Assalammualaikum dan salam sejahtera. Pertamanya, terima kasih kepada admin sekiranya cerita yang aku ingin sampaikan ini disiarkan. Maaf sekiranya kisah ini panjang tapi aku cuba pendekkan.
Terlalu banyak yang ingin aku luahkan. Kisah yang aku ingin tulis ini adalah mengenai hubungan aku bersama insan yang ingin aku jadikan isteri.
Aku perkenalkan diri aku sebagai M, lelaki dan berusia 23 tahun. Manakala pasangan aku ini, aku kenalkan sebagai N dan berusia 24 tahun. Aku mengenali N semenjak sekolah lagi sewaktu aku berada di tingkatan 5 manakala N berada di tingkatan 6 pada tahun 2014.
Pertama kali aku berjumpa dengan N adalah di perpustakaan sekolah, pada Ramadhan yang ke-2 dan sehingga kini aku masih ingat baju yang dipakainya sewaktu berjumpa pertama kali adalah berwarna ungu.
N seorang gadis yang baik, lemah lembut, periang, lurus dan jarang marah dan tidak boleh marah (jika tidak dia yang menangis). Sepanjang tahun 2014 tersebut,
N banyak membantu aku dalam pelajaran terutama melibatkan matematik dan juga matematik tambahan kerana dia memang mahir dengan subjek tersebut.
Oh ya, pada waktu ini, keluarga aku dan juga N telah mula mengenali kami berdua antara satu sama lain kerana rumah kami pada waktu itu tidaklah jauh, hanya beberapa minit saja dan aku kerap belajar di rumahnya pada ketika itu.
Pada penghujung tahun 2014, ketika aku hendak menduduki SPM,
N mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sebuah IPTA di Pantai Timur pada peringkat diploma dan dia telah mengambil keputusan untuk pergi.
Pada waktu itu aku merasakan bahawa mungkin aku tidak akan dapat berjumpa dengan N lagi lepas ni memandangkan dia sudah pun pergi jauh. Aku berpesan pada N yang aku akan tunggu dia sampai dia pulang.
Tamat peperiksaan SPM, pada tahun 2015 aku bekerja sebagai tukang binaan rumah untuk mencari duit lebih bagi menyambung pengajian dan pada ketika itu, hubungan kami terputus selama beberapa bulan.
Namun, pada cuti semester N pada waktu itu akhirnya aku dapat berjumpa dengannya semula, memang rasa gembira dan bersyukur sangat.
Selang beberapa bulan selepas itu, aku menyambung pengajian diploma di sebuah IPTA di selatan tanah air yang mana jarak dari rumah aku hanyalah 45 minit sahaja.
Meskipun jauh, hubungan aku dengan N sangat rapat, pada setiap kali cuti semester kami akan berjumpa dan akhirnya kami berdua putuskan untuk serius dalam perhubungan kami,
Yang mana kami berjanji untuk berkahwin dan aku berusaha untuk mengumpul duit bagi menghalalkan perhubungan kami dan kami bercadang untuk berkahwin selepas masing-masing tamat pengajian ijazah sarjana muda.
Kedua-dua kami merestui hubungan kami.
Jadi aku memegang janji tersebut dan setiap kali cuti semester aku bekerja sambilan di bengkel kimpalan besi dan sebagai tukang binaan rumah.
Hubugan kami sangat akrab dan baik, aku kerap membantunya, menghantarnya dalam menyelesaikan urusan-urusan peribadi, membantu keluarganya, menghantar anak buahnya ke klinik dan sebagainya.
Ke mana sahaja pastinya kami akan berdua memandangkan keluarganya juga sudah percaya pada aku dan tidak benarkan N pergi sendirian ke mana-mana.
Kedua-dua keluarga kami sudah mengganggap kami berdua seperti anak sendiri untuk menggambarkan juga yang kami rapat dengan keluarga satu sama lain.
N juga banyak membantu aku dalam kehidupan, kadangkala sekiranya aku tidak mempunyai duit yang mencukupi, dia akan beri pada aku. Dia juga merupakan antara insan yang memberi sokongan moral buat diri aku sewaktu mengalami kemalangan pada tahun 2017.
Memasuki tahun 2018, aku dan N menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pula. N di IPTA di Selangor manakala aku pula masih di IPTA yang sama.
Aku membantu N dari membeli laptop dan menguruskan setiap dokumen untuk memasuki U sehinggalah aku menghantarnya ke U tersebut bersama keluarganya bermula dari urusan pendaftaran dan memasuki kolej.
Sepanjang N belajar di sana, aku bersama keluarganya yang menghantar dan mengambil dirinya sewaktu cuti.
Pernah juga sekali keluarganya meminta aku sendiri yang pergi untuk mengambilnya.
Teringat waktu di mana aku tergesa-gesa mengambilnya selepas habis program di U dan hanya berbuka puasa sendirian di dalam kereta pada waktu itu. Namun setiap apa yang aku usahakan itu aku tidak kisah kerana sayang.
Memasuki semester akhir N pada hujung tahun 2019, dia perlu menjalani latihan industri pada awal tahun 2020 sebelum tamat pengajian.
Ya, akulah yang membantunya dari membuat resume, surat dan meghantarnya ke setiap jabatan dan syarikat dan akhirnya N diterima untuk menjalani latihan industri di sebuah jabatan kerajaan.
Aku berpesan padanya, kerja rajin-rajin dan baik-baik supaya terus dapat kerja jika ada rezeki kerana dai akan bekerja dahulu memandangkan aku lebih muda darinya.
Perancangan kami adalah untuk melaksanakan perkahwinan pada pertengahan tahun 2021 yang mana pada ketika itu aku sedang jalani latihan industri dan dia pula bekerja.
Oleh yang demikian, aku mengumpul duit lebih daripada wang hantaran yang diminta oleh keluarga N memandangkan keluarga N tidak meminta banyak dan ini juga adalah cadangan N dan dipersetujui olehnya sendiri.
Tujuan aku mengumpul lebih adalah untuk simpanan kami kerana aku tidak mahu menyusahkan N sesudah aku menjadi suaminya nanti dan belum bekerja. Jadi memandangkan hanya tinggal setahun sahaja lagi, jadi aku berusaha gigih mengumpul duit.
Keadaan jadi bertambah sukar bila mana keluarga aku terpaksa berpindah rumah yang agak jauh 45 minit dari rumah N disebabkan masalah kewangan.
Namun aku tetap cuba meluangkan masa dengan N pada setiap hujung minggu dan dalam pada masa yang sama aku bekerja sambilan sebagai penghantar makanan, menternak ikan dan juga bercucuk tanam demi mengumpul duit untuk N.
Memasuki bulan Mac sewaktu PKP dijalankan, kami hanya berhubung melalui whatsapp sahaja dan sepanjang PKP tersebut aku tetap melaksanakan kerja sambilan tersebut di samping menghadiri kelas maya dan juga melaksanakan tesis bagi projek akhir.
Memasuki PKPB pada bulan 6 akhirnya aku dengan N bertemu namun sepanjang tempoh bulan 6 tersebut aku terlalu sibuk dengan tugasan, penghantaran tesis, peperiksaan akhir dan juga kerja sambilan.
Walaupun begitu, aku tetap cuba untuk meluangkan masa dengan N pada hujung minggu tapi malangnya N kerap keluar dengan rakan sekerjanya.
Memasuki bulan 7, N mula nampak berubah. Perlahan-lahan dia mengabaikan aku, perlahan-lahan dia mula menghilangkan dirinya daripada aku.
Aku cuba berbincang dengannya namun dia kata tiada apa sampailah satu hari dia mengaku yang dia sudah rapat dengan seseorang di tempat kerjanya. Hancur hati aku pada waktu itu.
Aku cuba berbincang, memujuknya, menasihatinya namun dia langsung tidak memandang wajah aku dan langsung tidak melayan aku bahkan sibuk dengan telefonnya. Sedih dan sayu sangat rasa pada waktu itu.
Aku cuba mengorek siapa lelaki yang N rapat tersebut dan akhirnya kawan baiknya memberitahu aku bahwa orang itu adalah pelajar praktikal di tempatnya juga dan kawan baik N menceritakan segalanya pada aku ketika itu. Hancur berkecai hati aku.
Kawan baik N cuba menasihati N tapi tetap tak berjalan. Bahkan mak N sendiri memujuknya tapi tak berjalan juga.
Mak N memberitahu aku bahawa dia sudah menerima dan percaya aku dalam keluarganya dan meminta untuk aku memujuk N. Tapi apakan daya, dia langsung tidak menerima.
N marah aku, maki bahkan N block whatsapp maknya dari aku. Sedangkan dulunya N tak pernah berperangai pemarah sebegini.
Aku berjumpa lelaki yang dimaksudkan N pada waktu malam aidiladha, kami bertengkar dan bergaduh dan akhirnya dia menawarkan aku satu perjanjian, siapa yang dapat memenangi hati N.
Dan akhirnya aku tewas, N berpaling dari aku untuk pergi kepada seseorang yang baru 2 bulan dikenalinya.
N berkata, jikalau dia betul sayang pada aku, dia takkan berubah hati. Selepas 6 tahun dia hanya mampu berkata mungkin dia tak pernah sayang pada aku.
N akui salah dirinya, tapi dia tak cuba untuk betulkannya. N akui egonya tinggi, hatinya keras tapi dia tak pernah cuba untuk rendahkan.
N betul-betul dah tawar hati dengan aku atas alasan aku sibuk dan takda masa dengannya. Walhal dari 6 tahun lepas aku usaha berjuang untuk ada dengan dia setiap masa, untuk halalkan hubungan kami.
Aku sibuk sebab nak bantu dia untuk masa akan datang, mudahkan dia. Aku pernah berpean pada bulan 6 untuk minta dia bersabar sepanjang aku sibuk supaya akan datang aku dapat bersama dengan dia.
6 tahun itulah aku berusaha keras kumpul duit demi dia. Sudahnya, aku terbuang seolah-olah setiap usaha yang aku lakukan dari dulu tak pernah bermakna dekat mata dia.
Sepanjang perkenalan dengan N kami jarang bergaduh dan sebelum jadinya masalah ini kami tak bergaduh pun dan akhirnya N tinggalkan aku pergi.
Buat pertama kalinya selepas 6 tahun kami bawa haluan masing-masing walhal dulunya kami sentiasa bersama, pernah berjanji untuk berkahwin dan dia sendiri minta aku berjanji jangan pernah tinggalkan dirinya.
Ya selama 6 tahun aku tak pernah sekalipun berpaling dari dia tapi akhirnya aku yang terbuang macam sampah. N kata janji manusia, memang mudah untuk dimungkiri.
Buat pertama kalinya aku tak tahu apa yang dia sedang buat dan dia tak tahu apa yang aku sedang buat. Sebagai manusia, aku rasa betul-betul terkilan dengan N.
Hari-hari aku bertanya pada diri aku, kenapa jadi semua ni? Sedangkan selama 6 tahun aku jaga hati ini sebaik mungkin untuk dia, yang datang pun aku tolak dengan baik tapi sudahnya aku yang dikecewakan. Setiap hari hati rasa berkecamuk dengan apa yang jadi.
Sungguh hati aku rasa bermacam-macam. Terkilan, sedih, kecewa, marah. Tuhan saja yang tahu rasa sakit ini.
Penat lelah usaha aku aku ambil hati N, ambil hati keluarga N, berkerja demi N selama 6 tahun, sudahnya orang yang tak pernah berusaha yang N terima. Sungguh aku rasa teraniaya dan dizalimi.
Tak sangka, setelah N berjaya habiskan pengajian, dia tinggalkan aku yang masih terkapai-kapai dalam pengajian. Walhal N berkata kalau aku tinggalkan dirinya aku sememangnya bodoh.
Tapi kesudahannya orang yang aku percaya akhirnya berubah dan mengkhianati aku sendiri, melanggar janjinya sendiri. Sedih, terlalu sedih.
Terlalu banyak kenangan manis dengan N dan keluarganya untuk 6 tahun yang memang susah untuk aku lupakan. Pergi ke mana-mana saja aku terbayang setiap momen dengan N.
Aku tak pasti sama ada dia ingat atau tidak semua itu. Susah untuk aku terima kenyataan ini. Bahawasanya aku yang berjuang selama 6 tahun, akhirnya aku yang terbuang.
– Insan yang terbuang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit