Aku Yang Mempunyai Simptom ADHD Dewasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Waktu kecil aku mempunyai masalah untuk bermain sukan bola sepak, aku tak dapat nak sepak bola macam orang lain.

Kutukan kaki bangku, kaki pengkor (bak kata orang perak) tu biasa jadi makanan aku. Asal sepak, selalu tunjal. Sepakan bola tak pernah sampai kepada kawan aku.

Aku ingat ini masalah biasa, bila pada umur 30 tahun, aku baru tahu ini adalah masalah berkaitan koordinasi motor kasar atau istilah sains nya adalah dyspraxia di mana kesukaran seseorang untuk mengawal koordinasi dan pergerakan.

Waktu kecil juga aku mempunyai masalah untuk menangkap percakapan cikgu untuk dituliskan di dalam buku latihan. Aku sering dimarahi kerana kerap tertinggal percakapan yang diucapkan oleh cikgu.

Apabila aku cuba melihat kawan sebelah, aku dituduh meniru. Kadang-kadang perkataan cikgu selalu diambil secara literal dan aku hadapi kesukaran untuk tukarkan ia kepada simbol berkaitan.

Contohnya, perkataan “sempang” aku akan tulis “sempang” pada buku latihan.

Masalah ini dikaitkan dengan kesukaran untuk menumpukan perhatian pada sesuatu perkara kerana terdapat perkara yang lain yang sedang difikirkan.

Aku juga sangat memilih masa untuk bermain dengan kawan-kawan di luar. Di mana sekiranya aku berasa tidak selesa, aku akan menyorok daripada kawan-kawan untuk bermain di luar.

Aku lebih selesa menyendiri dan tingkahlaku ini adalah berlarutan dari darjah 1 sehingga sekarang.

Aku juga mempunyai tabiat menggigit kuku. Apabila ditegur oleh cikgu, aku buat tingkahlaku yang lebih kurang sama dengan cara menggigit pensil atau foot tapping. Ianya terjadi secara spontan dan sukar diubah.

Bila ramai menegur perbuatan tersebut, aku tukar perbuatan tersebut kepada humming dan menyanyi.

Kawan aku selalu menegur aku sebagai radio buruk kerana sering mengulang-ulang lagu. Ia nya terjadi secara spontan dan sukar dikawal.

Aku juga sukar untuk fokus pada perbualan orang dalam jangka masa yang lama. Aku rasa sangat overwhelm apabila penceritaan tersebut tidak sesuai dengan minat aku.

Kadang-kadang aku sekadar mengangguk, mengiyakan penceritaan tersebut supaya menjaga hati orang yang bercerita dengan aku.

Sebaliknya pula, aku mempunyai fokus yang tinggi sekiranya sesuatu perkara itu adalah suatu yang amat aku minati.

Semasa di dalam kelas, walaupun aku orang yang duduk dihadapan, aku sering tertidur kerana sukar untuk menahan mata dan fokus kepada sesuatu subjek yang diajar.

Aku juga mempunyai tulisan yang amat buruk, di mana ini adalah masalah yang setelah dikaji adalah berkaitan dysgraphia iaitu kesukaran menulis. Aku hanya sedar apabila tulisan aku sering dikritik oleh cikgu kerana terlalu buruk.

Aku antara orang yang boleh menulis dengan cepat dan mempunyai idea yang amat banyak sekiranya diberikan tugasan penulisan di dalam bahasa melayu.

Cikgu juga menjangkakan aku antara pelajar yang akan mendapat keputusan cemerlang tertinggi di dalam Bahasa Melayu tetapi jangkaan tersebut tersasar dan mungkin disebabkan buruknya tulisan aku.

Aku juga sukar memahami nota yang ditulis sendiri kerana sukar memahami tulisan sendiri.

Pada zaman kolej pula, aku masih tak tahu yang aku mempunyai simptom ADHD.

Pensyarah aku pernah mengkritik secara umum seorang pelajar di mana penulisan di kertas jawapan ditulis secara berulang. Aku andaikan aku lah orangnya.

Aku juga pernah menyertai suatu pertandingan di mana memerlukan pergerakan koreografi yang mudah, tetapi dikritik teruk kerana sangat kaku.

Daripada 7 orang peserta pertandingan tersebut, aku sahaja yang mempunyai pergerakan yang teruk. Pergerakan yang dilakukan sangat kaku walaupun dilatih.

Aku juga pernah memarahi rakan sebilik kerana membawa rakan lain untuk menghisap rokok dan bermain permainan komputer serta membuat bising.

Bukan niat aku untuk memarahi mereka, tetapi aku sangat tidak tahan terhadap bauan rokok dan bunyi yang kuat dan sangat menganggu.

Kejadian tersebut menyebabkan aku mohon untuk tukarkan rakan sebilik dengan rakan yang lain. Peristiwa ini menyebabkan aku diboikot teruk oleh rakan-rakan lain.

Aku juga gemar menyendiri apabila kemana-mana, aku merasakan sangat stres apabila perlu menunggu orang lain apabila hendak kemana-mana seperti outing dan sebagainya.

Buat pengetahuan pembaca, aku merupakan orang yang telah mempelajari subjek sains tingkahlaku di mana aku merasakan, aku mempunyai masalah-masalah psikiatri berkaitan seperti anxiety, depression dan schizophrenia.

Ada kawan aku, memberi gelaran skizo disebabkan aku gemar membawa diri sendiri. Gelaran tersebut sangat menyedihkan aku.

Disebabkan aku digelar sebegitu, aku elakkan daripada bergaul dengan mereka dan cuba membuktikan yang aku tidak menghadapi masalah tersebut.

Pada zaman kerja pula, Aku telah dihantar ke jabatan yang skop tugasannya adalah tugasan yang monotonous, repetitive dan sangat membosankan.

Aku sangat stress dengan pekerjaan yang aku buat kerana aku menghadapi situasi yang sama setiap hari.

Apabila aku dihantar ke jabatan yang mencabar, aku perlu menghadapi masalah telephone phobia di mana aku sangat gemuruh bercakap di telefon,

Tetapi disebabkan tuntutan kerja aku cuba untuk hadapi seperti biasa. Ini membuatkan aku berasa mempunyai masalah anxiety.

Masalah-masalah ini aku hadapi sehinggalah umur aku 30 tahun. Di mana aku melihat suatu perkongsian daripada ADHD-er yang telah didiagnosis mempunyai masalah yang sama seperti aku.

masalah ADHD akan membuatkan seseorang itu terdedah kepada masalah psikiatri yang lain seperti depression, anxiety dan masalah lain sekiranya tidak dikawal dengan cara yang betul. ADHD tiada kaitan antara IQ seseorang.

Sekiranya kita mempunyai masalah ini, Kebiasannya,ada pembawa dari kalangan antara ibu atau ayah kita.

Ya, mungkin ramai yang katakan mereka mempunyai masalah seakan-akan ADHD jugak. Tetapi hanya orang yang menghidap masalah ini yang tahu struggle nya daripada zaman sekolah sampai zaman pekerjaan.

Bila aku tengok video berkaitan orang yang telah didiagnosis menghidap ADHD dewasa.. Mengalir airmata aku melihat video tersebut.

Rupa-rupanya ada orang yang mempunyai masalah yang sama dan struggle seperti aku.

Aku belum didiagnosis lagi dan aku taknak self diagnosis dan aku pun taknak korang mendiagnosis diri sendiri. Insya’Allah aku akan dapatkan diagnosis untuk bantu diri aku sendiri.

Aku cuma berharap yang warga pendidik termasuk ibu-bapa perlu sedar masalah ni dalam kalangan kanak-kanak.

Aku pada umur sebegini baru tahu yang aku mempunyai masalah ni. Masalah ini juga menyebabkan aku hampir kurang berminat untuk bersekolah.

Tetapi bayangkan aku tak tahu pun punca sebenar kepada masalah-masalah aku yang aku rasakan sebenarnya aku sangat lain dengan kawan-kawan yang lain.

Tetapi Alhamdulillah disebabkan warga pendidik berlainan selepas aku tukar sekolah. Mereka lebih memahami aku.

Aku juga sangat berharap yang ibu bapa dapat membantu anak-anak mereka yang menghadapi masalah ini dengan cara membawa kepada pakar berkaitan.

Orang yang ada ADHD ni takkan sembuh, ia akan manifestasi semasa zaman dewasa pulak.

Aku bukan nak jadikan ADHD ni sebagai alasan, tetapi aku mengharapkan satu persekitaran kerja, dan persekitaran pembelajaran yang boleh support orang yang ada masalah ADHD ni seperti di luar negara sana.

Tiada anak yang bermasalah, tetapi kita mungkin terlepas pandang sesuatu yang amat penting berlaku semasa perkembangan mereka.

Doakan aku untuk mendapatkan rawatan untuk masalah yang aku hidapi ini.

Sekian, terima kasih kerana sudi membaca luahan hati ini.

– ADHD-er (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *