Aku Yang Hari Ini

Nama aku Nur, 20 tahun, seorang pelajar di sebuah IPT dan merupakan seorang anak bongsu daripada lima orang adik-beradik.

Sejujurnya, aku tidak pernah terfikir yang aku akan dapat luahkan apa yang bakal aku luahkan hari ini. Tapi, kisah yang bakal aku ceritakan inilah yang menjadikan siapa aku pada hari ini.

Kisah aku ini bagi aku agak memalukan mak, kakak dan diri aku sendiri. Yalah, aku tidak mahu kalau mak aku dianggap sebagai seorang mak yang jahat, dan aku juga tidak mahu kalau kakak aku turut dianggap sebagai seorang kakak yang jahat.

Dalam masa yang sama, aku sendiri juga tidak mahu berasa malu kerana benci kalau perasaan rendah diri yang teramat kembali muncul dalam diri aku.

Aslinya, aku seorang gadis yang berkulit hitam manis, rendah, bertubuh berisi dan memiliki raut wajah yang tidak berapa menarik. Semasa aku berusia 10 tahun, mak ayah aku membawa aku pergi ke pesta layang-layang yang sering diadakan di negeri aku setiap tahun.

Entah mengapa waktu itu ‘mood’ aku tidak betul, jadi aku pun mengamuklah. Biasalah, budak-budak kan. Waktu itu aku ingat lagi, aku pakai dress warna pink dengan seluar hitam. Aku menangis tak tentu pasal sambil hentak-hentak kaki.

Ayah aku macam biasa, dia relaks saja duduk dalam kereta. Tiba-tiba mak aku tinggikan suara. “Berhentilah kau menangis! Sudahlah muka buruk, menangis lagi, bertambahlah buruk!” Aku terus terdiam.

Mungkin pada waktu itu, orang dewasa melihat kanak-kanak berusia 10 tahun sebagai kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Tetapi mereka silap. Kata-kata itulah yang aku ingat sejak berusia 10 tahun sehinggalah hari ini.

Namun jangan salah faham. Sejujurnya, hubungan aku dengan mak aku baik-baik sahaja. Aku tahu dia sayang aku sangat-sangat, dan tidak pernah pula dia mendera aku dan sebagainya.

Jangan salah faham ya. Mungkin pada waktu itu, dia sendiri juga sudah tidak dapat menahan sabar dengan perangai aku.

Kerana zahir yang dilihatnya itulah yang menyebabkan kata-kata sadis itu keluar dari bibirnya. Ya, memang wajahku hodoh bila menangis. Tidak menangis pun sama juga hodohnya HAHAHAHA (sedih woi)

Bila sudah besar, muka aku mula tumbuh jerawat. Kulit muka aku sudah tidak sehalus zaman kanak-kanak yang dulu. Sudahlah aku kulit gelap, bila bersukan, sunburn, makin gelap!!

Bayangkan bertubuh berisi, kulit gelap, wajah berjerawat, tidak cantik… Fahamkan betapa kurang menariknya aku?

Sejak itu, mak aku selalu bertanya, kenapa muka aku begini, kenapa muka aku begitu. Siap cakap,

“Ish ish ish, kasarnya muka. Macam jalan tar tidak berturap”

“Banyaknya jerawat. Tidak cuci muka kah?”

“Berbelangnya muka, hitam. Mak dulu-dulu bersukan juga di padang tapi tidaklah sehitam begini wajah mak dulu”

“Besarnya jerawat. Geram mak tengok, rasa nak picit”

Jauh di sudut hati, aku menangis seorang diri. Bukan aku tidak mahu untuk menjaga muka, tapi apakan daya, aku waktu itu di sekolah menengah, tidak kerja lagi, duit pun mak ayah yang kasi.

Duduk jauh dari keluarga, tinggal di asrama, hujung minggu menumpang kasih di rumah saudara. Tidaklah aku mahu membebankan mereka untuk beli barang-barang muka. Cukuplah sekadar pencuci muka sudah memadai.

Bila di IPT, syukur kos yang aku ambil menawarkan elaun bulanan. Dapatlah juga aku membeli barang-barang keperluan muka, alat-alat mekap dan sebagainya. Tapi tidaklah banyak, cukup sekadar keperluan asas sahaja.

Itupun mak aku masih lagi complain. Kenapa muka aku masih tumbuh jerawat walaupun sudah guna skincare? Nak kata aku kecil hati, tidaklah juga kerana sudah lali.

Tapi aku berasa kecewa sebab mak aku seolah-olah tidak nampak usaha aku mahu menjaga muka padahal aku tidak pernah tinggal rutin harian skincare aku.

Berbalik kepada kakak aku pula, dari kecil aku digelar gajah, mok (singkatan untuk gemuk) hitam legam, buruk, tambi, bangla (maaf tiada niat untuk menjadi racist, sekadar perkongsian cerita saya sahaja).

Masa kecil dulu, memang aku marah. Aku sakit hati bila diejek macam itu dan aku mengadu pada mak. Tapi mak aku buat tidak layan sahaja.

Mungkin dia beranggapan bahawa itu adalah gurauan adik-beradik. Tapi, bila dah besar, aku mula anggap itu adalah gurauan dan cara kakak untuk bermanja dengan aku. Aku layankan sahaja gurauan itu.

Layan punya layan, aku dah sebati dengan perkataan-perkataan sebegitu sampai ke hari ini. Tapi itulah, dalam banyak-banyak perkataan itu, satu sahaja perkataan yang aku rasa pedih untuk aku dengar. BURUK. Ya, perkataan BURUK.

Aku jadi teringat dengan kisah 10 tahun lepas, di mana insan yang paling aku sayang, paling aku hormat dan paling aku rapat ucapkan perkataan BURUK kepada aku. Depan muka aku sendiri, depan mata aku sendiri. Dan perkataan itu merujuk kepada AKU.

Sedih. Sedih sangat bila ingat balik.

Nak tahu apa kesan face shaming dan body shaming ini? Aku jadi kurang yakin dengan penampilan aku. Aku tidak pernah rasa sayang dengan diri aku.

Aku pernah rasa benci tengok cermin, benci tengok diri sendiri. Aku tidak suka tempat ramai orang, aku benci pergi kenduri kahwin, tidak suka bergaul dengan orang baharu.

Tetapi semua itu beransur kurang bila aku mula sambung belajar. Aku ada elaun dan mula membelanjakan sedikit daripada elaun itu untuk diri aku sendiri.

Alhamdulillah sekarang sunburn di wajah aku sudah hilang, aku sudah pandai mekap sedikit sekadar untuk naikkan seri muka, pandai bergaya sikit-sikit walaupun tidaklah sehebat orang lain.

Aku juga mula jaga makan tapi badan aku sekarang belum lagi kurus, namun tidaklah setembam yang dulu.

Semua itu aku buat adalah sekadar untuk aku yakinkan diri aku bahawa aku cantik juga seperti orang lain.

Aku mula bangkit sedarkan diri sendiri yang kita memang tidak akan dapat puaskan hati semua orang. Benda itulah yang menyebabkan kita tidak akan pernah menjadi sempurna di mata orang.

Aku rasa rendah diri nak mampus sampaikan jalan pun macam bongkok-bongkok sebab tidak yakin diri. Posture badan aku tidak cantik sebab aku dulu jalan bongkok kerana mahu menundukkan wajah yang kurang cantik.

Sampaikan aku tidak mahu pakai cermin mata kerana tidak suka melihat wajah orang dengan jelas sebab malu!! Biarlah aku melihat wajah orang di sekeliling dengan kabur, itu lagi bagus.

Sebegitu sekali rasa rendah diri aku sehingga sanggup untuk korbankan keselesaan pandangan aku sendiri.

Tapi sampai bila aku nak macam itu?? Sampai bila?

Aku yang hari ini bukan lagi yang dulu. Biarlah kalau di mata orang lain aku tetap tidak menarik, asalkan aku yakin dengan diri aku. Aku percaya kalau kita nampak berkeyakinan, kecantikan itu akan lahir. Aku mula guna cermin mata supaya pandangan aku lebih jelas.

AKU CANTIK. Kalau bukan diri kita sendiri yang puji, siapa lagi kan?? Hehehehe

Aku tidaklah mempersoalkan ciptaan Tuhan, tapi aku kadang-kadang terfikir. Mengapa Tuhan tidak jadikan aku seperti kakak-kakak aku yang bekulit cerah, berwajah cantik dan bentuk badan yang ramping?

Tapi sekarang aku sudah ada jawapan untuk itu. Walaupun aku kurang dari segi penampilan, tetapi Tuhan kurniakan aku kelebihan dari segi pemikiran. Aku bijak. Result UPSR, PT3 dan SPM aku yang paling bagus antara adik-beradik aku.

Setiap tahun dari sekolah rendah sampai sekolah menengah, aku selalu dapat anugerah semasa majlis kecemerlangan. Banyak pula yang anugerah yang aku dapat.

Bahkan di zaman IPT juga aku sentiasa dapat dekan setiap sem. Anugerah pengarah ya, hihihi Alhamdulillah.

Tapi kadang-kadang kisah 10 tahun lepas bermain juga di fikiran aku. Ada juga masanya di mana emosi aku kacau-bilau bila teringat semula kisah itu. Kemudian, rasa rendah diri yang teramat itu akan hadir semula. Aku akan mula rasa benci dengan diri sendiri.

Aku mula tidak suka keluar jalan-jalan dan sebagainya. Tapi aku cepat-cepat sedarkan diri, cepat-cepat bagitahu pada diri aku bahawa tiada orang lain yang dapat bantu aku untuk keluar dari cengkaman rasa rendah diri itu melainkan AKU SENDIRI.

Aku akui, peristiwa itu memberi kesan sangat-sangat kepada aku. Aku rasa macam aku trauma pun ada juga. Sampaikan perkataan BURUK itu kalau boleh aku tidak mahu dengar dalam hidup aku. Sakit. Tapi, tetap juga aku mendengar perkataan itu. Tidak boleh lari.

Biarlah. Kita tidak dapat tutup mulut orang melainkan tutup telinga sendiri. Aku masih dalam fasa untuk bina keyakinan diri. Aku mula berjalan tegak, tidak mahu lagi menundukkan wajah. Sampai bila aku nak jadi macam itu kan?

Sampai di sini sahaja kisah aku. Sejujurnya tiada sekelumit pun perasaan kecil hati terhadap mak dan kakak walaupun segala perkataan-perkataan tu seolah-olah terkunci dalam fikiran.

Apa yang mereka katakan pun sebenarnya kenyataan, aku tak boleh nak ubah yang tu. Tapi aku tahu yang mereka sayang pada aku. Sayang sangat. Semua keluarga aku sayang pada aku. Tidak pernah aku diabaikan dan sebagainya.

Pesanan aku, jangan sesekali face/body shaming seseorang. Tidak kisahlah adik-beradik ke, anak sendiri ke, kawan ke, BFF ke, jiran ke, anak murid ke, cikgu ke, siapa-siapa sekalipun.

Kita tidak akan pernah tahu jika kata-kata kita itu akan menjadi ingatan buat mereka selamanya. Dan kita juga tidak akan pernah menjangka bahawa kata-kata kita itulah yang akan membentuk siapa diri mereka.

Bagi yang senasib dengan aku, diejek, di body shaming kan, di face shaming kan, KAU KUAT. Sebab apa? Semua itu kau lalu sendiri. Kau patut rasa bangga dengan diri kau, bukan rendah diri.

Banggalah yang kau sentiasa kuat hadapi semua itu. Jadi, bangun dan cuba ubah diri ke arah yang lebih baik. Bina keyakinan diri sendiri, abaikan mulut orang. Macam yang aku cakap, kita tak boleh nak tutup mulut orang tapi kita boleh tutup telinga kita. All the best.

Aku tau perjalanan hidup aku masih panjang, umur pun baru 20. Kepada yang membaca, doakan aku untuk terus kuat dan berjaya dalam kehidupan.

Dan kepada yang membaca sampai sini, aku doakan supaya kau sentiasa dimurahkan rezekk, dipermudahkan urusan dan sentiasa tabah menghadapi segala dugaan yang mendatang, AAMIIN YA RABBAL ALAMIN.

Terima kasih, assalamualaikum.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *