Aku Yang Dipandang Hina

Assalamualaikum wbt. Terima kasih admin jika sudi siarkan confession aku.

Sebenarnya kisah aku tidaklah teruk mana. Sekadar cerita biasa tetapi cukuplah untuk mengubah aku yang dulu happy-go-lucky kepada seorang yang pendiam dan bercakap bila perlu.

Kisahnya begini. Aku dilahirkan dalam keluarga besar tetapi sangat sederhana. Tidak dimewahkan dalam mana-mana aspek.

Ayahku dulu bekerja felda. Emakku suri rumah. Kalau dilihat gambar-gambar aku ketika kecil, nampaklah aku agak comot tapi aku sebenarnya sangat enjoy kehidupan kecil aku.

Emakku mempunyai ramai adik beradik. Sepupu dan mak saudara disebelah emakku kebanyakan dari keluarga yang berada. Kami kebanyakan berada dinegeri yang sama, cuma bezanya kami pedalaman, mereka di bandar.

Waktu kecil aku, aku rapat dengan sepupu jika kami pulang ke kampung. Kami berkawan, bermain tanpa mengenal darjat masing-masing.

Semakin kami membesar, jarak kami semakin jauh. Kami semakin jarang bercerita apatah lagi bermain bersama-sama. Ayahku anak tunggal. Jadi tidak apa yang boleh aku ceritakan dari sebelah ayahku.

Aku terpilih mempunyai rupa paras yang agak cantik. Comot-comot aku dulu, ada juga comelnya. Haha. Ok, gurau.

Bila aku meningkat dewasa, aku melanjutkan pelajaran ke matrik, dan meneruskan pengajian di IPTA. Seperti biasa, dengan rupa yang cantik, orang layan aku sangat baik.

Tetapi aku perasan, bila ibu ayahku datang dengan kenderaan yang agak buruk dan tidak mewah, sesetengah dari mereka mula menjauhkan diri. Tapi tak apa, aku tidak mengambil hati.

Aku cuma berkawan dengan sesiapa yang ikhlas berkawan. Ramai meminati aku, tetapi bila aku tengok latar belakang yang umpama enggang dan pipit, aku tolak baik-baik.

Di akhir semesta pengajianku, aku dilamar oleh seorang lelaki. Dari susur galur keluargaku sendiri iaitu keluarga sebelah emakku.

Emaknya bersungguh-sungguh ingin menjadikan aku menantunya. Keluargaku menyambut baik lamaran itu. Tetapi aku berfikir seribu kali.

Keluarga itu, walaupun dari kalangan orang terdekatku, tetapi jurangnya ada. Mereka hidup dibandar, rumah besar dan boleh dikatogerikan orang senang juga.

Lama berfikir, jika aku menerima lelaki ini, tiada beza jika aku menerima lelaki lain yang aku tolak sebelum ini.

Bezanya cuma dia dari kalangan sanak saudaraku. Lama aku berfikir. Istikharah dan sebagainya. Melihatkan kesungguhan keluarganya, dan baiknya hubungan emaknya dan emakku, aku akhirnya menerima lamaran itu.

Kisahnya bermula disini. Hari kedua aku berkahwin, suamiku berpesan jangan rapat dengan kakaknya. Sebab kakaknya tidak menyukai aku.

Kakaknya merupakan salah seorang yang menghasutnya untuk tidak mengahwiniku.

Tetapi, kerana dia menyukai aku, emakku menyukai aku, dia teruskan perkahwinan ini. Bila aku bertanya sebab kenapa kakaknya tidak menyukaiku, tiada jawapan di situ.

5 tahun berkahwinan, setiap kali aku pulang kekampung, aku dilayan acuh tidak acuh oleh kakaknya.

Mula-mula kakaknya, lama-lama berjangkit kepada sesiapa yang termakan hasutannya. Seakan aku manusia hina. Dan hari ini aku juga sedar, dia tidak suka aku kerana aku anak kampung.

Aku berkahwin selepas tamat pengajian, jadi aku dianggap ingin mengikis harta adiknya. Tetapi sebulan selepas aku berkahwin, aku sudah mula bekerja dibidang professional. Jadi tiada istilah aku mengikis harta adiknya.

Dari pakaian, cara kerja seakan aku tidak setaraf. Walaupun secara hakikat keluargaku hari ini sudah keluar dari kepompong itu. Abang-abangku ramai sudah bergelar doktor dan beberapa darinya sudah menjadi pakar.

Aku juga sudah berada dipangkat yang agak tinggi di salah satu bank di Malaysia. Rumahku di kampung dahulu jauh bezanya dari yang sekarang. Cuma itulah, sekali di pandang hina, selamanya hina.

Tiada guna aku nak hebahkan semuanya kerana aku sedar ianya pinjaman. Apapun pandangan manusia, aku terima.

Cuma tipulah jika aku katakan hati aku keras sepanjang masa. Lagi-lagi anak-anakku juga menjadi mangsa. Kadang-kadang bila aku berpakaian mahal, menggunakan barang mahal-mahal, diejeknya kata aku membazir.

Katanya aku perlu menyimpan bukan memebeli tak tentu hala. Sedangkan mereka tidak aku aku lebih dari mampu tetapi masih dipandang sebagai anak kampung dan perlu berjimat cermat serta berpakaian seadanya.

Dua tahun Covid, aku bahagia kerana tidak perlu pulang kekampung bertemu semua yang memandang hina. Tetapi hatiku meronta ingin pulang bertemu keluarga sendiri.

Raya tahun ini, sukar untuk aku nyatakan perasaan aku. Gembira bila bersama keluargaku, tetapi terasa hina sehinanya bila disebelah suamiku.

Penat aku bertindak seperti tiada apa yang berlaku, tetapi setiap kali melakukan perkara, semuanya serba tak kena.

Kampung aku dan suamiku dinegeri yang sama. Kadang-kala aku rasa tidak mahu menjejakkan kaki kerumah suamiku, tetapi demi menjaga hubungan kekeluargaan yang lain, aku gagahkan juga.

Tetapi sejujurnya aku penat. Penat dengan pandangan manusia yang sentiasa menganggap merekalah terpaling hebat, terpaling perfect dalam semua perkara.

Dulu aku gembira berjumpa sesiapa sahaja, hari ini aku banyak mendiamkan diri dan menjauhkan diri demi menjaga hati sendiri.

Semalam suamiku bertanya tentang perancangan pulang ke kampung raya haji nanti. Seriously aku penat nak berlakon lagi.

Boleh tak aku nak hidup sendiri tanpa perlu bertemu dengan semua yang menyakitkan hati? Aku penat.

Doakan aku untuk mendidik anak-anakku dengan baik, tidak sombong, tidak memandang manusia lain dengan pandangan hina dan melayan semua manusia sama sahaja walau siapapun mereka.

Terima kasih kepada sesiapa yang sudi membaca. Kisah aku biasa-biasa sahaja. Aku okay dan cerita ni sekadar mencoret rasa dihati.

Sekian.

– Lili (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *