Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera. Aku Stargazer dan sah-sah bukan nama sebenar. Ibu tunggal, ada dua orang anak, yang sulung lelaki berumur 3 tahun 1 bulan dan yang kedua perempuan berumur 7 bulan.
Aku berkerja sebagai penjawat awam yang menanggung bebanan hutang dari bekas suami aku yang juga penjawat awam.
Pergi tinggalkan aku di kala aku mengandung anak kedua dan ditinggalkan menguruskan hidup seorang orang diri dari hari pertama mengandung, bersalin dan membesarkan anak yang kedua,
Dia dah pun membuang kami 3 beranak kerana sibuk mengejar cinta dari perempuan lain yang mana aku dengar dah pun berkahwin. Cukuplah kot muqaddimah dari aku.
Aku merupakan penghidap Major Depressive Disorder with Anxious Stress dan Anxiety Disorder. Hidup aku banyak pura-pura. Pura-pura kuat, pura-pura sihat dan pura-pura gembira.
Tapi, ada seorang hamba Allah yang aku jumpa yang sangat baik pada aku dan anak. Aku gelarkan dia KA dan sekali lagi haruslah bukan nama sebenar.
Kami sama-sama menghidap MDD dan Anxiety, berkenalan pun tanpa sengaja dan tanpa sengaja juga telah menyulam cinta.
Aku bersyukur kenal dengan KA sebab dengan dia aku rasa selamat, boleh jadi diri sendiri, boleh bercerita tentang apa saja. Tapi, itulah setiap hubungan ada ujiannya dan ku kira langit yang panas boleh tahan sampai ke petang rupanya hujan di tengahari.
Ketentuan Tuhan, aku terima. Masing-masing dalam fasa diuji, maka aku dengan dia bawa haluan sendiri untuk satu ketika yang aku pun tak tahu sampai bila, cuma KA yang boleh memberi jawapannya.
Aku sentiasa berfikir dari hari ke hari, apalah yang aku boleh lakukan untuk menambah pendapatan.
Di awal penulisan, dah aku katakan, aku ditinggalkan oleh si suami dengan bebanan hutang, bukan sahaja hutang peribadi dengan bank, namun ada juga hutang yang di buat dengan money lender.
Sayang punya pasal (dulu lah sekarang pergi jalan), aku turutkan katanya yang ingin membuat hutang atas nama aku dengan alasan gaji aku lebih besar dari dia.
Gaji aku hampir mencecah 3k, Gred cabuk saja, tapi tolak hutang di slip gaji, gaji bersih yang tinggal di slip gaji cukup-cukup RM 1k. Hutang money lender RM 600 setiap bulan maka tinggallah RM 400 sahaja.
RM 400 tu sebenarnya langsung tak cukup untuk aku dan anak-anak. Mana kan pampers dan susunya, makannya. Perbelanjaan aku untuk ke tempat kerja.
Untuk pengetahuan, aku tak ada kenderaan sendiri, terpaksa bergantung dengan Grab dan walaupun aku tidak menyewa dan tinggal serumah dengan orang tua, belanja untuk mereka tetap kena ada. Takkan aku nak duduk saja.
Bil elektrik aku yang bayar dan keperluan-keperluan lain yang dirasakan perlu dan mendesak. Untuk aku memang tiada ada. Tiada baju baru, kasut mahupun beg tangan baru. Semuanya aku berikan pada anak-anak dan keluarga.
Sebelum aku terlupa, nama aku juga ada rekod SAA – Special Attention Account di bank kerana tunggakan hutang kereta yang dibuat adik aku.
Aku tak tahu nak buat macam mana dah sebab dengan baki gaji yang tinggal, manalah ada bank yang boleh tolong. Hampir semua bank aku dah cuba tapi semuanya hampa.
Niat utama aku nak selesaikan SAA tu supaya kalau aku nak buat pinjaman bank pada masa akan datang , dah tak akan timbul apa-apa lagi masalah. Dah habis cara aku buat, aku ikhtiarkan tapi hampa.
Berbalik pada cerita nak tambah pendapatan.. Aku betul-betul nak cari pendapatan sampingan. Kesian diri sendiri dan anak-anak. Tapi, apa yang aku buat semua tak menjadi.
Meniaga online tak jadi, jadi dropshipper pun tak jadi. Aku cari juga ilmu nak berniaga, betulkan niat, tapi hampa..
Dengan aku ni ada MDD dan anxiety, bila aku kecewa dengan sesuatu perkara, memang susah untuk terima.
Aku memang tak ada kelebihan. Kawan aku suruh meniaga di Shopee. Masalahnya aku nak meniaga apa sedangkan dia tahu aku memang tak ada tuah dengan benda jual beli. Apa bakat yang aku ada?
Macam hampir tak ada. Tak pandai melukis, menulis apatah lagi. Buat youtube channel pun aku terasa macam syok sendiri. Padahal kawan-kawan yang sama-sama buat tu dah dapat moneytize dah. Ada lah dua ke tiga orang.
Aku? Channel masih dengan 299 subscribers. Memang sendu habis.
Aku ada laptop. Ada internet. Tapi aku tak tahu apa yang aku nak buat. Tapi aku nak sangat tambah pendapatan. Untuk anak-anak, untuk selesaikan hutang juga. Percayalah yang aku tak ada simpanan langsung.
Akaun simpanan bukan main banyak tapi isinya langsung tiada. Sibuk menolong bekas suami hanya kerana tiket isteri solehah masuk syurga pada waktu itu.
Bodoh kan aku? Aku juga lah yang sekarang ini yang asyik sangat sakit bila aku dalam episode, relapse, check in check out hospital sampai menyampah.
Pada aku, masalah aku ini dah cukup berat dah cukup terbeban, padahal ada lagi orang lain yang punya masalah lebih berat. Berganda-ganda punya berat.
Sekiranya korang sudi membaca, aku harap korang juga sudi membantu aku berkongsi buah fikiran. Sebagai ringkasan :
1) Aku nak cari pendapatan sampingan tapi aku tak boleh nak jadi dropshipper atau meniaga, memang akan lingkup.
2) Aku nak selesaikan hutang aku SAA yang dah cecah 40k tapi baki gaji aku yang kecil tu hmmm…
Aku harap ada yang sudi bantu beri buah fikiran dan sebagainya. Aku sangat memerlukan dan aku sangat hargai jasa korang yang sudi membaca karangan aku yang entah apa-apa ini. Juga, selamat berpuasa kepada semua warga IIUMC dan pembaca..
– Stargazer (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit