Assalamualaikum pembaca semua. Berminggu-minggu perasaan nak menulis ni melonjak-lonjak dalam dada, tapi ku tahankan saja. Akhirnya tak mampu ku bendung lagi. Ku biarkan saja jari jemari ni pantas menekan huruf demi huruf.
Aku tahu kedudukan aku, memang ketika ini Allah dan Malaikat tidak ingin memandang aku disebabkan aku isteri yang derhaka. Ampunkan aku ya Allah. Engkau Maha Mengetahui apa tersimpan dalam hati setiap hambaMu.
Aku sangka usia perkahwinan melewati 10 tahun sudah cukup stabil dan melepasi fasa ujian, rupanya aku tersilap. Dikurniakan dengan 4 anak yang baik dan bijak, cukup membahagiakan aku. Namun segalanya berubah bila suami ku minta untuk aku kembali mengandung. (anak bongsu kini berumur 6 tahun).
Aku tidak yakin dengan sikap dan akhlak suamiku. Aku berkira-kira untuk mentaati perintahnya. Suamiku peminum ketum, perokok tegar dan workaholic. Sebenarnya jika pembaca masih ingat, confession ‘fobia hari ahad ‘ (https://iiumc.com/fobia-hari-ahad/), itu adalah kisah hidupku juga.
Ramai yang kata aku perempuan puaka sebab tak bagi peluang suamiku berehat secukupnya. Ada juga yang kata aku layak diceraikan saja. Aku terima semua itu, kerana kalian tidak berada di dalam rumahku, dan tidak tahu setiap butir kehidupan kami.
Pernah suatu hari dia mengamuk seperti orang gila hanya kerana aku sorokkan air ketumnya. Aku dimaki dengan bermacam perkataan. Pernah juga dia terkantoi sedang mencampurkan ubat batuk dalam air ketumnya.
Segalanya dibuat di rumah kami, tanpa sedikit pun segan silu pada anak-anak. Anak-anak kini dah faham jika nampak sebotol air coke besar bersama air hijau, mereka dah pun kenal itu air ketum. Betapa gagalnya bapa kepada anak-anakku!
Kepada yang fitnah aku, kata tak memahami kepenatan suamiku mencari nafkah untuk kami, mari aku ceritakan rutin kerjanya. Kerjanya mula jam 8.00 pagi dan tamat jam 4.30 petang. Tapi aku memang tak pernah lihat bayangnya di petang hari. Paling awal dia akan pulang jam 8.00 malam, dan selalunya 10.00 atau 11.00 malam.
Ketika itu kami semua sudah pun masuk tidur. Life apa begini, wahai pembaca semua? Public holiday memang tak pernah bawa apa-apa erti untuk aku dan anak-anak. Jangan harap la dia akan bercuti. Jadi mana hak kami untuk berkasih sayang dengan dia. Bila masanya?
Bila timbul keinginan nya untuk memiliki anak kecil lagi, memang aku tolak mentah-mentah. Manakan tidak, dia sendiri aku jarang nampak di rumah, apa gunanya aku susahkan lagi hidup aku, menanggung segala kelelahan seorang diri.
Aku malu punya suami kaki ketum. Aku malu punya suami yang tak pernah faham keperluan kami yang perlu kasih sayang darinya. Aku malu punya suami yang tidak pernah ambil tahu hal pelajaran anak. Memang aku isteri derhaka. Tapi aku pasti bawa dia bersama dalam perbicaraan di mahsyar nanti.
Kini sudah 3 minggu kami berasingan bilik dan tidak bertegur sapa. Hati aku luka, sentiasa dipersalahkan bila timbul masalah antara kami, seolah-olah dia suami yang maksum. Aku tak boleh lari dari toxic marriage ini bila lihat ke dalam mata anak-anakku. Aku kasihan pada mereka.
Tabahkan hati ini ya Allah… jadi pada siapa yang syorkan aku akhiri je semua ni, memang aku nak sangat-sangat, tapi demi anak-anak, aku korbankan jiwa aku masih setia menunggu di sini….
– Cik flower (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit