Aku Yang Sedang Belajar Untuk Move On

“Macam mana nak mula eh?”

Semua bermula waktu sekolah menengah dulu. Ada sorang perempuan yang comel, pengawas pusat sumber. Muka cerah, pakai spek, skema dan pendiam juga.

Memang ciri-ciri idaman lah. Tapi biasanya budak lelaki umur sekolah menengah ni masih tak faham bagaimana mengurai, memahami dan mengungkap apa yang dia rasakan dalam hati tu.

Jadi perkara tersebut hanya menjadi bualan waktu senggang dengan kawan-kawan yang rapat sahajalah. Tiada yang serius, melainkan perasaan aku sahaja yang serius.

Jadi terpendamnya perasaan tersebut sehinggalah paper terakhir SPM, diwaktu orang lain bersukacita dengan habisnya peperiksaan SPM, aku start cari gadis tu untuk meluahkan perasaan yang dipendam sejak form 2. Tapi cari-cari tak jumpa.

Akhirnya pulang ke rumah seperti biasa dan sempat singgah kedai mamak untuk makan meraikan hari terakhir SPM. Tapi balik tu terus SMS dia laa kata aku suka kau, sekadar meluahkan rasa sebab kalau lama sangat simpan boleh demam.

Dia pun jawab tak tau nak react apa, tapi kita kawan je laa. Aku janji dengan dia aku akan cari dia semula umur 25 tahun nanti. Kiranya lebih kurang 8 tahun selepas SPM.

Maka bermulalah siri-siri cubaan untuk contact dia sejarang mungkin. Aku yang beriman dengan jalan ‘cinta islamik’ ini berusaha menambah ilmu agama setelah sekolah.

Mencari usrah, membina ilmu, jadi sukarelawan dan akhirnya masuk university. Kat university pun sama buat benda yang sama untuk membina diri dan menjaga keutuhan jiwa sehingga tiba masanya untuk mencari cinta sebenar.

Ada beberapa peluang sebenarnya untuk aku ke university dia di pantai timur tu untuk sekadar berjumpa.

Tetapi, waktu tu kebanyakannya berjalan dengan kawan-kawan lelaki yang masih hoo-haa. Ataupun ada waktu lainnya datang dengan geng usrah, jadi takde laa nak roger dia.

Jadi kesemuanya perhubunngan sebelum ini sekadar berbalas message dia di Instagram dan whatsapp. Tiada yang istimewa pun, sekadar bertukar khabar dan mengucapkan ucapan hari raya sahaja.

Hinggalah di tahun yang dijanjikan pada umur kami 25 tahun. Dia message aku tiba-tiba, katanya masih ingat tak janji waktu habis SPM dulu.

“Weh, kau ingat tak apa yang aku janji dekat kau waktu habis SPM dulu?”-Dia mulakan whatsapp-

“Kau takde janji apa-apa laa, aku yang janji nak cari kau balik waktu umur 25 tahun nanti. Kenapa?”, aku balas.

“Sebenarnya, kalau takde-apa-apa, aku nak bagitahu kau sesuatu. Ada kawan kelas aku ni nak kenal-kenal dengan aku. So kalau kita tiada apa-apa, aku nak bagi peluang kat kawan aku ni untuk lebih serious.”

Dalam keadaan tersentak, aku macam…. Oh ye tak ye jugak, dia kan comel. Mesti ada yang berkenan juga kat dia. Aku macam takkan nak halang hidup orang kan. Kita pun tiada apa-apa hubungan rasmi.

“Kalau kawan kau tu nak kenal dengan kau. Aku okay je, sebab aku yang sebut pasal janji ni. Kita pun takde apa-apa. Kau proceed je dengan dia. Aku okay je.”Tapi dalam hati ni dah rasa tusuk-tusukan yang korang pun boleh faham kan.

“OK kalau camtu sorry eh kalau aku ada bagi kau harapan ke. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam”

WHERE DID I GO WRONG?

Aku rasa dalam hidup aku, nama dia yang paling selalu disebut dalam doa istikharah aku. Dalam solat hajat pun sebut, dalam sujud terakhir pun pernah sebut.

Mungkin sebab aku tak ‘normal’ dalam istilah bercinta zaman sekarang yang memerlukan pertemuan, makan-makan dan saling bertukar hadiah untuk mengekalkan rasa cinta sebelum berkahwin.

Ataupun aku yang memang tak cukup berani untuk ‘man-up’ menyatakan Hasrat secara serius dari sejak awal lagi. Atau juga aku yang tidak cukup matang untuk dilihat sebagai lelaki harapan di mata dia.

Banyak juga silap aku sepanjang 8 tahun ini. Kesimpulannya adalah no effort. Itulah jawapan pahit yang patut aku telan.

2022

Aku dapat satu message dari dia satu hari tu, dia kata “Kau ada buat perkhidmatan jurugambar tak?”

“Ada, memang biasa pun ambil gambar event, kahwin, tunang, birthday. Nak order ke?”

“Aah, Tarikh September nanti. Tarikh xx sept kau free tak?”

“Jap, …Tarikh tu free je. Kalau nak order boleh tekan link aku kasi satgi kat whatsapp”

“OK, thank you”

Aku macam sebenarnya dah move on dah dari zaman-zaman sekolah ni. Tapi kalau ada job ambil je laa, lagipun member kan, boleh borak-borak lama sikit. So takde masalah pun asalnya.

Sekarang tempahan dah dibuat, battery dah cas, survey kawasan dah on, study gambar pun dah. Tibalah hari kejadiannya.

“Salam, ni bilik yang tunang tu eh? Saya jurugambarnya”

“Oh, photographer. Masuklah, dia ada kat belakang tu. Tengah tunggu dengan adik dia.” kata mak dia.

“OK,”

Aku masuk lah dalam ruang tu, ada sofa sikit. Pastu adik dia tegur aku sebab kenal zaman sekolah dulu, borak-borak biasa pastu panggil si dia tu keluar. Dia keluar pastu aku pandang dia sekejap, terus aku pandang beg kamera aku. Dia sebenarnya masih…… comel macam dulu.

Badan tak berubah, senyum masih kekok-kekok begitu, Cuma rupa dia lain sikit sebab nak tunang, jadi dia tak pakai spek. Aku pun tak pernah tengok muka dia tak pakai spek depan-depan.

“Eh, dah sampai. Dah makan lom?”

“Oh belum lagi, biar aku setup lampu sekejap.”

“Weh ambilkan kuih untuk member aku ni.” Dia menyuruh adiknya ambilkan makanan untuk aku.

Gelak dia, senyum dia, suara dia, ayat dia yang asyik tak confident diri tu masih tak berubah sejak sekolah. Dan semua perkara yang buat aku suka dan jatuh hati kat dia waktu sekolah dulu, terpamer semula di hadapan aku.

Cuma kini, realitinya berbeza, tiada lagi peluang untuk mengorak langkah, membiasakan diri, berbasa-basi, buat lawak hambar, merungkai memori lama. Semua itu sudah berlalu.

Oh tidak! kenapa semua memori tu terimbas sekarang. Aku nak buat kerja pun terngiang-ngiang. Kacau betul.

Majlis pun bermula,

– Hantaran RM 15k

– Majlis merisik + tunang

– Tarikh nikah mac 2023.

– Ok mari bergambar.

Maka keluarlah ibu lelaki tersebut menyarung cincin ke dia. Sipu-sipu dia seperti yang aku kenal dulu. Tidak berubah.

Datang pula si lelakinya, orangnya biasa-biasa sahaja. Tiada yang luar biasa. Mungkin aku sahaja yang rasa begitu, tetapi lelaki itu tetap istimewa bagi dia. Realitinya, lelaki itu yang menang, aku yang kalah.

Maka setelah selesai sesi bergambar, majlis pun berakhir. Aku mengambil peluang ini untuk catch up dengan dia setelah lebih 10 tahun tak jumpa. Dari pekerjaan, perjalanan hidup university, kursus, kerjaya sehinggalah kembali ke topik zaman sekolah.

Waktu ni, aku dah start timbul rasa kecewa, terkilan, gagal, marah, sedih dan ada juga sedikit lega. Macam-macam perasaan bercampur baur sehingga kadang-kadang nak tukar topik.

Masakan tidak, zaman itulah zaman aku jatuh suka dengan dia, zaman banyak memori tercipta dan zaman mengenal jatuh bangun peribadi masing-masing. Realitinya sekarang, aku perlu move on.

Pada saat ini pun masih ada tersisa perasaan bercampur baur yang sama ketika hari kejadian tersebut. Padahal aku dah siap upload semua gambar dia kat google drive.

Ingatkan dah siap upload terus lepas semua rasa jiwa ini, rupanya masih tersangkut. Doalah agar aku cepat move on dan beroleh rasa cinta sebenar pada insan yang lain.

P/s: Aku takdelaa ralat sangat nak move on. Sebulan dua ok laa nanti. Saja nak menulis je sebab kalau tak tulis asyik stuck kat kepala. Terima kasih sudi baca.

– NK (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *