangan pernah rasa hidup kita berakhir bila diuji dengan perceraian, kegagalan atau keletihan. Kadang kita rasa Allah tarik sesuatu dari kita, tapi sebenarnya Dia sedang menggantikan dengan yang lebih baik.

Bahagia itu mungkin tidak datang cepat, tapi ia akan tiba tepat pada waktunya. Jangan malu pernah jatuh, kerana setiap luka mendidik kita jadi lebih kuat.

Jangan berhenti berharap, kerana Allah tidak pernah menutup pintu rezeki dan cinta untuk hamba-Nya.

Aku percaya… aku bukan sahaja wanita yang pernah jatuh, tapi aku juga wanita yang tabah. Dan insyaAllah, setiap wanita yang diuji juga mampu bangun semula, kerana Allah janji — selepas kesusahan pasti ada kebahgiaan.

– INTAN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *