Aku Yang Miskin

Terima kasih siarkan perkongsian aku.
Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, tidak kaya harta dan tidak terlalu miskin harta. Ibu bapa aku, dua dua bekerja sebagai kakitangan kerajaan, walaupun berpangkat kecil, tapi Alhamdulillah mereka sentiasa memastikan aku dan adik beradik lain cukup makan dan cukup pakai.

Ketika sekolah rendah dan menengah dan sehinggalah sekarang, seronok juga tengok kesenangan kawan kawan lain. Lagi-lagi yang memang sudah dilahirkan dalam keluarga senang. Semua dapat, tidak perlu risau yuran sekolah, peralatan semua lengkap dan semua ada duit belanja yang mencukupi. Di sekolah, pasti aku antara orang yang lambat membayar yuran sekolah, ayah aku selalu pinjam duit dengan mak cik untuk beri duit bekalan dengan aku. Ibu ayah aku sehinggalah bersara hanya menaiki bas pergi kerja. Kami tidak mampu membeli kenderaan, tapi yang penting kami hidup gembira.

Masa zaman belajar dulu, aku dapat tawaran untuk sambung pengajian dalam bidang perubatan di luar negara. Walaupun akan mendapat biasiswa kemudian, tapi masih memerlukan duit untuk membuat segala persiapan. Aku faham keadaan keluarga aku, keluarga sebelah ibu pun sederhana juga, keluarga sebelah ayah aku ada yang agak senang tapi aku tidak mahu suatu hari nanti mereka akan mengungkit. Aku kuburkan niat aku untuk sambung belajar di luar negara. Seronok melihat kawan kawan lain yang dapat meneruskan pengajian mereka, Alhamdulillah sekarang mereka sudah menjadi doktor yang berjaya, kembali ke tanah air untuk berkhidmat di negara sendiri. Selepas itu juga, aku mendapat tawaran temuduga untuk melanjutkan pengajian di IPTA dalam jurusan profesional juga. Sekali lagi aku tidak pergi kerana pusat temuduga berada jauh dari kampung. Keadaan keluarga tidak mengizinkan waktu itu, pastinya perlukan duit untuk tambang bas, penginapan dan duit belanja makan. Ibu ayah aku tidak tahu mengenai tawaran ini, kalau tahu, mereka pasti akan berusaha untuk mendapatkan duit. Sekali lagi aku kuburkan niat itu, memberi alasan aku tidak berminat dengan jurusan itu kepada kawan kawan lain yang turut mendapat panggilan. Jauh di sudut hati, teringin juga pergi tapi aku positif, mungkin ada yang lebih baik. Kawan kawan pun sudah selamat berkhidmat dalam kerajaan dengan pangkat yang tinggi. I’m happy for them. Cikgu cikgu juga selalu memuji kawan kawan yang berjaya terutamanya yang menjadi doktor dan dalam bidang professional. Kalau dulu aku tidak mempunyai masalah kewangan, pastinya aku akan menjadi seperti mereka. Mungkin ramai yang akan berkata kenapa tidak pergi ke pusat kebajikan atau zakat untuk memohon bantuan. Tidak semudah itu untuk mendapat bantuan, aku tidak mahu menyusahkan keluarga aku untuk mengurus itu ini, lagipula masa itu aku tidak tahu sangat berurusan sendiri. Kadang kala aku bertanya diri sendiri, kenapa aku tidak boleh hidup senang seperti orang lain.

Alhamdulillah, aku dapat sambung pengajian di IPTA juga dengan tawaran biasiswa tapi bukan jurusan professional lagi. Dengan pengeluaran kwsp parents aku, aku dapat membayar yuran pengajian. Walaupun aku mendapat biasiswa, tapi sebahagian darinya aku kirimkan kepada keluarga aku di kampung. Kadang kala aku ikat perut dab bekerja part time untuk duit tambahan. Pernah juga aku hanya makan maggi dan bertahan 2 hari tidak makan. Kawan kawan hanya melihat aku gembira dan tidak seperti mempunyai masalah sebab perangai aku yang happy go lucky. Ibu aku selalu pesan, biarlah kita sendiri tahu yang kita susah, tapi tidak perlu tunjuk kepada sesiapapun, begitu juga bila kita sudah senang.

Panjang lagi kisah aku tapi aku cerita sebahagian sahaja. Sudah hampir 15 tahun berlalu selepas aku menamatkan pengajian. Aku bersyukur dengan apa yang aku miliki. Walaupun aku tidak memiliki kerjaya yang hebat, gaji yang hebat seperti kawan kawan lain, tapi aku bersyukur Allah masih cukupkan makan minumku. Walaupun tidak mampu memberi banyak pada keluarga, tapi ia masih cukup untuk menampung keluargaku. Bersyukurlah dengan apa yang diberi dan jangan berhenti berusaha. Allah jadikan aku sebagai orang sederhana, aku mempunyai lebih masa dengan keluarga, kawan kawan, masih mampu menampung keluarga dan pastinya semua ada hikmah di sebaliknya.

Sesusah mana pun kita, pasti ada yang lebih susah dari kita. Janganlah bersifat dengki pada kejayaan dan kesenangan orang lain. Jadikan ia sebagai inspirasi untuk kita melangkah jauh.

Terima kasih keluargaku yang sentiasa bersamaku. Walau kami tidak kaya harta tapi biarlah kami kaya dengan kebahagiaan..

– Miss Balqis

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit