Aku Yang Terluka

Assalamualaikum.. Tuhan izinkan aku meluahkan isi hatiku di sini.

Ku terima dia menjadi suami ku 7 tahun yang lalu walau jauh di dalam hati aku tidak menyintainya. Kelukaan dalam percintaan lalu menyebabkan aku serik.

Namun kesungguhannya untuk mengambilku menjadi miliknya yang sah membuka hatiku untuk menerima seadanya dirinya sebagai suami.

Dia memang sangat disenangi oleh keluargaku kerana sikapnya yang suka mengambil hati orang tua dan rajin melayan kerenah anak anak buah ku.

Selalu orang berkata lebih baik bersama dengan orang yang lebih menyayangi diri kita.. Dan aku berharap ia benar seperti yang diperkatakan.

Takdir Tuhan perkahwinan kami belum diserikan dengan kehadiran cahaya mata. Namun Tuhan tidak kejam.. Diberikan aku peluang hamil 8 minggu walaupun akhir nya aku keguguran. Tapi nikmat itu sangat aku syukuri. Ia berjaya menutup mulut keluarga suamiku buat seketika.

Kami ada berbincang mengenai hal ini dan aku kira masih berlapang dada bila suamiku bersikap tidak mendesak dan redha dengan rezeki Allah walaupun sudah bermacam cara kami iktiarkan termasuklah memohon untuk mengambil anak angkat.

Namun langit tidak selalu cerah.Aku diuji dan aku cuba untuk redha kerana Allah tidak menguji hambanya di luar batas kemampuan. Perubahan sikap suamiku membuat aku tertanya tanya.

Hilang sudah gurau senda dan perhatiannya untuk ku selama ini. Berlarutan hampir 2 bulan dan akhirnya kuketahui berpunca daripada luahan hati ibu mertua ku yang memintanya berkahwin lain untuk mendapatkan zuriat. Jangan ditanya bagaimana aku boleh tahu.

Bagaikan mendapat lampu hijau daripada ibu mertuaku untuk mencari calon isteri baru suamiku mula mengabaikan diriku.. Isterinya yang sah.

Hampir setiap malam keluar rumah me lepak dengan kawan kawan. Setiap hujung minggu keluar berkumpulan melakukan aktiviti lasak dan kalau pun di rumah hanya mengadap telefon bimbit.

Bodohnya aku kerana tidak pandai mempersoalkan segala perubahan sikapnya. Tidak pandai berleter setiap kali dia meninggalkan aku di rumah keseorangan. Tidak pernah menghalangnya untuk terus beraktiviti luar apatah lagi membontotinya.

Akhirnya kutemui jawapan melalui handphone nya. Jangan ditanya bagaimana aku berjaya membuka password nya. Kutemui gambar mereka berdua. Ku baca mesej mereka yang saling merindu dan berharap dapat berkahwin segera untuk hidup bahagia bersama.

Jadi aku ini bagaimana?

Tambah melukakan hampir seluruh adik beradik suamiku tahu perhubungan mereka dan mereka menyangka aku masih belum tahu. Aku tahu.. Tapi aku memilih untuk berdiam.

Aku sedaya upaya menutup aib rumah tangga. Tidak sesekali aku bercerita kepada teman temanku mahupun adik beradik ku. Aku tak mahu kisah kecurangan suamiku membuatkan keluargaku hilang rasa kasih dan hormat terhadap suamiku.

Aku buntu apa yang harus aku lakukan. Aku tak punya kekuatan untuk bersemuka dengan suamiku. Aku me lihat lakonan mereka yang masih percaya aku isteri yang lurus tidak tahu apa apa.

Aku tetap berdoa supaya Allah menyentuh hati suamiku agar ia kembali ke pangkal jalan. Aku akan terus bertahan selagi mampu. Namun aku yang terusan menanggung luka ini sendirian. Selfishkah aku kerana cuba pertahankan rumah tangga ini.

Aku tetap buat yang terbaik untuknya, menjaga pakai, makan minum nya, berbual seperti biasa biar pun tidak berbalas sangat.

Dalam mesejnya bersama orang ketiga itu dia selalu menyatakan keputusan terletak di tangannya bila sering didesak untuk segera berkahwin.

Apakah aku perlu bersiap sedia untuk diceraikan bila bila masa?

Tuhan ku, aku bersyukur dugaan ini medekatkan lagi aku denganmu. Hanya Kau yang tahu apa yang akan kulalui.

Apa pun ku mohon kau terus bersamaku melalui dugaan di dunia ini kerana aku berpegang dengan Surah Al insyirah. Setiap kesulitan akan diakhiri dengan kemudahan.

Untuk suamiku, kau mesti mecari cari di mana salah silapku untuk dijadikan alasan kecurangan. Tak mengapalah. Seandainya aku kau buang dari hidupmu akan kutuntut segalanya di hadapan Allah Kelak.

– Isteri setia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *