Aku Yang Berjuang, Aku Yang Terbuang II

Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-yang-berjuang-aku-yang-terbuang/).

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih kepada admin yang menyiarkan kisah aku yang bertajuk “Aku yang berjuang, aku yang terbuang”.

Pertamanya, terima kasih kepada semua pembaca yang memberi komen, nasihat dan juga kata-kata semangat buat diri aku.

Aku sangat hargai, nasihat anda semua memberi kekuatan dan motivasi semula buat diri aku di samping ibu aku yang sentiasa memberikan kekuatan dan dorongan buat diri aku dalam waktu yang sukar ini.

Pada awalnya aku tidak mahu menulis lagi tapi tergerak hati untuk menjawab beberapa persoalan.

Menjawab beberapa persoalan yang bertanya mengapa aku merancang ingin berkahwin pada usia yang muda adalah disebabkan permintaan dari N sendiri.

N terlalu sayang dan tidak mahu kehilangan aku di samping keluarga juga sudah merestui, oleh yang demikian N meminta untuk berkahwin awal sekiranya boleh.

Aku hanya cuba melakukan yang terbaik untuk diri N untuk menunjukkan yang aku bukanlah lelaki yang tidak matang dan hanya singgah padanya sekadar suka-suka sahaja.

Di samping aku sememangnya jenis cuba berikan yang terbaik untuk setiap orang yang aku sayangi dalam hidup aku.

Oh ya, N dan keluarganya juga meminta untuk melaksanakan pernikahan secara terus tanpa perlu mengikat tali pertunangan secara adat.

(Aku dan N mengganggap dalam tempoh 1 tahun lebih sebelum bernikah adalah ibarat pertunangan kami) kerana tidak mahu membebankan aku dari segi kewangan di samping kami sudah mengenali lama antara satu sama lain.

Keluarga N sememangnya baik, walaupun aku bukan orang yang berada tetapi mereka menerima aku dengan baik sekali.

Persoalan mengenai duit simpanan yang aku kumpul untuk membantu keluarga pula ketika mengalami masalah kewangan, Alhamdulillah duit yang aku kumpul selama ini bukanlah semata-mata hanya untuk N.

Aku mengurus dan membahagikan duit simpanan tersebut kepada dua tujuan iaitu untuk keluarga dan kemudiannya untuk N.

Ya, duit simpanan yang aku kumpul tersebut aku gunakan untuk membantu keluarga membina rumah yang kami duduki sekarang walaupun tidaklah terlalu banyak jumlahnya. Tapi Alhamdulillah dapat membantu meringankan beban keluarga aku.

Rumah yang kami duduki sekarang juga adalah merupakan hasil tangan aku dan juga ayahku 100% disebabkan kami mempunyai pengalaman dalam bidang pertukangan rumah.

Rumah yang dibina pada hujung tahun lalu kini sudah selesa didiami walaupun proses pembinaannya agak sedikit lambat disebabkan hanya kami berdua sahaja yang membinanya.

Persoalan yang berkata aku meletakkan 100% salah pada N dan hanya berbincang dengan keluarganya, maaf. Memang salah aku disebabkan rasa sakit dan kecewa aku menulis seolah-olah aku menyalahkan N 100%.

Pada awalnya aku tidak mahu melibatkan pihak keluarga tapi secara tidak sengaja pihak keluarga N mendapat tahu tentang masalah kami. Aku akui salah diri aku kerana terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk N.

N berkata sebelum ini lelaki tersebut banyak masa untuknya dan pandai membuat kelakar walaupun N akui, aku jauh lebih tampan jika dibandingkan dengan lelaki tersebut. Tapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.

Aku tidak mahu menyalahkan dan memburukkan N kerana dia sememangnya gadis yang baik. Tapi manusia memang tak terlepas daripada melakukan kekhilafan.

Maaf sekiranya dalam penulisan aku sebelum ini nampak seolah-olah aku memburukkan N.

Alhamdulillah, pada waktu ini aku sudah mula mendapat semangat baru disebabkan dorongan daripada keluarga dan kata-kata positif dari setiap pihak.

Aku juga dah mula untuk memaafkan N dan perlahan-lahan cuba untuk terima atas setiap perkara yang berlaku.

Mungkin Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kami berdua dan mungkin untuk menjauhkan kami berdua daripada perkara yang lebih buruk dan menjauhkan diri dariNya.

Aku juga cuba untuk muhasabah diri balik dan perbaiki semula diri. Doakan aku terus kuat, sabar dan istiqomah. Mungkin atas setiap apa yang terjadi disebabkan kekhilafan aku juga sebagai hambaNya.

Terlalu mengharap dan hanyut pada manusia sampai aku lupa padaNya. Aku serahkan segalanya pada Allah untuk urusan kami berdua.

Cuma dari dulu sehingga kini, aku masih lagi mendoakan N dan juga keluarganya yang terbaik setiap kali lepas solat.

Aku pun tak pasti tindakan aku mendoakan itu dapat bantu aku melupakan N atau tak. Cuma yang pasti aku mengharap N sentiasa dilindungi dan selamat.

Kalau dulu setiap hari aku berpesan pada N untuk jaga diri baik-baik, sekarang dah tiada.

Kadangkala aku terfikir juga, sepanjang aku belajar dari peringkat diploma sehinggalah kini, macam-macam dugaan yang aku hadapi terutamanya apabila memasuki semester akhir.

Penat itu ada tapi selagi mana nafas masih berhembus, selagi itulah ujian akan sentiasa datang.

Pernah beberapa kali aku ingin menangguh pengajian untuk bekerja dan membantu keluarga, namun kedua ibu dan ayahku tidak membenarkan dan ingin aku meneruskan saja pengajian.

Aku pernah mengalami kemalangan yang teruk, kini aku mengalami lagi satu ujian yang aku sungguh tak sangka dan bersedia akan terjadi.

Mungkin disebabkan terlalu banyak yang aku usahakan untuk N menyebabkan aku rasa benar-benar terkilan dengan apa yang terjadi.

Tidak mengapalah, aku cuba redha dengan apa yang terjadi. In shaa Allah akan ada yang terbaik suatu hari nanti.

Buat semua yang membaca penulisan aku ini, doakan aku terus kuat dan tabah dalam hadap ujian ini dan ujian yang akan datang.

Doakan aku dapat menghabiskan semester akhir akan datang dengan jayanya. Semoga ujian yang aku lalui ini tak akan mengganggu fokus dan komitmen aku dalam pelajaran.

Selepas itu aku akan jalani praktikal mengajar pula. Doakan juga aku dapat menjadi seorang guru dan pendidik yang hebat selepas tamat pengajian nanti.

Duit yang aku kumpul dan simpan, in shaa Allah aku akan teruskan dan gunakan pada kebaikan.

Terima kasih buat semua yang memberikan nasihat dan juga kata-kata semangat buat diri aku. Kata-kata kalian amat aku hargai sangat. Terima kasih.

Buat N saya sentiasa doakan yang terbaik buat awak, keluarga awak, buat kita.

– Insan yang terbuang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *